Memaparkan catatan dengan label beras. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label beras. Papar semua catatan

Rabu, 22 Disember 2021

Bolehkah Anda Menanam Padi Daripada Beras Yang Dibeli Dari Pasaraya?

Penanaman padi di dalam pasu adalah perkara yang biasa dilakukan.

 
Padi (Oryza sativa) merupakan tumbuhan yang unik menjadi sumber makanan manusia hampir di seluruh dunia. Keunikan tumbuhan yang ditanam sejak ribuan tahun ini menghasilkan pelbagai varieti unik oleh setiap masyarakat di serata dunia. Malah padi sering menjadi tajuk perbincangan artikel-artikel kami sejak dari dahulu lagi. Pembangunan penanaman padi secara komersial membuatkan kaedah penanaman padi tidak diketahui oleh kebanyakan kita. Secara tidak langsung, tidak semua di antara kita mengenali pokok padi secara dekat. Bagaimanakah kita boleh menanam sendiri pokok padi ini? Mungkin ini adalah antara pilihan yang boleh kita lakukan.
 
Oleh kerana sukar untuk mendapatkan benih padi, iaitu biji padi yang belum diproses. Menggunakan beras yang dijual di pasaraya adalah salah satu daripada cara mendapatkan benih padi. Namun ia bukanlah semudah biji padi yang belum diproses (kerana biji benih yang belum diproses tidak rosak akibat pemprosesan padi menjadi beras). Untuk kaedah ini hanya beras perang yang boleh digunakan. Ini kerana beras perang masih mempunyai bahagian tunas (germ) pada biji benih padi. Beras putih biasa tidak mempunyai bahagian ini dan tidak akan bercambah untuk menumbuhkan tunas baru. Malah, penggunaan beras perang ini juga tidak menjanjikan hasil yang seratus peratus berjaya.

 
Sekiranya anda sememangnya menggunakan beras perang untuk masakan, maka bolehlah mengambil sedikit beras untuk tujuan ini. Manakala bagi yang ingin mencuba sahaja, maka bolehlah membeli beras perang dalam kuantiti yang kecil. Sebaiknya periksalah terlebih dahulu jika jenis beras perang tersebut benar-benar masih mempunyai bahagian tunas tersebut ataupun tidak. Ini kerana tidak semua proses menghasilkan beras perang adalah sama. Sekiranya anda mempunyai jenis beras yang betul bolehlah kita ke proses yang seterusnya iaitu proses pengaktifan benih. Proses ini adalah sama seperti proses penyemaian, iaitu beras direndam di dalam air untuk membolehkan biji benih mula menghasilkan percambahan mata tunas dan penghasilan akar. Dalam proses ini, beras-beras tadi direndam di dalam air (air diganti setiap hari) sehingga tunas dan akar kelihatan jelas.
 
Apabila tunas dan akar mula kelihatan, biji-biji benih padi tadi bolehlah dialihkan ke tanah dengan kelembapan yang tinggi. Ini kerana proses pertumbuhan padi biasanya di dalam tanah yang berlumpur. Proses pertumbuhan ini juga memerlukan lebih nutrient dari tanah dan sumber air yang mencukupi. Awasi kualiti air kerana penanaman secara kecil-kecilan begini menyebabkan air bertukar warna ataupun berbau. Jadi sekiranya perlu tukarlah air dan mungkin juga menambah sedikit baja sekiranya pokok kelihatan tidak subur atau kekuningan.

Beras perang masih mempunyai bahagian tunas berbanding beras putih biasa.

Pilih biji-biji yang sihat dengan pertumbuhan yang baik.


Biji dialihkan tapak semaian bagi membolehkan ia terus membesar.

 
Pada peringkat ini, anak-anak pokok padi memerlukan bekas yang lebih besar untuk terus membesar.

