Jumaat, 24 April 2015

Mikro Post; Teleskop Angkasa James Webb

JWST mirror testing
Ujian yang dijalankan ke atas kaca pemantul pada JWST.

Setelah mencapai kejayaan yang memberangsangkan melalui pelancaran Teleskop Hubble pada April 1990 kini satu lagi teleskop akan dilancarkan untuk terus meneroka angkasa yang luas dan teleskop tersebut dinamakan James Webb Space Telescope (JWST). Walaupun Teleskop James Webb ini mempunyai kaca prima yang jauh lebih besar, namun terdapat perbezaan yang jauh ketara di antara kedua-dua teleskop angkasa ini.

Pada permulaannya teleskop ini dicadangkan pada tahun 1996 dengan nama Next Generation Space Telescope (NGST). Kemudian pada tahun 2002 ia dinamakan semula bersempena bekas pentadbir kedua NASA yang berkhidmat di antara tahun 1961 – 1968 iaitu James E. Webb (1906 – 1992) atas usaha beliau dalam membantu menjayakan progam Apollo dan menjalankan kajian saintifik sebagai teras aktiviti bagi NASA. Walaupun program ini diketuai oleh NASA ia juga turut mendapat sokongan daripada European Space Agency dan juga Canadian Space Agency serta penglibatan 17 buah negara.

Mirror comparison
Perbandingan cermin pemantul pada JWST dan juga Hubble.

James Webb Space Telescope ini mempunyai beberapa ciri utama yang amat menarik, kerana ia jauh sekali berbeza dengan Teleskop Hubble ataupun teleskop-teleskop lain – menjadikan ia begitu penting untuk dijalankan. Selain daripada mempunyai cermin pemantul prima yang lebih besar iaitu dengan saiz 6.5 meter berbanding hanya 2.4 meter pada Teleskop Hubble namun ia mempunyai berat hanya separuh berbanding Hubble. Selain itu juga JWST akan menjalankan pencerapan dalam spectrum ‘near-infrared’, walaupun begitu masih lagi boleh mengesan spectrum-spectrum cahaya yang lain.

Gold plated mirror
Kaca pemantul yang telah disadur dengan emas.

JWST akan beroperasi pada Bumi-Matahari L2 Lagrange point, pada jarak 1,500,000 kilometer (930,000 mi) dari bumi bagi memestikan ia berada dalam keadaan stabil pada kedudukan tersebut. Manakala untuk memastikan ia dapat mengukur pada spectrum cahaya yang diinginkan satu pelindung matahari dilengkapkan bagi memastikan semua peralatan berada pada suhu 50 K (-220°C ; - 370°F).

Pelancaran dijadualkan pada tahun 2018 menggunakan roket Ariane 5 setelah projek ini tertangguh beberapa kali dan kos penyelenggaraan yang terus meningkat berbanding pada kos anggaran asal pada tahun 1997 iaitu USD0.5 billion kepada USD8.8 billion pada tahun 2013. JWST diselenggarakan oleh kontraktor utamanya iaitu Northrop Grumman.

Telescope primary mirror
Perbandingan kaca utama teleskop-teleskop utama dunia.

Banyak lagi perkara yang perlu diungkapkan mengenai JWST ini, namun bagi yang berminat untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut bolehlah membuat pencarian maklumat lanjut. Selain daripada JWST terdapat beberapa teleskop lain yang sedang di dalam pembinaan dan juga perancangan dengan ciri-ciri keistimewaan masing-masing antaranya Giant Magellan Telescope (GMT), Thirty Meter Telescope (TMT) dan juga European Extremely Large Telescope (E-ELT). Begitulah usaha yang dilakukan oleh para pengkaji dalam mendalami tentang keajaiban alam semesta iaitu dengan falsafah – tiada henti.


Free Download




Keunikan Bumi Kenyalang, Sarawak

Rhinoceros Hornbill
Burung Enggang yang menjadi lambang negeri kepada Sarawak.

Serawak, Malaysia juga dikenali sebagai bumi kenyalang bersempena dengan nama Burung Enggang (Burung Kenyalang) yang menjadi simbol negeri tersebut. Oleh kerana burung Enggang sememangnya istimewa kerana hanya mendiami kawasan hutan pergunungan tebal yang jauh daripada penempatan manusia.

