Memaparkan catatan dengan label tokoh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tokoh. Papar semua catatan

Khamis, 1 Jun 2017

Projek Pembersihan Pantai Versova, Mumbai Yang Perlu Diteladani

Perubahan akan berlaku sekiranya anda mengambil tindakan; Afroz Shah di Pantai Versova, Mumbai.

Merupakan sebuah pantai yang bukan sahaja tidak terkenal malah mengalami pencemaran sampah yang teruk terletak di pinggir Bandar Mumbai, India. Pantai ini kini bukan sahaja menjadi bersih, malah mendapat perhatian seluruh dunia lantaran langkah pembersihan yang dilakukan oleh seorang penduduk tempatan yang lebih dikenali sebagai Afroz Shah, 33.

Afroz Shah mula berpindah ke kediaman berhampiran pantai tersebut pada 2015 amat terganggu dengan keadaan pantai yang ditimbuni dengan buangan plastik dan sampah sarap dengan ketinggian sehingga 5.5 kaki (1.7 m). Terganggu dengan pemandangan tersebut beliau mengambil langkah untuk melakukan kerja-kerja pembersihan secara sendiri.

Longgokan sampah yang serius di Pantai Versova.

Pantai Versova pada May 20, 2017.

Tindakan beliau ini telah membuka mata masyarakat setempat yang kemudiannya turut sama-sama melakukan kerja-kerja pembersihan dengan membersihkan kira-kira 5 juta kilo sampah yang telah terdampar di pantai tersebut.

Kerja pembersihan tersebut terus berjalan sehingga 85 minggu dengan jumlah sampah yang dibersihkan dianggarkan sehingga 5.3 juta kilogram. Antara lain kerja-kerja tersebut turut melibatkan pembersihan 52 buah tandas awam selain penanaman 50 batang pokok kelapa turut dilakukan di pantai tersebut.

Pantai Versova bukanlah merupakan pantai utama dan tidak mendapat perhatian daripada pentadbir tempatan. Keadaan ini diburukkan lagi dengan longgokan sampah yang mungkin dibuang terus atau dihanyutkan ke pantai tersebut. Semenjak berapa lama sampah yang terkumpul terbiar tanpa tindakan dari mana-mana pihak menyebabkan pantai tersebut terus terbiar.

Longgokan sampah yang menyakitkan pemandangan

Semua pantai adalah cantik sekiranya dipelihara dengan baik.

Usaha yang dilakukan oleh Afroz Shah, bukan sahaja membukan mata masyarakat di India, malah masyarakat di seluruh dunia mengenai kebersihan adalah tanggungjawab bersama. Ia juga menggambarkan, tiada kawasan yang perlu dikotori, dicemari atau dibiarkan malah kita semua mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan membersihkan setiap kawasan yang terjejas ini.

Afroz Shah, 33 mungkin tidak menyangka yang beliau akan dikenali di seluruh dunia dengan tindakan beliau tersebut. Namun tindakan awal yang diambil beliau bukan sahaja menghasilkan Pantai Versova yang bersih seperti yang diinginkan oleh beliau, malah ia turut dijadikan contoh dan diteladani oleh semua. Jutaan terima kasih bukan sahaja diterima daripada masyarakat di India, malah daripada masyarakat dunia yang disampaikan melalui United Nations dengan mengurniakan pingat ‘Champion of the Earth 2016’.


Pantai yang cantik seperti ini juga akan tercemar sekiranya kita tidak memeliharanya.

Kisah ini memberikan kesan mendalam kepada kita semua masyarakat di dunia. Memandangkan masalah pencemaran yang berlaku di mana sahaja (terdiri daripada pelbagai bahan buangan lebih-lebih lagi bahan buangan plastik). Maka dengan ini diharap kita tidak lagi menunggu bantuan daripada pihak lain sebaliknya sama-sama membersihkan persekitaran kita sendiri. Ini kerana anda boleh memilih untuk tinggal di persekitaran yang lebih baik.






Free Download



Khamis, 20 Ogos 2015

Sumbangan Penting Dalam Kejuruteraan Bangunan Fazlur Rahman Khan

Menara Petronas, Kuala Lumpur dibina dengan struktur 'tubular'

Antra perkara yang paling menarik di dalam dunia pembangunan ilmu pengetahuan dan kejuruteraan adalah keterbukaan dalam menerima idea yang dibentangkan oleh siapa sahaja yang boleh memberikan penyelesaian atau membawa kepada pembangunan yang lebih baik. Komuniti di bidang pendidikan sebenarnya amat mengalu-alukan sumbangan sebegini dan membuka peluang luas bagi semua untuk menyumbangkan idea masing-masing.

