Memaparkan catatan dengan label Sci-Fi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sci-Fi. Papar semua catatan

Rabu, 22 Julai 2015

Siapakah Optimus Prime?

Peter Cullen merakamkan suara bagi Optimus Prime.

Optimus Prime merupakan watak utama kepada filem animasi Transformers yang kemudiannya bukan sahaja diadaptasikan ke dalam ‘video games’ malah muncul sebagai antara fanchise filem Box-Office yang paling popular di dunia. Mula diperkenalkan awal tahun 1980-an dengan gabungan dua syarikat permainan iaitu Hasbro (Amerika) dan Takara Tomy (Japan). Populariti rangkaian permainan ini mendapat sambutan berterusan sehingga ke hari ini dan Transformers bukan sahaja popular di kalangan kanak-kanak, malah juga dewasa.

Dua nama terpenting dalam mereka konsep Transformers adalah Jim Shooter dan  Dennis O’Neil yang dipertanggungjawabkan oleh Hasbro di mana, nama “Optimus Prime” diberikan sendiri oleh O’Neil. Watak-watak lain di dalam rangkaian Transformers pula diberikan nama oleh Bob Budiansky termasuk ciri-ciri unik mereka.

Namun begitu sebagai watak yang paling popular di dalam siri Tranformers, Optimus Prime sentiasa mendapat perhatian ramai kerana ia melambangkan ketua kumpulan yang paling berkarisma disertai dengan ciri-ciri pemimpin yang dikagumi. Sehubungan itu tentu ramai yang tertanya-tanya siapakah disebalik Optimus Prime?

Watak Optimus Prime turut diperlengkapkan lagi dengan suntingan suara terbaik Peter Cullen seorang artis suara berkelahiran Canada yang lebih sinonim dengan watak ini berbanding dengan suara-suara lain yang pernah digunakan untuk watak Optimus Prime seperti Neil Kaplan bagi siri Transformers: Robots in Disguise.

Peter Cullen atau nama penuhnya Peter Claver Cullen dilahirkan pada 28 Julai, 1941 di Canada. Suara beliau telahpun digunakan untuk Optimus Prime (dan juga Ironhide) semenjak dari tahun 1980-an lagi bagi siri animasi asal Transformers. Walaupun turut menyumbangkan suara untuk filem-filem dan animasi lain, Peter Cullen lebih banyak menyumbangkan suaranya bagi mewakili watak Optimus Prime ini samada untuk filem animasi, video games malah untuk kesemua filem Transformers daripada 2007 sehinggalah ke 2014. Beliau turut akan mewakiili Optimus Prime lagi untuk filem Transformers yang berikutnya pada tahun 2017!

2007       Transformers     Optimus Prime (Suara)

2009       Transformers: Revenge of the Fallen      Optimus Prime (Suara)

2011       Transformers: Dark of the Moon              Optimus Prime (Suara)

2014       Transformers: Age of Extinction                                Optimus Prime (Suara)

Peter Cullen di taman tema Universal Studio, Orlando.

Selain daripada filem, Peter Cullen turut terlibat dengan video games yang berkaitan dengan Transfomers dihasilkan semenjak dari tahun 2007 lagi seperti berikut;

2007       Transformers: The Game             Optimus Prime

2007       Transformers Autobots                 Optimus Prime

2009       Transformers: Revenge of the Fallen      Optimus Prime

2009       Transformers Revenge of the Fallen: Autobots  Optimus Prime

2010       Transformers: War for Cybertron             Optimus Prime

2011       Transformers: Dark of the Moon              Optimus Prime

2012       Transformers: Fall of Cybertron                 Optimus Prime

2012       Transformers: Prime – The Game             Optimus Prime

2014       Transformers: Rise of the Dark Spark      Optimus Prime

2015       Transformers: Devastation          Optimus Prime

Meletakkan tandatangan pada simen di Optimus Prime Chinese Theater.

Bagi Peter Cullen sendiri mewakili Optimus Prime merupakan watak yang paling digemarinya di mana watak Optimus Prime sendiri yang melambangkan ciri-ciri keberanian, kepimpinan, ketokohan yang membanggakan yang ideal bagi seorang pemimpin. Peter Cullen bukan sahaja membawa watak Optimus Prime di dalam siri animasi dan video games malah filem-filem Transformers dengan jayanya.