Walaupun terdapat beberapa spesies burung enggang, namun yang paling menjadi tumpuan adalah enggang badak ‘rhinoceros hornbill’ (Buceros rhinoceros) yang merupakan burung terbesar dalam kumpulan ini. Saiz enggang badak dewasa boleh mencapai kepada 91 – 122 cm (36 – 48 in) dengan berat antara 2 – 3 kg (4.4 – 6.6 lb). Namun begitu enggang badak bukanlah spesies yang hanya terdapat di Borneo kerana ia juga turut mendiami kepulauan Sumatera, Jawa, Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand.

Burung ini menjadi kebanggaan kebanyakan masyarakat di Sarawak dengan menjadikan bulu-bulu burung ini sebagai sebahagian peralatan hiasan mereka. Oleh kerana kawasan hutan yang luas di Sarawak, maka jumlahnya adalah lebih tinggi di negeri ini.

Selain daripada burung kenyalang tersebut, bumi Sarawak mempunyai keunikan tersendiri dengan keaslian muka buminya yang masih lagi kekal tanpa penerokaan berlebihan. Sehubungan itu, Sarawak mempunyai bilangan Taman Negara (National Park) yang jauh lebih banyak dari negeri-negeri yang lain di Malaysia. Setiap Taman Negara ini mempunyai keunikan masing-masing yang merupakan tarikan utama Negeri Sarawak sejak sekian lama.

Semengoh Nature Reserve

Orang Utan at Semenggoh
Semenggoh merupakan pusat perlindungan kepada Orang Utan.

Merupakan taman istimewa sebagai pusat pemuliharaan Hidupan Liar – di mana haiwan-haiwan yang dibela secara haram ditempatkan sebelum dilepaskan semula ke habitat mereka yang sebenar. Di sini juga tarikan utamanya adalah Orang Utan, di mana ia dilepaskan di dalam kawasan tersebut.

Terletak kira-kira 20 km daripada Bandar Kuching, taman ini mula di buka pada tahun 2000. Ia merupakan antara tarikan popular bagi para pengunjung kerana lokasinya yang berhampiran dengan bandar Kuching.

Wild Cave and Fairy Cave

Antara tarikan yang terletak berhampiran bandar Kuching juga merupakan gua yang dilengkapi dengan titian papan bagi memudahkan pengunjung melihat keunikan keadaan di dalam gua dimana keadaan stalactites dan stalagmites yang terbentuk melalui proses yang berkurun lamanya. Untuk menikmati pemandangan di dalam gua ini anda perlu menggunakan lampu suluh.

Terdapat sungai yang boleh dijadikan tempat untuk menyegarkan badan sekiranya anda meminati jeram di hutan. Antara kemudahan yang tersedia untuk melawat lokasi ini adalah tempat meletak kereta yang disediakan sehingga ke pintu masuk gua. Terdapat juga laluan titian papan untuk para pengunjung menikmati keindahan kawasan sekitar taman ini.

Lambir Hill National Park

Lambir National Park
Kepelbagaian spesies di Lambir, mendapat perhatian dunia.

Taman Negara Bukit Lambir merupakan antara kawasan yang mempunyai kepelbagaian flora dan fauna yang terpaling padat di dunia dengan keluasan 52 ha, daripada keseluruhan kawasannya iaitu 7,000 ha, terdapat sekitar 1,050 spesis pokok yang berbeza di mana setiap satunya menyokong kira-kira 1,200 spesies serangga.

Bagi yang meminati penjelajahan hutan pula bolehlah menyusuri trek yang mencabar untuk pendakian Bukit Lambir dengan ketinggian 465 meter yang memberikan anda pemandangan menarik keadaan hutan sekelilingnya. Terdapat juga menara setinggi 22 meter untuk memberikan anda lebih pengalaman dalam menghayati keunikan hidupan pada aras tersebut samada tumbuhan ataupun burung dan serangga.

Seperti juga di mana-mana taman negara sekitar Sarawak, di sini juga terdapat air terjun dan jeram yang boleh mengembalikan kesegaran anda selepas penat menjelajahi hutan tebal taman ini.

Terletak kira-kira 30 minit dari Miri iaitu bandar kedua terbesar di Sarawak, ia merupakan satu lagi taman negara yang mudah dikunjungi. Samada anda ingin melawatinya dalam tempoh sehari atau tinggal di kemudahan penginapan yang disediakan di pusat taman ini.

