Memaparkan catatan dengan label herba. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label herba. Papar semua catatan

Jumaat, 7 Januari 2022

Lengkuas Bahan Perasa Makanan Penting dan Faedahnya

Lengkuas yang sedia untuk dijual di pasaran.

Lengkuas merupakan nama yang tidak asing lagi bagi mereka yang biasa memasak di dapur. Terkenal dengan nama lengkuas (Alpinia galanga), ia merupakan satu lagi tumbuhan dari keluarga Zingiberaceae seperti juga halia, kunyit, buah pelaga, cekur dan sebagainya. Lengkuas sendiri terdiri dari pelbagai jenis, walaupun kebanyakannya digunakan di dalam masakan, ada di antaranya yang lebih digunakan untuk tujuan perubatan. Lengkuas merupakan tumbuhan yang menjadi fokus kita kali ini.
 
Walaupun lengkuas merupakan nama yang cukup dikenali, namun di Malaysia ia lebih popular apabila tibanya hari perayaan seperti Hari Raya, untuk penyediaan rendang. Namun ia juga turut digunakan untuk masakan-masakan biasa seperti laksa, singgang atau gorengan. Penggunaan lengkuas lebih meluas di negara-negara jiran seperti Indonesia dan amat terkenal di Thailand untuk masakan seperti kari hijau, tom yum, tom sab leng, massaman dan juga tom kha gai. Penggunaan nya di dalam masakan turut dikongsi dengan negara jirannya iaitu Laos dan negara-negara Asia Tenggara yang lain termasuk Vietnam, Cambodia, Myanmar dan Philippines. Antara lain lengkuas turut mendapat jolokan nama antaranya halia Thailand atau halia Laos.

 
Penggunaan lengkuas di dalam masakan memberikan rasa dan aroma yang lebih menyelerakan. Ia mudah dipadankan dengan pelbagai jenis masakan dan rempah-rempah yang lain. Tidak diketahui dengan jelas mengapa di negara kita ia tidak sepopular di negara-negara jiran. Mungkin antara sebabnya adalah dari segi bekalan nya di sesetengah tempat yang hanya mudah diperolehi ketika musim-musim perayaan. Tidak seperti dua lagi herba yang popular iaitu kunyit dan halia yang digunakan lebih meluas di negara kita.

"Thai green curry" merupakan masakan Thai yang amat popular menggunakan lengkuas.

Perbezaan antara pokok lengkuas, kunyit dan halia.

Sebelum kita melihat lebih lanjut mengenai lengkuas, mari kita lihat nama lengkuas di beberapa negara antaranya; blue ginger, Thai ginger, lengkuas, romdeng (Cambodia), riềng (Vietnam), kanghu (manipuri), pa de kaw (Myanmar), langkawas (Philippines), and laos (Indonesia). Mungkin terdapat pelbagai nama lagi di kawasan-kawasan lain di dunia yang tidak dapat disenaraikan di sini. Selain itu, lengkuas-lengkuas ini juga mungkin terdiri daripada spesies yang berbeza, jadi ia tidak semestinya sama dengan apa yang kita perolehi di negara kita Malaysia.
 
Di Malaysia penanamannya dilakukan secara ladang di beberapa kawasan seperti di Muar dan Batu Pahat oleh masyarakat Jawa. Tempoh penanaman yang mengambil masa sekurang-kurangnya 9 bulan ke atas untuk mendapatkan hasil tuaian yang baik. Ia boleh dilakukan di kawasan tanah rendah setelah proses pengemburan yang baik. Proses mengapor perlu dilakukan sekiranya tanah mempunyai pH rendah (berasid) selain menambah unsur Phosphorus (P) dan juga Kalsium (Ca). Seperti juga tanaman-tanaman Zingiberaceae yang lain, tanaman lengkuas memerlukan tanah yang cukup gembur, berhumus tinggi dan sebaiknya tidak terdedah kepada matahari yang terlalu kuat. Namun dalam saiz ladang yang besar, teduhan ini adalah daripada kumpulan pokok-pokok itu sendiri.

 
Walaupun mempunyai potensi yang tinggi, harga lengkuas di pasaran tidaklah begitu tinggi. Ini mungkin kerana penggunaan nya tidak cukup meluas seperti di negara-negara jiran. Namun sekiranya dilihat dari segi fungsinya di dalam masakan dan faedah kesihatan tumbuhan ini perlu digunakan lebih kerap (pada kadar yang selamat di dalam masakan), atau sukatan sesuai apabila digunakan secara luaran. Antara lain faedah lengkuas adalah;

Lengkuas dalam bentuk segar, kering dan serbuk.

1) Masalah berkaitan penghadaman / pencernaan - lengkuas merupakan bahan yang digunakan untuk melegakan masalah berkaitan pencernaan seperti sakit perut, cirit-birit, muntah-muntah dan cegukan. Ia boleh digunakan dengan menyediakan masakan yang menggunakan lengkuas. Sangat mudah! Namun faedah lengkuas dan faedahnya kepada perut turut disokong dengan kajian daripada sekumpulan penyeldik di Jepun pada tahun 2003 yang mendapati ekstrak lengkuas mampu melindungi dinding perut daripada kecederaan.
 
2) 
Menyegarkan bau badan - lengkuas juga dikatakan dapat mengurangkan pertumbuhan bakteria pada badan yang menyebabkan bau badan dan masalah nafas berbau (halitosis). Ini kerana lengkuas mengandungi 1’-acetoxy eugenol acetate yang merupakan bahan yang mengelakkan pertumbuhan bakteria.
 
3) Membantu melawan keradangan dan sakit - lengkuas mungkin berpotensi dalam melawan keradangan dan mengurangkan sakit bagi pengidap osteoarthritis. Lengkuas mengandungi HMP, iaitu sejenis phytochemical yang dihasilkan secara semulajadi dan melalui ujian ke atas haiwan menunjukkan peningkatan potensi anti-keradangan.

Lengkuas yang dituai tepat pada masanya kelihatan segar dan cantik.

4) Meningkatkan kesuburan lelaki - kajian terus dilakukan mengenai potensi lengkuas dalam meningkatkan kesuburan lelaki. Ujian ke atas tikus menunjukkan peningkatan dan pergerakan aktif sperma setelah diberikan ekstrak lengkuas. Manakala dalam ujian yang lain mendapati sekumpulan 66 lelaki dengan jumlah sperma yang kurang, diberikan suppliment yang mengandungi ekstrak lengkuas dan buah delima mendapati 62% peningkatan jumlah dan pergerakan aktif, berbanding 20% peningkatan bagi mereka yang hanya menerima plasebo.
 
