Ahad, 12 Oktober 2014

Keunikan Sistem Penghadaman Haiwan Ruminan

Cow
Lembu merupakan haiwan ruminan yang paling mudah ditemui.

Sistem penghadaman merupakan sistem yang penting bagi hidupan samada bagi haiwan mahupun manusia. Apa yang membezakan sistem penghadaman haiwan ruminan adalah kemampuannya untuk memproses makanan yang tidak mampu dihadamkan oleh manusia dan masih memperolehi zat makanan daripadanya.

Haiwan ruminan mendapat panggilan namanya daripada perutnya yang dipanggil rumen. Rumen merupakan perut utama bagi haiwan-haiwan ruminan yang terdiri daripada haiwan pemakan tumbuh-tumbuhan 100% seperti lembu, kambing, kerbau, rusa, kijang dan sebagainya. Dilengkapi dengan sistem penghadaman yang sedemikian membolehkan haiwan ruminan seperti lembu mendapatkan khasiat dari bahan makanan yang tidak berkhasiat pada manusia seperti rumput, hampas soya, daun sawit yang terdiri daripada bahan-bahan kasar.

Apa yang menarik bagi membolehkan haiwan ruminan melakukan perkara seperti ini, perut haiwan ruminan mempunyai 4 bahagian utama yang membolehkan bahan makanan disediakan sebelum ianya sedia untuk melalui bahagian serapan zat makanan sebaik sahaja meninggalkan bahagian perutnya (untuk ke bahagian seterusnya yang dipanggil duodenum dan seterusnya bahagian usus). Bahagian-bahagian perut ini berbeza dari segi fizikal permukaannya yang membolehkan bahan makanan haiwan ruminan dicernakan dengan baik.

Bantuan Mikro-organisma

Bacteria in cow's rumen
Salah satu daripada jutaan bakteria di dalam 'rumen' lembu.

Tahukah anda proses penghadaman makanan haiwan ruminan banyak bergantung mikro-organisma yang berada di dalam perutnya? Sebenarnya selain daripada sistem perut haiwan tersebut, miro-organisma ini banyak membantu dalam menghuraikan bahan makanan bagi membolehkan zat-zat daripada bahan makanan tersebut diserap oleh haiwan ruminan. Jadi kemampuan haiwan ruminan menghadamkan makanan ini turut dipengaruhi oleh bakteria yang berkembang di dalam perutnya. Jadi sekiranya haiwan ruminan tersebut menukar jenis pemakanannya secara mendadak, ia boleh mengakibatkan ia mengalami kesukaran untuk menghadamkan bahan makanan tersebut.

Protozoa in cow's rumen
Salah satu daripada protozoa di dalam 'rumen' lembu.

Bukan itu sahaja, haiwan ruminan sendiri turut membantu bakteria-bakteria ini untuk berkembang dengan lebih baik dengan menyediakan bahan makanan yang sesuai selain terus mengunyah bahan makanan tersebut sehingga ribuan kali kunyahan bagi memastikan bakteria dapat menggunakannya untuk pertumbuhan.

Mikro-organisma yang berada di dalam perut haiwan ruminan terdiri daripada bakteria dan protozoa. Dianggarkan di dalam bahagian ‘rumen’ haiwan seperti lembu sahaja terdapat kira-kira setengah juta bakteria dan 50 billion protozoa. Bakteria dan protozoa inilah yang akan membantu proses penghuraian bahan makanan yang telah dikunyak oleh haiwan-haiwan tersebut. Mikro-organisma inilah yang akan membantu untuk menghadamkan cellulose, hemicellulose, kanji, gula, asid organis, protein atau lemak. Terdapat juga bakteria yang menghasilakn ammonia dan methane atau men-sistesis vitamin.

Cow's Rumen
'Rumen', satu daripada empat bahagian di antara perut lembu.

Pemakanan haiwan ruminan perlu menitik beratkan pada mikro-organisma yang hidup di dalam perutnya berbanding makanan yang boleh dimakan. Ini kerana proses pemakanannya bergantung kepada mikro-organisma ini. Atau dengan perkataan lain, makanan sebenarnya adalah mikro-organisma tersebut seperti juga makanan ikan paus yang terdiri daripada hidupan-hidupan kecil yang dipanggil plankton, manakala seperti serangga yang membiakkan funggus untuk dijadikan makanan.


Kemampuan haiwan-haiwan ini dalam menjadikan tumbuh-tumbuhan kasar sebagai bahan makanan membolehkan banyak bahan buangan daripada hasil pertanian dijadikan sebagai sumber makanan bagi haiwan ternakan seperti kambing dan lembu. Ini membolehkan keseimbangan dalam sistem pertanian dan menjimatkan bahan buangan tersebut. Selain itu ia turut menjelaskan mengapa haiwan ruminan berupaya menjadikan bahan tumbuhan kasar sebagai makanan. Hubungan antara haiwan dan mikro-organisma juga menjelaskan betapa hidupan di dalam alam sentiasa bergantung antara satu sama lain untuk hidup dengan sempurna. 



Free Download



Khamis, 9 Oktober 2014

Mengapa Rolex Dijadikan Sebagai Lambang Kejayaan?

Rolex Yacht Master II
Rolex Yacht Master II, pada tahun 2012 bukan sahaja berkualiti malah amat menarik.

Rolex merupakan salah satu jenama jam tangan mewah yang menjadi pilihan ramai sebagai lambang kejayaan selain daripada kereta-kereta mewah, kediaman, bot mewah, jet peribadi dan sebagainya. Jam tangan menjadi simbol kejayaan bagi melambangkan seorang yang menghargai masa yang antara lain menentukan titik tolak bagi kejayaan seseorang. Tapi mengapa Rolex?

Sekiranya anda berpendapat kerana harga Rolex yang mahal menjadikan ianya sebagai sebuah jam yang dibanggai. Anda perlu mengetahui bahawa jam tangan Rolex bukanlah merupakan jam tangan termahal, malah banyak lagi jam-jam tangan lain yang mempunyai mutu kualiti dan harga yang jauh lebih mahal berbanding Rolex. Malah kesemua jam tangan tersebut hanya diketahui oleh segelintir golongan individu sahaja.

Hans Wildorf of Rolex
Hans Wildorf seorang usahawan yang berwawasan.

Jam tangan Rolex diilhamkan oleh Hans Wilsdorf pada tahun 1905 semasa beliau berumur 24 tahun. Beliau bukanlah penghasil jam, tetapi hanya merupakan pengedar jam sahaja. Memandangkan minat beliau untuk memiliki jam tangan yang selain daripada menarik dan berkualiti, beliau juga berharap jam tangan dapat dihasilkan dengan kemampuan memberikan bacaan waktu yang tepat. Melalui impiannya ini, beliau mendapatkan kerjasama daripada pembuat jam tangan di Bienne, Swiss.

Berbeza dengan pengeluar jam tangan lain Hans Wildorf tidak menamakan jam tangan impiannya menggunakan namanya sendiri. Tetapi beliau juga mencari nama yang sesuai, mudah diingati dan mudah pendapat perhatian daripada orang ramai. Hans cuba menggabungkan pelbagai huruf dan ratusan nama dan tiada yang sesuai baginya. Sehinggalh pada suatu hari terdetik di fikiran beliau untuk menamakannya sebagai ‘Rolex’.

Rolex datejust
Rolex dengan model pertama dengan 'datejust'.

Berbeza dengan jam tangan lain, Rolex menumpukan pada penghasilan komponen pergerakan yang mampu memberikan ketepatan masa. Sesuai dengan usaha gigih ini ianya membuahkan hasil bagi Rolex pada tahun 1910 yang dianugerahkan dengan sijil ‘Swiss Certificate of Chronometric Precision’ dimana Rolex merupakan jam tangan pertama yang dianugerahkan dengan persijilan tersebut.

Empat tahun kemudian iaitu pada tahun 1914, Kew Observatory di Great Britain menganugerahkan pula Rolex dengan sijil ketepatan pengkelasan ‘A’, iaitu satu sijil kecemerlangan yang dikhaskan khusus bagi ‘marine chronometer’ – anda perlu melihat sejarah pembangunan ‘marine chronometer’ dihasilkan di England yang membantu sistem pelayaran negara tersebut. Bermula dari situlah Rolex terus mendapat gelaran sebagai jam yang mempunyai ketepatan tinggi. Rolex kemudiannya berpindah ke Geneva, iaitu sebuah bandar yang dikenali sebagai pengeluar jam tangan berkualiti. Montres Rolex S.A. di daftarkan di Geneva pada tahun 1920.

Rolex and CERN
Rolex turut diiktiraf oleh saintis di CERN.

Pada tahun 1926 bermulanya tahun permulaan Rolex mencipta pembaharuan dalam dunia jam tangan dengan menghasilkan jam yang kalis air dan juga kalis habuk. Jam tangan tersebut diberikan nama “Oyster” dengan dilengkapi dengan kemasan tutupan yang sempurna bagi memberikan perlindungan kepada bahagian pergerakan jam tersebut.

Bermula dari situlah jam tangan Rolex terus diperbaiki dari semasa ke semasa dengan diikuti dengan kaedah pengenalan jam tangan tersebut melalui pelbagai aktiviti utama seperti dalam peristiwa renang merentasi Selat Inggeris, penerbangan melintasi Everest dan pelbagai lagi upucara yang melambangkan keunikan, kegemilangan dan kesungguhan.


Maka dari situlah Rolex tampil dengan satu keunikan yang jauh berbeza daripada jam-jam tangan lain yang turut mempunyai kualiti atau harga yang jauh melebihinya. Namun Rolex mempunyai keunikan tersendiri sejak ianya di ilhamkan perekanya sendiri iaitu Hans Wildorf pada tahun 1905. Jadi sekiranya anda ingin memiliki jam tangan yang memberikan anda inspirasi jam tangan jenama apakah yang akan anda pilih?



Free Download




Rabu, 8 Oktober 2014

Kamera Resolusi Tertinggi 1.8GP Milik DARPA

1.8GP camera's image
Gambar yang dihasilkan oleh kamera 1.8GP daripada udara.

Seperti yang kita ketahui resolusi pada kamera digital merupakan salah satu faktor utama untuk menghasilkan gambar yang lebih jelas bagi sesebuah kamera. Hari ini pengeluar-pengeluar telefon bimbit turut memuatkan kamera dengan resolusi yang sentiasa dipertingkatkan bagi memberikan gambar yang lebih jelas kepada pengguna.

Walaupun resolusi bukanlah merupakan faktor utama untuk mendapatkan gambar yang jelas. Ia masih lagi merupakan salah satu faktor yang penting bagi memastikan gambar yang dihasilkan mempunyai labih banyak maklumat (pixel) dalam sesebuah gambar yang diambil. Sehubungan itu penghasilan kamera pada resolusi tinggi sentiasa dipertingkatkan.

Surveillance picture
Gambar penuh hasil cerapan Drone ARGUS-IS.

Kamera dengan resolusi tertinggi antaranya adalah pada 1.8 Gigapixel seperti yang dihasilkan oleh DARPA untuk tujuan tinjauan daripada ruang udara. Seperti yang kita ketahui DARPA (Defense Advace Research Project Agency) yang membangunkan teknologi pertahanan bagi Amerika Syarikat sentiasa membina teknologi-tekbologi terbaru yang maju kehadapan.

Kamera ini merupakan kelengkapan kepada drone ARGUS-IS (Autonomous Real-Time Ubiquitos Imaging System) untuk membuat tinjauan dari udara bagi sesebuah kawasan yang ingin diperhatikan. Ia biasanya akan beroperasi dari ketinggian 20,000 kaki (6,100 m) dan akan menghasilkan rakaman video bagi kawasan seluas 4.5 batu (7.2 km) persegi bagi satu frame dengan resolusi sehingga 6 inci (15 cm).

Kamera dengan resolusi tertinggi ini adalah hasil daripada penggabungan 368 Aptina MT9P0315-megapixel smartphone CCD. Sensor tersebut yang mempunyai keluasan aktif 5.7 X 4.3 mm setiap satu, manakala penggabungan tersebut menghasilkan sensor matrix dengan keluasan keseluruhan sehingga 90mm (3.5 inci) – manakala keluasan sensor pada telefon bimbit anda adalah jauh lebih kecil.

CMOS
Pemprosesan khas untuk pemproses imej kamera 1.8GP.

Namun begitu untuk menghasilkan sebuah kamera yang mampu menyimpan imej dengan saiz yang besar cabarannya adalah dalam pemprosesan imej. Ini kerana bagi sebuah kamera yang beresolusi tinggi, ia perlu mempunyai keupayaan pemprosesan imej yang tinggi bagi membolehkan video beresolusi tinggi disimpan dengan baik.

Dari segi pemfokusan imej juga ia perlu dilengkapkan pula dengan kanta yang sesuai. Oleh kerana saiz sensor yang besar, maka titik fokus kamera ini perlu diletakkan pada jarak yang tepat untuk mendapatkan imej yang betul-betul jelas. Maka kanta untuk sistem kamera ini pastinya direka khas bagi memboleh ianya mengambil gambar dengan jelas dalam pelbagai keadaan (pada keadaan yang berbeza seperti siang/ malam).


Walaubagaimanapun apa yang menarik, ia masih lagi dibangunkan daripada modul-modul kecil sensor kamera untuk telefon bimbit yang disatukan menjadi satu sensor yang cukup untuk memberikan hasil yang menakjubkan. Ia memberikan satu penjelasan mengenai, sesuatu hebat boleh dihasilkan daripada kumpulan benda-benda yang biasanya berada di sekeliling kita.


Free Download



Selasa, 7 Oktober 2014

Binaan Manusia Terpaling Mahal

International Space Station
ISS yang mengorbit bumi dari angkasa.

Manusia merupakan satu-satunya makhluk yang mampu membina hampir apa sahaja yang diinginkannya. Setelah beberapa zaman berlalu, banyak tinggalan yang dapat kita lihat ditinggalkan oleh orang-orang terdahulu menunjukkan manusia sentiasa membina bagi mencapai pembangunan yang ideal. Namun begitu setiap pembangunan akhirnya hanyalah tinggal menjadi sebahagian sejarah seperti mana yang dapat kita lihat hari ini.

Adalah sukar untuk menggambarkan kos sebenar bagi pembangunan-pembangunan yang didirikan pada tamadun-tamadun yang lepas kerana perbezaan gaya hidup dan sistem mata wang yang tidak difahami. Apa yang ingin kita lihat di sini adalah pembinaan yang dilakukan bagi manusia pada zaman ini bagi satu tujuan dan adalah mustahil ianya boleh didirkan oleh satu pihak sahaja memandangkan kosnya yang terlalu tinggi.

Working on ISS
Angkasawan melakukan kerja-kerja di ISS.

Binaan tersebut pula bukanlah berada di permukaan bumi seperti binaan-binaan lain, tetapi ianya berada di ruang angkasa bumi pada jarak 400km daripada permukaan bumi. ISS atau lebih dikenali sebagai International Space Station merupakan makmal yang berada di ruang angkasa yang dibangunkan secara berperingkat-peringkat dengan penglibatan banyak negara seperti Rusia, Amerika Syarikat, Canada, Europe, Jepun dan negara-negara lain.

Ianya dibina secara berperingkat-peringkat bermula pada tahun 1998. Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 2000 dua krew pertama ISS memulakan tugas mereka di sini. Pada permulaannya ISS didirikan hanya mempunyai 3 modul. Ia kemudiannya terus ditambah secara berperingkat sehinggalah pada masa sekarang mengandungi pelbagai modul yang menjadi tempat untuk menjalankan eksperimen saintifik mahupun ruang penginapan bagi para angkasawan.

Life on ISS
Aktiviti bagi mengisi masa lapang di ISS.

Semenjak ia dimulakan ISS terus menjalani pelbagai penambahan dan pengubahsuaian bagi memastikan ia mampu menyempurnakan pelbagai keperluan dalam menjalankan kajian-kajian saintifik. Sehingga kini keseluruhan ISS menjangkau saiz 109 meter lebar dan 73 meter panjang dan ia lebih besar berbanding saiz padang bola. Disebabkan saiznya inilah menyebabkan ia perlu dibina di angkasa dan tidak boleh diterbangkan sekali daripada bumi. Berat ISS adalah menjangkau sehingga 400 tan. Berbalik kepada kos untuk pembinaan ISS dianggarkan menelan USD150 billion dan setakat ini tiada pembinaan satu objek yang menelan kos sehingga jumlah tersebut.

Namun pembinaan ISS adalah penting bagi manusia untuk lebih memahami tentang pelbagai keajaiban alam. Ini kerana untuk memahami apa yang berlaku di permukaan bumi adakalanya kita perlu melangkah ke luar untuk mendapat gambaran yang lebih jelas. Pembinaan ISS jelas menunjukkan tiada perkara yang mudah dalam menyelesaikan sesuatu perkara namun tiada yang mustahil sekiranya kita betul-betul mahu.

Cupola Module
Cupola module yang menyediakan tingkap pandang ke bumi.

Ada beberapa perkara lagi yang menarik mengenai ISS untuk anda ketahui antaranya adalah kelajuannya bergerak mencapai sehingga 27,000 kilometer sejam. Pada kelajuan ini ianya adalah 8 kali ganda lebih laju berbanding peluru. Manakala untuk membolehkan ianya beroperasi bagi menjalankan pelbagai aktiviti di angkasa ia dilengkapi dengan panel-panel solar yang berukuran 34 X 12 meter bagi membekalkannya sehingga 60kW kuasa elektrik.


ISS merupakan satu binaan yang amat menakjubkan. Bagi para peminat dunia sains, ISS merupakan satu ikon baru yang memberikan inspirasi untuk kita terus berusaha mengkaji dan mencipta. Malah ISS antara lainnya akan menjalankan eksperimen pelengkap kepada satu lagi kajian yang dilakukan di bumi - yang dijalankan di sebuah makmal yang juga merupakan satu lagi rekaan terulung iaitu LHC - Large Hadron Collider.




Free Download



Isnin, 29 September 2014

Programmer Muda Berusia 19 Tahun Berbakat dan Berjiwa Besar

John Meyer with Apple CEO
John Meyer bergambar bersama CEO Apple, Tim Cook. 

Mungkin tidak ramai yang memahami bagi segelitir golongan yang sanggup meninggalkan bidang pelajaran biasa dan mengikut arah tuju masing-masing. Apatah lagi pada usia semuda 19 tahun mungkin ia merupakan satu keputusan yang pastinya akan mendapat tentangan hebat daripada kedua ibubapa.

John Meyer 19, merupakan salah seorang daripada mereka dengan meninggalkan pelajarannya dalam bidang komputer dari universiti terkenal di mana ibunya sendiri merupakan salah seorang daripada professor di situ (University of New York atau juga dikenali sebagai NYU).

Apa yang menyebabkan John Meyer meninggalkan pelajaran adalah kerana beliau telah memilih bidang yang diminatinya – iaitu ‘programming’. Sejak mempelajari pemprogramman ‘Objective C’ pada 2008, John Meyer telah menghasilkan pelbagai apps yang menjadikan beliau amat tertarik untuk meneruskan bidang yang diminatinya itu.

John Meyer 19
John Meyer (19) mempunyai minat dan bakat yang besar.

Minatnya itu turut disokong oleh bapanya iaitu semasa beliau berumur 16 tahun, bapanya telah membantu mendapatkan tiket untuk membolehkan beliau menghadiri ‘developer’s conference’ di San Francisco. Manakala untuk menghadiri majlis tersebut peserta perlulah berumur sekurangnya 18 tahun. Apa yang penting John Meyer bukanlah sekadar peserta, malah beliau merupakan seorang penghasil apps yang aktif – layak untuk hadir ke majlis tersebut.

Bermula dengan penghasilan apps popular pertamanya JustLight, perisian ‘flashlight’ untuk iPhone 4 yang merupakan antara perisian ‘flaslight’ terawal untuk iPhone. Perisian tersebut telah dimuat turun sehingga menjangkau 2 juta kali.

Baru-baru ini pula beliau menampilkan PerfectShot (kira-kira setahun lalu), untuk iOS7 yang dimuat turun 60,000 kali untuk 4 hari pertamanya sahaja dan kini menjangkau jutaan muat turun. Apa yang menarik apps ini membolehkan kamera hanya mengambil gambar apabila semua muka di dalam tetingkap gambar tersenyum. Ia kelihatan mudah, tapi beliau merupakan orang yang menghasilkan apps tersebut untuk iOS7.

Selain daripada menolak peluang untuk melanjutkan pelajaran dari University of New York, John Meyer turut menolak pelawaan Apple yang menawarkan ‘internship’ kepada beliau. Peluang tersebut bukan sahaja menjadi impian ribuan pelajar lain malah membolehkan beliau mendapat ganjaran bulanan sebanyak USD 5,723 sebulan.

John Meyer
Minat yang mendapat sokongan.

Penolakan beliau bukanlah bermakna John Meyer menolak peluang yang datang. Tetapi beliau sendiri merupakan seorang yang mempunyai perancangan dan gigih berusaha dalam membangunkan impian beliau yang baru-baru ini tampil lagi dengan apps menarik iaitu FrescoNews.

Disebalik impian dan usaha gigih beliau ini, John Meyer juga pernah terpilih menjadi calon finalist bagi Thiel Fellowship. Ia merupakan program yang dijalankan oleh billionaire Peter Theil dalam membantu mereka yang berbakat untuk memulakan perniagaan. Seramai 20 orang peserta yang di pilih dan John Meyer bukanlah seorang daripadanya.


Walaupun begitu bagi seorang yang mempunyai bakat dan minat seperti John Meyer, sokongan orang lain merupakan satu bonus. Manakala apa yang diinginkannya adalah kepuasan dalam mencuba kemampuan diri dalam menghasilkan sesuatu yang terbaik dalam lapangan yang diceburinya. Mungkin ia lebih baik daripada dari sekadar memberikan kritikan mengenai kegagalan orang lain.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Ahad, 28 September 2014

Tonsil Mungkin Satu-satunya Penyelamat Bagi Anda.

Tonsil in human
Image: Suzanne Tucker/Shutterstock
Ramai di antara kita yang menjalani pembuangan tonsil kerana menyangka ia tidak mempunyai fungsi yang penting.
Mungkin ada di antara kita pernah menjalani pembedahan pembuangan tonsil kerana selama ini berpendapat tonsil tidak mempunyai fungsi tertentu pada kita seperti juga appendix yang menerima nasib yang sama, iaitu dibuang. Mungkin terlalu awal bagi kita manusia menentukan sesuatu perkara apatah lagi jika mengakibatkan sebahagian dari bahagian badan kita untuk dibuang.

Baru-baru ini salah satu fungsi tonsil ditemui dan ianya merupakan salah satu fungsi yang paling penting bagi manusia iaitu dalam menggantikan sel hati yang telah rosak. Ini kerana hanya stem sel pada tonsil yang sesuai digunakan untuk menggantikan sel yang rosak pada hati – stem sel yang lain (seperti pada sum-sum tulang) didapati tidak sesuai untuk tujuan tersebut.

Human Liver
Bahagian-bahagian pada hati manusia.

Stem sel merupakan kumpulan sel yang mampu membentuk sel-sel baru menjadi sel-sel tertentu di dalam badan. Jadi setiap organ mempunyai stem sel masing-masing (bagi darah, stem selnya tersimpan di dalam sum-sum tulang). Jadi sel-sel badan kita tidak semuanya membahagi dan berganda seperti yang kita lihat dalam proses pembiakan bakteria atau organisma lain.

Dalam kes pembentukan semula sel hati ini pula, cabaran yang paling penting adalah kerana proses pemindahan hati dan pembedahan yang terlalu berisiko. Ia boleh mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada pesakit, malah kepada penderma juga yang terpaksa dibedah. Bahaya penolakan dan jangkitan amat mudah berlaku dan ia boleh membawa maut kepada penerima mahupun penderma.

Proses pembentukan sel tisu hati ini bermula daripada stem sel yang didapati pada tonsil dan akan dibiakkan menggunakan penggalak yang akan menyebabkan stem sel tersebut bertukar kepada sel hati (anda perlu mengetahui lebih lanjut bagaimana stem sel berfungsi dalam menggantikan sel-sel di dalam badan).

