Ahad, 13 Julai 2014

Derma 1 Juta USD Untuk Muzium Terbaru Nikola Tesla

Nikola Tesla exsperimen
Nikola Tesla semasa membuat eksperimen di makmalnya.

Nikola Tesla merupakan antara saintis yang sentiasa menjadi idola bagi mereka yang menceburi bidang kejuruteraan terutamanya elektrik. Walaupun tidak sepopular saintis-saintis lain yang lebih mendapat perhatian masyarakat, namun nama beliau terus diingati kerana minatnya di dalam bidang sains & rekacipta lebih menitik beratkan kepada manfaat rekaannya kepada manusia berbanding hanya untuk mengaut keuntungan daripada ciptaannya.

Baru-baru ini sempena sambutan hari kelahirannya yang  ke-158, sumbangan sebanyak USD 1 juta telah diberikan untuk membina muzium sempena memeringati hasil usaha beliau dalam bidang sains & rekacipta. Sumbangan ini telah diberikan oleh seorang ahli perniagaan iaitu Elon Musk yang juga merupakan CEO bagi syarikat kereta elektrik Tesla Motors dan syarikat pengeluar roket SpaceX.

Nikola Tesla
Nikola Tesla kurang dikenali.

Bagi kita yang mengikuti arus pendidikan perdana di sekolah mungkin tidak mengenali Nikola Tesla dan sumbangan beliau kepada dunia sains. Sumbangan beliau tidak diberikan liputan yang cukup seperti mana rakan-rakan seangkatannya yang lain seperti Thomas Edison yang dikatakan menggunakan idea beliau sendiri dalam mengangkat namanya dalam bidang penciptaan. Inilah yang biasanya berlaku dalam dunia rekaan yang dipengaruhi oleh sifat mengaut keuntungan daripada hasil usaha orang lain.

Tesla tower
Menara yang didirikan untuk tujuan eksperimen.

Tarikh 10 Julai merupakan tarikh lahir saintis berbangsa Serbian-Amerika ini yang menjadikan makmal di Wardenclyffe di Long Island sebagai tempat di mana ia mereka kebanyakan hasil rekaannya. Di sini juga Nikola Tesla pernah mendirikan menara setinggi 187 kaki (57 meter) bagi membuat eksperimen dalam usaha membekalkan tenaga elektrik tanpa wayar secara percuma.

Walaupun banyak usaha beliau tidak dikomersilkan, salah satu kesan daripada hasil kajian beliau adalah di mana hari ini pembekalan tenaga elektrik ke rumah-rumah dilakukan menggunakan talian bekalan kuasa arus ulang-alik yang juga merupakan hasil kajian daripada beliau sendiri. Manakala antara kajian beliau yang paling dikagumi termasuklah mengenai sistem bekalan kuasa elektrik tanpa wayar yang juga dikatakan digunakan oleh kerajaan mesir purba bagi membekalkan kuasa untuk rumah api di Alexandria – sila buat rujukan lebih lanjut mengenainya sekira anda ingin mendapatkan penerangan lebih lanjut.

Tesla car
Tesla Motors pembuat kereta elektrik yang paling laris.

Sehubungan itu, tentu kita mengetahui bahawa dunia sains menyimpan terlalu banyak rahsia tentang penapisan maklumat penting dan tidak semua maklumat yang kita pelajari adalah benar. Bagi mendapatkan kebenaran, kita perlu lebih bersikap pro-aktif dan membuat kajian terperinci tanpa membenarkan kepetingan tertentu.


Bagi yang kurang mengenali Nikola Tesla diharap dapat mencari seberapa banyak sumber mengenai saintis yang tersohor ini. Walaupun namanya tidak dikenali ramai, hasil usahanya banyak memberikan kesan positif terhadap pembangunan dunia moden terutamanya membabitkan bidang elektrik & elektromagnatik. Sehubungan itu mari kita sama-sama menjelajahi dunia ilmu dalam membangunkan teknologi yang bermanfaat.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Sabtu, 12 Julai 2014

Kaedah Memanfaatkan Tenaga Percuma, Matahari.

sun energy
Matahari membekalkan tenaga yang banyak melalui cahayanya.