5) 
Mencantikkan kulit dan anti penuaan - lengkuas turut digunakan dalam produk penjagaan kulit dalam bentuk minyak Essential. Ia sesuai digunakan untuk pelbagai masalah kulit dengan kandungan anti-oksidan yang mengelakkan masalah penuaan kulit.

Ladang lengkuas di Indonesia.

Banyak lagi kajian bagi mengenalpasti potensi lengkuas bagi tujuan perubatan. Namun perlu diingatkan bahawa penggunaan lengkuas perlu dilakukan dalam jumlah yang selamat (iaitu pada kadar yang digunakan di dalam masakan) - dose yang dikatakan selamat ke atas haiwan adalah sekitar 909 mg per pound (2,000mn per kg) berat badan. Penggunaan berlebihan boleh mengakibatkan komplikasi dan kesan sampingan yang serius.

 
Seterusnya anda bolehlah mula mengenali jenis-jenis masakan yang menggunakan lengkuas bagi mempelbagaikan lagi penggunaannya di dalam kehidupan harian. Lengkuas sebenarnya amat mudah digunakan dalam pelbagai jenis masakan yang biasa bagi orang Asia Tenggara. Ia sesuai dipadankan dengan masakan yang menggunakan daging, ayam, ikan, makanan laut, mahupun sayuran. Maka dengan ini, anda akan menambahkan lagi penggunaannya dalam kehidupan harian.
 
Maka dengan itu merupakan perkongsian kita kali ini. Semoga ia dapat memberikan minat kepada satu lagi tumbuhan yang penting kepada masyarakat kita dan sekitar Asia Tenggara. Selain meningkatkan penggunaan lengkuas, ia juga membuka peluang bagi mereka yang berminat untuk menceburi bidang penanaman lengkuas atau menanamnya untuk tujuan hobi sahaja. Sekian sahaja, terima kasih.


Selasa, 23 November 2021

Ulaman Yang Kurang Dikenali Ketumpang Air atau Sireh Cina

Ketumpang air yang telah dibersihkan, sedia untuk hidangan.

 
Sememangnya terdapat banyak tumbuhan yang hidup di sekeliling kita yang kurang dikenali, sehubungan itu tidak dimanfaatkan sebaiknya. Kali ini kita melihat tumbuhan amat mudah tumbuh, dan adakalanya diabaikan begitu sahaja kerana kurang diketahui khasiatnya. Tumbuhan tersebut adalah dikenali sebagai ketumpang air (Peperomia Pellucida), juga dikenali sebagai sireh laut, sireh cina, sireh pasir, sireh air, sireh bunian dan ketumpang.
 
Tumbuhan ini sememangnya amat mudah dikenali dan
kebiasaan nya tumbuh sendiri di kasawan-kawasan yang agak lembab, di dalam pasu-pasu bunga. Bagi yang tidak mengenalinya, ia sudah tentu akan dibuang keranya menganggap ia sebagai sebahagian daripada rumpai yang tidak diperlukan. Namun sebaliknya, tumbuhan ini boleh dijadikan ulaman selain mempunyai pelbagai khasiat dalam pelbagai rawatan penyakit (sebagai rawatan tradisional). Malah ia turut dijual di kedai-kedai Sensei Cina dalam bentuk kering pada harga sekitar RM10 bagi setiap 100gram.

 
Sebenarnya tumbuhan ini turut terdapat di negara-negara Amerika Selatan dan juga negara-negara di Asian. Apa yang menarik, ia juga turut digunakan dalam merawat pelbagai masalah kesihatan. Di Bolivia contohnya, ianya digunakan oleh Alteños Indians dengan menghancurkan keseluruhan bahagian tumbuhan, dicampurkan dengan air, dipanaskan dan diambil secara meminumnya bagi merawat
perdarahan. Bahagian akarnya digunakan untuk merawat demam, manakala bahagian atas tumbuhan tersebut pula digunakan untuk merawat luka.

Tumbuhan yang biasanya hidup meliar di kawasan lembab.

 
Dalam sumber rujukan yang lain pula, P. pellucida digunakan untuk merawat sakit perut, bisul, ance, gembung perut, keletihan, gout, sakit kepala, sakit buah pinggang, sakit sendi, kanser buah dada, impotensi, demam campak, sakit mental dan juga cacar. Ia juga digunakan di dalam salad atau dimasak sebagai sayuran dalam merawat sakit-sakit sendi.
 
Manakala di bahagian lain seperti Brazil, tumbuhan ini turut digunakan untuk mengurangkan kolesterol, sementara di Guyana pula ia digunakan sebagai bahan
diuretik dalam merawat proteinuria (kandungan protein yang luar biasa di dalam kencing). Di kawasan Amazon, ia digunakan untuk merawat batuk, bahan duretik, pelembab dan untuk merawat cardiac arrhythmia.
 
Berbalik ke negara-negara serantau, di Indonesia ia digunakan untuk merawat sakit kepala ketika demam. Jus daripada daunnya digunakan untuk merawat sakit perut dan gembung. Di Philippines digunakan sebagai pupur untuk merawat bisul dan nanah. Di India pati daripada tumbuhan (ditumbuk dan direbus) diminum untuk menghentikan pendarahan.
 
Manakala di negara kita pula Malaysia, tumbuhan ini dikenali mempunyai khasiat untuk perawatan masalah kesihatan seperti:

 
  • Merawat Gout
  • Penawar sakit sendi dan perut
  • Jus perahannya mampu mengelakkan jangkitan pada mata
  • Mengubati dan meredakan cirit-birit
  • Meredakan batuk
  • Meredakan Demam (Ramas Dengan Sedikit air dan sapukan dikepala)
  • Merawat Buasir
  • Melegakan selsema
  • Merawat jangkitan pada pundi kencing
  • Merawat Kayap
  • Alternatif kepada ubatan darah tinggi
  • Merawat kencing manis
Cantik di tanam di dalam pasu sebagai hiasan.

