Memaparkan catatan dengan label gaya hidup. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label gaya hidup. Papar semua catatan

Jumaat, 18 Februari 2022

Bagaimana Kita Boleh Membeli Masa?

Kita tidak boleh memberhentikan masa, sebaliknya hanya menguruskannya dengan sebaik mungkin.

Masa merupakan perkara yang amat penting mempengaruhi kehidupan manusia. Ia terus berlalu tanpa henti dan kita tidak dapat mengembalikan masa atau memperlahankan masa. Oleh kerana masa amat penting, setiap dari kita amat biasa dengan perkataan “jangan membuang masa”, “masa itu emas”, “masa berlalu tak akan kembali” dan sebagainya. Kepentingan masa telah diketahui sejak dahulu lagi, dan ia adakalanya diandaikan sebagai lawan kepada kehidupan, di mana setiap saat membawa kita hampir kepada saat akhir kehidupan. Jadi bagaimanakah kita boleh memanfaatkan masa, bolehkah ianya dibeli, bagi membolehkan kita melakukan lebih banyak perkara dalam tempoh kehidupan yang pendek ini?
 
Kita mungkin tidak menyedari selama ini, kita telah lama membeli masa. Mungkin apa yang berbeza adalah, sejauh manakah kita sudah membelinya atau mampu membelinya. Masa diukur dalam tempoh masa atau sebanyak manakah perkara yang boleh kita lakukan untuk suatu tempoh masa tertentu. Bagi pengukuran dalam bentuk tempoh masa, tiada banyak perkara yang boleh dilakukan, dimana kita tidak dapat mengubah atau menganjakkan tempoh masa yang telah berlalu. Namun dalam erti kata lain, kita masih boleh melakukan lebih banyak perkara dalam tempoh masa yang sama - (mendekkan masa untuk sesuatu perkara).

 
Sekiranya dilihat, kehidupan manusia sebelum era teknologi berlaku dengan amat perlahan. Sistem pengangkutan mengambil masa yang lama untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang baru. Perjalanan menggunakan kaedah pengangkutan yang kurang efisyen seperti menggunakan haiwan atau pengangkutan air yang perlahan dan adakalanya berbahaya. Penghantaran mesej atau surat menyurat juga amat perlahan dan mengambil masa beberapa hari hingga kepada beberapa minggu. Begitu juga sekiranya anda ingin mendapatkan sesuatu bekalan, ianya perlu didapatkan dari tempat di mana ianya dihasilkan atau, kemungkinan besar, anda tidak dapat mendapatnya langsung. Begitu juga dengan keperluan-keperluan harian seperti memasak, membasuh pakaian, membersihkan rumah, semuanya perlu dilakukan secara “tenaga manusia”. Pada masa tersebut, hanya segelintir dari mereka yang mampu mengupah sejumlah bilangan pembantu rumah bagi meringankan beban-beban kerja tersebut.

Teknologi pengangkutan membantu sistem perdagangan manusia berkembang lebih cepat.  

Keretapi laju, merupakan pengangkutan yang jauh lebih efektif bagi destinasi  di laluannya.

Pembangunan teknologi dan pembangunan tamadun manusia adalah mengurangkan tempoh masa yang diperlukan untuk memenuhi keperluan-keperluan ini. Melalui pembangunan kehidupan secara bermasyarakat, setiap dari anggota masyarakat menyediakan sesuatu keperluan untuk mereka yang lain. Jadi ia bergantung antara satu sama lain bagi memenuhi keperluan bersama. Petani yang membekalkan sayuran, perlu mendapatkan pakaian daripada penenun kain yang mana beliau juga perlu mendapatkan bekalan daging dari penternak dan seterusnya. Begitulah rantainan hubungkait kehidupan bermasyarakat dan mengapa kita hidup dalam berkumpulan.

 
Pembangunan memperbaiki kehidupan manusia dalam bentuk mempercepatkan proses untuk melakukan sesuatu perkara. Sistem pengangkutan yang membolehkan manusia bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan lebih cepat dan selamat seperti kapal terbang dan keretapi laju (bullet train). Ia juga merupakan nadi utama perdagangan yang membolehkan barangan dijual kepada pengguna yang berada lebih jauh dari tempat dimana ia dihasilkan. Begitu juga dengan teknologi rekabentuk yang membolehkan bangunan dibina secara bertingkat-tingkat bagi memanfaatkan penggunaan ruang. Maka dengan itu, lebih ramai penduduk dapat tinggal berhampiran kawasan bandar yang juga membekalkan pekerjaan bagi sumber pendapatan. Manakala sistem perhubungan juga menjadi lebih pantas berbanding surat menyurat yang memerlukan tempoh penghantaran yang perlahan.