Sekiranya anda ingin meneruskan proses penanaman sehingga pokok padi menghasilkan buah. Pemindahan seterusnya perlu dilakukan apabila pokok mencapai saiz yang agak besar, iaitu kira-kira sebulan usianya. Pada usia ini, pokok padi telahpun menghasilkan beberapa helai daun yang lebih besar dan ketinggian 10 - 15 cm. Pemindahan ini penting bagi membolehkan pokok padi membesar dengan sempurna kerana akarnya berkembang dengan pesat bagi membolehkan pokok padi terus menjadi dewasa, sebelum sedia untuk menghasilkan bunga-bunga padi. Untuk tujuan ini, bekas yang lebih besar perlu disediakan dengan jumlah tanah dan air yang lebih banyak.
 
Bagi penyediaan ini, bekas yang tidak berlubang perlu disediakan. Tanah perlu ditapis kerana padi tidak boleh tumbuh dengan baik pada tanah yang keras. Air dicampur secara berperingkat bagi memastikan tanah mempunyai kelembapan yang sekata. Apabila campuran tanah dan air menjadi seakan-akan lumpur (namun tidak terlalu cair), maka pokok padi tadi bolehlah dialihkan. Anda boleh menanam sehingga 3 anak benih padi untuk membentuk serumpun pokok padi. Selain itu, pada peringkat awal pertumbuhan padi, and juga perlu menambah jumlah air supaya air berada beberapa centimeter tinggi daripada tanah.

 
Walaupun pokok-pokok padi akan menjadi semakin tegap, namun pemantauan berterusan perlu dilakukan. Setiap perubahan pada pokok padi perlu diberikan perhatian yang secukupnya. Kesan-kesan seperti warna daun, kerosakan pada daun menandakan masalah yang boleh mengakibatkan pokok padi anda mati. Awasi jumlah air (yang mengawal tanah supaya tidak terlalu lembut ataupun terlalu keras). Pada peringkat pembesaran, baja perlu ditambah secara berperingkat mengikut kesesuaian pertumbuhan pokok. Pastikan juga kualiti air dan jumlah air. Kurangkan air sekiranya tanah menjadi terlalu lembut dan tambahkan air sekiranya tanah terlalu kering. Gunakan jaring atau letakkan pokok padi anda dalam tempat yang selamat daripada serangga perosak. Bagi penanam kecil sebegini, anda mungkin tidak perlu menggunakan racun serangga, cukup sekadar menutup pokok padi anda dengan jaring yang sesuai.
Anak padi dialihkan ke dalam bekas baru yang lebih besar untuk proses pembesaran yang sempurna.

Air ditambah untuk proses pertumbuhan yang berikutnya.

Setelah sebulan dialih, air dikeringkan bagi mengelakkan tanah yang terlalu lembik.

Setelah tanah kering, air ditambah semula pada ketinggian kira-kira 2 cm.

Pembajaan perlu dilakukan bagi memastikan pertumbuhan yang berterusan.

 
Pada peringkat akhir pertumbuhan adalah apabila pokok mula menghasilkan bunga. Jaring boleh dibuka bagi membolehkan bunga-bunga padi didebunga dengan baik bagi menghasilkan buah yang mempunyai isi. Teruskan penjagaan sehingga buah-buah menjadi matang (kelihatan berisi dan saiz yang lebih besar). Apabila ia cukup matang, iaitu kira-kira sebulan daripada bunga mula dihasilkan, air boleh dikeringkan daripada bekas tanaman padi. Seterusnya teruskan penjagaan seperti biasa sehingga buah-buah padi benar-benar masak, iaitu buah padi menjadi kekuningan (hanya sekitar 9 hari selepas air dikeringkan). Apabila cukup matang, daun-daun pada pokok padi juga akan mula kelihatan kekuningan menandakan ia sedia untuk dituai. Anda boleh memotong pokok-pokok padi untuk dikeringkan.