 
Namun begitu, bagi yang ingin mencuba perlulah mengimbangi pengambilannya. Sekiranya keadaan kesihatan anda agak serius sebaiknya mendapatkan rawatan lebih lanjut daripada pakar perubatan dan hospital. Ini kerana, peralatan moden dapat melakukan pemeriksaaan kesihatan yang lebih teliti untuk memastikan punca sebenar masalah kesihatan anda.
 
Apa yang menarik bagi saya mengenai tumbuhan ini sebenarnya adalah penggunaannya sebagai ulam atau makanan. Walaupun masih belum sempat mencubanya (begitu ingin mencubanya). Ia dikatakan mempunyai rasa yang lebih lemak dan boleh dimakan mentah. Jadi selain anda dapat menikmati kenikmatannya, dalam masa yang sama, anda juga mendapat faedah kesihatan daripada khasiat pokok tersebut.

 
Ia merupakan pokok yang mudah ditanam (dan kebiasaannya tumbuh sendiri di dalam pasu-pasu bunga dan kawasan-kawasan lembab). Apa yang penting, elakkan terik panas matahari dan pastikan ia mendapat air yang cukup. Ia mempunyai daun berkilat yang cantik sebagai tanaman hiasan. Maka, sekiranya tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat dan boleh dimakan tidak dimanfaatkan, tentulah ia merupakan satu pembaziran - jangan di rungutkan sekiranya anda mengalami masalah sakit kepala atau migraine.

Bertambah cantik sekiranya subur dan dijaga rapi.

 
Jadi, itu sahaja catatan buat kali ini. Diharap ia dapat memberikan kita satu lagi pengetahuan yang berguna. Sekiranya perlu, bolehlah dikongsi-kongsikan kepada mereka yang memerlukan atau bagi yang mengetahui lebih lanjut mengenai tumbuhan ini, bolehlah kongsi-kongsikan pengetahuan anda di ruangan komen untuk manfaat bersama.

Isnin, 15 November 2021

Tiada Tanah, Tanam Sahaja Dalam Air!

Menanam menggunakan air memudahkan bagi mereka yang mempunyai ruang yang terhad atau tiada kawasan yang sesuai untuk menanam menggunakan tanah.


Anda ingin memiliki tanaman dan adakalanya keadaan tidak mengizinkan kerana tiada tanah, atau kediaman yang tidak membenarkan anda untuk meletakkan pasu (seperti tinggal di apartment atau dalam bilik bersaiz kecil). Jangan biarkan minat anda berkubur, sebaliknya ada cara lain untuk anda memiliki tanaman seperti yang anda impikan. Apa yang penting adalah mengetahui bagaimana memilih jenis tanaman dan kaedah tanaman mudah seperti tanaman yang hanya menggunakan air. Walaupun ada kaedah lain tanaman yang tidak menggunakan tanah, namun hari ini kita meninjau spesifik untuk tanaman yang menggunakan air sahaja.
 
Tanaman menggunakan air sahaja merupakan tanaman yang paling mudah untuk ditanam kerana anda hanya memerlukan bekas yang boleh menampung air dan tanaman yang ingin ditanam. Apa yang berbeza sesetengah tumbuhan memerlukan cahaya yang lebih berbanding yang lainnya. Jadi dengan memilih tumbuhan yang betul, tumbuhan anda pasti akan tumbuh dengan baik dan anda dapat memiliki tanaman hiasan anda sendiri.

 
Seperti juga tumbuhan-tumbuhan lain, ia juga memerlukan nutrient tertentu seperti juga tumbuhan yang ditanam di atas tanah. Apa yang berbeza, tanaman yang ditanam di dalam air, bersaiz kecil dan memerlukan nutrient pada kadar yang rendah. Masalah ini juga boleh diatasi dengan menggantikan air yang digunakan selalu (selang beberapa hari). Bagi memastikan nutrient diperbaharui di dalam air atau menambah sedikit baja tanaman ke dalam air. Oleh sebab itu, untuk tanaman di dalam air, air suling tidak sesuai digunakan. Sebaliknya air sungai atau air paip adalah lebih baik.

Dengan penjagaan yang betul, tanaman boleh mencapai saiz yang memberangsangkan.

Tumbuhan photos, adalah yang paling mudah menggunakan kaedah tanaman ini.

 

Selain itu juga anda perlu mengawasi beberapa perkara seperti pembiakan nyamuk di dalam bekas tanaman anda. Bagi mengelakkan perkara ini daripada berlaku, anda bolehlah menukar air tanaman sekurang-kurangya seminggu sekali atau menambahkan batu kerikil (batu hiasan), bagi mengelakkan ruang daripada nyamuk membiak di dalam nya. Bagi yang menggunakan bekas yang lutsinar juga boleh mengalami masalah pertumbuhan alga. Anda samada boleh menggunakan bekas yang lebih gelap atau membersihkan bekas tanaman selalu.
 
Itu adalah perkara-perkara asas yang anda perlu berikan perhatian sekiranya ingin memiliki tanaman air yang sihat dan bertahan lama. Seterusnya bolehlah kita lihat pula, beberapa jenis-jenis tanaman yang sesuai ditanam di dalam air untuk anda cuba.
 
Tanaman Herba:
  • Daun Kesum
  • Pudina
  • Ketumbar
  • Selasih
  • Serai
  • Lemon Balm
  • Oregano
  • Rosemary
  • Sage
  • Stevia
  • Lavender
Tanaman herba sebegini memudahkan, apabila anda hanya memerlukan sejumlah kecil herba tersebut.

 

Tumbuhan Hiasan
  • Photos
  • Chinese Evergreen
  • English Ivy
  • Peace Lily
  • Kumpulan Philodendron
  • Spider Plant
  • Wandering Jew
  • Purple Heart Plant
  • Coleus Plant
  • Lucky Bamboo
Untuk tanaman bawang merah dan bawang putih, anda hanya memastikan bahagian bawah bawang sahaja yang ditenggelami air.

 

Tumbuhan Sayuran
  • Lettuce (salad)
  • Kobis
  • Saderi
  • Daun bawang
  • Leek
  • Sawi / Bok Choi
  • Kangkung
 
*Sebahagian tumbuhan ini memerlukan kaedah yang sedikit berbeza mengikut kesesuaian. Penambahan baja cecair juga perlu apabila pokok mencapai saiz yang lebih besar. Sentiasa perhatikan keadaan pokok bagi memastikan ia berada dalam keadaan yang baik.
 