Teknologi keretapi laju yang terus diperbaiki, meningkatkan kepantasannya.

Hari ini kehidupan manusia lebih efisyen dengan rekaan pelbagai mesin untuk kegunaan di rumah. Sejak daripada bangun seawal pagi sehingga tidur, kita dibantu oleh pelbagai rekaan peralatan bagi membolehkan kita memanfaatkan masa dengan lebih baik. Sebahagian daripada mesin ini juga adalah beroperasi secara automatik dengan pengawasan yang minima. Manusia yang memerlukan beberapa orang pembantu di rumah, hari ini hanya memerlukan seorang atau boleh melakukannya sendiri. Hari ini, kesemua peralatan ini dianggap sebagai keperluan bagi membolehkan kita menjalani kehidupan dengan lebih selesa.

 
Berbalik kita kepada tajuk asal, “bagaimana kita membeli masa”, adalah bagaimana kita memanfaatkan peralatan yang ada di pasaran bagi membolehkan kita melakukan perkara-perkara lain yang lebih penting. Ya, ia bukanlah datang dengan percuma, melainkan kita perlu membelanjakan sejumlah wang untuk mendapatkannya. Apa yang baik, kebanyakan rekaan ini menjadi semakin murah dan mampu dimiliki oleh kebanyakan dari kita. Ia tidak perlu dilihat sebagai satu perkara mewah, sebaliknya sebagai faktor utama membolehkan kita menjimatkan masa yang perlu diluangkan untuk perkara-perkara yang lebih bermanfaat - adakalanya termasuk berehat!


Peralatan rumah yang membantu kerja-kerja seharian menjadi lebih mudah dan pantas.


'Smart Home', merupakan teknologi yang sedang diperbaiki bagi meningkatkan lagi kualiti kehidupan manusia.
 
Tidak terhenti di situ, banyak lagi rekaan yang akan datang untuk memperbaiki rekaan-rekaan yang telah sedia ada sekarang. Melalui penggunaan sistem AI, banyak lagi fungsi boleh ditambah bagi menjadikan proses sesuatu kerja diperbaiki. Kerja-kerja seperti mengemaskan rumah boleh dilkukan sepenuhnya oleh robot, begitu juga dengan mencuci pakaian. Melalui kemudahan-kemudahan seperti inilah kita mempunyai lebih masa untuk mempelajari sesuatu yang baru, atau menyumbangkan idea dan rekaan baru untuk memenuhi keperluan kita sendiri.
 
Penulisan ini antara lain menggalakkan kita untuk menggunakan kemudahan rekaan-rekaan yang bermanfaat mengikut kemampuan. Kita sepatutnya meluangkan masa untuk menjadi lebih produktif dengan berkongsi perkara-perkara yang lebih bermanfaat, termasuk melakukan perkara untuk tujuan kesihatan seperti bersenam dan berehat. Gunakan masa untuk mempelajari sesuatu yang baru, berkumpul ban berbincang mengenai idea yang lebih baik, mereka dan mencuba rekaan-rekaan yang belum pernah dicuba. Kehidupan perlu menjadi penjelajahan mental dan fizikal yang berterusan. Jadi, setakat ini sahaja buat kali ini, sehingga bertemu lagi di dalam artikel yang seterusnya.

 

Selasa, 14 Jun 2016

Kaedah Penyediaan Kopi Yang Unik

Antara peralatan penyediaan kopi - Belgium Royal Cofee Siphon.

Masih lagi berkisar mengenai tajuk kopi memandangkan ianya adalah antara minuman kegemaran ramai. Kali ini kita melihat pula kaedah-kaedah beberapa penyediaan kopi yang unik, dari yang ringkas kepadalah yang agak ‘extreme’, dan mungkin tidak sesuai untuk kegunaan persendirian (selagi anda bukan peminat fanatik).

Penyediaan kopi yang paling kritikal adalah pada peringkat rendaman/rebusan (brewing) yang akan memindahkan aroma kopi kepada air yang akan digunakan untuk menyediakan kopi. Terdapat pelbagai kaedah yang digunakan di serata dunia mengikut masyarakat dan budaya. Ia juga mengikut kesesuaian keadaan dan hidangan kopi yang ingin disediakan. Jadi tanpa berlengah lagi mari kita lihat beberapa kaedah tersebut.