Tenaga Solar seperti yang kita ketahui mampu membekalkan tenaga elektrik daripada cahaya matahari yang boleh didapati secara percuma. Adakah anda perasan yang tenaga daripada cahaya matahari ini telah lama digunakan dalam pelbagai cara dalam membantu kehidupan manusia sehari-hari. Maka terpulanglah bagaimana kita bagi mencari kaedah terbaik memanfaatkan sumber yang tersedia disekeliling kita dengan banyaknya.

Cahaya Matahari sentiasa digunakan oleh manusia sejak berzaman-zaman dahulu dalam kehidupan harian mereka. Samada untuk kegunaan pekerjaan seharian mahupun dalam proses mengawet makanan bagi mengelakkannya rosak. Maka di sini saya ingin berkongsi sedikit sebanyak tentang bagaimana cahaya matahari boleh dimanfaatkan dalam pelbagai cara – seterusnya kita dapat melihat bagaimana kehidupan kita sebenarnya amat dirahmati dengan pelbagai kemudahan tersedia.

Bagi tumbuh-tumbuhan semestinya memerlukan cahaya matahari untuk membuat makanan melalui proses fotosintesis. Fungsi ini dibekalkan kepada tumbuhan memandangkan ia merupakan kaedah terbaik bagi tumbuhan memanfaatkan tenaga cahaya yang dipancarkan matahari untuk membuat makanan mereka. Memandangkan tumbuhan tidak boleh bergerak dari satu-satu tempat, ia memanfaatkan tenaga cahaya yang tersebar ke seluruh alam dalam proses penghasilan makanan mereka.

Bukan hanya cahaya sahaja yang penting dibekalkan matahari kepada alam, malah tenaga haba juga amat diperlukan. Semua kehidupan di bumi memerlukan suhu yang sesuai untuk kekal berada dalam keadaan aktif (hidup dan menjalankan aktiviti dengan optimum). Keadaan yang terlalu panas atau terlalu sejuk akan menyebabkan segala proses terganggu. Bagi membekalkan suhu yang sesuai ini, haba yang dibekalkan daripada cahaya matahari di sebarkan dan diseimbangkan oleh lapisan atmosfera bumi yang unik.

Berbalik kepada manusia sebagai makhluk yang diberikan akal fikiran sudah semestinya mempunyai pelbagai kaedah dalam menggunakan kemudahan cahaya matahari ini. Walaupun manusia sendiri perlu mendapatkan perlindungan daripada cahaya matahari yang terlalu terik kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan, manusia dapat memanfaatkannya semenjak dahulu lagi.

Solvatten
Peralatan Solvatten untuk membekalkan air bersih menggunakan cahaya matahari.

Cahaya matahari digunakan dalam pelbagai cara antaranya adalah untuk mengeringkan hasil pertanian ataupun dalam mengeringkan tangkapan untuk mengelakkannya cepat rosak. Bagi tujuan ini penggunaan cahaya matahari merupakan kaedah terbaik kerana disamping mengeringkan kandungan air di dalam bahan yang dikeringkan ia juga membunuh mikro-organisma merbahaya di dalam bahan tersebut dengan cahaya UV terkandung di dalam cahaya matahari.

Selain itu juga cahaya matahari juga digunakan untuk mengeringkan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat bahan binaan (batu-bata & tanah liat) sebelum manusia tahu kaedah untuk membuat simen ataupun batu-bata yang dibakar. Malah kebanyakan bahan yang digunakan untuk membuat pakaian, kertas dan lain-lain barangan keperluan juga perlu melalui proses pengeringan yang menggunakan cahaya matahari.

Cuma akhir-akhir ini apabila penggunaan cahaya matahari dapat digantikan dengan menggunakan peralatan-peralatan moden, fungsi cahaya matahari yang dahulunya sering digunakan semakin dilupakan. Namun begitu ia tidak bermakna cahaya matahari telah hilang atau fungsinya tidak boleh digunakan lagi. Walaupun kaedah memanfaatkan cahaya matahari melalui Sel Suria (Solar Cell) dalam menghasilkan tenaga elektrik merupakan satu pencapaian yang baik namun banyak lagi kaedah lain yang tidak memerlukan kita mengeluarkan modal yang terlalu besar untuk mendapat manfaat daripada cahaya matahari.

lampu botol matahari
Lampu botol matahari ini dapat membekalkan cahaya yang cukup pada waktu siang.