*Akar pokok boleh dipotong sebahagiannya apabila terlalu panjang atau banyak.

Aktiviti menanam tumbuhan merupakan langkah permulaan pengenalan mengenai pengenalan kepada alam bagi anak anda.

 

Tanaman-tanaman yang sesuai untuk tanaman dalam air adalah biasa dari jenis tumbuhan herba yang bersaiz kecil. Anda juga perlu mengekalkan saiznya supaya tidak mencapai terlalu besar yang memerlukan nutrient yang lebih banyak (keadaan ini memerlukan baja tambahan seperti dalam proses tanaman hydroponics). Bagi tumbuhan berkayu pula, ia hanya boleh tumbuh pada peringkat percambahan sahaja, seterusnya ia perlu dipindahkan ke atas tanah untuk proses pertumbuhan yang lebih baik.
 
Selain itu untuk menggalakkan penyerapan air pula, pastikan hujung batang tanaman yang ingin ditanamn dipotong dengan baik dan condong untuk meningkatkan kadar penyerapan air. Pastikan juga tanaman yang ditanam terdapat mata tunas untuk pertumbuhan akar di dalam air dan sebahagian lagi di atas air untuk pertumbuhan pucuk baru. Sebahagian tumbuhan memerlukan cahaya yang cukup, namun tidak terdedah terus kepada cahaya matahari.

Tumbuhan hiasan seperti anthurium ini amat sesuai menggunakan kaedah tanaman menggunakan air. 

Dengan jenis tanaman yang betul, anda masih boleh memiliki tumbuhan-tumbuhan yang pelbagai.

 

Kaedah penanaman menggunakan air merupakan kaedah yang palin mudah untuk dicuba oleh semua. Anda boleh bermula dengan tanaman yang paling mudah iaitu lebihan sayuran yang digunakan untuk memasak. Untuk tanaman hiasan pula tumbuhan ‘photos’ adalah yang terpaling mudah untuk dikendalikan kerana memerlukan penjagaan yang paling minima.
 
Semoga dengan ini akan memberikan anda satu lagi maklumat berguna mengenai tanaman mudah samada di rumah ataupun di pejabat. Bagi yang mempunyai sebarang maklumat tambahan, bolehlah dikongsikan di ruangan komen untuk manfaat bersama.
 
 
Rujukan:
1) gardeningknowhow.com : Herbs That Root In Water – How To Grow Herb Plants In Water
2) thepracticalplanter.com : 29 Plants That Grow in Water Only (Without a Hydroponic System)
3) gardeningchannel.com : 17 Herbs You Can Grow In Water

Rabu, 28 April 2021

Kenali Bawang, Jenis-jenis dan Kegunaannya

Terdapat pelbagai jenis bawang dengan keunikan masing-masing. Anda mungkin ingin mengetahuinya, bagi memastikan penggunaannya yang bersesuaian. 
 
Bawang merupakan antara bahan masakan penting yang dikenali umum. Walaupun bawang lebih merujuk kepada bawang merah, di dalam Bahasa Melayu, ia juga turut merujuk kepada bawang putih (merupakan pasangan rapat kepada bawang merah). Hampir kebanyakan masakan (mengikut Geography) menggunakan bawang sebagai sebahagian bahan campuran, bagi membangkitkan rasa dan aroma pada masakan tersebut. Walaupun jarang sekali digunakan sebagai bahan utama, tanpa bawang, sesuatu masakan seakan kehilangan sesuatu.
 
Kepentingan bawang dikenali di seluruh dunia dengan salah satu keunikannya adalah, ia mudah ditanam. Kumpulan bawang merah yang kita kenali adalah terdiri daripada (Allium cepa L., dari Latin cepa "bawang"), merupakan bawang biasa (atau lebih dikenali sebagai bawang besar) yang ditanam secara komersial, turut mengandungi beberapa variasi. Manakala bawang merah yang dikenali sebagai “shallot” (Allium ascalonicum), mula diklasifikasikan sebagai spesies yang berbeza menjelang 2010.
 
Bagi mereka yang pergi ke pasar sendiri untuk membeli bahan masakan - dan suka menyediakan makanan sendiri tentu sekali menyedari terdapat pelbagai jenis bawang terdapat di pasaran. Bagi mereka yang tinggal di bandar, jenis-jenis bawang ini lebih mudah didapati di pasaraya-pasaraya utama - manakala di kawasan-kawasan pendalaman, mungkin terdapat beberapa jenis bawang sahaja - dan adakalanya mengikut harga pasaran. Ini kerana pemborong akan hanya menghantar bawang-bawang mengikut harga pasaran (ini juga bergantung kepada, permintaan pekedai-pekedai di luar bandar).
 
Walaupun bawang amat mudah ditanam. Kebanyakan pengguna memilih untuk membeli bawang untuk kegunaan harian. Sejak dahulu bawang, digunakan secara harian terutamanya sebagai bahan masakan - dan adakalanya sebagai bahan perubatan - kita tidak menyentuh mengenai perubatan bagi kali ini. Selain itu juga, bawang yang dimaksudkan di sini juga adalah mengenai kumpulan bawang merah (jenis-jenisnya yang terdapat di pasaran).

 
Yellow Onions (Bawang Kuning)


 
Bawang kuning sesuai digunakan untuk pelbagai kegunaan, namun tidak sesuai untuk dimakan mentah. Jadi pastikan anda tidak menggunakan bawang ini bersama salad, burger, satay, laksa dan sebagainya. Bawang kuning bagaimanapun digunakan untuk masakan-masakan lain, ia boleh juga di masak secara “caramelizing” atau di saute bersama bawang putih sebagai bahan asas masakan-masakan lain.
 
Sweet Onions (Bawang Manis)


 
Bawang manis mempunyai kandungan sulfur yang kurang - dan ia mempunyai rasa yang lebih manis. Ia sesuai digunakan bagi masakan yang tidak memerlukan rasa bawang yang kuat. Ia mempunyai kulit yang agak lutsinar - dan anda boleh melihat bahagian kulit dalam bawang dengan mudah. Rasanya yang manis juga membuatkan ia sesuai digunakan untuk “onion-ring”, dan masakan-masakan manis.
 
