Ahad, 16 Julai 2017

Perbezaan Antara Mentimun Laut Dan Lintah Laut

Antara lintah laut (sea slug) yang mempunyai warna yang amat cantik.

Dua hidupan unik yang seakan-akan sama iaitu mentimun laut dan lintah laut. Anda mungkin pernah melihat gambar kedua-dua spesies hidupan ini dan banyak di antaranya yang mempunyai warna-warna yang amat menakjubkan. Maka dengan sebab itu, kali ini kita ingin melihat apakah perbezaan di antara kedua-dua hidupan unik ini.

Mungkin anda pernah membaca artikel mengenai mentimun laut ataupun lintah laut di dalam MyRokan sendiri, tetapi setakat ini perbezaan di antara kedua-dua spesies ini tidak pernah pula kami ketengahkan. Oleh kerana terdapat jumlah spesies yang besar untuk kedua-dua jenis hidupan ini, maka kami paparkan di sini perbezaan ketara di antaranya untuk pengetahuan kita bersama.

Mentimun laut merupakan sebahagian daripada kumpulan Echinoderms yang juga mengandungi tapak sulaiman, landak laut dan ‘Brittle Stars’ (hidupan berbentuk bintang). Ia berada dalam kelas ‘Holothuria’. Walaupun bentuknya tidak sama dengan hidupan-hidupan lain dari kumpulan ini, ciri-ciri lainnya adalah sama seperti mempunyai ‘endoskeleton’ yang berada di bawah kulitnya. Hidupan di dalam kumpulan ini lebih mudah dikenali daripada rupa bentuk fizikalnya. Antara lain, kebanyakan hidupan dari kumpulan Echinoderms turut mempunyai kelebihan menghasilkan bahagian gantian apabila ianya hilang/cedera selain membiak secara aseks.






Berbeza pula dengan lintah laut yang sebenarnya sebahagian daripada kumpulan siput. Namun begitu lintah laut berada dalam order Opisthobranchia manakala siput darat pula berada di dalam order Pulmonata dan kedua-duanya tergolong dalam ‘Heterobranchia’. Jadi untuk memudahkan pemahaman mengenai lintah laut ini adalah ianya merupakan sebahagian daripada keluarga siput yang tidak mempunyai cangkerang seperti siput-siput lain. Terdapat pelbagai spesies lintah laut yang mempunyai pelbagai bentuk dan warna. Antara keunikan lain lintah laut adalah menggunakan chloroplasts daripada alga yang dimakannya untuk dirinya pula.






Selain daripada ciri-ciri utama ini, kita juga boleh melihat perbezaan kedua-dua hidupan dari segi anatomi yang dapat memberikan gambaran yang lebih jelas. Jadi walaupun kedua-dua hidupan ini mempunyai bentuk yang hampir serupa, tetapi ianya mempunyai perbezaan yang jauh berbeza. Sebab itulah pengelasan hidupan merupakan satu kerja yang penting dalam mengenali hidupan-hidupan di bumi. Selain daripada memelihara mereka daripada pupus, ia juga banyak memberi manfaat kepada kehidupan manusia sendiri. 



Free Download




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog