Ahad, 21 Mei 2017

Bijirin Sumber Makanan Dunia; Sorghum

Biji-biji sorghum yang matang pada pokoknya.

Sorghum merupakan antara bijirin terpenting selepas jagung, gandum, beras (padi) dan soya. Ia mungkin kurang dikenali di negara-negara yang mempunyai sumber air yang mencukupi, kerana bijirin lain mudah ditanam. Namun bagi negara-negara yang kering sorghum merupakan antara sumber makanan penting yang dapat memberikan sumber tenaga kepada penduduk di kawasan tersebut.

Sorghum juga tidak seperti tanaman-tanaman yang lain di mana ia bukan sahaja menjadi sumber makanan kepada manusia malah juga dijadikan sebagai makanan haiwan ternakan. Bagi bijirin seperti jagung pula industri penghasilan ethanol meningkatkan lagi permintaan terhadap tanaman tersebut. Jadi apakah keunikan sorghum selain ianya tahan kemarau dan cuaca yang panas?

Sorghum banyak digunakan di negara-negara Afrika, India, Amerika Tengah, Timur Tengah dan Amerika. Malah ia juga merupakan bijirin tanaman ketiga terpenting di Amerika sendiri yang merupakan pengeluar terbesar sorghum di dunia. Ia merupakan makanan pemberi tenaga yang baik seperti juga gandum dan beras. Maka penggunaan sorghum sebagai makanan utama adalah merupakan satu pilihan yang tepat.

Ladang sorghum yang luas.

Biji-biji sorghum dari dekat belum diproses.

Biji sorghum yang telah diproses.

Seperti bijirin-bijirin lain sorghum mengandungi 70% kanji yang membekalkan tenaga. Ia bagaimanapun perlu diproses proses, kerana penghadaman sorghum adalah kurang baik sebelum ianya diproses (dimasak atau di steam). Satu lagi kebaikan sorghum adalah ianya tidak mengandungi gluten dan sesuai bagi mereka yang mempunyai alahan terhadap gluten. Selain kanji, sorghum juga kaya dengan kandungan protein dan lain-lain khasiat yang tidak terdapat dalam bijirin yang lain. Namun pengambilan sorghum sahaja adalah tidak memadai untuk memenuhi keperluan pemakanan yang mencukupi.

Sorghum digunakan terutamanya sebagai bahan makanan, makanan ternakan dan juga digunakan untuk menghasilkan minuman (beralkohol). Oleh kerana ia merupakan tanaman yang tahan cuaca kemarau sorghum lebih dikenali di bahagian-bahagian seperti Afrika, Amerika Tengah dan Selatan Asia. Ia merupakan bijirin kelima terpenting di dunia sebagai sumber makanan.

Sorghum boleh digunakan dalam penyediaan pelbagai jenis makanan.

Roti tanpa gluten sesuai bagi mereka yang alah kepada gluten.

Roti yang disediakan menggunakan tepung sorghum.

Seperti juga bijirin-bijirin lain ia boleh dimasak begitu sahaja selain dijadikan tepung, bubur dan juga molasses (seperti gula merah). Setiap daerah yang menggunakan sorghum sebagai makanan ini tentulah mempunyai nama resipi masing-masing yang berbeza-beza dengan kaedah penyediaan yang hampir sama. Jadi makanan tersebut adalah berbentuk seperti yang dinyatakan di atas.

Sedikit keunikan sorghum adalah dalam penyediaan roti ‘injera’ di Ethiopia yang perlu diperam (penapaian) terlebih dahulu, manakala di Sudan proses tersebut digunakan untuk menghasilkan ‘kisra’. Di India pula sorghum digunakan bagi menggantikan beras untuk menghasilkan makanan yang dikenali sebagai ‘dosa’. Ia juga digunakan bagi menggantikan jagung untuk menghasilkan ‘tortillas’ bagi negara-negara di Amerika Tengah seperti di El Salvador. Antara lain keunikan sorghum adalah ia juga sesuai digunakan untuk menghasilkan bertih seperti juga ‘popcorn’. Penggunaan sorghum juga semakin meningkat bagi menghasilkan makanan yang bebas ‘gluten’.