Red Onions (Bawang Merah)


 
Bawang merah merupakan bawang yang lebih mudah digunakan - dan ia merupakan bawang yang biasa digunakan dalam pelbagai masakan. Bawang merah juga merupakan bawang yang lebih sesuai untuk sajian yang memerlukan bawang secara mentah seperti laksa, satay, salad, burger, sandwich dan juga lain-lain masakan. Ia mudah dibezakan dari bawang-bawang yang lain kerana warnanya yang terang (merah magenta) dan merupakan bawang yang mudah didapati di pasaran.
 
White Onions (Bawang Putih)


 
Ia bukan bawang putih, tetapi adalah bawang besar yang berwarna putih. Mempunyai rasa yang kurang kuat - tidak sekuat bawang kuning, membolehkan bawang putih digunakan sebagai makanan mentah. Walaubagaimanapun ia jarang terdapat di pasaran Asia Tenggara, namun amat mudah dikenali. Ia adakalanya dikelirukan sebagai bawang manis - yang juga mempunyai warna yang agak pudar. Bawang putih mempunyai kulit yang berwarna putih dan isi dalaman yang hampir putih juga.

 
Cipollini Onions (Bawang Cipollini)


 
Bawang ini mungkin jarang ditemui kerana ia lebih popular di Itali sebagai “little onions”. Mempunyai warna kekuningan dengan bentuk seakan-akan donut. Bawang ini mempunyai kulit yang nipis dan isi yang berwarna putih dengan rasa yang lebih manis berbanding bawang putih (white onions), kerana mempunyai kandungan gula yang lebih tinggi. Ia sesuai digunakan untuk ‘caramelizing’, atau dibakar. Ia mudah digunakan di dalam pelbagai masakan - dan proses memasak, membantu mengurangkan rasa sulfur dan sengit bawang ini. Ia biasa digunakan dalam penyediaan ayam panggang.
 
Pearl Onions (Bawang Kecil)


 
Pearl Onion merupakan bawang pelbagai warna dengan saiz yang kecil. Ini merupakan sebahagian daripada bawang yang kita kenali sebagai bawang kecil. Walaupun ia mungkin terdiri daripada jenis-jenis bawang di atas - bawang kecil adalah penting bagi membangkitkan rasa dan bau masakan. Adakalanya bawang kecil digunakan, apabila bawang besar tidak diperlukan di dalam sesetengah masakan seperti nasi goreng atau bihun goreng. Bawang-bawang kecil ini juga mungkin digunakan dalam pelbagai bentuk samada, dikisar, dihiris, diketuk dan sebagai bawang goreng.
 
Shallots (Bawang Kecil)


 
Walaupun lebih dikenali sebagai bawang kecil, shallot merupakan spesies yang berbeza daripada bawang-bawang lain yang digunakan untuk masakan. Walaupun ia kurang popular dalam resepi-resepi Barat, shallot sebaliknya amat digemari sebagai bahan tumisan di bahagian Asia Tenggara dan India (banyak digunakan di dalam resepi masakan India). Malah ia turut dikenali sebagai Madras onions.
 
Shallot mempunyai bentuk yang agak berbeza di mana bentuknya agak bujur (berbanding bulat bagi bawang-bawang biasa). Mempunyai rasa yang agak ringan berbanding bawang biasa - namun ia agak unik dari segi aroma dan rasa - di mana, penggemar shallot tidak akan menukarkannya dengan bawang biasa di dalam masakan mereka.
 
Scallions (Daun Bawang)


 
Daun bawang juga merupakan antara bahan masakan popular - terutamanya sebagai penambah rasa selain penghias (garnish) masakan seperti sup, nasi goreng, bihun goreng bersama-sama gandingan hebatnya, iaitu bawang goreng. Daun bawang juga merupakan antara campuran masakan seperti masakan ikan dan sayur goreng - yang memberikan rasa manis selain aroma yang membangkitkan selera.
 
Daun bawang merupakan bahan sampingan daripada tanaman bawang. Sebahagian bawang yang ditanam ini mungkin ditanam khusus untuk menghasilkan daun bawang manakala selain nya disimpan untuk menghasilkan bawang untuk dijual. Bagi penanam kecil-kecilan pula - daun bawang boleh diambil terus dari pokok dan bawang disimpan untuk terus membesar untuk menghasilkan daun atau bawang.

 
Satu lagi jenis yang berkaitan bawang tetapi saya hanya akan menyebutnya sahaja iaitu “leek”. Leek kelihatan seakan-akan daun bawang bersaiz gergasi. Namun leek merupakan sayur yang berbeza daripada kumpulan bawang ini - namun dari keluarga yang sama atau lebih dikenali sebagai Allium ampeloprasum. Jadi untuk mengetahui lebih lanjut mengenai leek, anda bolehlah membuat tinjauan sendiri mengenai sayuran unik ini. Sekiranya anda meminati daun bawang dan masakan berkaitannya - maka leek mungkin menjadi kegemaran anda berikutnya.
 
Maka itu adalah sedikit sebanyak mengenai jenis-jenis bawang dan kegunaannya. Adalah diharap, ia akan menambahkan lagi minat anda mengenai bahan rempah masakan, tanaman dan kegunaannya di dalam masakan. Tidak kurang juga sekiranya anda ingin mencuba menanam bawang - kerana ia amat mudah tumbuh dengan penjagaan yang mudah. Sehubungan itu, sekiranya terdapat sebarang saranan, sila ajukan di dalam ruangan komen.
 
 
Rujukan:
 
1) Wikipedia: Onion
2) Wikipedia: Shallot
3) Jessica Gavin
4) The Kitchn
5) The Spruce
6) Love & Lemons

Ahad, 15 November 2020

Limau Purut Bahan Penting Masakan SE Asia

Limau purut dan daun limau purut.


Bagi penduduk Asia Tenggara (SE Asia), limau purut (Citrus hystrix), ‘Kaffir Lime’, bukanlah satu tumbuhan yang asing, walaupun kehadirannya di dalam masakan hanyalah disertakan dengan beberapa helai daun. Namun daun limau purut dapat memberikan kesan yang amat ketara kepada masakan-masakan ini, khususnya Tom Yam dari Thailand - di mana daun limau purut membangkitkan rasa pedas berapi masakan tersebut.
 