Similajau National Park

Similajau terletak 30 kilometer di Utara Bintulu. Ia merupakan kawasan taman yang meliputi persekitaran pantai dengan hidupan liar yang agak berbeza. Persisiran pantai taman ini merupakan pantai landai dengan pasir yang kuning keemasan. Selain itu juga ia merupakan kawasan perlindungan bagi buaya air masin yang biasanya akan menghabiskan masa menjemur badan di bawah matahari. Penyu turut menjadikan kawasan ini sebagai kawasan persinggahan mereka untuk bertelur, selain daripada haiwan-haiwan lain seperti babi hutan, monyet dan kera serta sekitar 185 spesies burung termasuk enggang dan helang laut.

Similajau merupakan kawasan yang sesuai bagi peminat pemerhati burung selain daripada haiwan-haiwan hutan yang lain. Keindahan Similajau boleh dinikmati melalui pantai mahupun menggunakan bot persiaran.

Batang Ai National Park

Batang Ai National Park
Kemudahan selesa di Batang Ai Hilton.

Taman yang merangkumi kawasan tasik buatan manusia seperti juga Tasik Kenyir, iaitu melalui pembinaan empangan hidro elektrik. Kawasan ini juga menjadi kawasan penempatan orang-orang Iban dengan rumah panjangnya.

Kawasan-kawasan penempatan orang Iban ini boleh dikunjungi dengan menyusuri sungai daripada tasik tersebut. Selain daripada menghabiskan masa di rumah panjang mereka, para pengunjung juga mungkin berpeluang untuk bersama-sama dengan mereka menyusuri hutan dan melihat suasana kehidupan Orang Utan.

Bagi pengunjung yang ingin menghabiskan masa di sini juga boleh memilih untuk tinggal di hotel yang diselenggarakan oleh syarikat perhotelan Hilton. Hotel yang menarik ini didirikan bercirikan rumah panjang di Sarawak sememangnya menjanjikan penginapan yang selesa.

Loagan Bunut National Park

Loagan Bunut merupakan tasik terbesar di Sarawak dengan keluasan 650 hektar. Ia adalah nama yang diberikan oleh orang-orang Berawan untuk tasik tersebut. Keunikan tasik ini adalah, ia akan hilang sepenuhnya semasa musim kemarau yang kebiasaannya pada bulan Februari sehingga Mei atau Jun.
Semasa tasik ini kering pelbagai haiwan dapat dilihat melewati kawasan berlumpur tasik ini termasuklah rusa, babi hutan, kancil, juga monyet dan kera yang mendiami kawasan hutan taman negara ini.

Orang-orang Berawan yang tinggal di persekitaran tasik ini menjadikan tasik ini sebagai salah satu sumber bekalan penangkapan ikan mereka. Menggunakan teknik yang dipanggil sebagai ‘selambau’ iaitu dengan menyauk ikan yang berpindah masuk ke tasik ini setiap kali berlaku perubahan paras pada air tasik.

Loagan Bunut terletak agak jauh ke pendalaman iaitu kira-kira 130 kilometer daripada Bandar Miri dan memerlukan kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke kawasan ini.

Mulu National Park

The Pinnacles Mulu
The Pinnacles yang amat terkenal di Mulu.

Taman Negara Mulu merupakan sebahagian daripada kawasan yang diisytiharkan sebagai Warisan Dunia UNESCO sebagai kawasan semulajadi terindah menyediakan pelbagai pengalaman untuk diterokai termasuk rangkaian gua terbesar, ‘rock climbing’, ‘jungle trekking’, kayak, basikal lasak, jeram, juga penempatan penduduk asli yang masih kekal.

Keunikan rangkaian gua di Taman Negara Mulu ini antaranya adalah Sarawak Chamber dengan keluasan yang menakjubkan, manakala Gua Rusa yang mempunyai laluan terbesar dan sungai terpanjang di Asia Tenggara di dalam Clearwater Cave yang mencapai 108 kilometer.

Menjelang senja pula, anda boleh menyaksikan jutaan kelawar yang terbang bagaikan sungai keluar daripada Deer Cave dalam perjalanan mereka keluar untuk mencari makanan.

Taman ini juga mempunyai flora dan fauna yang menarik termasuklah 15 kawasan hutan yang berbeza. Mengandungi ribuan spesies paku-pakis, kulat, lumut dan tumbuhan berbunga. Terdapat kira-kira 170 spesies orkid liar dan 10 spesies tumbuhan periuk kera yang unik – dan juga tumbuhan-tumbuhan yang mungkin masih belum ditemui.

Antara kawasan yang paling menarik di Mulu National Park adalah Pinnacles yang terletak di Gunung Api yang terdiri daripada batu kapur berbentuk meruncing dikelilingi oleh kawasan hutan.