Turkish Cezve

Cezve digunakan untuk menyediakan Turkish Coffee.

Merupakan antara peralatan yang paling popular dalam menyediakan kopi Turkey (Turkish coffee) ringkas diperbuat daripada pelbagai bahan samada tembaga atau gangsa dan adakalanya turut diperbuat daripada perak dan emas. Cezve moden pula mungkin diperbuat daripada bahan-bahan yang lebih mudah seperti stainless steel, aluminium ataupun seramik. Ia berbentuk cawan dengan pemegang yang sedikit panjang bagi mengelakkan panas air dari minuman yang disediakan. Manakala Bosnia dan Herzegovina, Serbia, Croatia, Slovenia serta Czech Republic ianya merupakan teko bertangkai panjang yang dieja dengan ejaan "džezva". Di tempat-tempat lain pula ia dipanggil ‘ibrik’, seperti di US dan juga di Romania sebagai nama yang dipinjam dari perkataan Tengah Parsi yang bermaksud āb "air", dan riz "cawan".

French Press


French Press mudah digunakan (bahagian pada French Press).

Cara penggunaan French Press.

French Press merupakan satu lagi kaedah mudah penyediaan kopi kerana tidak memerlukan kerja-kerja yang rumit. Ia merupakan sebuah bekas yang mempunyai jejaring halus yang akan memerangkap kopi sebelum ia dihidangkan. Ia juga mempunyai nama-nama lain seperti cafetière, сafetière à piston, Cafeteria, press pot, coffee press, atau coffee plunger. French Press dipatenkan oleh pereka Itali, Attilio Calimani pada tahun 1929.

French Press masih bertahan sehingga ke hari ini kerana ia merupakan satu peralatan yang mudah digunakan. Hari ini ia diperbuat menggunakan kaca tahan panas dan bahan keluli tahan karat (stainless steel), yang memudahkan anda memerhatikan proses penyediaan kopi yang dilakukan. Ia sesuai untuk menyediakan kopi dalam jumlah yang kecil dan sederhana mengikut saiz bekas French Press tersebut.

Clever


Clever juga mudah digunakan untuk saiz penyediaan kecil.

Clever merupakan satu lagi contoh penyediaan kopi dengan kaedah yang ringkas. Clever secara kasarnya berfungsi seperti corong namun menyediakan kemudahan rendaman kopi sebelum ianya dituangkan ke dalam cawan ataupun teko hidangan. Cuma anda perlu menggunakan kertas tapisan untuk menapis serbuk kopi yang direndam di dalam clever. Ia juga sesuai untuk menyediakan kopi untuk pada jumlah yang kecil dan sederhana.

Vietnamese Filter


Vietnamese filter, mudah digunakan.

Sesuai sebagai antara pengeluar penting kopi, Vietnam mempunyai peralatan khas mereka sendiri yang dikenali sebagai Vietnamese Filter. Ia bagaikan sebuah bekas kecil yang berfungsi seperti juga ‘clever’, namun mempunyai alat penapisan sendiri. Vietnamese Filter ini biasanya diperbuat daripada logam seperti stainless steel ataupu loyang.

Kaedah menggunakannya juga adalah hampir menyamai ‘clever’, dimana ia akan diletakkan di atas cawan atau bekas menampung kopi yang telah siap. Kopi akan diletakkan di dalam ‘filter’ tersebut dan dituangkan air panas di dalamnya. Ia akan ditutup untuk memelihara panas air rendaman kopi. Air ini kemudiannya akan menitik turun ke dalam cawan atau bekas untuk menampung di bawahnya.

Siphon


Peralatan penyediaan kopi syphon.

Siphon juga merupakan sebahagian kaedah penyediaan kopi yang dikenali sebagai teknik vakum. Menggunakan dua bekas iaitu untuk air dan satu lagi untuk kopi di bahagian atasnya. Air dipanaskan di bahagian bawah akan naik ke atas dan melengkapkan proses rendaman kopi sebelum turun semula ke dalam bekas takungan di bawah apabila tekanan di dalam bekas takungan menurun.