Berbeza dengan limau biasa, limau purut mempunyai daun yang mengandungi pati aroma yang kuat. Campuran daun limau ini di dalam masakan dapat memberikan kesegaran kepada bahan masakan tanpa memberikan rasa masam (air limau) ataupun rasa pahit (kulit limau). Walaupun ia terkenal dengan masakan Tom Yam, daun limau purut turut digunakan di dalam pelbagai jenis masakan - ia bergantung kepada jenis masakan serta bahan campuran rempah yang lain di dalam masakan tersebut.
 
Walaupun limau purut boleh ditanam kebanyakan kawasan di dunia, ia kebiasaannya ditanam sebagai tanaman hiasan. Jadi kegunaan komersialnya hanya dikenali di kawasan sekitar SE Asia dan beberapa negara berhampiran. Jadi terdapat beberapa nama limau purut dari kawasan-kawasan ini antaranya; jeruk purut: Indonesia, jiàn yè chéng (箭叶橙): China, kabuyaw atau kulubot: Philippines, makrud atau makrut (มะกรูด, /máʔ.krùːt/): Thailand, mak khi hut (ໝາກຂີ້ຫູດ, /ma ːk.kʰi ː.hu ːt/): Laos, trúc atau  chanh sác: Vietnam, combava: Réunion Island, gondhoraj lebu: West Bengal, India dan Bangladesh, dan semestinya limau purut di Malaysia.

 
Limau purut sendiri amat penting kepada Masyarakat Melayu yang sering digunakan untuk tujuan rawatan tradisional. Penggunaan limau dari jenis lain hanyalah sebagai pengganti sekiranya limau purut sukar didapati. Selain itu ia turut digunakan untuk tujuan mandian, membuang hanyir ikan dan daging, penyegar udara, menghilangkan bau badan dan rawatan kelemumur. Sebelum kita pergi lebih lanjut mengenai kegunaan sampingan limau purut ada baiknya kita kembali semula kepada tajuk asal kita.
 

Ciri-ciri Limau Purut


Pokok limau purut ditanam di atas tanah.
Limau purut yang ditanam di dalam pasu.

Limau purut mendapat namanya dari fizikal kulit buatnya yang
menggerutu (seperti juga katak puru). Namun sedikit berberza dengan daunnya yang mempunyai dua bahagian yang hampir sama (berbeza dengan limau lain di mana bahagian bawahnya lebih kecil). Selain itu, daunnya juga adalah lebih tebal berbanding dengan daun limau biasa seperti limau kasturi dan limau nipis. Cara yang paling mudah untuk memastikan daun limau purut adalah, apabila ia dikoyakkan, bauan limau yang kuat dapat dihidu. Pokok limau purut biasanya akan mencapai ketinggian sekitar 4 - 5 meter di atas tanah biasa. Ia juga biasa dijadikan tanaman di dalam pasu di sekitar halaman rumah.
 
Tanaman limau purut boleh dilakukan daripada biji. Tapi bagi memastikan hasil yang baik, teknik cantuman tunas dari pokok induk yang baik ataupun secara tampang (tut) adalah digalakkan. Ini bagi memastikan pokok yang sihat selain menghasilkan buah yang bermutu. Tanaman limau purut memerlukan sumber tanah yang kaya bahan organik. Penyediaan tanah dengan nutrient yang cukup perlu disediakan sebelum pokok di alih.
 
Bagi tanaman di atas tanah, lubang berukuran 0.6m X 0.6m X 0.6m diisikan dengan baja Triple Super Phosphate (100 gram), baja tahi ayam (100 gram) dan Ground Magnesium Limestone (GML) (100 gram) yang digaul sehingga rata diperlukan sebelum penanaman. Bagi tanaman di dalam pasu pula, komposisi yang disyorkan adalah 3:1:1 (komposisi tanah: tahi ayam: pasir). Anak pokok perlu ditanam pada kedalaman 2” (5 cm) selain perlu dipastikan air dapat mengalir keluar dengan baik bagi mengelakan kerosakan pada akar pokok. Pasu juga berlu bersaiz besar bagi membolehkan pokok dapat tumbuh dengan subur. Kesesuaian tanah untuk tanaman limau purut seperti juga buah citrus yang lain adalah pada pH6.0 - pH6.5.

 

Penyimpanan Daun Limau Purut

 
Daun limau purut bagus digunakan dalam keadaan segar. Namun begitu sekiranya anda perlu menyimpan daun yang berlebihan ia boleh dilakukan dengan menyimpannya di dalam bekas plastik dengan zip lock atau masukkan di dalam balang kaca. Penyimpanan pada suhu bilik membolahkan daun bertahan dalam tempoh seminggu. Bagi penyimpanan yang lebih lama, anda boleh menyimpannya di dalam peti sejuk (boleh bertahan selama setahun) atau lebih di dalam ruang beku. Anda juga boleh mengeringkan daun ini dengan menggantungkannya secara terbalik di dalam bilik yang kering, gelap dan panas: daun limau yang kering boleh disimpan sehingga 3 tahun.


Daun limau purut mudah dikenali dengan dua bahagian yang ketara dan ketebalan daun.


Penggunaan Limau Purut


Limau purut dan ayam.

Cheesecake limau purut, satu olahan baru berasaskan limau purut.

 
Penggunaan daun limau purut di dalam masakan amatlah meluas. Ia digunakan untuk memberikan kesegaran kepada makanan. Walaupun popular sebagai bahan masakan di dalam Tom Yam, ia juga digunakan dalam pelbagai masakan lain untuk bahan masakan seperti daging, ayam, ikan, lain-lain makanan laut mahupun sayuran dan ulaman. Selain itu ia juga digunakan untuk pelbagai jenis penyediaan seperti kari merah, kari hijau, sup, Tom Yam, masak lemak, masak asam pedas, singang, stir-fry, kerabu dan salad serta lain-lain kaedah penyediaan masakan.
 
Penggunaan limau purut juga boleh digunakan daripada, daun, kulit dan juga jus perahan limau itu sendiri. Namun penggunaan limau purut terutamanya adalah daripada daun dan parutan kulit. Daun limau purut samada dikoyakkan secara kasar ataupun dihiris halus dicampurkan di dalam masakan. Perahan jus limau boleh digunakan untuk membuang hanyir ikan dan daging ataupun apabila jus limau diperlukan (rasa masam diperlukan).
 