Di dalam bidang kejuruteraan bangunan antara nama yang terpenting adalah Fazlur Rahman Khan atau lebih terkenal dengan gelaran "the father of tubular designs for high-rises" oleh American Society of Civil Engineers. Fazlur Rahman Khan (3 April 1929 – 27 Mac 1982) merupakan seorang warga Bangladesh – Amerika yang juga merupakan seorang jurutera struktur yang menyumbangkan sistem binaan ‘tubular’ yang membolehkan bangunan-bangunan tinggi dibina. Sumbangan ini membolehkan beliau menjadi antara jurutera dan arkitek yang terpaling berpengaruh pada abad ke-20. Selain itu beliau juga merupakan antara pelopor kepada kaedah ‘computer-aided design’ yang mempercepatkan lagi proses pembinaan sesebuah bangunan/binaan.

Fazlur Rahman Khan, penyumbang kaedah pembinaan penting.

Antara hasil binaan beliau adalah bangunan yang tidak asing lagi iaitu Willis Tower, yang merupakan bangunan kedua tertinggi di United States dan juga bangunan 100 tingkat John Hancock Center di Chicago. Bagi bangunan Willis Tower, Fazlur Rahman merupakan jurutera yang bertanggungjawab untuk binaan tersebut walaupun bangunan itu adalah hasil rekaan Bruce Graham yang muncul sebagai bangunan tertinggi di dunia lebih daripada dua dekad.

Sumbangan Khan kepada pembinaan struktur bangunan pencakar langit adalah pembinaan struktur yang dikenali sebagai “tube”dengan beberapa variasi di antara “framed tube”, “trussed tube” dan juga “bundled tube”. Kaedah pembinaan yang dicadangakan oleh Khan ini merupakan kaedah yang menggantikan kaedah “steel frame”, yang digunakan dengan meluas pada masa itu. Manakala dengan adanya kaedah “tube” ini, bangunan berikutnya yang melebihi 40 tingkat akan menggunakan kaedah ini  sejak tahun 1960-an.

Prinsip pembinaan yang diperkenalkan oleh Khan ini terus menjadi kaedah yang diadaptasikan kepada pembinaan bangunan-bangunan pencakar langit sehingga ke hari ini. Penggunaan struktur “tube” terus digunakan untuk bangunan-bangunan seperti Burj Khalifa, World Trade Center, Aon Center, Petronas Tower, Jin Mao Building, Bank of China Tower dan kebanyakan bangunan yang mempunyai ketinggian melebihi 40 tingkat.

Antara bangunan lain dimana Fazlur Rahman merupakan Engineer Strukturnya adalah;

DeWitt-Chestnut Apartments, Chicago, 1963

Brunswick Building, Chicago, 1965

John Hancock Center, Chicago, 1965–1969

One Shell Square, New Orleans, Louisiana, 1972

140 William Street (formerly BHP House), Melbourne, 1972

Sears Tower, Chicago, 1970–1973

U.S. Bank Center, Milwaukee, 1973

Hajj Terminal, King Abdulaziz International Airport, Jeddah, 1974–1980

King Abdulaziz University, Jeddah, 1977–1978

Hubert H. Humphrey Metrodome, Minneapolis, Minnesota, 1982

One Magnificent Mile, Chicago, siap 1983

Onterie Center, Chicago, siap 1986

United States Air Force Academy, Colorado Springs, Colorado

Willis Tower, Chicago merupakan bangunan tertinggi lebih dari 2 dekad.

Merupakan anak kepada seorang guru matematik dan juga penulis buku teks yang kemudiannya Pengarah untuk Public Instruction bagi daerah Bengal manakala setelah bersara dilantik pula sebagai Principal bagi Jagannath College, Dhaka.

Khan merupakan pelajar di Armanitola Goverment High School di Dhaka. Kemudian menamatkan pelajaran di Bengal Engineering College, kini sebagai Indian Institute of Engineering Science and Technology, Shibpur, University of Culcutta. Beliau menerima ijazah Bachelor of Civil Engineering dari Ahsanullah Engineering College, University of Dhaka (kini dikenali sebagai Bangladesh University of Engineering and Technology). Menerima biasiswa daripada Fulbright Scholarship dan dari  Pakistan membolehkan beliau melanjutkan pelajaran di United States pada tahun 1952 di University of Illinois at Urbana-Champaign. Tiga tahun kemudian belaiu menerima dua Master’s degrees – satu dalam ‘structural engineering’ dan satu lagi dalam ‘theoretical and applied mechanics’ – dan juga PhD dalam ‘structural engineering’ dengan thesis beliau bertajuk; “Analytical study of relations among various design criteria for rectangular prestressed concrete beams”.

Evolusi dalam pembinaan bangunan membolehkan bangunan lebih tinggi dibina.

Dari situlah kemudiannya bermula kerjaya Khan di dalam bidang kejuruteraan pembinaan dengan bangunan pertama yang menggunakan kaedah “tube structure”  adalah bangunan aparment Chestnut De-Witt, Chicago – dan bangunan-bangunan lain seperti tersenarai di atas.


Jadi inilah antara yang dikatakan kemajuan pembangunan sesuatu teknologi, iaitu fasa perubahan yang membolehkan sesuatu dibina dengan lebih baik. Sekiranya pembaharuan seperti ini tidak diperkenalkan maka bangunan-bangunan tinggi seperti yang dilihat hari ini mungkin masih belum dapat dibina. Maka dengan itu, adalah diharap supaya kita menyelami bidang masing-masing dan sama-sama menyumbangkan lebih banyak idea yang memberi manfaat kepada semua.







Free Download



Khamis, 13 Ogos 2015

Bill Gates Minum Air dari Sisa Kumbahan?

Bill Gates meminum air dari penapisan JOP.

Bill Gates tidak asing lagi kerana merupakan antara orang terkaya di dunia, bersama-sama dengan Paul Allen membina syarikat gergasi Microsoft pada tahun 1975 setelah meninggalkan pengajiannya di Harvard University. Beliau meninggalkan jawatannya sebagai CEO Microsoft pada Januari 2000 namun kekal sebagai pengerusi sehingga 2006.

Berikutan daripada itu Bill Gates lebih aktif dengan tugasan barunya bersama Bill & Melinda Gates Foundation yang diasaskan pada tahun 2000 juga. Melalui badan amal ini beliau dan isterinya giat melakukan kerja-kerja dalam membantu masyarakat di seluruh dunia.

Melalui badan amal ini ia menyasarkan untuk membantu di dalam beberapa lapangan iaitu pendidikan, kesihatan dan juga menghapuskan kemiskinan. Ia juga merupakan badan amal yang paling besar di dunia dengan jumlah derma terkumpul sebanyak US$42.3 billion pada 24 November 2014.

Jadi apakah yang berkaitan dengan tajuk utama artikel ini sebenarnya? Ia merupakan salah satu daripada usaha yang dijalankan oleh badan amal ini dalam mempertingkatkan tahap kesihatan penduduk di negara-negara membangun yang tidak mendapat bekalan air bersih. Tanpa air bersih, penduduk akan mudah mendapat jangkitan dan merupakan punca utama kepada kematian lebih daripada 700,000 kanak-kanak di dunia setiap tahun.


Pengurusan air kumbahan di Dakar, Senegal yang tidak selamat.

Usaha ini bermula pada tahun 2011 dengan pelancaran program “Reinvent the Toilet Challenge”, untuk membantu lebih daripada 2.5 billion penduduk dunia yang tidak mendapat sistem sanitasi yang baik atau efektif terutama bagi penghuni bandar yang miskin. Program ini mendapat penglibatan daripada seluruh dunia terutama daripada universiti-universiti di U.S., Europe, India, China dan South Africa.

Jadi pada awal tahun 2015 Bill Gates berkongsi video di mana ia meminum air hasil daripada sisa kumbahan ini. Setelah beberapa tahun usaha dijalankan sistem ini akhirnya dapat disediakan bukan sahaja dengan lebih efektif, malah dapat disediakan untuk ianya beroperasi dengan model operasi lengkap (perbelanjaan dan ekonomi pengurusan sistem tersebut).


Sistem lengkap Janicki Omni Processor.

Mesin yang dikenali sebagai Janicki Omni Processor atau JOP itu kini dibina di Dakar, Senegal sebagai tapak ujian pertamanya. Dakar merupakan bandar dengan 3.4 juta penduduk di mana lebih daripada sejuta penduduknya tidak mendapat kemudahan sistem kumbahan yang selamat. Ia merupakan salah satu punca yang mendedahkan para penduduk ini kepada bahaya wabak penyakit.

Mesin JOP direka untuk bukan sahaja sebagai mesin tapisan air kumbahan malah memproses setiap bahan buangan untuk diguna semula dengan pengendalian yang selamat bagi setiap proses. Hasil daripada sisa buangan ini digunakan sepenuhnya untuk menjana elektrik bagi sistem tersebut dan selebihnya digunakan untuk membuat bata (bahan binaan).

Banyak lagi sumbangan-sumbangan lain yang dilakukan oleh Bill & Melinda Gates Foundation menjurus kepada fokus utama mereka iaitu pendidikan, kesihatan dan menghapuskan kemiskinan. Ia juga turut membantu dalam menyumbangkan dana untuk membantu mangsa-mangsa bencana di seluruh dunia termasuklah semasa gempa bumi dasar laut di Lautan Hindi pada tahun 2004 dan juga gempa bumi di Kashmir pada tahun 2005.


Bill Gates dan isterinya Melinda Gates pada tahun 2009.

Sumbangan juga turut disalurkan untuk pembangunan pertanian seperti ‘International Rice Research Institute’, bagi penyelidikan untuk meningkatkan penghasilan beras dalam memenuhi permintaan rakyat di seluruh dunia pada masa akan datang, selain daripada ‘Alliance for a Green Revolution in Africa’ (AGRA); di mana ia bersama-sama dengan Rockefeller Foundation untuk mempertingkatkan sains pertanian dan penghasilan dari ladang kecil di Afrika.


Itu adalah sebahagian daripada sumbangan berterusan daripada Bill Gates setelah meninggalkan Microsoft, sedangkan apa yang dihasilkan Microsoft sendiri merupakan antara teknologi terpenting yang membolehkan pembangunan sistem perkomputeran berlaku dengan pesat pada masa itu. Jadi kegigihan beliau amat penting untuk menjadi contoh bagi kita untuk bukan sahaja membangunkan diri sendiri malah mereka yang berada si sekeliling kita.


Free Download



Isnin, 27 Ogos 2012

Siapakah Frank Gehry Pereka Yang Dinobatkan Oleh Mark Zuckerberg Untuk Pembangunan Pejabat Facebook Yang Baru?

Frank Owen Gehry dalam perbincangan

Nama sebenarnya adalah Frank Owen Gehry dilahirkan pada 28 Febuari 1929 adalah seorang arkitek terkemuka yang telah membina banyak bangunan terkemuka dunia. Seterusnya menarik minat pengasas Facebook Mark Zuckerberg untuk proses pembangunan pejabat Facebbok seterusnya di Melno Park, berhampiran Paulo Alto, California.

Nama sebenar beliau semasa dialhirkan adalah Frank Owen Goldberg  di Toronto, Ontario kepada pasangan Irwin dan Thelma yang berketurunan Yahudi Poland. Semasa kecil beliau diberi galakan oleh neneknya untuk membina bangunan menggunakan kepingan terbuang dari kedai datuknya. Menggunakan lantai ruang riadah rumah sebagai tempat beliau mereka bangunan-bangunan mengikut kretiviti pemikiranya pada masa itu. Manakala beliau juga sering meluangkan masa bersama ibu bapanya untuk melukis di mana ia turut diperkenalkan dengan dunia seni. Walaupun bapanya tidak menaruh harapan yang tinggi kepada beliau, ibunya tetap memberikan galakan tentang potensinya.

Pada 1947 beliau berpindah ke California dan bekerja sebagai pemandu trak penghantaran. Pada masa itu beliau belajar di Los Angeles City College. Di sana beliau mencuba beberapa bidang termasuk pengacara radio, serta chemical engineering di mana beliau mendapati bidang tersebut tidak begitu sesuai dengan dirinya. Sehingga beliau mengingati kembali minatnya pada seni, muzik dan zaman kecilnya sendiri bersama galakan neneknya. Ini membawa beliau untuk mencuba kepada bidang arkitek (senireka).

Bangunan di New York
Pada tahun 1952, beliau berkahwin dengan Anita Snyder dan dalam tahun 1956 beliau menukar namanya kepada Frank O. Gehry atas dorongan isterinya bagi mengurangkan tekanan anti -Yahudi pada masa itu. Gehry mendapat kecemerlang dengan Bachelor of Architecture degree dari USC (University of Southern California) pada tahun 1954. Ini diikuti dengan perkhidmatan di dalam tentera  dan berpindah ke Cambridge pada tahun 1956 untuk menuntut dalam bidang perancangan Bandar dari Harvard Graduate School of Design. Beliau tidak menamatkan pengajiannya dalam bidang ini dan terpaksa meninggalkannya dengan kecewa. Peluang baginya terbuka apabila diberikan peluang dalam satu projek bersama professornya dalam pembinaan istana oleh seorang dictator Cuba iaitu Fulgencio Batista (1901-1973).

Pada tahun 1966 beliau bercerai dengan isterinya Anita Snyder dan berkahwin dengan Panamian Berta Isabel Aguilera pada tahun 1975 (pasangannya hingga ke hari ini). Beliau mempunyai dua anak perempuan melalui perkahwinan yang pertama dan dua anak lelaki daripada perkahwinannya yang kemudian.

Sumbangan belaiu pada dunia senibina tidak sentiasa diterima dengan baik oleh para pengkritik. Namun hasil kerja yang dihasilkan di seluruh dunia jelas menunjukkan penerimaan orang ramai yang meminati senibina yang berbeza. Malah pembianan The Walt Disney Concert Hall di Downtown Los Angeles juga mengalami pelbagai masalah dengan kos pembinaan tambahan sebanyak $174 juta. Wow, bagi sebuah firma arkitek mungkin ini merupakan satu tamparan hebat. Namun perlu diingat mengenai kos keseluruhan projek juga dan punca-punca tambahan kos.

Disney Concert Hall rekaan yang popular.
Novartis Pharma
Untuk memberi gambaran tentang hasil usaha beliau terhadap dunia senibina mari kita lihat beberapa rekaan beliau di serata dunia;


i) Virta Design Museum, Weil am Rhein, Germany di bina pada tahun 1989 antara bangunan yang mempunyai ciri-ciri pembinaan beliau yang berikutnya.

ii) Disney Village, Disneyland Paris, France di bina pada tahun 1992 sebagai sebahagian daripada komplek Disneyland Paris.

iii) Olympic Fish, Olympic Village, Barcelona, Spain juga dibina pada tahun 1992 yang menjadi mercu tanda Perkampungan Olympic pada tahun tersebut.

iv) Dancing House, Prague, Czech Republic pada tahun 1995 adalah kerjasama di antara pereka Croatia-Czech, Vlado Milunic dan Frank Gehry.

v) Guggenheim Museum Bilbao, Bilbao, Spain di bina pada tahun 1997 mempunyai ciri-ciri pembinaan Gehry yang berikutnya.

vi) Gehry Tower, Hanover, Germany di bina pada tahun 2001 dengan ciri-ciri istimewa iaitu bangunan yang kelihatan seakan-akan berputar.

vii) Walt Disney Concert Hall, Los Angeles, California di bina ada tahun 2003 yang menjadi ikon dan juga menjadi bahan krikitan kepada Gehry.

viii) MARTa Museum, Herford, Germany di bina pada tahun 2005, di mana rupa bentuk mempunyai ciri-ciri seperti Walt Disney Concert Hall.

ix) Novartis Pharma A.G. Campus, Basel, Switzerland di bina pada tahun 2009 juga mempunyai ciri-ciri yang sama dengan Walt Disney Concert Hall, tetapi menggunakan bahan binaan yang berbeza.

x) New York by Gehry at Eight Spruce Street, New York City, New York di bina pada tahun 2011 menampilkan ciri-ciri kelainan pada bangunan pencakar langit. Keunikan bangunan ini jelas menunjukkan keunikan beliau dalam kerja-kerja senibina.

xi) Opus Hong Kong, Hong Kong, China juga di bina pada tahun 2011 menampilkan ciri-ciri unik senibina untuk bangunan kediaman 12 tingkat.


Banyak lagi bangunan-bangunan yang dalam proses pembinaan membabitkan penglibatan belaiu sebagai pereka antaranya termasuklah Guggenheim Abu Dhabi, Abu Dhabi, United Arab Emirates yang dijangka akan siap pada tahun 2013.

Walaupun sering di kritik akan rekabentuk yang kurang esktetik , Frank Gehry tetap merupakan seorang pereka yang diminati di seluruh dunia. Mungkin juga belau hanya dilantik oleh syarikat pembangun dan banyak lagi faktor yang perlu diambil kira bila ianya melibatkan dunia perniagaan global. Apa yang saya harap penampilan artikel ini sedikit sebanyak dapat memberikan inspirasi tentang pembangunan diri seseorang terhadap minat mereka pada sesuatu bidang.