Anda mungkin merasakan bahawa Peter Cullen dilahirkan dengan suara yang sebegitu unik untuk membolehkan beliau mendapat peluang menyumbangkan suaranya bagi watak Optimus Prime. Namun realitinya ‘artis suara’ juga menjalankan latihan dengan gigih dan bagi Peter Cullen sendiri ia bermula sebagai DJ radio di Montreal, Canada selain terlibat di dalam rancangan TV kanak-kanak dan pelbagai watak lagi dari tahun 1962. Sehubungan kegigihan itulah beliau berjaya menjadi Optimus Prime dan menjadi inspirasi kepada yang lain. Sekarang tahukah anda siapakah Optimus Prime?




MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Ahad, 19 Oktober 2014

Menghuni Marikh dan Projek Biosphere 2

Biosphere 2 Complex
Keseluruhan bangunan Biosphere 2.

Bagi peminat-peminat cereka Sci-Fi persekitaran kehidupan di angkasa atau kehidupan di planet lain biasa digambarkan dengan pelbagai keadaan. Mungkin bagi sesetengah kita hanya menganggapnya sebagai sebuah hasil filem atau cereka yang dihasilkan untuk tujuan hiburan semata. Namun begitu bagi mereka yang optimis, idea untuk mendirikan penempatan di angkasa telah lama dilakukan.

Biosphere 2, sebuah projek yang telah lama dilakukan iaitu sejak tahun 1985 lagi. Tujuan eksperimen ini adalah untuk meninjau keadaan kehidupan di Marikh dengan menyediakan kehidupan sama seperti di bumi. Walaupun eksperimen ini mungkin tidak dapat memberikan jawapan yang 100% positif untuk peluang manusia tinggal di Marikh, namun ia memberikan sedikit-sebanyak maklumat yang berguna atau peluang untuk memperbaiki sebarang kesilapan yang dapat dikenal pasti di peringkat awal. Malah ia juga turut memberikan sedikit-sebanyak tentang jawapan kehidupan di bumi sendiri.

Oceanic area at biosphere 2
Kawasan yang mewakili lautan turut menempatkan turumbu karang.

Biosphere 2 adalah sebuah kemudahan yang didirikan dan menempatkan ruang kehidupan sama di bumi dengan dilengkapi kawasan seperti hutan tropika, kawasan paya bakau, gurun dan lautan dalam skala yang kecil. Keseluruhan sistem ini bertujuan bagi menyediakan satu ekosistem lengkap untuk membantu kehidupan di planet lain seperti di Marikh. Di sini, beberapa penyelidik menghabiskan masa kira-kira 2 tahun bagi meninjau samada ia dapat memberikan kemudahan bagi peserta disepanjang masa yang dilhabiskan di dalam Biosphere 2.

Bagi keseluruhan sistem Biosphere 2 ia mengandungi 1,900 meter persegi kawasan hutan hujan, 850 meter persegi lautan (turut menempatkan terumbu karang), 450 meter persegi kawasan paya, 1,300 meter persegi kawasan savannah, 1,400 meter persegi kawasan gurun, 2,500 meter persegi kawasan untuk aktiviti pertanian penghuninya. Ia juga dilengkapi dengan jaringan saluran bawah tanah untuk mengawal suhu dan membekalkan tenaga. Ia merupakan kawasan yang tertutup sepenuhnya dengan binaan kaca bagi membolehkan cahaya matahari menembusi struktur tersebut untuk membantu pertumbuhan hidupan di dalam ekosistem di dalamnya.

Savannah area biosphere 2
Kawasan savannah di dalam Biosphere 2.

Sepanjang tempoh daripada pembinaannya Biosphere 2 telah digunakan sebanyak 2 kali untuk mejalankan eksperimen di mana para peserta akan meluangkan masa beberapa ketika di dalam ruangan Biosphere 2 dan tidak dibenarkan keluar. Pada kali pertama peserta menghabiskan masa untuk 2 tahun daripada tahun 1991 hinggalah ke 1993 dan pada eksperimennya berikutnya iaitu kira-kira enam bulan yang menekankan lebih kepada aspek-aspek pembaik pulihan. Kini Biosphere 2 dibuka kepada orang ramai untuk tujuan lawatan dan tinjauan. Ia sudah tentu amat menarik untuk dikunjungi.

Living area biosphere 2
Antara ruangan untuk penghuni di Biosphere 2.