Walaupun limau purut amat penting di dalam masakan-masakan tertentu, ia juga perlu digandingkan dengan rempah-rempah atau herba yang lain. Antara herba dan rempah yang sering digunakan bersama limau purut termasuklah; serai, bunga kantan, lengkuas, halia, daun ketumbar, daun sup, daun bawang, kunyit, daun kesum, cili padi, perahan/jus limau, perahan asam jawa, daun selasih, santan kelapa dan bawang merah (dan antaranya yang tidak saya ketahui). Ia mudah dipadankan dengan bahan perasa makanan yang lain - kerana ia lebih kepada menambah kesegaran makanan.
 

Kegunaan Lain Limau Purut


Limau purut juga digunakan di dalam produk-produk tertentu.

Kegunaan lain limau purut seperti yang disebutkan di atas, ia banyak digunakan sama juga seperti limau-limau yang lain. Ia amat berguna untuk tujuan membuang bau hanyir dan kotoran pada makanan ataupun bau badan. Selain itu ia juga sering digunakan untuk mencuci rambut bagi memberikan kesegaran. Ia juga
dikatakan baik untuk membantu proses penghadaman. Manakala perahan limau purut juga digunakan sebagai bahan pencuci mulut untuk menguatkan gusi dan membersihkan mulut. Pati minyak limau purut juga dapat memberikan ketenangan minda selain digunakan untuk menghalau gangguan makhluk halus.
 
Itu adalah antara faedah yang dapat diketengahkan mengenai limau purut pada kali ini. Selain ia digunakan untuk tujuan masakan, pokok limau purut sendiri boleh digunakan sebagai hiasan landskap rumah. Tanaman di dalam pasu yang sesuai dapat menghasilkan pokok yang sihat disamping buah yang baik. Jadi diharap, ini dapat membantu para pembaca mengenali pokok limau purut dengan lebih dekat.

 

Selasa, 10 November 2020

Kenali Bijan dan Potensinya Sebagai Tanaman Pertanian

Bijan putih dan bijan hitam merupakan dua jenis yang popular.

 
Bijan (Sessamum indicum) atau juga dikenali sebagai ‘sesame’ dalam Bahasa Inggeris, adalah sebahagian daripada rempah yang penting (namun ia tidak disenaraikan sebagai rempah bagi masakan masyarakat Melayu Malaysia khususnya). Ini kerana, bijan digunakan untuk menyediakan juadah sampingan seperti kuih muih, biskut ataupun daripada masakan masyarakat yang berhijrah ke Tanah Melayu suatu masa dahulu.
 
Walaupun ia jarang digunakan dalam masakan harian, kali ini kita ingin melihat keunikan bijan yang mempunyai potensi yang besar bukan sahaja dari segi kegunaannya, malah sebagai tanaman yang boleh memberikan sumber pendapatan kepada petani. Ini kerana, bijan boleh tumbuh dengan subur di Malaysia. Malah, mungkin anda pernah melihat pokoknya tanpa mengenali bahawa ia adalah tumbuhan yang menghasilkan biji-bijian bijan.
 
Bijan komersial hari ini, dikatakan berasal dari India dan ia merupakan tumbuhan bijian tertua digunakan untuk menghasilkan minyak. Namun begitu terdapat banyak spesis liar dari keluarga bijan ini terutamanya di bahagian Sub-Sahara, Afrika. Pokok bijan bagaimanapun tumbuh dengan subur di kawasan Tropika dan menjadi tanaman membekalkan bijiannya sebagai sumber makanan. Antara negara pengeluar utama bijan adalah Tanzania, Myanmar, India, Sudan, China dan Nigeria. Malah negara jiran kita Indonesia turut menanam bijan, walaupun tidak menjadi antara pengeluar utama dunia.

 
Perkembangan perdagangan dunia and perpindahan budaya bagaimanapun mampu menjadikan bijan begitu terkenal di serata dunia walaupun banyak ditanam di Afrika dan kawasan Tropika. Oleh itu terdapat pelbagai nama bagi bijan dari seluruh dunia seperti, French: sesame, German: Sesam, Italian: sesamo, Spanish: ajonjoli, sesamo, Arabic: tahina, tahine, tahini, Chinese: chi mah, hak chi mah (black sesame), Indian: gingelly (oil), Japanese: goma, kuro goma (black sesame) dan Melayu : bene, bijan. Ini menunjukkan banyak lagi potensi bijan yang masih tidak diteroka oleh Masyarakat Melayu khususnya - kerana Ia hanya digunakan untuk penyediaan sebahagian kecil makanan yang kebiasaannya adalah kuih-muih dan bukan hidangan utama.
 

Kegunaan Bijan

Bijan dalam masakan bayam.

Kuih bebola bijan antara makanan popular menggunakan bijan.

 

Bijan kebiasaannya digunakan dengan menaburkannya ke atas bahan masakan yang disediakan sama juga dalam banyak kegunaan jenis masakan bagi mana-mana juga kawasan di dunia. Ia ditaburkan di atas roti ataupun biskut. Namun sedikit berbeza di dalm penyediaan halva, iaitu sejenis masakan Timur Tengah dengan mengegunakan bijan sebagai bahan utama dengan mengisar bijan menjadi halus dan dicampur dengan bahan-bahan lain.
 
Bijan yang dikisar juga, atau lebih dikenali sebagai tahini, amat terkenal di Timur Tengah. Ia digunakan sebagai bahan penambah rasa bagi hummus, dan sos bagi kebab selain dicampur dengan lemon dan bawang putih sebagai pencecah roti. Selain itu, minyak bijan yang juga dikenali sebagai ajonjoli di Mexico sering digunakan untuk tujuan masakan.
 
Selain daripada bijan biasa, bijan hitam juga sering digunakan bagi masakan-masakan dari Timur seperti dalam masakan dari China, Jepun dan Korea. Bijan digunakan untuk menyaluti bahan masakan seperti daging dan ikan sebelum dimasak dan menjadikan ianya lebih garing. Ia juga digunakan dalam penyediaan gomassio, iaitu sejenis bahan perasa makanan yang terkenal dalam budaya Jepun, selain digunakan bersama masakan samada nasi mahupun mee.
 
Seperti juga bahan rempah-rempah yang lain, penggunaan bijan boleh dipadankan dengan pelbagai jenis masakan samada daging, ayam, ikan, sayur, kuih-muih mahupun roti. Namun bijan tidak digunakan untuk minuman (sekiranya ada, boleh lah ditambah di ruangan komen). Selain itu minyak bijan juga amat terkenal sebagai bahan perasa makanan kerana ia membangkitkan aroma makanan - walaupun hanya dicurahkan sedikit di atas bubur ayam anda.
 