Ia juga dikenali sebagai vac pot, siphon atau syphon coffee maker yang dicipta oleh Loeff dari Berlin pada tahun 1830-an. Namun ia mendapat sambutan dan bertahan agak lama kerana menghasilkan kopi yang baik (tiada serdak kopi) – namun ia juga bergantung kepada penapis yang digunakan diperbuat daripada jaring logam, kain, kertas atau nylon. Antara kelebihan menggunakan teknik ini adalah, air yang digunakan adalah betul-betul panas bagi membolehkan ia menghasilkan tekanan yang cukup untuk ditolak naik ke bahagian atas tangki rendaman.

AeroPress


Bahagian komponen Aeropress.

Kaedah peggunaan Aeropress.

Aeropress merupakan antara kaedah terbaru penyediaan kopi dan ianya juga amat mudah digunakan selain menghasilkan kopi yang boleh dipelbagaikan. Ia dihasilkan pada tahun 2005 oleh Presiden Aerobie iaitu Alan Adler. Seperti juga peralatan yang lain, ia juga menggunakan penapis dan apa yang berbeza adalah, kopi yang telah siap direndam akan ditekan sepertimana picagari (syringe) untuk menolaknya keluar dari bekas rendaman.

Ia menghasilkan kopi yang pekat (namun bergantung juga dengan penapis yang digunakan) dan anda boleh mencampurkannya dengan bahan campuran lain untuk menghasilkan kopi-kopi lain seperti Americano, macchiato, cappuccino, latte dan sebagainya. Aeropress juga merupakan satu lagi peralatan yang mudah digunakan untuk penyediaan kopi dalam jumlah yang kecil.


Terdapat beberapa lagi peralatan yang digunakan untuk menyediakan kopi untuk pengguna domestik yang mempunyai banyak persamaan dengan peralatan seperti yang disenaraikan di atas. Mungkin bagi kebanyakan kita, kaedah yang paling mudah adalah menggunakan penapis logam/nylon seperti juga dalam penyediaan teh. Namun begitu, mengetahui dan mempelajari kaedah baru juga mungkin dapat memberikan anda idea-idea mengapa kopi menjadi minuman yang popular atau begitu digemari. Anda juga mungkin ingin mengetahui lebih lanjut, resepi-resepi minuman kopi yang begitu popular. YA atau TIDAK?






Free Download



Isnin, 6 Jun 2016

Kisah Mengenai Gula-Gula Getah (Chewing Gum)

Belon yang menjadi tarikan gula-gula getah.

Gula-gula getah mempunyai kisah yang menarik kerana ia merupakan salah satu bahan kunyahan moden yang diilhamkan berdasarkan bahan kunyahan berusia ribuan tahun dahulu. Ini kerana setiap masyarakat dunia mempunyai bahan kunyahan mereka tersendiri termasuklah kita penduduk di bahagian Asia Tenggara ini.

Antara bahan kunyahan yang tertua diketahui antaranya adalah pada zaman Neolithic sekitar 5,000 tahun dahulu dengan bahan kunyahan yang diperbuat daripada tar kulit pokok birch yang ditemui di Kierikki, Finland. Masyarakat Aztecs pula menggunakan getah dari pokok chicle (ciku) yang juga merupakan ‘chewing gum’ asli selain menggunakannya sebagai bahan pelekat. Namun bahan kunyahan turut dikesan di Ancient Greece yang diperolehi daripada pokok mastic. Di Asia pula pengamalan kunyahan boleh dilihat daripada tabiat mengunyah daun sireh, manakala mengunyah tembakau merupakan tabiat yang baru – kerana tembakau sendiri berasal dari negara-negara dari benua Amerika.

Masyarakat American Indians di Amerika Utara pula mengunyah resin yang dihasilkan oleh pokok spruce. Chewing gum komersil pertama dihasilkan menggunakan bahan ini oleh John B. Curtis pada tahun 1848, yang dijual dengan nama ‘The State of Maine Pure Spruce Gum’. Ia bagaimanapun diatasi dengan chewing gum yang dihasilkan menggunakan parafin wax.


Getah pokok ciku (sapodilla) merupakan bahan kunyahan bagi orang Aztecs.

Mengumpul getah dari pokok sapodilla/chicle.

Iklan untuk gula-gula getah pertama.

Chewing gum dihasilkan menggunakan getah ciku (chicle) dihasilkan pada tahun 1860 oleh John Colgan, di Louisville yang juga merupakan seorang pharmacist dari Kentucky. Chewing gum yang dihasilkan mempunyai perisa gula beraroma yang didapati dari pokok balsam (Myroxylon) dengan membentuk bilahan kecil chewing gum yang dikenali sebagai “Taffy Tolu”. Calgan merupakan pengeluar pertama yang menerajui pengeluaran chewing gum menggunakan getah dari pokok Manilkara chicle (ciku) yang berasal daripada tumbuhan tropika.