Human Liver position
Hati dengan fungsi membersihkan darah memainkan peranan penting dalam memastikan kesihatan badan dan juga dalam proses penghadaman makanan. 

Bagaimanapun kaedah ini masih lagi di dalam kajian. Bagi anda yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kaedah pembiakan stem sel tonsil ini bolehlah mendapatkan journal yang dihasilkan oleh penyelidik-penyelidik tersebut melalui link di sini.


Begitulah fungsi besar bagi satu bahagian yang kecil yang selama ini ramai yang menafikannya. Mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa manusia bukan mencipta sesuatu ilmu, malah ianya hanyalah ditemui, difahami dan digunakan melalui proses manipulasi. Manakala proses penambah baikkan dalam pemahamannya pula akan terus menjadikannya lebih mudah dari semasa ke semasa. Semoga kita terus berusaha untuk memahami.


Free Download



Perkara Menakutkan Mengenai Cacing Pita

Cyst caused by tapeworm
'Cyst' pada otak manusia yang disebabkan oleh telur 'tapeworm'.


Cacing pita atau lebih dikenali sebagai ‘tapeworm’ bukanlah sesuatu yang popular di kalangan masyarakat Malaysia atau khususnya bagi orang-orang Melayu. Namum begitu masalah kecacingan ini merupakan masalah biasa bagi kanak-kanak dan juga bagi orang dewasa – dan boleh menjadi serius sekiranya tidak diberikan perhatian.

Cacing pita biasanya mendiami perumah iaitu haiwan peliharaan seperti binatang ternakan (terutamanya lembu atau khinzir) malah ia juga turut menjangkiti haiwan lain termasuk kucing, anjing ataupun ayam. Oleh kerana telur cacing ini kecil dan sukar dilihat, amalan penyediaan makanan yang bersih perlu diamalkan dan memasak daging dengan betul dapat mengelakkan telur cacing masuk ke dalam badan kita.

Adult tapeworm
'Tapeworm' dewasa.

Cacing pita merupakan cacing yang perlu dielakkan kerana ia boleh hidup di dalam badan manusia (perumah) sehingga berusia 20 tahun lamanya dan menjangkau saiz sehingga berukuran puluhan kaki panjang. Apa yang lebih menakutkan, dalam tempoh yang sebegitu lama ia akan terus membiak dan menjadikan badan anda sebagai rumah kediamannya yang paling selesa.

Pada tahap yang serius cacing pita boleh menjadikan otak perumahnya sebagai tempat untuk ia bertelur. Pada tahap ini ia sudah pasti akan menyebabkan perumahnya mengalami kerosakan pada sistem saraf dan otak. Perkara ini sering berlaku pada haiwan yang dijangkitinya terutama khinzir dan dilaporkan juga pada manusia. Ia sudah pasti perkara yang paling anda takuti!..

Bagi mengelakkan jangkitan cacing pita atau juga lain-lain jenis cacing sudah pasti amalan kebersihan dalam penyediaan makanan perlu dititik beratkan. Malah persekitaran yang bersih juga adalah penting ini kerana anda mungkin tidak sedar bila secara tidak sengaja anda memasukkan jari atau bahan yang telah bersentuhan dengan telur cacing ke dalam mulut anda tanpa sengaja.

Extra-large tapeworm
Saiz 'tapeworm' boleh mencapai pajang di luar jangkaan.

Bagi masyarakat Melayu atau mungkin juga kaum-kaum lain mempunyai kaedah tersendiri dalam menangani masalah kecacingan. Ini menunjukkan masalah kecacingan merupakan perkara yang sejak dahulu lagi mendapat perhatian manusia. Bagi masyarakat Melayu sejenis akar kayu didapati dapat membunuh cacing di dalam badan dengan menggunakan air rebusan atau menggunakannya sebagai mandian.


Secara ringkasnya, amalan kebersihan dan penjagaan kesihatan yang baik dapat mengelakkan anda daripada dijangkiti makhluk parisit ini. Perlu diingatkan dalam segala hal, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Semoga kita sentiasa dapat mengekalkan kesihatan yang baik.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Arkib Blog