Penanaman Bijan

Ladang bijan semasa peringkat dewasa.

Peringkat penuaian pokok yang telah kering.


Bijan merupakan tumbuhan yang amat sesuai tumbuh di kawasan Tropika dengan ketinggian tanah dari 1.0 - 1,200 meter dari aras laut. Ia tidak sesuai ditanam di kawasan bersuhu rendah, curahan hujan yang terlalu tinggi serta cuaca yang mendung. Kawasan yang mendapat cahaya matahari dengan suhu sekitar 25 - 30°C merupakan kawasan yang sesuai untuk tanaman bijan. Manakala curahan hujan yang diperlukan adalah sekitar 300 - 1,000mm. Air diperlukan untuk peringkat awal pertumbuhan, manakala selebihnya, pokok bijan merupakan tanaman yang tahan keadaan kering namun tidak tahan sekiranya tanah menakungi air. Ia juga boleh ditanam di tanah yang mempunyai pH antara 5.5 - 8.0.
 
Bagi penanaman bijan apa yang penting adalah mendapatkan biji benih yang baik bagi memastikan pengeluaran hasil yang baik (dari segi jumlah pengeluaran, kualiti bijian mahupun ketahan melawat penyakit). Setelah mendapatkan biji benih yang baik ini, para petani juga perlu mengenal pasti pokok-pokok baru yang mempunyai tahap kesihatan yang baik serta buah yang berkualiti untuk dijadikan biji benih untuk penanaman yang berikutnya. Bagi yang mempunyai kemahiran untuk menghasilkan pokok kacukan pula, boleh lah cuba menghasilkan baka yang baru daripada pokok-pokok yang terdapat di ladang.
 
Sekiranya anda mempunyai tanah yang sesuai untuk tanaman bijan. Ia mampu memberikan hasil dalam tempah 120 - 150 hari penanaman. Pokok sesuai dituai apabila sekitar 2/3 daripada buah di pokok telah bertukar warna kepada kekuningan. Pokok akan dipotong dan dikeringkan (ia diletakkan dalam keadaan tegak ataupun terbalik). Apabila buah sudah cukup kering biji akan mula jatuh dan buah pokok-pokok boleh dipukul dengan kayu untuk membolehkan keseluruhan biji keluar daripada buahnya.
 

Kegunaan Lain Bijan

Buah-buah bijan masih pada pokoknya.

Bijan disimpan di dalam bekas kedap udara untuk ketahanan.

 

Seperti juga makanan-makanan dan rempah yang lain, bijan juga sering digunakan untuk kegunaan lain selain daripada tujuan masakan. Malah faedah-faedah inilah juga yang menyebabkan sesuatu bahan makanan menjadi pilihan utama berbanding daripada yang lain. Maka kali ini kita akan melihat pula faedah yang terdapat pada bijan seperti:
 
Anti penuaan - bijan mengandungi bahan antioksidan yang membantu melambatkan kesan penuaan dan memberikan penampilan kulit yang lebih muda.
 
Membantu kesihatan gigi - minyak yang terdapat dalam bijan dapat membantu membuang plak yang melekat pada gigi dan memelihara kesihatan gigi.
 
Membantu proses penghadaman - bijan hitam dapat membantu bagi masalah sembelit kerana ia mempunyai serat yang tinggi selain mengandungi asid lemak. Minyak yang terdapat dalam bijan membantu melicinkan permukaan usus, manakala serat yang tinggi memudahkan lagi proses pergerakan bahan yang dicernakan di dalam usus.
 
Sumber tenaga - ia merupakan sumber tenaga yang baik kerana mengandungi lemak yang tinggi. Ia terdiri daripada asid lemak polyunsaturated dan juga Omega-6. Selain itu ia turut mengandungi serat, zat besi, kalsium, magnesium dan phosphorus dalam meningkatkan tenaga.
 
Menstabilkan tekanan darah - kandungan magnesium yang tinggi di dalam bijan membantu mengelakkan tekanan darah tinggi. Lemak polyunsaturated dan bahan sesamin yang terdapat di dalam bijan juga membantu mengawal tekanan darah.
 
Membantu menguatkan tulang - bijan hitam mengandungi kalsium dan zinc yang tinggi membantu menguatkan tulang.
 
Melawan stress dan tekanan - bijan mengandungi asid amino yang dikenali sebagai tyrosine, yang mempunyai kaitan dengan aktiviti serotonin. Serotonin merupakan neurotransmitter yang memberi kesan kepada perasaan (mood). Ketidak seimbangan serotonin boleh menyebabkan stress dan tekanan. Maka pengambilan makanan yang membantu penghasilan serotonin boleh membantu memberikan perasaan yang lebih positif, serta mengelakkan kesan stress yang serius.

Sumber lemak tak tepu - lemak yang terkandung di dalam bijan kebanyakannya terdiri daripada lemak tak tepu. Bagi minyak bijan di dalam 100 grams, 40 grams adalah lemak monounsaturated, 42 grams merupakan lemak polyunsaturated dan hanya sekitar 14 grams merupakan lemak tepu. Ia merupakan antara minyak yang mengandungi lemak tepu yang rendah.

Bunga bijan jenis komersial agak cerah.

Bunga bijan ungu, antara bijan liar.

 
Terdapat banyak lagi perkara yang menarik mengenai biji-bijian bijan ini. Namun sebelum terlupa, perlu diingatkan, bijan juga boleh menyebabkan kesan alahan seperti gatal-gatal, eczema, semput, sakit perut, kemerahan dan kerengsaan pada mata, selain membengkak pada mata, muka, bibir dan tekak dan lidah, keresahan, pucat, perasaan yang kacau serta lemah. Kesan yang lebih serius boleh mengakibatkan anaphylactic yang memerlukan rawatan segera dan boleh menyebabkan sekatan pada saluran pernafasan.
 
Maka dengan itu, sekian sahaja buat kali ini mengenai bijan. Semoga ia dapat menambah pengetahuan kita mengenai potensinya. Mungkin ada yang berminat untuk mengolah resipi baru menggunakan bijan atau cuba untuk menanam bijan sendiri di halaman rumah. Ya, silakan!


Arkib Blog