Antara penggunaan cahaya matahari yang paling ringkas adalah penggunaan cahayanya dalam pencahayaan bangunan pintar – iaitu rekabentuk yang membolehkan cahaya matahari menerangi bahagian dalam bangunan di waktu siang bagi menjimatkan lagi penggunaan tenaga elektrik. Kaedah yang sama juga digunakan untuk rumah-rumah kediaman dalam usaha penjimatan tenaga elektrik.

Berbeza di kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. Botol minuman digunakan dan diletakkan di atas atap rumah bagi membolehkan cahaya matahari menerusinya. Cahaya matahari akan disebarkan oleh botol minuman yang di isi air bagi meningkatkan lagi sudut biasan cahaya yang menerusinya.

Cahaya matahari juga amat sesuai digunakan untuk menyahkuman (sterilize) air untuk tujuan kegunaan atau minuman. Ini kerana selain daripada membekalkan tenaga haba ia juga mengandungi cahaya UV yang dapat membunuh mikro-organisma berbahaya di dalam air. Terdapat rekaan produk yang direka bagi membantu rakyat di negara-negara membangun mendapat bekalan minuman air bersih ini dengan menggunakan cahaya matahari. Antaranya adalah Solvatten yang direka untuk mengelakkan jangkitan penyakit yang disebabkan oleh mikro-organisma di dalam air. Ia amat mudah digunakan dan ternyata menjimatkan.

Penyulingan air
Kaedah penyulingan dengan menggunakan tenaga matahari.

Selain daripada itu kaedah penyulingan air juga boleh dilakukan dengan memanaskan air menggunakan cahaya matahari dan mengumpulkan wap air yang terkondensasi. Kaedah ini juga amat sesuai untuk memperolehi air yang bersih walaupun sumber air yang disuling mungkin agak kotor. Kaedah ini boleh dilakukan dengan mereka peralatan yang khas ataupun hanya dengan mengorek tanah dan menutup lubang tersebut dengan kanvas di mana di dalamnya diletakkan baldi untuk mengumpulkan wap air yang dikumpulkan.

Penggunaan engin stim daripada tenaga matahari juga merupakan salah satu kaedah yang baik dalam memanfaatkan sumber tenaga percuma ini. Stim yang dihasilkan boleh dipelbagaikan samada ia akan terus digunakan atau boleh digunakan untuk menjana elektrik. Untuk kaedah ini cahaya matahari perlu dikumpulkan dengan menggunakan pemantul cahaya dan ditumpukan pada satu titik untuk memanaskan dandang. Tekanan yang terhasil daripada pemanas air seterusnya akan digunakan untuk mengerakkan engin stim.

Solar furnace
Relau suria terbesar di Odeillo, Pyrenees-Orientales, Perancis.

Malah kaedah yang sama turut digunakan untuk tujuan pemanasan bahan yang ingin dicairkan seperti bijih besi dan sebagainya. Antara relau yang terbesar menggunakan tenaga matahari sebagai tenaga adalah relau solar yang di bina di Odeillo, Pyrenees-Orientales di Perancis. Ia telah beroperasi sejak dari tahun 1970’an lagi. Ia adalah hasil rekaan Professor Felix Trombe yang turut membina satu lagi relau yang sama pada tahun 1949 di kawasan yang berhampiran.

Keunikan relau suria ini adalah ia mampu menghasilkan suhu sehingga 3,500°C/6330°F yang mampu mencairkan logam. Malah tenaga yang dihasilkan juga adalah lebih bersih kerana tidak menggunakan bahan lain seperti arang batu atau pentroleum yang menghasilkan bahan buangan yang boleh mencemarkan alam. Malah banyak lagi manfaat yang boleh digunakan melalui penghasilan relau suria ini kerana bagi sesetengah pengkaji usaha untuk menghasilkan haba yang sebegitu tinggi perlu untuk membolehkan mereka melakukan pelbagai kajian.