Semasa anda menerokai taman ini anda mungkin berpeluang untuk menemui sendiri masyarakat tempatan yang terdiri daripada Iban, Berawan dan juga Penan yang masih mengamalkan hidup berpindah randah.

Terdapat beberapa kemudahan untuk bermalam di kawasan Taman Negara Mulu termasuklah Royal Mulu Resort atau di kawasan-kawasan perkhemahan yang disediakan.

Niah National Park

Niah Cave, Sarawak
Penempatan tertua di Asia Tenggara di Gua Niah, Sarawak.

Gua Niah merupakan tempat yang paling popular menjadi penempatan manusia sejak 40,000 tahun yang lalu melalui peninggalan mereka yang terdapat di dalam gua tersebut. Ia merupakan kesan tinggalan tertua yang dijumpai di Asia Tenggara.

Kesan-kesan tinggalan ini masih lagi terdapat di dalam gua tersebut untuk memberi peluang kepada para pengunjung menyaksikan sendiri keunikan tinggalan penempatan tertua ini. Gambar-gambar di dinding gua juga keranda yang berbentuk perahu masih lagi dijaga dengan baik bagi tatapan pengunjung.

Ia adalah 2 jam perjalanan daripada Miri ataupun Bintulu kemudian melalui laluan papan menyusuri kawasan rendah di dalam hutan yang kaya dengan pelbagai burung dan rama-rama. Terdapat juga laluan menuju ke kawasan-kawasan lain termasuk penempatan orang-orang Iban.

Terdapat juga chalet-chalet dan asrama disediakan bagi yang perlu bermalam di sini untuk menikmati pelbagai keunikan penghuni hutan antaranya kelawar dan burung layang-layang yang pulang ke sarang. Anda juga mungkin berpeluang menikmati malam dengan bercahayakan cahaya bulan bersama bunyi-bunyian daripada penghuni hutan yang lain.


Begitulah sebahagian daripada keunikan yang boleh anda nikmati daripada Taman-taman Negara yang terdapat di Sarawak atau Bumi Kenyalang ini. Sebagai negeri terbesar di Malaysia yang masih lagi mengekalkan keaslian sebahagian besar daripada kawasannya dalam bentuk semulajadi. Namun daripada keaslian inilah yang menarik ramai pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman, atau meneroka rahsia alam yang masih belum lagi diketahui umum. Bersama kita hargai keunikan ini untuk dimanfaatkan dengan sebaiknya.



Free Download



Selasa, 21 April 2015

Semut Pemotong Daun - Atta cephalotes

leaf cutter ants
Semut pemtong daun dengan potongan daun masing-masing.

Semut merupakan serangga yang amat rajin dan sering dijadikan contoh melambangkan kerajinan. Populasi semut yang tinggal dalam sebuah koloni yang besar juga akan bekerja secara bergotong-royong bagi membolehkan koloni tersebut terus membesar dan hidup dengan sejahtera. Selain daripada itu semut juga hidup dalam sebuah kumpulan yang mempunyai struktur yang lengkap daripada pemaisuri, raja, askar, pekerja dan sebagainya. Jadi struktur kemasyarakatan telahpun di amalkan oleh semut sejak jutaan tahun lagi.

Ada satu lagi yang menarik tentang semut yang ingin dipaparkan buat kali ini. Mungkin kebanyakan kita tidak menyedari bahawa semut juga merupakan antara serangga yang mempunyai kemahiran untuk menghasilkan makanan melalui – pertanian!

Leaf cutter ant - cutting
Semut pemotong, melakukan kerja-kerja pemotongan.

Anda mungkin pernah mendengar mengenai semut pemotong daun. Semut ini juga dikenali dengan nama ‘Atta cephalotes’ – juga dari spesis-spesis ‘Atta’ yang lain. Semut pemotong daun tinggal dalam koloni yang besar dengan purata 5 juta ekor di dalam satu koloni. Bagi menampung keperluan makanan semut-semut di dalam koloni ini, kaedah yang terpaling baik adalah dengan menanam sendiri sumber makanan mereka.

Walaupun semut-semut pemotong daun sering dilihat mengangkut potongan-potongan daun kembali ke sarang mereka dengan banyak, daun-daun tersebut bukanlah untuk dijadikan makanan kepada mereka. Daun tersebut adalah digunakan untuk penanam fungus yang merupakan makanan sebenar kepada semut-semut ini.

leaf cutter ants trail
Semut-semut pemotong daun membawa daun balik ke sarang.

