Memaparkan catatan dengan label sarapan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sarapan. Papar semua catatan

Khamis, 7 November 2013

Makanan Popular di Malaysia

Nasi lemak sarapan popular

Topik makanan sentiasa menjadi topik hangat bagi semua orang kerana sudah tentu bila penat bekerja kita akan mencari sesuatu yang dapat mengenyangkan perut pula. Adakalanya kita mencari-cari idea apakah makanan yang ingin kita cuba - walaupun memang terdapat banyak sekali makanan yang popular di negara kita. Di sini saya cuba ketegorikan kepada beberapa masa yang biasanya makanan ini dihidangkan walaupun adakalanya ia turut dihidangkan tidak mengira masa tersebut.

Sarapan Pagi


Malaysia sememangnya kaya dengan budaya, maka tidak hairanlah jika pilihan makanan yang ada sedari pagi hingga ke malam tidak putus-putus. Sarapan yang biasa kita nikmati di pagi hari terdiri daripada sajian berat hingga ke sajian ringan, maka tidak timbul sekiranya kita mengatakan yang tiada makanan sesuai bagi kita - untuk memenuhi keadaan kesihatan dan sebagainya.

Nasi lemak - sajian paling popular di pagi hari, daripada nasi lemak kosong, nasi lemak telur mata, hingga ke nasi lemak berlauk. Nasi lemak dengan campuran asasnya adalah kacang goreng dan ikan bilis, merupakan pembuka selera utama kebanyakan masyarakat Melayu, malah diterima oleh kebanyakan kaum di Malaysia. Satu lagi trend yang popular adalah nasi lemak kukus yang menawarkan pilihan lauk yang lebih mewah seperti rendang ayam, daging, ayam goreng, rendang kerang, paru & limpa, malah apa sahaja lauk boleh dipadankan. Nasi lemak kukus popular di waktu pagi mahupun malam.

Aneka kuih-muih untuk pagi dan petang
Karipap

Kuih-muih - kuih-muih sarapan pagi adakalanya turut dihidangkan di waktu petang. Walaubagaimanapun biasanya untuk sarapan pagi kuih-muih agak sederhana bagi yang menyediakan sendiri di rumah, bagi yang membelinya di gerai (apa sahaja semua ada). Kuih-muih yang menjadi hidangan diwaktu pagi biasanya adalah karipap, kuih keria, seri muka, kuih lopes, talam, koci, lepat, kuih gulung, apam dan sebagainya.

Laksam - laksam berasal dari Kelantan sebab itu ianya hanya boleh didapati di kawasan bandar (sudah tentu peniaga dari Kelantan). Bahan utamanya diperbuat daripada beras maka ia seakan-akan makanan popular laksa tetapi dihidangkan dengan kuah yang berbeza dan sayur-sayuran. Ia juga merupakan makanan yang rendah lemak dan menyelerakan.

Lontong - lontong adalah satu lagi variasi sarapan yang dikatakan 'mild' begitu juga dengan soto. Kurang berlemak, tidak pedas (dihidangkan dengan pilihan sambal kicap bagi soto). Ia mudah sekali mengembalikan "mood" anda sebelum memulakan tugas seharian. Lontong adalah pilihan yang baik kerana mengandungi bahan campuran dari pelbagai jenis sayuran juga.

Lempeng/cekodok - bagi yang perlu bertindak pantas inilah dua pilihan yang terbaik. Lempeng dan cekodok sarapan yang ringkas dibuat daripada tepung. Apa yang anda perlukan adalah bahan pencecah seperti sambal atau kuah kari (kuah lebihan makan malam merupakan pilihan biasa). Malah kedua sarapan ini boleh terus dinikmati bersama minuman kegemaran pagi anda - enak dimakan begitu saja!

Roti canai sarapan cepat & menyelerakan
Roti canai - roti canai adalah makanan yang diadaptasi daripada kaum India/India muslim yang telah lama menetap di Malaysia. Jadi terdapat genre roti canai Melayu - biasanya lebih garing dan kuah dal yang lebih lemak (yang menggunakan santan kelapa). Maka roti canai merupakan antara pilihan teratas dalam sajian sarapan pagi.

Tengahari


Sambal, penambah perisa makanan yang penting.
Sambal tomato, menggantikan limau sebagai perasa masam.

Sambal goreng merupakan sambal yang enak dimakan bersama nasi.