Terdapat banyak lagi cara bagaimana manusia memanfaatkan tenaga matahari yang menerangi dan memanaskan alam setiap hari. Tidak kira samada untuk menghasilkan elektrik ataupun untuk digunakan terus bagi mendapatkan manfaatnya seperti untuk tujuan pengeringan, yang pasti sumber tenaga ini boleh dipelbagaikan dengan mudah. Bagi kita yang tinggal di kawasan yang kaya dengan cahaya matahari seharusnya kita mempunyai kaedah tersendiri dalam memanfaatkannya.

Sehubungan itu adalah diharap ia dapat menimbulkan inspirasi bagi anda dalam memikirkan bagaimanakah kaedah yang terbaik untuk menggunakan cahaya matahari dalam kegunaan harian. Apa yang penting, kita terus berusaha untuk memanfaatkan sumber yang murah dan bersih untuk kebaikan semua dalam jangka masa panjang.


Artikel lain yang berkaitan:

i) Langkah Penjimatan Tenaga Di Rumah.

ii) Usaha Dalam Menggunakan Tenaga Solar Oleh Britain.

iii) Bagaimana Deep Green Menghasilkan Tenaga Elektrik Di Dalam Laut.

iv) Bagaimana Dapur Induksi Berfungsi Dan Adakah Ianya Lebih Bagus?


Free Download



Selasa, 24 Jun 2014

Hidupan Laut Yang Berbisa

box jellyfish
Box jellyfish boleh menyebabkan kematian sekiranya tidak mendapat rawatan.

Hidupan laut amat cantik untuk dilihat terutamanya bagi hidupan yang menghuni kawasan terumbu karang. Pengetahuan mengenai hidupan laut berbisa mungkin boleh membantu anda bagi mengelakkan kecederaan semasa menjalankan aktiviti di laut seperti menyelam, snorkeling ataupun berenang. Ini kerana bisa sesetengah hidupan ini amat kuat dan boleh mengakibatkan maut sekiranya tidak mendapat rawatan secepat mungkin.

Bisa hidupan-hidupan ini adalah bertujuan sebagai pertahanan atau digunakan untuk memburu mangsa mereka. Jadi anda tidak digalakkan untuk mengganggu sebarang hidupan laut yang anda temui semasa melakukan aktiviti menyelam ataupun snorkeling. Hidupan berbisa biasanya berwarna terang, namun terdapat juga haiwan berbisa yang menyembunyikan diri mereka daripada dilihat oleh pemangsa ataupun haiwan yang diburunya seperti ikan batu atau ikan pari. Perlu diingat dunia hidupan penuh dengan persaingan dan setiap hidupan cuba untuk mempertahankan diri masing-masing.

Haiwan-haiwan yang tidak boleh bergerak pantas seperti ‘sea anemone’ (buran laut), ‘stinging coral’ (Millepora sp) dan juga mentimun laut juga boleh menyengat pemangsa dan mangsanya. Walaupun tidak semua spesies haiwan ini yang beracun, anda perlu berhati-hati kerana sesetengah racun boleh mengakibatkan kesan sekiranya tidak dibersihkan dengan sempurna sekiranya anda terdedah kepada racun tersebut. Kesemua haiwan dan hidupan ini tidak bergerak aktif, jadi ia tidak akan menyerang anda sebaliknya hanya akan bertindak balas sekiranya anda menyentuhnya.

crown of thorns
Crown-of-thorns mendiami kawasan terumbu karang.

Tapak sulaiman yang dikenali sebagai ‘crown-of-thorns’ kelihatan jauh berbeza daripada tapak sulaiman yang lain ia mempunyai racun yang boleh mengakibatkan kesan racun yang agak serius. Dipenuhi dengan permukaan kulit yang berduri dan warna yang terang ia mudah dikenalpasti. Walaubagaimanapun anda perlu berhati-hati semasa menyelam di kawasan terumbu karang.

