Memaparkan catatan dengan label International Space Station. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label International Space Station. Papar semua catatan

Selasa, 7 Oktober 2014

Binaan Manusia Terpaling Mahal

International Space Station
ISS yang mengorbit bumi dari angkasa.

Manusia merupakan satu-satunya makhluk yang mampu membina hampir apa sahaja yang diinginkannya. Setelah beberapa zaman berlalu, banyak tinggalan yang dapat kita lihat ditinggalkan oleh orang-orang terdahulu menunjukkan manusia sentiasa membina bagi mencapai pembangunan yang ideal. Namun begitu setiap pembangunan akhirnya hanyalah tinggal menjadi sebahagian sejarah seperti mana yang dapat kita lihat hari ini.

Adalah sukar untuk menggambarkan kos sebenar bagi pembangunan-pembangunan yang didirikan pada tamadun-tamadun yang lepas kerana perbezaan gaya hidup dan sistem mata wang yang tidak difahami. Apa yang ingin kita lihat di sini adalah pembinaan yang dilakukan bagi manusia pada zaman ini bagi satu tujuan dan adalah mustahil ianya boleh didirkan oleh satu pihak sahaja memandangkan kosnya yang terlalu tinggi.

Working on ISS
Angkasawan melakukan kerja-kerja di ISS.

Binaan tersebut pula bukanlah berada di permukaan bumi seperti binaan-binaan lain, tetapi ianya berada di ruang angkasa bumi pada jarak 400km daripada permukaan bumi. ISS atau lebih dikenali sebagai International Space Station merupakan makmal yang berada di ruang angkasa yang dibangunkan secara berperingkat-peringkat dengan penglibatan banyak negara seperti Rusia, Amerika Syarikat, Canada, Europe, Jepun dan negara-negara lain.

Ianya dibina secara berperingkat-peringkat bermula pada tahun 1998. Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 2000 dua krew pertama ISS memulakan tugas mereka di sini. Pada permulaannya ISS didirikan hanya mempunyai 3 modul. Ia kemudiannya terus ditambah secara berperingkat sehinggalah pada masa sekarang mengandungi pelbagai modul yang menjadi tempat untuk menjalankan eksperimen saintifik mahupun ruang penginapan bagi para angkasawan.

Life on ISS
Aktiviti bagi mengisi masa lapang di ISS.

Semenjak ia dimulakan ISS terus menjalani pelbagai penambahan dan pengubahsuaian bagi memastikan ia mampu menyempurnakan pelbagai keperluan dalam menjalankan kajian-kajian saintifik. Sehingga kini keseluruhan ISS menjangkau saiz 109 meter lebar dan 73 meter panjang dan ia lebih besar berbanding saiz padang bola. Disebabkan saiznya inilah menyebabkan ia perlu dibina di angkasa dan tidak boleh diterbangkan sekali daripada bumi. Berat ISS adalah menjangkau sehingga 400 tan. Berbalik kepada kos untuk pembinaan ISS dianggarkan menelan USD150 billion dan setakat ini tiada pembinaan satu objek yang menelan kos sehingga jumlah tersebut.

Namun pembinaan ISS adalah penting bagi manusia untuk lebih memahami tentang pelbagai keajaiban alam. Ini kerana untuk memahami apa yang berlaku di permukaan bumi adakalanya kita perlu melangkah ke luar untuk mendapat gambaran yang lebih jelas. Pembinaan ISS jelas menunjukkan tiada perkara yang mudah dalam menyelesaikan sesuatu perkara namun tiada yang mustahil sekiranya kita betul-betul mahu.

Cupola Module
Cupola module yang menyediakan tingkap pandang ke bumi.

Ada beberapa perkara lagi yang menarik mengenai ISS untuk anda ketahui antaranya adalah kelajuannya bergerak mencapai sehingga 27,000 kilometer sejam. Pada kelajuan ini ianya adalah 8 kali ganda lebih laju berbanding peluru. Manakala untuk membolehkan ianya beroperasi bagi menjalankan pelbagai aktiviti di angkasa ia dilengkapi dengan panel-panel solar yang berukuran 34 X 12 meter bagi membekalkannya sehingga 60kW kuasa elektrik.


ISS merupakan satu binaan yang amat menakjubkan. Bagi para peminat dunia sains, ISS merupakan satu ikon baru yang memberikan inspirasi untuk kita terus berusaha mengkaji dan mencipta. Malah ISS antara lainnya akan menjalankan eksperimen pelengkap kepada satu lagi kajian yang dilakukan di bumi - yang dijalankan di sebuah makmal yang juga merupakan satu lagi rekaan terulung iaitu LHC - Large Hadron Collider.




Free Download



Arkib Blog