Makanan tengahari di Malaysia rata-ratanya akan memilih makanan nasi campur dengan aneka pilihan lauk-pauk. Jadi bila dikatakan pilihan makanan tengahari adalah pilihan lauk yang sesuai. Memang terdapat pilihan lain daripada nasi tetapi ia tidak sepopular hidangan 'nasi + lauk + ulam + sambal'. Jadi di sini kita akan membincangkan tentang aksesori makanan tengahari yang dinikmati bersama nasi.



Sambal - sambal adalah satu nama umum yang merangkumi segala jenis sambal seperti juga 'salsa' bagi orang-orang Mexico. Sambal bagaikan satu perasa tambahan yang boleh merangsang selera bagi rakyat Malaysia. Antara sambal-sambal yang popular adalah sambal belacan/cencaluk, sambal ikan bilis, sambal budu, sambal ikan, sambal mangga, sambal bunga kantan, sambal goreng dan banyak lagi sambal yang saya tak tahu. Formula mudah sambal (cili + bahan A + bahan B + ... + bahan N + garam secukup rasa). Mudah sahaja kan.

Rendang - rendang memang biasa dihidangkan untuk makan tengahari merangkumi rendang ayam/daging. Rendang sememangnya menjadi kebanggaan resipi Melayu yang menggunakan kelapa dan kerisik dan dimasak sehingga kering. Mungkin salah satu kebaikan rendang adalah ianya satu masakan yang tahan lama apabila disimpan.

Masak Lemak Cili Api - masakan berasaskan cili api tidak asing lagi dikaitkan dengan Negeri Sembilan. Sememangnya masak lemak cili api ini merupakan resipi harian di kampung-kampung kerana ia sesuai untuk semua jenis masakan ikan/ayam/daging. Malah resipi ini juga boleh dicampurkan dengan pelbagai perencah tambahan terdiri daripada sayur-sayuran dan buah-buahan seperti tomato, pisang, nangka, daun pegaga, petai, peria, daun asam dan pucuk tangkis.

Kari - makanan kari walaupun lebih popular untuk kaum India, tetapi kari juga terkenal kepada masyarakat Melayu. Kari Melayu ini lebih mudah dimakan kerana menggunakan rempah yang kurang berbanding kari kaum India/mamak. Kari dapat membangkitkan selera kerana aromanya yang harum dan boleh disesuaikan untuk semua jenis masakan ikan/ayam/daging juga. Seperti biasa kari masyarakt Melayu menggunakan santan - sebab itu ianya lebih manis/lemak.

Asam pedas popular negeri Melaka
Asam Pedas - asam pedas lebih popular bagi Negeri Melaka namun begitu terdapat jenis-jenis masakan seperti ini di setiap negeri. Masakan tanpa lemak dan menggunakan asam sebagai bahan perasa utama di dalam kuahnya. Asam pedas dan singgang sesuai sekali bagi mereka yang ingin mengawal pengambilan makanan berlemak - atau mengalami masalah kencing manis.

Minum Petang


Mungkin tidak semua orang dapat menikmati masa minum petang bersama keluarga. Minum petang adakalanya merupakan masa di mana kita berbual bersama keluarga atau rakan yang berkunjung ke rumah. Jadi juadah minum petang kebiasaannya adalah hidangan yang ringan dan santai sebelum tiba waktu makan malam (aktiviti malam - bersama keluarga/masyarakat).

Putu bambu baunya harum
Putu Piring/Bambu - putu piring dan putu bambu adalah sama seakan-akan putu mayam yang menjadi hidangan kaum India. Bagaimanapun putu bambu lebih wangi kerana ianya dimasak di dalam buluh. Rasanya yang manis menggunakan gula merah dan tepung beras yang lembut menjadikan hidangan ini amat memuaskan. Ia dihidangkan bersama parutan kelapa.

Apam Balik - satu lagi juadah manis yang sangat harum. Mengandungi kacang dan jagung ianya amat seronok apabila dikunyah. Apam balik mungkin tidak mudah untuk disediakan sendiri tapi mudah sahaja apabila dibeli daripada penjual di pasar-pasar malam.

Keropok lekor sedap dengan sos
Keropok - keropok merupakan sajian yang mudah diwaktu petang kerana anda hanya perlu menggorengnya sahaja. Keropok lekor merupakan pilihan utama kerana lebih mengenyangkan berbanding keropok biasa. Terdapat juga keropok/kerepek yang dihidangkan di waktu petang kerana ianya lebih ringkas dan ringan.