 
Apabila sudah betul-betul kering, proses pengasingan buah bolehlah dilakukan. Anda bolehlah melakukan proses ini dengan kaedah yang anda rasakan sesuai (kerana dalam jumlah yang kecil, ia tidak boleh menggunakan proses yang digunakan untuk saiz penanaman yang besar seperti ‘membanting padi’). Setelah diasingkan, barulah proses berikutnya dilakukan iaitu memecahkan kulit buah padi. Gunakan bahan yang tidak terlalu keras bagi mengelakkan buah padi hancur. Cukup untuk memecahkan kulit luar buah padi. Seterusnya cukup sekadar dengan meniupnya bagi mengasingkan kulit-kulit padi yang telah dipecahkan. Kini, anda telahpun menghasilkan beras sendiri, daripada beras yang asalnya dibeli di pasaraya.

Pokok-pokok pad mula mengeluarkan bunga.

Buah padi mula matang, dan air boleh dikeringkan daripada bekas tanaman.

Buah mula kekuningan dan daun mengering menandakan pokok padi sedia untuk dituai.

Bagi memastikan kejayaan yang lebih tinggi, pastikan padi yang cuba ditanam adalah dari spesies tempatan (atau yang sesuai dengan cuaca setempat). Pastikan juga memilih tunas yang betul-betul sihat daripada peringkat awal bagi menjamin pembesaran yang lebih sempurna. Sekiranya anda ingin menanamnya semula, pastikan anda tidak memecahkan kesemua buah-buah baru yang dihasilkan. Sebaliknya disimpan untuk tanaman yang berikutnya.
 
Kaedah ini adalah kaedah yang dihasilkan oleh penghasil video daripada YouTube di Jepun iaitu Noringo. Hobi penanaman tumbuh-tumbuhan daripada bahan yang dibeli di pasaraya dapat mendidik kita bahawa kita boleh menanam kebanyakan daripada bahan yang dibeli ini. Ini bukan bermakna kita perlu menjadi petani, tetapi banyak perkara boleh dipelajari daripada proses penanaman tumbuhan. Selain mempelajari kesusahan yang perlu dilalui oleh para petani dalam menghasilkan sumber makanan yang kita perolehi daripada pasaraya tersebut. Namun begitu, sebahagian bahan makanan adalah lebih baik dihasilkan sendiri bagi memastikan ianya bebas daripada racun rumpai dan racun serangga misalnya. Apatah lagi bagi bahan yang diperlukan dalam jumlah sedikit seperti daun-daun herba yang boleh dibesarkan dengan mudah di tepi dapur atau hanya dengan merendamkannya di dalam air. Semoga ini sedikit sebanyak dapat memberikan satu lagi inspirasi kepada para pembaca untuk mencuba hobi menanam di rumah.
 
*tontoni video daripada Noringo, mengenai kaedah penanaman padi menggunakan beras yang dibeli dari pasaraya.


 
 

Isnin, 17 April 2017

Perbezaan Padi Yang Ditanam Di Seluruh Dunia.

Antara sebahagian varieti padi yang ditanam di India sahaja.

Padi merupakan makanan penting penduduk dunia antara tanaman yang menjadi topik penting bagi MyRokan. Oleh kerana ianya ditanam oleh manusia sejak sekian lama, terdapat sekitar 40,000 varieti padi yang diketahui. Di sini timbul persoalan, samakah beras yang dimanakan oleh penduduk dunia yang tinggal di kawasan-kawasan yang berbeza? Jawapannya tentulah ya!

Padi atau ‘Asian rice’ (Oryza rufipogon) pada asalnya merupakan padi liar yang mula ditanam di China semenjak 8,200 ke 13,500 tahun dahulu. Ia kemudiannya terus merebak ke serata Asia Tenggara dan kemudiannya ke seluruh bahagian dunia yang lain. Kepesatan penanaman padi ini disamping tempoh masa yang lama menghasilkan banyak padi-padi baru mengikut geografi penanamannya. Walaupun terdapat varieti padi yang besar, secara kasarnya ia dibahagikan kepada 3 kumpulan utama iaitu; indica, japonica, aromatic and glutinous.