Semut-semut pemotong daun ini adakalanya perlu mendapatkan bekalan daun-daun beberapa ratus meter daripada sarangnya – bagi serangga sebesar semut, jarak ini adalah agak jauh. Selain daripada itu, semut-semut ini juga mempunyai kekuatan untuk mengangkat berat 50 kali ganda daripada beratnya sendiri. Semut ini juga mengumpul daun daripada pelbagai bahagian hutan iaitu daripada lantai hutan sehinggalah ke bahagian atas pokok.

leaf cutter ant - fungus
Keadaan ladang fungus yang diternak oleh semut.

Daun-daun yang dikumpulkan di dalam sarang akan dikunyah menjadi halus dan dicampurkan dengan najis semut itu sendiri sebagai baja sebelum dikumpulkan di dalam ruangan penanaman fungus. Fungus yang  dikenali sebagai ‘Leucogaricus gonglypherous’ merupakan fungus yang dibesarkan di dalam ladang semut. Selain daripada fungus, proses penanaman ini juga memerlukan semut menggunakan beberapa jenis bakteria bagi membantu proses penguraian daun dan juga dalam mengawal tumbersaran fungus daripada jangkitan. Semasa proses tumbesaran fungus ini, proses penjagaan akan dilakukan oleh kumpulan semut yang dikhususkan untuk kerja-kerja penjagaan sahaja.


Kemahiran semut-semut ini menanam fungus adalah kemahiran yang telah diamalkan sejak jutaan tahun dahulu. Semut-semut ini juga mungkin terus memperbaiki kaedah penanamannya disepanjang tempoh masa tersebut. Ia sama juga seperti ikan sumpit yang perlu melatih diri mereka untuk menyumpit air kepada serangga – kerana alam hidupan juga adalah amat mencabar.




Free Download



Keunikan Tumbuhan Borneo

Pitcher Plants
Periuk kera merupakan antara tumbuhan unik di Borneo.

Borneo terkenal dengan keunikan kepelbagaian hidupannya yang unik sama juga dengan kepulauan-kepulauan lain yang berhampiran seperti Papua New Guinea dan Sulawesi. Walaupun terdiri daripada beberapa kawasan utama iaitu Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan, keseluruhan kepulauan Borneo menyimpan khazanah uniknya untuk diterokai.

Borneo memiliki kira-kira 3,000 spesis pokok, 1,700 spesis orkid dan lebih daripada 50 spesis tumbuhan periuk kera (pitcher plant). Kawasan hutan Borneo amat padat dengan kepelbagaian spesis; di kawasan seperti Taman Negara Gunung Lambir, Sarawak yang merekodkan 1,175 spesis pokok di dalan kawasan seluas 52-ha (sekitar keluasan 52 padang bola) – yang juga merupakan kepelbagaian yang paling tinggi direkodkan di Borneo.

Kebanyakan tumbuhan Borneo juga adalah merupakan tumbuhan yang unik hanya untuk kepulauan ini sahaja. Sekitar 5,000 spesis (34%) tumbuhan berbunga di Borneo termasuk di dalam kumpulan tumbuhan ini. Ia merupakan salah satu punca mengapa kepulauan Borneo merupakan kawasan tarikan yang amat istimewa.

Borneo landscape
Bentuk muka bumi yang menyimpan kepelbagaian hidupan.

Antara tumbuhan yang sudah terkenal seperti Rafflesia arnoldi – yang juga diberikan gelaran sebagai bunga terbesar amat sinonim dengan Sarawak. Malah terdapat juga spesis titan arum (Amorphophallustitanum) juga dikenali sebagai ‘bunga bangkai’ - juga mengeluarkan bunga terbesar selain daripada menghasilkan bau kuat seakan-akan mayat yang mereput. Spesis yang sama juga turut terdapat di Kepulauan Sumatera, Indonesia.

Bagi peminat tumbuhan pemangsa (Nepenthes) pula seperti periuk kera; Borneo mempunyai kepelbagaian  spesis yang menarik. Tumbuh meliar di kawasan yang kurang subur. Tumbuhan-tumbuhan ini menjadikan serangga sebagai sumber bekalan nutrientnya. Serangga yang tertarik dengan bauan yang dihasilkan akan terjatuh di dalam cecair yang terdapat di dalam kantung tumbuhan ini seterusnya mereput untuk diserap sebagai punca makanan.

Rafflesia arnoldi
Rafflesia juga merupakan hidupan unik di sini.