Sudah pastinya eksperimen ini mengalami pelbagai cabaran. Membina sebuah bumi kecil bukanlah mudah walaupun hampir kesemua ekosistem dihimpunkan di dalam satu bangunan yang kecil namun ianya tidak dapat memenuhi keperluan sebenar ekosistem ini. Biosphere 2 juga mengalami perbezaan tekanan udara di antara siang dan malam yang diakibatkan oleh kesan pengembangan udara. Ia juga mengalami kandungan Karbon Dioksida yang tinggi kesan daripada ketidak seimbangan ekosistem di dalamnya. Terdapat juga keadaan di mana para peserta mengalami kekurangan makanan dan sebagainya.

Walaupun Biosphere 2 tidak mungkin akan dibina di Marikh namun eksperimen ini sedikit sebanyak memberi banyak pengajaran kepada para penyelidik yang terlibat terutamanya dari segi keperluan rekabentuk dan juga ekosistem yang terdapat di dalam Biosphere 2. Dari percubaan inilah banyak perkara dapat diperbaiki dan kelemahan dapat dikenalpasti. Eksperimen seumpama ini mungkin akan terus dijalankan sehingga manusia berjaya dalam apa yang diusahakannya. Sehubungan dengan itu apa yang penting bukanlah kejayaan semata, tetapi usaha yang berterusan sehingga berjaya.



Free Download



Khamis, 17 April 2014

Misteri Di Sebalik Filem Avatar

James Cameron Avatar
James Cameron bersama pelakon Avatar, Sam Worthington.

Filem Avatar yang dihasilkan oleh pengarah terkenal James Cameron bakal menemui peminat mereka semua di pawagam tidak lama lagi. Filem tersebut yang menjadi Box-Office di serata dunia menyimpan seribu satu rahsia kerana ia jauh berbeza dengan cerita-cerita yang lain sebelum ini. Ia bagaikan fenomena semasa Jurassic Park muncul di pawagam buat kali pertama dulu.

Penghasilan filem Avatar bukanlah suatu perkara yang mudah. Ini kerana James Cameron sendiri sanggup menunggu lebih dari 10 tahun untuk membolehkan cerita rekaan beliau itu dihasilkan pada tahap kualiti terbaik. Selain daripada terpaksa menunggu tempoh yang lama penghasilan Avatar sendiri memakan masa beberapa tahun untuk disiapkan bagi memenuhi kehendak beliau.

James Cameron semasa masih di sekolah lagi merupakan seorang yang minat membaca hampir apa sahaja novel walaupun lebih berminat pada cerita-cerita Sci-Fi. Masa yang diambil semasa menaiki bas ketika pulang dari sekolah (kira-kira 2 jam di dalam bas) digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk membaca buku. Maka tidak hairanlah mengapa idea-idea beliau kelihatan jauh berbeza berbanding dengan hasil kerja pengarah-pengarah yang lain.

Selain daripada itu juga James Cameron merupakan seorang yang suka membuat tinjauan (pengembaraan). Malah beliau turut mengambil peluang untuk menjelajah ke dalam laut dalam untuk melihat sendiri keadaan di sana. Ia juga adalah sebahagian daripada kejayaan beliau dalam menghasilkan cerita-cerita berkaitan laut dalam seperti ‘The Abyss’, ‘Ghost of the Abyss’ dan juga dokumentari-dokumentari mengenai laut dalam.

Pelakon-pelakon Avatar dan James Cameron
Bersama pelakon-pelakon Avatar.

Malah beliau juga turut menyumbangkan idea dalam penghasilan sistem pengambaran 3D Fusion Camera yang digunakan untuk menghasilkan filem-filem beliau bagi menghasilkan kualiti gambar seperti yang diinginkan. Jadi beliau bukan sahaja merupakan seorang pengarah filem yang mempunyai jiwa seni malah berpengetahuan luas termasuk teknologi yang berkaitan dengan perfileman. Jadi ini memberikan gambaran kepada kita bahawa nama-nama terkenal di Holywood bukanlah mereka yang mendapat peluang atau tawaran semata, tetapi sememangnya mempunyai bakat dengan usaha mereka yang gigih dalam mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing.