Dancing House, Prague
Guggenheim Abu Dhabi, Abu Dhabi, United Arab Emirates suatu lagi mercu tanda di UAE.


Free Download



Rabu, 18 Julai 2012

Steven R. Covey Meninggal Pada Usia 79 - Terima Kasih Atas Sumbangan Beliau

Nama beliau mungkin tidak asing lagi bagi mereka yang terlibat dalam pengurusan terutamanya. Walaupun secara tidak langsung hasil kerja beliau begitu dikenali di seluruh dunia malah di Malaysia juga. Bagi yang minat membaca tentunya anda pernah mendengar hasil penulisan beliau "The Seven Habits of Highly Effective People".

Pertama kali saya mengenali hasil kerja beliau adalah semasa di tahun 'satu' semasa di UTM iaitu pada tahun 1995. Pada masa itu saya cuma dikenalkan dengan kaedah pengurusan masa yang disampaikan oleh beliau melalui bukunya "First Thing First" - satu lagi hasil kerja beliau yang amat popular. Apa yang menarik ianya disampaikan sendiri oleh seorang pensyarah di UTM (jadi mudahlah untuk ianya difahami). Karangan beliau terus popular dan saya semakin tertarik dengan hasil kerjanya. Jadi saya cuba untuk mengenal hasil-hasil kerja beliau bermula dari situ.

Setelah menempuh alam pekerjaan pula saya terlibat dengan lebih banyak program yang berasaskan daripada "The Seven Habbits of Highly Effective People", menjadikan nama beliau lebih menonjol kepada saya. Begitu juga dengan kemudahan jaringan internet untuk saya mendapatkan maklumat terperinci tentang hasil kerjanya yang lain.


Nama penuh beliau ialah Stephen Richards Covey dilahirkan pada 24 Oktober, 1932 di Salt Lake City, Utah dan meninggal dunia pada 16 Julai, 2012 di Idaho Falls, Idaho US. Membesar di sebuah ladang pembekal telur di luar kawasan bandar. Semasa kecil beliau mengalami masalah pada pembesaran kakinya yang memerlukan beliau menggunakan tongkat. Namun semangatnya yang tinggi tidak menghalang beliau untuk terus mencipta pelbagai kejayaan demi kejayaan.


Buku karangan beliau "The Seven Habits of Highly Effective People", bersama buku-bukunya yang lain terjual melebihi 25 juta naskah di serata dunia. Buku-buku beliau juga turut diterjemah kepada bahasa-bahasa lain bagi mudah difahami. Antara buku lain yang ditulis oleh beliau ialah "First Thing First", "Principle Centered Leadership", dan "The Seven Habits of Highly Effective Families". Pada tahun 2004 beliau melengkapkan hasil penulisan beliau melalui buku "The 8th Habit". Manakala sebagai penutup pada tahun 2008 beliau menghasilkan pula "The Leader In Me - How School and Parents Around the World Are Inspiring Greatness, One Child at a Time".

Pada tahun 1996, Majalah Time menamakan beliau sebagai salah seorang tersenarai di dalam 25 Rakyat Amerika yang berpengaruh, manakala Forbe pula menobatkan "Seven Habits" sebagai salah satu daripada 10 buku pengurusan terbaik.

Beliau membuka Covey Leadership Center pada tahun 1983 dengan mempertaruhkan segala hak miliknya sebagai sebuah pusat latihan dan consultant. Pada tahun 1997 pula ia bergabung bersama Franklin Quest, pakar dalam pengurusan masa dan membentuk Syarikat Franklin Covey Co. Sehingga hari ini syarikat ini telah beroperasi di 50 buah negara dan memperolehi jualan sebanyak USD160.8 juta pada tahun lepas.

Jadi itulah sedikit sebanyak mengenai Stephen R. Covey yang ingin saya kongsi bersama. Tujuan saya menceritakan mengenai beliau adalah sebagai tanda memperingati hasil usaha beliau dalam membina kejayaan diri dalam memajukan orang lain. Sudah tentu ramai lagi tokoh-tokoh cemerlang di luar sana untuk kita sama-sama hargai dan semestinya akan cuba untuk saya kongsi dalam blog saya ini. Mungkin anda boleh membantu dengan memberi cadangan tentang tokoh kesayangan anda di ruangan komen. Terima kasih.




Free Download



Arkib Blog