Selain daripada tumbuhan-tumbuhan di atas terdapat kepelbagaian orkid berbunga iaitu kira-kira 3,000 spesis di dalam hutan Borneo. Orkid merupakan tumbuhan unik yang tumbuh dengan melekat pada dahan-dahan pokok yang tinggi bagi membolehkannya mendapat cahaya dan sumber makanan. Kepelbagaian orkid di Borneo adalah antara tertinggi di dunia.


Keunikan tumbuhan dan haiwan di Borneo inilah yang menjadikan ia sebagai satu tarikan menarik bagi pelawat, pengkaji juga kepada penduduk asal di Sabah dan Sarawak. Sejak sekian lama, sumber bumi ini dijadikan sebagai bahan utama membekalkan makanan, bahan membina tempat tinggal juga digubah menjadi peralatan bagi keperluan kehidupan harian mereka. 

Borneo peoples
Masyarakat yang hidup di Borneo memanfaatkan sumber alam dengan baik sekali.



Free Download



Jumaat, 17 April 2015

Bas Yang Menggunakan Gas Dari Sisa Buangan

GENeco Biobus
GENeco merupakan bus yang menggunakan gas yang dihasilkan dari sisa kumbahan.

Bahan sisa buangan selalu menjadi punca masalah kepada pencemaran. Selain daripada mendatangkan bau yang tidak menyenangkan, ia juga boleh mencemari punca bekalan air dan merosakkan alam sekitar. Banyak usaha dijalankan selain daripada menguruskan sistem pelupusan sisa buangan ini, usaha yang lebih baik adalah menggunakannya sebagai sumber penghasilan tenaga.

Oleh kerana populasi yang tinggi di kawasan pusat bandar, maka sistem pembuangan sisa buangan juga adalah tinggi. Malah pencemaran udara juga adalah kian meruncing. Selain daripada gas buangan dari asap kenderaan, pencemaran juga turut disumbangkan oleh kepesatan industri sektor perkilangan.

Sehubungan itu satu usaha menarik yang dijalankan  di U.K. adalah dengan menggunakan Bio-Bus. Ianya adalah rekaan daripada syarikat penghasilan biogas GENeco, iaitu sebahagian daripada syarikat air tempatan. Bus tersebut mengharungi jarak kira-kira 186 batu dalam satu tangki penuh menggunakan sisa buangan setahun yang dihasilkan oleh lima orang!

Biogas kurang membebaskan pencemaran tidak seperti enjin bahan bakar petroleum juga kurang bahan pencemaran lain seperti benzene dan arsenic sehingga 97 peratus. Manakala apabila ditukar kepada bentuk biogas, gas yang dibebaskan oleh kenderaan ini tidaklah seperti daripada bahan yang menghasilkannya (sisa makanan dan kumbahan).


Biogas tank
Menggunakan tangki-tangki seperti inilah proses penghasilan Biogas dijalankan.

Selain daripada digunakan untuk Bio-Bus, GENeco juga sebenarnya turut menghasilkan tenaga elektrik yang diagihkan kepada 8,500 buah rumah.

Biogas (atau juga dikenali sebagai “biomethene”) adalah dihasilkan melalui proses yang dipanggil ‘penguraian anearobic’ – iaitu proses penguraian yang dilakukan oleh bakteria-bakteria anearobik. 
Proses ini berlaku di dalam tangki-tangki kurang oksigen, atau tangki pengurai bagi bakteria (juga mikro-organisma lain) menghuraikan bahan organik. Proses ini akan menghasilkan dua bahan iaitu; biogas (terdiri daripada methane dan juga karbon dioksida) dan bahan hampas yang boleh digunakan untuk tujuan panternakan dan juga sebagai baja. Methane kemudiaannya akan diproses supaya sesuai untuk kegunaan sebagai bahan bakar kenderaaan atau penjanaan elektrik.

Selain daripada usaha penghasilan biogas ini,  terdapat beberapa lagi negara di Eropah yang menggunakan bahan buangan untuk menghasilkan tenaga. Jadi, selain daripada dapat mengurangkan masalah pelupusan sampah ia juga dapat mengurangkan pencemaran – bahan buangan juga dapat memberikan manfaat kepada manusia.








Free Download



Rabu, 15 April 2015

Akuarium-akuarium Terkenal di Dunia

Arapaima Gigas
Ikan arapaima merupakan antara spesis akuatik yang dipamerkan di Aquaria, KLCC

Akuarium menjadi salah satu tarikan di bandar-bandar besar di dunia. Selain memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat keunikan hidupan akuatik, ia juga menjadi salah satu tempat kajian pemuliharaan hidupan laut, selain daripada tempat pendidikan kepada orang ramai tentang pentingnya hidupan-hidupan ini kepada ekosistem.