Sama seperti tapak sulaiman ‘crown-of-thorns’, landak laut juga amat terkenal sebagai penghuni laut yang berbisa. Mendiami kawasan perairan cetek dan terumbu karang ia mudah dikenalpasti dengan fizikal yang berduri. Adalah lebih baik sekiranya anda tidak menyentuh haiwan ini kerana durinya mudah menusuk dan tertinggal di dalam daging anda. Terdapat spesies yang mempunyai racun yang boleh mengakibatkan kematian. Walaupun landak laut dijadikan sumber makanan di sesetengah tempat, anda tidak seharusnya menyentuhnya tanpa pengawasan daripada mereka yang berpengalaman.

Obor-obor amat merbahaya kerana hampir kesemua obor-obor dilengkapi dengan sengat beracun bagi membolehkan ia memburu makanan. Apa yang lebih membimbangkan adalah ia sukar dilihat di dalam air, kerana memiliki badan yang lutsinar. Di sesetengah kawasan, amaran diberikan pada pengguna pantai bagi memaklumkan apabila tibanya musim obor-obor.

Obor-obor dari jenis ‘box-jellyfish’ (Chironex fleckeri) menyebabkan kematian yang lebih banyak berbanding jerung, buaya dan ikan batu apabila digabungkan. Pendedahan kepada tentacle nya sepanjang 3m boleh mengakibatkan kematian seorang lelaki dewasa. Seekor obor-obor ini memiliki kira-kira 60 tentacle yang panjangnya adalah 5m. Tentacle ini dipenuhi dengan sengat-sengat yang halus. Adalah lebih baik anda tidak mengambil risiko untuk menyelam di kawasan yang dihuni oleh obor-obor ini tanpa mengenakan pakaian perlindungan yang sesuai.

Pufferfish
Ikan buntal mempunyai racun yang merosakkan sistem saraf.

Ikan buntal seperti yang kita sudah sedia maklum adalah amat beracun dan boleh mengakibatkan maut. Ikan yang akan mengembangkan badanya apabila terancam ini mempunyai racun yang sama seperti racun yang dimiliki oleh sotong ‘blue-ringed octopus’. Racun ini bukanlah dihasilkan sendiri oleh ikan buntal melainkan berasal daripada spesies alga yang dimakannya yang mengandungi bacteria Alteromonas sp.. Ini mengakibatkan toxin daripada bakteria ini terkumpul pada hati dan gonad ikan tersebut.

Keadaan yang sama boleh berlaku kepada kebanyakan ikan-ikan yang menghuni terumbu karang di mana toxin daripada sebahagian makanan mereka terkumpul di dalam organ dalaman mereka. Jadi, anda perlu berhati-hati sekiranya ingin memakan sebarang makanan laut tanpa pengawasan orang yang lebih berpengalaman.

cone shell
Siput 'cone' mempunyai tempuling yang pantas dan beracun.

Selain daripada ikan, spesies siput juga turut mempunyai racun yang amat kuat dan boleh mengakibatkan maut seperti yang dimiliki oleh siput kon ‘cone shells’. Siput kon biasanya aktif pada waktu malam dan bagi spesies siput kon ‘Conus geographus’ secara teorinya memiliki racun yang mampu membunuh 700 manusia. 

Walaupun bisanya berbeza di antara spesies anda mungkin tidak mempunyai kepastian tentang perbezaan spesies ini. Sengat siput kon yang mampu bergerak pantas dan membunuh ikan sudah pasti boleh mengakibatkan kecederaan dalam masa yang singkat. Anda adalah dinasihatkan untuk berhati-hati sekiranya perlu melewati kawasan yang dihuni oleh siput ini.

Blue ringed octopus
'Blue ringed octopus' mempunyai racun yang sama seperti ikan buntal.

Bagi spesies sotong juga mempunyai bisa yang berbeza-beza mengikut spesies, tetapi seperti yang diketahui spesies ‘blue-ringed octopus’ adalah amat berbisa dan boleh mengakibatkan maut. Bisa daripada sotong ini boleh melumpuhkan sistem saraf dan mengakibatkan maut. Spesies sotong mempunyai pelbagai kaedah samada untuk memburu dan mengelakkan ia daripada dikesan musuh. Ia mampu bertukar warna, bertukar bentuk dan mengeluarkan dakwat hitam bagi menjauhkan diri daripada pemangsanya.