Kuih-muih - kuih muih yang dihidangkan diwaktu petang sama sahaja dengan kuih-muih dihidangkan diwaktu pagi. Cuma bagi suri rumah sepenuh masa mungkin berpeluang untuk menyediakan kuih yang lebih enak untuk hidangan keluarga mereka. Terdapat juga kuih-muih segera yang disediakan dalam bentuk 'frozen' bagi memudahkan proses ini.

Asam laksa memang sedap
Laksa - laksa adalah makanan yang disediakan daripada beras yang dihidangkan bersama kuah dan bahan sayuran yang lain. Ini menjadikan terdapat pelbagai jenis laksa di Malaysia. Laksa merupakan antara makanan yang bagus untuk waktu petang kerana ia tidak mengandungi lemak yang tinggi dan mudah untuk dihadam.

Pisang goreng sedap minum petang
Goreng-gorengan - ya ini satu lagi hidangan yang popular di waktu petang. Pisang/keledek/ubi/cempedak goreng merupakan juadah yang sama hebat untuk hidangan minum petang. Selain daripada mudah untuk disediakan hidangan ini juga banyak dijual oleh peniaga-peniaga kecil.

Makan Malam


Bagi yang makan di rumah mungkin hidangan biasa seperti nasi dan lauk menjadi menu utama. Tetapi mari kita lihat antara makanan yang sering dinikmati di waktu malam di Malaysia. Mungkin ianya juga biasa dihidangkan di rumah.

Satay makanan popular
Satay - satay merupakan hidangan kegemaran kita semua kerana baunya yang harum daripada ramuan yang digunakan. Hidangan satay yang paling terkemuka adalah satay Kajang yang dipelopori oleh Tuan Hj. Samuri. Sehingga pekan Kajang menjadi sebuah bandar satay yang terkenal hingga ke hari ini. Hari ini Satay Hj. Samuri membuka franchise perniagaannya di merata tempat serata tanahair - diharap ianya akan menjadi satu lagi perniagaan yang berjaya seperti perniagaan franchise-franchise yang lain.

Nasi Goreng - nasi goreng menjadi antara hidangan makan malam pilihan kerana mengandungi nasi sebagai bahan makanan utama rakyat Malaysia. Nasi goreng kampung merupakan hidangan utama sehingga bermacam-macam jenis lagi antaranya; nasi goreng ikan masin, nasi goreng sea-food, nasi goreng cendawan, nasi goreng Thai, nasi goreng kerabu, nasi goreng Pattaya hingga ke nasi goreng USA!

Sup ekor makanan exotic
Sup gearbox juga unik/exotic
Sup Ekor - ini antara hidangan istimewa bagi sesetengah orang. Mungkin tidak semua meminati sup ekor, tetapi sup ekor biasanya lebih mahal berbanding sajian-sajian yang lain. Sup ekor sememangnya hidangan exotic yang dihidangkan di waktu malam hingga ke dinihari.

Sup Gearbox - mungkin saya bukan orang yang betul untuk menerangkan keunikan sup gearbox ini. Ia sebenarnya disediakan menggunakan bahagian tulang kaki lembu. Tujuan utama menikmati sup ini adalah untuk menikmati sum-sum tulang yang terdapat di bahagian tengah tulang tersebut yang dihirup menggunakan straw. Satu lagi hidangan yang exotic!

Tom Yam - tom yam adalah resepi asal dari negara Thailand. Keunikan masyarakat Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum menjadikan ianya sebahagian daripada hidangan harian di Malaysia. Ianya dipopularkan oleh orang-orang Kedah/Kelantan yang rata-ratanya menjadi peniaga makanan hampir di seluruh tanahair. Jadi bagi mereka yang ingin merasa Tom Yam yang sebenar, perlulah ke tanah asal tom yam iaitu di Thailand.

Itulah antara makanan kita rakyat Malaysia (terutama masyarakat Melayu). Mungkin saya akan mengupas pula makanan popular masyarakat yang lain nanti dan juga makanan istimewa hari perayaan. Tidakkah anda merasa anda berada di sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai jenis masakan dan makanan? Atau adakah anda terlupa bahawa makanan ini wujud di depan mata anda? Berikan pendapat dan pertanyaan anda bagi memeriahkan lagi topik istimewa ini.




Free Download



Arkib Blog