Antara varieti beras yang ditanam. Perhatikan perbezaannya.


Padi yang masih di dalam selaputnya (husk).

Antara jenis beras dengan perbezaan warna dan bentuk.

Oryza sativa iaitu padi yang biasa ditanam hari ini mengandungi dua kumpulan spesis terbesar iaitu: beras melekit (sticky rice) yang merupakan beras japonica pendek, manakala satu lagi adalah dari jenis yang tidak melekit dengan saiz beras yang lebih panjang. Japonica juga merupakan jenis beras yang ditanam di kawasan yang lebih kering seperti kawasan-kawasan tinggi di Asia Timur, Asia Tenggara juga di bahagian Selatan Asia. Indica pula  merupakan padi yang ditanam di kawasan-kawasan rendah yang memerlukan air yang banyak di kawasan tropika Asia. Namun dari bukti genetik mendapati kedua-dua spesis padi ini iaitu indica dan japonica berasal daripada penanaman yang bermula di lembah Pearl River di China kira-kira 8,200 - 13,500 tahun dahulu.

Sebab itulah mengapa kebanyakan makanan yang berasaskan beras di bahagian-bahagian lain di dunia kebanyakannya tidak sama walaupun menggunakan bahan asas yang sama iaitu beras. Ini kerana beras yang digunakan adalah berbeza. Makanan berasaskan beras yang digunakan sebagai makanan di China dan Jepun kebanyakannya lebih berkanji (sticky) dan sesuai dimakan menggunakan penyepit (chopsticks). Manakala beras yang digunakan di Asia Tenggara dan India pula kebanyakannya adalah kurang berkanji yang menghasilkan nasi yang kurang melekit dan sesuai dimakan menggunakan tangan. Namun begitu tekstur dan aroma beras-beras ini juga berbeza menghasilkan rasa makanan yang berbeza pula.

Nasi kepal Jepun menggunakan beras Jepun yang lebih berkanji.

Beras berkanji yang beraroma ini mudah dipadankan dengan makanan yang lain.

Makanan berasaskan beras dari Finland; Karelian Pasty.

Ini pula makanan dari Iran dikenali sebagai Tahdig.

Jadi, sekiranya anda ingin merasa makanan yang berasaskan beras mengikut kawasan seperti makana Jepun misalnya, anda perlulah menggunakan beras asal yang digunakan untuk masakan tersebut. Cara yang terbaik adalah berkunjung ke negara asal makanan tersebut dihasilkan kerana ianya adalah jauh lebih mudah (daripada mendapatkan beras yang sama di tempat-tempat lain).

Apa yang terhasil kepada variasi beras sebenarnya turut berlaku kepada tanaman-tanaman pertanian yang lain. Penghasilan variasi baru sentiasa dilakukan pada tanaman-tanaman lain secara kacukan (pembiakan silang) atau dengan kaedah pertanian yang lebih moden iaitu pengubahsuaian genetik. Namun apa yang terjadi kepada tanaman padi ini membuktikan pertanian secara klasik dapat menghasilkan hasil tanaman yang baik, manakala teknik pengubahsuaian genetik pula perlu melalui masa bagi membuktikan ianya selamat untuk pengguna.


Makanan berasaskan beras dari Belgium; Belgian Rice Pie (Rijsttaart).

Makanan dari Canada; Wild Rice.

Beras Basmati dari India, sesuai dengan masakan kari.

Bubur beras dari Phillipines dikenali sebagai Champorado.

Padi walaupun merupakan makanan asas yang paling mudah ditemui di kebanyakan negara-negara Asia Tenggara khususnya, jika dilihat secara global merupakan tanaman yang amat unik dan satu fenomena yang menakjubkan. Semoga ia dapat memberikan gambaran jelas bahawa padi merupakan antara tanaman penting dunia yang perlu kita kenali dengan lebih dekat. 


Free Download





Arkib Blog