Lionfish
'Lionfish', cantik namun penuh dengan duri beracun.

Ikan depu juga dipanggil sebagai ‘lion fish’ adalah lebih mudah untuk dikenalpasti kerana mempunyai rupa bentuk yang lebih mudah dikenali. Bergerak dengan lebih aktif untuk memburu, ia dilengkapi dengan duri-duri yang beracun. Jadi sekiranya anda menemui ikan ini pastikan anda tidak cuba untuk menghampiri atau menyentuhnya.

Stonefish
'Stonefish' sukar dilihat apabila bersembunyi di celah-celah batu.

Bagi yang suka berjalan-jalan di kawasan terumbu karang pula haiwan seperti ikan pari dan ikan batu perlu dielakkan. Kedua ikan ini mempunyai kecenderungan untuk bersembunyi di dalam pasir dan sukar dilihat. Jadi anda dinasihatkan tidak berjalan di kawasan terumbu karang tanpa memakai kasut – walaupun sengat ikan pari mungkin masih boleh menembusi kasut (dalam sesetengah kes).

Stingray
Pari atau 'stingray', biasa menyebabkan kematian.

Kedua-dua ikan ini mempunyai reputasi yang tinggi sebagai punca kematian samada mangsa yang kurang berhati-hati mahupun atas serangan yang bertujuan untuk melindungi dirinya. Ikan pari adalah lebih agresif manakala ikan batu pula akan bertindak pantas sekiranya diganggu. Anda perlu berhati-hati sekiranya perlu berhadapan dengan kedua spesies ikan ini – sebagai contoh apabila perlu melepaskan ikan pari yang memakan pancing anda.


Maka itu adalah beberapa spesies hidupan laut yang anda perlu sentiasa berhati-hati tentangnya. Mungkin mereka sendiri tidak bermaksud untuk mencederakan anda. Jadi dengan mengenalinya anda juga dapat mengelakkan kecederaan yang mungkin boleh mengakibatkan kesan yang lebih serius. Adalah diharap semoga kita dapat hidup saling memahami dan menghargai antara sesama hidupan. Bersama-sama kita memelihara keseimbangan alam.

Artikel lain yang berkaitan:



Free Download



Ahad, 22 Jun 2014

Bahan-bahan Yang Digunakan Orang Dahulu Untuk Pakaian

Kapas masak
Kapas dihasilkan daripada buah kapas yang telah masak.

Bahan-bahan yang digunakan oleh orang-orang dahulu dalam kehidupan adalah berasal dari bahan-bahan yang terdapat di sekeliling mereka. Ini termasuklah daripada bahan yang diperolehi dari tumbuh-tumbuhan ataupun haiwan. Mungkin tidak semua menyedari banyak bahan-bahan tersebut tidak lagi digunakan hari ini walaupun masih lagi terdapat banyak bahan tersebut di sekeliling kita.

Antara lain perkara yang baik mengenai bahan-bahan ini adalah ia bersifat mesra alam dan tidak menjejaskan alam seperti bahan-bahan yang direka melalui proses kimia seperti plastik, 'fiberglass', PVC, teflon ataupun bahan-bahan lain yang diubah unsurnya secara kimia. Bahan-bahan ini samada tidak boleh mereput ataupun mengambil masa yang terlalu lama untuk dilupuskan secara semulajadi dalam alam.

Antara bahan-bahan menarik yang didapati daripada alam yang digunakan oleh orang-orang terdahulu antaranya adalah bahan yang digunakan untuk membuat pakaian. Bagi menghasilkan benang untuk ditenun dan dijadikan kain, tumbuh-tumbuhan yang mempunyai serat yang tinggi digunakan. Malah bukan kain sahaja dapat dihasilkan menggunakan serat tumbuh-tumbuhan ini, tapi tali juga dibuat menggunakan bahan-bahan tersebut. Tali merupakan keperluan penting bagi mengikat barangan ataupun layar bagi kegunaan kapal layar yang membolehkan manusia merentasi lautan dan menjelajah kawasan ke serata dunia.