Sebelum Avatar lagi banyak filem-filem yang dihasilkan James Cameron mencecah kutipan luar biasa seperti ‘The Terminator’ pada tahun 1984. Selain daripada menjadi pengarah untuk filem ini beliau juga merupakan penulis cerita terebut. Ini diikuti pula dengan ‘Aliens’ pada tahun 1986. Sekali lagi beliau bertindak sebagai pengarah selain daripada penulis cerita tersebut. Bagi yang menonton cerita ‘Aliens’ sekitar tahun 1980-an tentu masih ingat bagaimana cerita tersebut memberikan impak yang sangat berkesan.

James Cameron
James Cameron turut terlibat dalam penghasilan 3D Fusion Camera.

Beliau muncul lagi dengan ‘Terminator 2: Judgement Day’ pada tahun 1991 sebagai direktor, penulis dan producer. Semasa ‘Terminator 2: Judgement Day’ dihasilkan, tiada lagi filem yang seakan-akan terminator yang pernah ditonton. Bakat beliau di dalam penghasilan cerita-cerita Sci-Fi ini memang terserlah bahkan mampu menyampaikannya ke dalam filem dengan baik. Terminator 2 kekal sebagai cerita yang hebat sehinggalah ‘Jurassic Park’ muncul dengan keajaiban baru di dalam dunia perfileman di bawah arahan Steven Spielberg.

Beliau muncul semula dengan filem Box-Office ‘Titanic’ pada tahun 1997 sebagai direktor, penulis, producer dan editor. Titanic merupakan filem yang paling menerima banyak anugerah bagi diri beliau di samping filem Avatar dengan jarak antara kedua-dua buah filem ini adalah melebihi 10 tahun. Maka dengan itu sikap beliau yang menitik beratkan kualiti merupakan punca utama mengapa filem yang dihasilkannya sentiasa mendapat sambutan.

Penantian beliau akhirnya berakhir apabila filem ‘ThePolar Ekspress’ arahan Robert Zemeckis yang menggunakan teknik “performance capture” membolehkan beliau untuk menyampaikan kualiti sebenar yang ingin disampaikan di dalam Avatar menjadi kenyataan.

Proses pengambaran Avatar sendiri memakan masa beberapa tahun dan kemudiannya dihantar ke beberapa bahagian dunia untuk process penambah baikan kualiti CG (computer graphic enhanced). Antara nama yang terlibat di dalam pemprosessan CG bagi Avatar adalah Digital Domain dan juga Weta digital.

Weta sebelum itu merupakan syarikat yang membantu filem ‘Lord of The Rings’ dalam mereka watak ‘Gollum’. Ia merupakan ciri-ciri penting yang diperlukan di dalam penghasilan Avatar. Walaupun di dalam Avatar lebih banyak perkara yang ingin dimuatkan oleh James Cameron seperti ciri-ciri ‘performance’ watak yang merupakan aspek penting di dalam sesebuah filem besar.

Selain daripada penghasilan filem James Cameron sendiri memetingkan bagaimana filem ini akan dipasarkan di seluruh dunia. Setiap ruang publisiti digunakan dengan baik seperti Comic-Con pada July, 2009. Ia merupakan perhimpunan peminat-peminat animasi, komik, video games dan apa sahaja mengenai dunia hiburan masa kini. Melalui publisiti di Comic-Con, Avatar mendapat impressi pertama daripada bakal penonton filem itu nanti pada penghujung tahun 2009.

Kini setelah beberapa tahun Avatar ditayangkan di pawagam ia akan dikeluarkan lagi dalam sequal secara berturut-turut pada tahun 2016, 2017 dan 2018. Ia sudah pasti mengubat rindu peminat untuk melihat lebih lanjut tentang Pandora dan bagaimana kehidupan orang-orang Na’Vi secara lebih dekat. Apakah yang masih lagi tersimpan di dunia Pandora yang ingin disampaikan oleh James Cameron nanti melalui filem-filem tersebut?

Apa yang jelas Avatar merupakan suatu hasil yang penuh dengan perancangan dan ketelitian yang dihasilkan oleh James Cameron. Sikapnya yang sentiasa mengekplorasi, belajar, sanggup menunggu, berkongsi idea, bersama terlibat dalam menghasilkan sesuatu yang diinginkannya dan banyak lagi sikap beliau yang menjadikan kerja-kerjanya sentiasa menakjubkan. Itulah yang menjadi misteri di sebalik kejayaan filem Avatar dan apa yang ingin saya sampaikan di dalam artikel saya kali ini.


Sama-sama kita nantikan filem beliau yang seterusnya.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Arkib Blog