Sorghum juga merupakan bahan penting dalam penyediaan makanan bagi orang-orang Arab. Sorghum digunakan untuk menghasilkan ‘couscous’, bubur, sup dan juga kuih-muih. Malah ia merupakan bahan campuran dengan tepung bijirin lain atau kanji untuk menghasilkan roti. Biji dan batang pokoknya pula dijadikan sebagai makanan ternakan lembu dan ayam. Bahagian-bahagian pokok sorghum ini juga digunakan untuk membina bumbung rumah, pagar, bakul, penyapu, berus selain turut digunakan sebagai bahan bakar. Terdapat juga catatan dalam Ilmu Perubatan Islam mengenai penggunaan tumbuhan ini.

'Sorghum molasses' antara produk dihasilkan dari sorghum.

Manisan yang digemari di bahagian Selatan US.

Sorghum menghasilkan bahan manisan amat digemari di bahagian Selatan Amerika iaitu ‘sorghum syrup’, sama juga seperti mana ‘maple syrup’ yang lebih popular di bahagian Utara. Sebagai bahan manisan, ia digunakan bersama-sama dengan biskut, roti, pancakes, bijirin dan lain-lain. Walaupun ia kurang popular hari ini, namun sesetengah penduduk di Selatan Amerika masih lagi menggemari ‘sorghum syrup’.

Tidak kurang penting juga penggunaan sorghum dalam menghasilkan minuman. Walaupun ia merupakan minuman beralkohol, ia tetap merupakan salah satu kegunaan penting sorghum yang mampu menghasilkan minuman ‘beer’ tanpa gluten. Minuman seumpamanya juga turut dihasilkan menggunakan ‘buckwheat’, sejenis lagi bijirin yang jarang kita gunakan. Penghasilan ‘beer’ sorghum ini juga semakin meningkat dengan pertambahan jenama-jenama baru.


Itu merupakan sebahagian sahaja dari kisah bijirin kelima penting di dunia. Malah banyak lagi kegunaan tumbuhan unik kali ini. Sekiranya anda ingin mengetahuinya lebih lanjut maka bolehlah melakukan carian tambahan mengenai keunikan tumbuhan sorghum ini. Walaupun ia tidak terdapat di negara kita (atau Asia Tenggara), pengetahuan mengenainya tetap penting sebagai salah satu ilmu yang boleh memberikan manfaat.


Free Download





Selasa, 16 Mei 2017

Bijirin Sumber Makanan Dunia; Jagung (Corn)

Jagung moden kelihatan cantik dan amat tersusun.

Jagung merupakan tanaman yang paling banyak ditanam di seluruh dunia berbanding dengan bijirin-bijirin yang lain. Ini kerana selain menjadi sumber makanan jagung sebenarnya turut digunakan untuk menghasilkan beberapa bahan penting seperti ethanol, makanan haiwan ternakan dan bahan hasil jagung lain seperti kanji jagung (corn starch) dan juga sirap jagung (corn syrup).

Jagung merupakan satu lagi tumbuhan yang telah ditanam dan digunakan oleh manusia sejak ribuan tahun dahulu di bahagian Selatan Mexico iaitu sejak 10,000 tahun dahulu. Ia kemudiannya berkembang ke seluruh dunia dan menjadi sumber makanan penting di bahagian-bahagian lain dunia juga terutamanya di bahagian sub-Sahara Afrika. Jagung merupakan sumber karbohidrat, protein, zat besi, vitamin B dan juga sebahagian mineral yang penting untuk manusia.

Jenis-jenis jagung.

Jagung yang sedang berbunga.
Kawasan tanaman jagung di seluruh dunia.

Sebelum dijadikan sebagai tanaman pertanian oleh manusia, pokok jagung merupakan tumbuhan yang kecil dengan saiz tongkol yang hanya berukuran 25 milimeter. Jumlah tongkol jagung yang dihasilkan oleh sebatang pokok jagung pula hanyalah satu sahaja. Teknik penanaman dan pemilihan baka yang dilakukan oleh para petani sejak dahulu lagi di Benua Amerika Selatan telah menghasilkan jagung yang produktif sebagai sumber tanaman.

Kedatangan pendatang Eropah ke Benua Amerika membawa pulang tanaman jagung ke Eropah dan memperkenalkannya kepada negara-negara lain. Namun begitu pendatang-pendatang Spanish lebih memilih makanan berasaskan gandum berbanding jagung, ubi ataupun kentang. Mereka juga berpendapat memakan makanan seperti penduduk asli ini akan turut menjadikan mereka seperti orang-orang “Indian” tersebut.