Walaupun secara umumnya keunikan akuarium dilihat daripada jumlah hidupan yang terdapat di dalamnya – dan juga spesis-spesis yang jarang disimpan di dalam akuarium. Tetapi apa yang penting sebenarnya adalah usaha yang dijalankan oleh sesuatu pusat akuarium tersebut. Ini kerana tidak semua pusat akuarium dapat menyediakan persembahan yang memberikan informasi yang cukup kepada pengunjung dan kakitangan yang terlatih untuk membantu pengunjung mendapat informasi yang tepat.

Kepesatan teknologi hari ini membolehkan saiz akuarium diperbesarkan dengan sistem pembersihan air, pencahayaan yang cukup, pengawalan suhu, pengudaraan, penapisan air dan peralatan lain yang membolehkan bukan sahaja hidupan air tawar disimpan di dalam akuarium malah hidupan laut juga ditempatkan di dalam akuarium yang bersaiz amat besar.

Terdapat beberapa akuarium di yang terkenal di negara kita antaranya iaitu Akuaria, KLCC; Underwaterworld, langkawi; Oceanarium, Melaka; dan yang paling tertua sekali adalah Tunku Abdul Rahman Aquarium di Zoo Negara, Kuala Lumpur. Sebagai akuarium yang paling moden, Akuaria merupakan pusat akuarium yang terbaik di negara kita dan sedikit sebanyak dapat memberikan kita pengalaman mempelajari tentang kehidupan haiwan-haiwan akuatik dengan lebih dekat.

Jadi untuk lebih menarik lagi mari kita lihat pula beberapa akuarium ternama lain yang terdapat di dunia dan keunikan yang diketengahkannya.

Okinawa Churaumi Aquarium, Okinawa, Japan


Okinawa Churaumi Aquarium ini merupakan pusat akuarium yang mempunyai panel acrylic terbesar di dunia sebelum aquarium di Dubai siap di bina. Mula dibuka pada tahun 2002 sebagai sebahagian daripada acara Ocean Expo Park. Di akuarium ini juga dalam tempoh 3 tahun terdapat 4 ekor pari manta dilahirkan. Selain itu juga ia menyediakan pelbagai lagi kejutan untuk para pengunjung yang datang ke sini.

uShaka Marine Wold, Durban, South Afrika


Berbeza dengan akuarium ini uShaka Marine World yang terletak di Durban, Afrika Selatan direka menerupai kapal karam yang mebuatkan ianya lebih unik. Dibina bersebelahan pantai uShaka dan sebahagian daripada taman tema yang penuh dengan keriangan. Haiwan-haiwan yang ditempatkan di sini juga amat menarik iaitu daripada ikan lumba-lumba sehinggalah kepada kuda laut. Terdapat juga restoran (Cargo Hold) yang menyediakan pemandangan hidupan laut yang unik. Jadi akuarium ini menyediakan lebih peluang hiburan selain daripada menghayati keunikan hidupan laut.

Shanghai Ocean Auarium, Shanghai, China


Dengan kepesatan pembangunan di China tidak hairanlah dengan adanya Akuarium ini untuk menampilkan kehidupan-kehidupan unik di China terutamanya daripada Sungai Yangtze, ini termasuklah haiwan terancam dari sungai tersebut seperti buaya Yangtze, Salamander gergasi selain daripada ‘Chinese water dragon’ dan juga spesis penguin yang luar biasa daripada Antartica. Pusat akuarium ini juga dilengkapi dengan terowong bawah air sepanjang 155 meter untuk tatapan para pengunjung.

Monterey Bay Aquarium, Monterey, California


Monterey Bay Aquarium sememangnya antara akuarium yang terkenal di dunia, mula dibuka sejak tahun 1984 lagi. Ia bukan sahaja berjaya menempatkan lebih daripada 35,000 spesis hidupan akuatik malah menyediakan banyak bahan pendidikan untuk para pengunjung pelajari apabila berkunjung ke sini. Spesis yang ditempatkan di sini termasuklah daripada jenis paus, jerung tukul, ikan pari, ikan tuna biru, ampai-ampai, sardin, belut dan juga memerang laut. Monterey Bay Aquarium amat terkenal kerana ia amat komited sekali dalam misinya dalam memelihara hidupan laut dan memberikan pendidikan kepada orang ramai mengenai keunikan hidupan-hidupan ini.

