Memaparkan catatan dengan label sireh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sireh. Papar semua catatan

Ahad, 24 Julai 2016

Keunikan Rekaan Tepak Sireh (Betel Set) dan Peralatan Lain

Bekas kapur sireh yang diperbuat daripada tulang yang diukir berasal dari Sumatra.

Bagi mereka yang lahir sebelum tahun 90-an mungkin dapat melihat lebih banyak berkenaan budaya memakan sireh. Walaupun ia sudah lama ditinggalkan oleh masyarakat di negara kita, namun budaya  memakan sireh amat terkenal di serata Asia Tenggara dan juga negara-negara lain seperti India, Bangladesh, Sri Lanka dan mungkin juga beberapa negara berhampiran.

Kepentingan pemakanan ini dapat dilihat daripada peralatan yang dihasilkan untuk menyimpan sireh dan juga bahan-bahan lain seperti pinang, gambir, kapur dan lain-lain (mungkin tembakau dan rempah). Oleh itu peralatan seperti tepak sireh diperbuat daripada pelbagai bahan dan diukir dengan begitu cantik ; bagi menggambarkan kepentingannya.

Peralatan tepak sireh digunakan dalam pelbagai majlis, dan untuk tujuan istiadat sudah tentu tepak sireh yang diperbuat daripada bahan yang lebih baik beserta ukiran halus digunakan. Anda mungkin tidak menyangka bahawa terdapat banyak sekali rekaan tepak sireh menggunakan pelbagai bahan daripada pelbagai negara yang popular dengan sireh ini.

Mungkin kita tidak perlu mengamalkan lagi budaya memakan sireh, namun keunikan budaya ini melambangkan kehalusan dan ketelitian adat budaya kita dalam bermasyarakat. Bersama-sama ini kita akan melihat sebahagian daripada peralatan tersebut.

Bekas Sireh dari Tembaga Parsi

Bekas sireh yang diperbuat daripada tembaga.

Bekas yang diperbuat daripada tembaga ini nampak kukuh dan kelihatan amat lama. Ia diperkatakan berasal dari tahun 1800-an dari India. Walaupun bekas ini sama seperti bekas-bekas yang lain, ia mungkin digunakan untuk menyimpan daun sireh dan bahan-bahan makanan sireh yang lain. Rekaannya adalah lebih ringkas, namun ia tetap melambangkan betapa pentingnya bahan yang disimpan di dalam bekas tersebut.


Bekas Pinang Daripada Perak

Bekas ini pula diukir dan diperbuat daripada perak.

Bekas pinang daripada perak ini adalah antara peralatan yang diperbuat daripada tahun 1940 adalah daripada hasil rekaan Cina Peranakan. Sama seperti rekaan pertama di atas, bekas ini tidak mempunyai bahagian-bahagian di dalamnya. Motif yang diukir di permukaan kotak ini pula jelas menunjukkan figura Cina dengan motif-motif bunga yang lain.


Bekas Sireh “Burmese Lacquer” (Kun-it)

Kun-it, amat cantik kerana ia diukir dan berkilat.

Lacquerware merupakan sebahagian hasil kepakaran masyarakt Burma sejak sekian lama. Maka tidak hairanlah sekiranya bekas sireh ini juga dihasilkan sebahagian daripada hasil kraft menggunakan lacquer. Ia diperbuat daripada buluh yang diukir dengan motif-motif yang menarik, diwarnai dan dilapisi dengan lacquer yang menambahkan lagi kecantikan bekas sireh ini. Ia juga merupakan sebahagian hasil berasal dari Daerah Bagan, di Myanmar.


Tepak Sireh Perak, Batavia, Dutch East Indies

Set tepak sireh pembesar Belanda di Indonesia.

Ianya merupakan tepak sireh yang digunakan pembesar-pembesar belanda yang menduduki kawasan jajahan seperti Indonesia yang menjadikan budaya memakan sireh sebagai satu elemen penting di dalam kemasyarakatan. Tepak sireh ini dikatakan diperbuat pada awal 1900 dan masih dalam keadaan yang baik. Tepak sireh yang diperbuat dari bahan perak/emas dan batu berharga ini, adalah lazimnya digunakan oleh para pembesar sahaja.


Tepak Sireh Perak, Peranakan

Antara tepak sireh yang eksklusif dan sukar ditemui.

Satu lagi contoh tepak sireh yang diperbuat daripada perak dengan ukiran yang halus. Set penuh seperti ini dilengkapi dengan bekas sireh, kapur, pinang, kacip dan beberapa bekas yang lain. Tepak sireh ini adalah dari jenis rekaan yang lebih baru sekitar 1900. Namun begitu sekarang rekaan ini sukar didapati.

Tepak Sireh Buah Manggis

Tepak sireh ini boleh dilihat di Muzium Negara, Kuala Lumpur.

Tepak sireh ini saya berikan nama sebagai buah manggis kerana ia mempunyai bekas yang menyerupai buah manggis. Ia boleh dilihat di Muzium Negara, Kuala Lumpur dan tidak dinyatakan tahun dan maklumat lebih jelas mengenai rekaan tepak sireh ini. Ia mempunyai jumlah set yang cukup termasuk, kacip, pemegang sireh, bekas pinang, gambir, tembakau, cengkih dan kapur. Set-set seperti ini bukanlah digunakan oleh orang-orang biasa atau untuk kegunaan harian. Selain daripada rekaan yang unik, ia juga diperbuat dengan penuh kehalusan.

Tepak Sireh, Rajasthan India

Tepak sireh kegunaan harian dari Rajasthan, India.

Ini mungkin direka untuk kegunaan harian. Jelas menunjukkan ianya digunakan dengan kerap sehingga permukaan kayu ini haus. Namun begitu ia jelas menunjukkan bahagian-bahgian tertentu untuk hidangan sireh yang lengkap. Tepak sireh kegunaan harian seperti ini sememangnya akan direka seringkas mungkin kerana ianya akan mudah rosak (akibat pemakaian yang kerap). Walaupun begitu, tepak sireh ini tetap kelihatan unik.


Itu hanyalah sedikit daripada banyak lagi perkara-perkara berkaitan dengan budaya pemakanan sireh yang mungkin anda begitu kagum mengenainya. Walaupun kita tidak lagi mengamalkan pemakanan sireh, tidak sepatutnya ianya dilupakan kerana ia merupakan antara keunikan budaya kita yang amat berharga. Jadi sekiranya anda berpeluang, cari-carilah lebih banyak perkara berkaitan dengan sireh dan tepak sireh ini.


Free Download



Arkib Blog