Tanaman jagung berjaya ditanam dengan meluas adalah kerana jagung berupaya untuk hidup dalam keadaan cuaca yang pelbagai. Ia pada mulanya ditanam di Sepanyol kemudiannya berkembang ke Itali, Barat Afrika dan merebak ke bahagian-bahagian lain dunia. Ia selain dijadikan sumber makanan utama, turut digunakan sebagai makanan haiwan ternakan, malah turut digunakan untuk menghasilkan minyak dan juga minuman seperti “bourbon whiskey”.

Ladang jagung yang luas.

Penggunaan mesin amat penting.

Saiz mesin dengan keupayaan tinggi.

Hari ini baka tanaman jagung boleh mencapai sehingga 3 meter tinggi, malah ada juga baka semula jadi yang mampu mencecah sehingga 12 meter. Sebatang pokok jagung mengandungi kira-kira 20 pusat dengan jarak antaranya adalah 18 cm. Pada setiap pusat ini pula terdapat sehelai daun dengan keluasan 9 cm lebar dengan kepanjangan 120 cm.

Jagung-jagung moden ditanam untuk beberapa tujuan dan terdapat 6 jenis utama jagung iaitu  jagung lembut (dent corn), jagung keras (flint corn), pod corn, popcorn, jagung untuk tepung (flour corn), dan jagung manis (sweet corn). Antara jagung-jagung ini antara yang popular adalah jagung ‘popcorn’, yang digunakan untuk menghasilkan ‘popcorn’, dan juga jagung manis yang biasanya digunakan untuk menghasilkan jagung rebus yang boleh terus dimakan begitu sahaja. Manakala terdapat juga spesies jagung yang jarang dikenali seperti jagung biru (blue corn) misalnya.

'Blue corn' hanya ditanam di kawasan tertentu.

Jagung bakar antara hidangan menarik.

'Sweetcorn soup'.

'Cactus and corn salsa'.

Adapun jagung yang ditanam secara komersial, lebih bertujuan untuk menghasilkan keperluan industri seperti penghasilan bahan makanan kanji jagung (corn starch) dan juga sirap jagung (corn syrup). Manakala ia juga penting dalam menghasilkan sumber makanan haiwan ternakan selain digunakan untuk menghasilkan minyak jagung dan juga dalam penghasilan bahan bakar ethanol. Penghasilan ethanol menggunakan jagung ini juga merupakan antara penyumbang utama kepada permintaan tinggi untuk hasil tanaman ini.


Seperti juga tanaman gandum, tanaman jagung turut dibantu oleh penggunaan-penggunaan mesin moden. Teknik tanaman dan pembakaan yang baik juga merupakan antara faktor penting yang membolehkan jagung berjaya menjadi tanaman yang paling banyak ditanam di seluruh dunia. Malah potensi jagung mungkin masih belum diteroka sepenuhnya. Jadi sekiranya anda berminat mungkin masih belum terlambat untuk anda mengenali tumbuhan unik ini untuk diusahakan sebagai sebahagian daripada tanaman anda.



Free Download




Isnin, 15 Mei 2017

Bijirin Sumber Makanan Dunia; Gandum (Wheat)

Gandum merupakan tanaman sumber makanan penting di dunia.

Gandum merupakan antara tanaman terpenting dunia kerana ia merupakan salah satu sumber makanan seperti juga beras. Malah seperti juga beras ia mengandungi pelbagai cultivar hasil daripada penanaman komersial yang dilakukan sejak sekian lama. Gandum dikatakan mula ditanam sejak 9600 BCE lagi berdasarkan bukti penemuan arkeologi.

Gandum menjadi tanaman penting sumber makanan manusia selepas beras kerana ia mempunyai keupayaan tahan cuaca sejuk dan kering (tidak seperti tanaman beras ataupun jagung). Ini menjadikan ia sebagai sumber tanaman yang sesuai bagi negara-negara beriklim 4 musim. Sehingga pada tahun 2014, keluasan tanah yang digunakan untuk tanaman gandum sahaja mencapai keluasan sehingga 220.4 juta hektar di seluruh dunia.

Gandum digunakan untuk menyediakan pelbagai makanan.