Namun chewing gum yang menggunakan getah ciku (Manilkara zapota) apabila ianya diperkenalkan oleh bekas presiden Mexico, General Santa Anna kepada ahli perniagaan New York yang bernama Thomas Adams. Walaupun pada mulanya ia diharap dapat menggantikan bahan getah (rubber), namun Thomas Adams menggunakannya untuk menghasilkan ‘chewing gum’ yang mempunyai bahan perisa pada tahun 1871. Getah daripada pokok sapodilla (Manilkara zapota) perlu dituai dengan tenaga manusia dengan membuat gelangan torehan yang ada kalanya sehigga mencapai 50 kaki tinggi. Ia merupakan satu proses yang perlahan sedangkan sapodilla (ciku) sendiri merupakan buah yang mempunyai kebaikan yang lebih baik berbanding getah yang dihasilkannya.

Penggunaan getah sapodilla ini kemudiannya digantikan dengan penggunaan gula-gula getah menggunakan bahan sintetik seperti butadiene. Ia merupakan bahan-bahan polymer yang mempunyai kebolehan untuk membentuk gelembung yang lebih besar.

Gula-gula getah (chewing gum) dikaitkan dengan kesihatan gigi dan mulut kerana ia meransang pengeluaran air liur. Ini kerana gula-gula getah moden dihasilkan tanpa menggunakan gula yang boleh membantu pembiakan bakteria seperti Streptococcus mutans, sebaliknya menggunakan Xylitol. Selain Xylitol bahan pemanis lain yang digunakan adalah daripada maltitol, aspartame dan acesulfam yang juga tidak menyebabkan masalah pereputan gigi.

Penghasilan air liur daripada tabiat mengunyah gula-gula getah boleh memberi manfaat kepada sistem penghadaman. Pada masa yang sama juga ia mendatangkan kesan buruk kepada sistem penghadaman dengan meransang perut untuk menghasilkan asid dan pankreas untuk menghasilkan enzim penghadaman pada masa yang tidak diperlukan. Ini boleh mendatangkan kesan yang tidak baik seperti perut berangin dan juga cirit-birit.

Terdapat banyak kajian dilakukan mengenai kesan positif dan juga negatif mengenai tabiat mengunyah gula-gula getah. Namun begitu sukar dibuktikan kesahihannya kerana ia mungkin boleh dihasilkan daripada tabiat mengunyah bahan-bahan lain. Ini kerana gula-gula getah hari ini dihasilkan daripada bahan-bahan sintetik yang boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan manusia.


Pembuangan gula-gula getah di atas laluan.

Antara perkara buruk disebabkan gula-gula getah.

Pada tahun 1998 seorang kanak-kanak berusia 4 tahun dilaporkan mengalami masalah sembelit yang disebabkan oleh tabiat menelan gula-gula getah. Manakala dalam kes berlainan seorang kanak-kanak lagi tertelan gula-gula getah bersama 4  keping syiling yang mengakibatkan ianya tersangkut pada esophagus kanak-kanak tersebut. Jadi penggunaan gula-gula getah perlu dilakukan dengan berhati-hati, terutamanya bagi kanak-kanak.

Antara kesan gula-gula getah yang paling ketara bagaimanapun adalah berkaitan kebersihan dan masalah pembuangan gula-gula getah. Ia biasa dibuang dengan cara yang tidak sepatutnya dan menimbulkan masalah kebersihan. Gula-gula getah sukar dibersihkan kerana ianya seperti plastik yang tidak mereput. Kerajaan Singapura mengharamkan penggunaan gula-gula getah pada tahun 1992. Namun pada tahun 2002 ia membenarkan gula-gula getah tanpa gula dijual di farmasi atas nasihat doktor.

Jadi apakah yang menarik mengenai gula-gula getah? Setelah mengetahui mengenai perkara-perkara di atas anda boleh membuat penilaian samada ingin menggunakan gula-gula getah ataupun tidak. Ia bagaimanapun menerangkan mengenai tabiat kita mengunyah sesuatu telah terbentuk sejak dahulu lagi. Namun dalam pada masa yang sama, ia juga memperingatkan saya kepada buah ciku (Manilkara zapota) yang telah lama tidak saya nikmati.


Free Download



Arkib Blog