L’Oceanografic, Velencia, Spain


Akuarium ini terletak di Valencia, Spain dengan struktur bangunan unik yang menyerupai bunga terarai dan merupakan akuarium terbesar di Eropah dan juga merupakan yang terbesar di dunia! Dengan kawsan yang meliputi 110,000 meter persegi. Ia terletak di tengah-tengah komplek futuristic City of Arts and Sciences. Akuarium ini bagaimanapun lebih menekankan kepada haiwan-haiwan daripada tiga ekosistem iaitu Antartik, Artik dan Lautan Mediterranean. Akuarium ini menempatkan kira-kira 45,000 hidupan laut daripada ketiga-kita kawasan yang disebutkan tadi.

Turkuazoo, Instanbul, Turkey


Akuarium Turkuazoo ini dibuka pada tahun 2009 dan dari dana yang disalurkan oleh orang ramai. Ia merupakan pusat kajian marin dan akuatik di rantau tersebut. Akuarium ini terletak di Forum Instanbul Shopping Mall. Keunikannya adalah kerana memiliki 30 zon dengan bahan pameran yang berlainan termasuk satu diantaranya khusus bagi lautan tropika, dan juga hutan banjir (seperti di Akuaria, KLCC), dan pada satu lagi bahagian yang berbeza iaitu hutan-hujan. Ia menempatkan kira-kira 10,000 hidupan laut termasuk ikan pari gergasi, tiger sharks, juga spesis piranha. Ia merupakan tempat yang menarik untuk mempelajari kepelbagaian hidupan laut.

Aquadom, Berlin, Germany


Berbeza dengan Aquadom yang terletak di dalam Radisson Hotel di Berlin, Germany saiznya adalah agak kecil berbanding dengan akuarium-akuarium lain. Namun begitu strukturnya yang dibina secara membulat dengan diameter 11 meter dan berketinggian 25 meter ini mampu menempatkan lebih daripada 2,600 spesis hidupan laut. Terdapat lift ditengah-tengah akuarium ini di mana anda boleh menaikinya sehingga ke atas tangki akuarium tersebut untuk melihat pula keunikan akuarium ini dari atas.

Georgia Aquarium, Atlanta, Georgia


Georgia Aquarium di Atlanta ini merupakan salah satu akuarium terbesar di dunia. Dibuka pada tahun 2005 dengan sumbangan USD250 juta daripada Bernie Marcus, iaitu pemilik Home Depot. Akuarium ini menampilkan beberapa bahagian yang menakjubkan termasuk bahagian Ocean Voyager di mana ia menempatkan ikan yu paus dengan kapasiti tangki sebanyak 24 juta liter air setiap satu.

The Deep Aquarium, Hull, England


Walaupun tidak mempunyai tangki-tangki sepertimana akuarium besar yang lain The Deep Aquarium masih merupakan antara yang terbaik kerana menyediakan program pendidikan yang agak menarik. Ia juga merupakan hasil daripada dana daripada orang ramai untuk menyediakan bahan pendidikan mengenai kehidupan laut. Dibuka pada tahun 2002 dengan antara bahan menariknya adalah 7 spesis jerung selain daripada 3,500 hidupan laut dari pelbagai jenis. Ia merupakan pusat kajian marin yang penting melalui makmal akuatiknya yang moden.

Dubai Aquarium and Discovery Center, Dubai, United Arab Emirates


Sebagai pelengkap kepada semua pembangunan mega di Dubai, ia juga turut dilengkapkan dengan Dubai Aqurium and Discovery Center yang memiliki panel acrylic terbesar di dunia. Selain itu juga ia turut disertakan dengan program-program pendidikan dan acara seperti menyelam bersama di dalam akuarium. Akuarium ini menempatkan lebih daripada 33,000 spesis hidupan laut dengan ruang pameran yang juga tidak kurang seperti di pusat-pusat akuarium yang lain iaitu laluan terowong dan bahagian-bahagian pameran yang berbeza.


Begitulah sebahagian daripada banyak lagi akuarium hebat yang terdapat di dunia. Rata-ratanya yang membezakan keunikan akuarium ini adalah fungsinya dalam memberikan pendidikan kepada orang ramai dan juga usahanya dalam pemuliharaan hidupan akuatik. Sehubungan itu terpulang kepada anda untuk membuat pilihan tentang pusat akuarium manakah yang menjadi pilihan anda – namun pastikan ianya mampu memberikan informasi yang anda perlukan. Mungkin juga terdapat beberapa pusat akuatik yang perlu dikunjungi untuk melengkapkan keperluan tersebut. 



Free Download



Arkib Blog