Penggunaan gandum sebagai sumber makanan bukan sahaja popular di negara-negara di mana ia ditanam. Hari ini dapat dilihat penggunaan gandum juga menjadi sebagai bahan penyediaan yang penting di negara-negara lain hasil daripada pemindahan budaya. Malah makanan-makanan tradisi di Asia Tenggara sendiri ada di antaranya yang dihasilkan menggunakan gandum.

Top wheat producers in 2014
Country
millions of tones
China
126.2
India
95.8
Russia
59.7
United States
55.1
France
39.0
 Canada
29.3
Germany
27.8
Pakistan
26.0
Australia
25.3
Ukraine
24.1
World
720
Source: UN Food & Agriculture Organization

Kawasan penanaman gandum di dunia.

Penggunaan jentera merupakan faktor utama kejayaan tanaman gandum.

Gandum merupakan makanan popular di negara-negara beriklim sejuk, Utara Afrika, Timur Tengah dan juga semakin popular di Asia. Malah ia ditanam dengan lebih meluas berbanding beras. Seperti di dalam jadual di atas, negara-negara utama pengeluar gandum adalah China, India, Russia dan Amerika Syarikat.

Gandum digunakan dengan meluas kerana ia digunakan untuk menyediakan pelbagai bentuk makanan daripada roti, pasta, kek, pie, bubur, biskut, bijirin sarapan dan pelbagai lagi makanan proses yang boleh disimpan untuk tempoh yang lama. Tempoh penyimpanan merupakan antara kriteria penting dalam penggunaan bahan makanan kerana ia memastikan bahawa bahan tersebut masih boleh digunakan setelah disimpan untuk tempoh beberapa ketika.

Antara keunikan gandum juga adalah ianya mengandungi protein gluten yang membolehkan tepung mengembang dengan menyimpan gelembung-gelembung kecil gas karbon dioksida apabila proses pengeraman/penapaian dilakukan. Ini merupakan ciri-ciri penting dalam proses penghasilan roti dan kek. Selain itu juga, gandum turut menjadi sumber makanan utama haiwan ternakan.

Gandum "einkorn wheat", gandum asal.

Emmer Wheat.

Durum Wheat

Polish Wheat.

Spelt Wheat.

Common wheat (Triticum aestivum).

Kejayaan penanaman gandum juga antara lainnya adalah dipengaruhi oleh penggunaan teknologi yang digunakan. Rata-ratanya ladang-ladang gandum diusahakan menggunakan mesin yang dapat mempercepatkan segala proses daripada kerja-kerja tanah sehinggalah kepada penuaian. Tanpa menggunakan mesin, tanaman gandum mungkin tidak mencapai keluasan seperti hari ini dan harganya juga tentulah jauh lebih mahal. Selain mesin sistem irigasi dan penggunaan baja juga memainkan peranan penting dalam industri tanaman gandum.

Dari segi jenis gandum pula terdapat pelbagai jenis gandum yang ditanam mengikut kesesuaian bentuk muka bumi sesuatu kawasan. Daripada jenis gandum asal yang lebih dikenali sebagai Einkorn wheat (single grain) sehinggalah kepada Miracle wheat (Triticum turgidum var. mirabile) yang mampu mengeluarkan hasil yang lebih tinggi. Seperti juga tanaman-tanaman lain, industri penanaman gandum terus dipertingkatkan untuk penghasilan dan kualiti tanaman yang lebih baik.

Bakul daripada jerami gandum.

Bahan binaan daripada buangan tanaman gandum.
Peralatan yang dihasilkan dengan jerami gandum.

Bukan sahaja biji gandum yang digunakan oleh para penanam gandum. Sejak dahulu lagi, serkam (hampas) dan batang gandum turut digunakan untuk pelbagai kegunaan. Malah semakin banyak penggunaan bahan sampingan penanaman gandum ini dapat dimanfaatkan. Antaranya termasuklah sebagai bahan makanan sampingan ternakan, penghasilan bahan binaan, biogas, biofuels, pengawal hakisan, barangan kraf, penghasilan kertas, tali, kasut, hortikultur, packaging dan sebagainya.