Antara serat tumbuhan yang popular bagi penduduk-penduduk kawasan Asia Tenggara satu masa dahulu adalah serat daripada nanas, kulit pisang, batang bunga raya, kapas dan sabut kelapa. Populariti bahan-bahan ini banyak dipengaruhi oleh faktor geografi sesuatu bahan tersebut. Di bahagian-bahagian lain pula tumbuhan seperti jut, papirus, flax dan hemp (ganja) adalah lebih popular. Namun kesemua bahan ini merupakan bahan penting bagi menghasilkan benang untuk ditenun dan dijadikan pakaian.

Pengasingan benang nanas
Proses pengasingan serat nanas secara tradisional.

Di negara Filipina contohnya penggunaan daun nanas untuk menghasilkan baju yang dipanggil ‘Barong Tagalog’ masih dipertahankan sehingga ke hari ini. Baju yang dihasilkan dengan teknik tenunan menggunakan bahan asli daun nanas dijalankan oleh beberapa syarikat bagi memelihara tradisi penduduk-penduduk negara tersebut. Baju tenunan daripada benang nanas ini masih boleh dibeli secara online terus daripada Filipina.

Di negara-negara seperti Malaysia, India, Sri Lanka dan beberapa negara yang mempunyai tumbuhan kelapa pula. Sabut kelapa merupakan bahan penting untuk menghasilkan tali. Walaupun hari ini bahan ini masih digunakan untuk tujuan lain seperti bahan pertanian atau bahan pengganti span di dalam industri perabot, tali daripada sabut kelapa mempunyai kelebihan sendiri kerana ia tidak menganjal apabila mencapai ketegangan yang tinggi. Ia juga tidak licin seperti tali yang dihasilkan daripada bahan plastik.

Pakaian dari benang nanas
Pakaian dari benang nenas yang dikenali sebagai 'Barong Tagalog'.

Kapas pula merupakan bahan yang lebih sesuai digunakan untuk pembuatan benang dan kain kerana serat daripada kapas mudah dikumpulkan apabila kapas telah mencapai kematangan. Pengasingan serat daripada kapas tidak perlu melalui proses untuk mendapatkan serat seperti daripada bahan-bahan tumbuhan yang lain. Kapas merupakan bahan yang sesuai untuk pakaian kerana ia dapat menyerap peluh dengan berkesan selain dapat menjadi penebat haba untuk membekalkan kehangatan kepada badan. Penggunaan kapas lebih popular di bahagian-bahagian Utara seperti India, Pakistan dan China.

Penggunaan serat tumbuhan juga adalah penting untuk menghasilkan kertas. Kertas membolehkan kerja-kerja merekod bahan dilakukan dan pengembangan institusi pendidikan awal seperti di China. Malah kertas juga turut digunakan sebagai sebahagian daripada bahan binaan dinding bangunan atau rumah. Penggunaan penghasilan kertas menggunakan papirus pula popular di bahagian Timur Tengah yang juga digunakan untuk tujuan merekod terutamanya bagi orang-orang Mesir. Sebelum papirus digunakan bahan lain yang digunakan untuk tujuan merekod adalah kulit binatang seperti kambing ataupun lembu.

Pembuatan tali sabut
Proses membuat tali sabut di Sri Lanka.

Antara penggunaan bahan yang terbaik adalah seperti sutera. Ini kerana bagi penghasilan sutera kaedah yang digunakan memerlukan pelbagai kemahiran. Malah penghasilan sutera turut berkembang dengan teknik pemeliharaan ulat sutera dan pemprosesan bebenang sutera. Penggunaan sutera bermula dari China kemudian berkembang ke bahagian-bahagian lain dunia. Pada peringkat permulaan penghasilan sutera, ia merupakan kaedah penghasilan yang hanya dikuasai oleh Negara China sahaja. Malah sutera juga merupakan kain yang hanya mampu dimiliki oleh golongan bangsawan sebagai barangan mewah.