Gandum mungkin tidak boleh ditanam di kawasan beriklim tropika, namun ia masih digunakan di kawasan-kawasan lain sebagai salah satu sumber makanan penting. Walaupun begitu, tanaman yang boleh ditanam di sini (beriklim tropika seperti padi) mungkin boleh dimanfaatkan seperti mana tanaman gandum ini. Jadi, selain daripada mengusahakan tanaman, teknik pengolahan bagi memanfaatkan sumber tanaman juga adalah penting.


Free Download





Bijirin Sumber Makanan Dunia; Kacang Soya (Soybeans)

Kacang soya merupakan tanaman berasal dari Timur Asia.

Kacang Soya merupakan antara makanan berbentuk bijirin yang telah lama digunakan oleh masyarakat dunia. Ia berasal dari bahagian Timur Asia. Walaupun ia tidak sepenting beras yang menjadi makanan asasi penduduk Asia, kacang soya digunakan dalam kebanyakan bahan makanan. Ia bagaimanapun menjadi antara sumber tanaman penting di bahagian Utara Amerika.

Kacang soya (Glycine max), merupakan tumbuhan spesies kekacang (legume) seperti kacang panjang, kacang hijau, kacang buncis, kacang peas, kacang tanah dan juga kacang-kacang yang lain. Ia bagaimanapun turut tersenarai sebagai bijirin berminyak (oilseed), berbanding sebagai bijirin biasa. Merupakan antara tanaman penting bagi Amerika Syarikat (United States) yang menjadi pengeluar utama kacang soya dunia iaitu sekitar 32% (2016) dan diikuti dengan Brazil sebanyak 31%.

Kegunaan kacang soya bukan sahaja digunakan sebagai sumber makanan seperti di Asia. Ia malah dijadikan sebagai sumber makanan haiwan yang penting, bagi membekalkan protein. Selain itu juga ia digunakan dengan meluas di dalam industri makanan dalam menyediakan bahan seperti minyak, susu kacang soya bagi menggantikan susu dari sumber tenusu, dan pelbagai kegunaan lagi sehingga kepada hampas kacang soya sendiri.

Ladang kacang soya komersil.

Edamame merupakan satu lagi makanan dari kacang soya segar.

Kacang yang telah matang dan sesuai untuk dituai.

Sementara itu di Asia, kacang soya masih lagi digunakan dalam makanan-makanan tradisi seperti tempeh, kicap soya (soy sauce), taucu, natto, taufu, fucuk tauhu, miso, okara dan macam-macam lagi. Penyediaan tradisi ini juga dikatakan merupakan kaedah terbaik penggunaan kacang soya iaitu melalui kaedah penapaian dan pemeraman yang menjadikan ianya lebih sesuai untuk diambil sebagai sumber makanan. Kacang soya dikatakan tidak sesuai digunakan secara terus sebaliknya perlu melalui proses-proses tertentu bagi mengurangkan kesan toksin yang semula jadi yang terdapat di dalam kacang soya.

Namun begitu penggunaan kacang soya bagi penghasilan minyak dan sebagai sumber makanan haiwan adalah satu penggunaan kacang soya yang baik. Hanya ianya tidak sesuai digunakan secara terus, tambahan pula kebanyakan kacang soya yang dihasilkan di US merupakan kacang soya yang dihasilkan secara GMO (genetically modified organism) yang berisiko dari segi pelbagai aspek.

Taugeh kasar merupakan tunas daripada kacang soya.

Kari kacang soya berasal dari India/Bangladesh.

Makanan dari Korea menggunakan kacang soya.

Apa yang ingin ditekankan di sini ialah, kacang soya masih lagi merupakan antara sumber makanan dan tanaman penting yang boleh diusahakan oleh para petani. Selain mempunyai nilai pasaran, ia juga berupaya mengembalikan kesuburan tanah - seperti juga tumbuhan kekacang yang lain dengan mengembalikan keseimbangan nitrogen di dalam tanah.


Kacang soya merupakan sumber makanan tradisi yang penuh khasiat yang perlu dikekalkan seperti tempah, tauhu, fucuk tauhu dan sebagainya kerana ini merupakan kaedah penggunaan kacang soya yang lebih baik berbanding dengan kaedah penggunaan yang diamalkan di dalam dunia moden. Jadi, sebagai penduduk Asia yang telah lama menggunakan kacang soya sebagai sumber makanan, kita perlulah mengekalkannya sebagai salah satu bahan tanaman penting.


Free Download





Arkib Blog