Selain daripada serat-serat yang diperolehi daripada tumbuh-tumbuhan, bahan untuk membuat pakaian juga diperolehi daripada bulu haiwan peliharan dan juga haiwan liar. Bulu-bulu binatang seperti biri-biri, arnab, llama, yak, unta dan beberapa haiwan lain turut digunakan untuk membuat pakaian bagi orang-orang dahulu. Pendek kata apa sahaja bahan yang terdapat disekeliling mereka dapat dimanfaatkan untuk pelbagai kegunaan. Selain daripada bulu binatang, kulit juga turut digunakan untuk membuat pakaian ataupun peralatan harian seperti kasut, tali pinggang dan beg.


Maka dengan itu, apa yang ingin saya ketengahkan hari ini adalah kepentingan untuk kita memahami bagaimana sumber semulajadi daripada alam telah sekian lama membantu kita manusia membina kehidupan yang lebih baik. Ia masih boleh digunakan hingga ke hari ini. Mungkin oleh kerana perkembangan industri membuatkan bahan-bahan yang dihasilkan daripada bahan bukan semulajadi boleh didapati dengan harga yang jauh lebih murah. Namun begitu kesan yang dihasilkan kepada alam boleh mendatangkan kesan buruk untuk jangka panjang. Adalah dengan ini sedikit sebanyak dapat membuatkan anda melihat tentang fungsi alam sekian lama.


Lain-lain artikel berkaitan:





Free Download



Rabu, 28 Mei 2014

Keunikan Pusingan Hidupan Serangga Rama-rama

Rama-rama dewasa
Rama-rama merupakan serangga yang boleh terbang dan berwarna-warni

Rama-rama amat dikenali di dalam dunia serangga selain lebah. Apa yang berbeza hari ini nyamuk dan lalat adalah jauh lebih mudah dikenali berbanding rama-rama kerana suatu masa dahulu rama-rama mudah dilihat terbang di halaman dari sekuntum bunga ke bunga yang lain. Apa yang ingin saya kongsikan hari ini bukan sekadar kisah menarik rama-rama sahaja malah termasuk juga yang berkaitan serangga-serangga yang lain.

Rama-rama yang kita lihat beterbangan adalah berbeza sekali semasa waktu ia mula-mula lahir dari telurnya. Iaitu sebaik sahaja telurnya dihasilkan oleh ibu rama-rama dan ia akan ditinggalkan pada daun atau ranting pokok-pokok tersebut sehingga menetas. Apabila menetas keluarlah anak rama-rama yang dipanggil ulat beluncas (ulat bulu).

Walaupun terdapat serangga lain yang melalui kitaran hidup sama seperti rama-rama iaitu nyamuk dan lalat. Kesemua serangga ini mempunyai nama yang berbeza bagi setiap peringkat umurnya. Sekiranya anak rama-rama dipanggil beluncas, anak lalat dipanggil berengga dan anak nyamuk pula dikenali sebagai jentik-jentik. Kesemua anak-anak serangga ini kelihatan berbeza sekali daripada ibu/bapa mereka.

Ulat beluncas akan memakan daun dengan banyaknya bagi memastikan ia boleh membesar dengan pantas. Kulitnya yang lembut bagaikan belon yang semakin hari semakin membesar. Ia memakan makanan yang banyak bagi membantunya untuk proses yang selanjutnya iaitu bertukar menjadi dewasa. Namun sebelum ia mencapai tahap dewasa ulat beluncas perlu melalui satu peringkat yang menukarkan ia menjadi seekor rama-rama dewasa.


Kitar hidup rama-rama
Kitar hidup rama-rama dan beberapa serangga yang lain.

Peringkat ini dinamakan kepompong. Semasa berada di dalam kepompong badan beluncas akan bertukar kepada bentuk cecair dan perlahan-lahan membentuk rama-rama dewasa. Oleh sebab itu semasa proses pertukaran ini ia perlu diselaputi oleh lapisan kepompong yang kuat bagi mengelakkan gangguan yang boleh mengakibatkan ia mati.

Apabila masanya sampai rama-rama akan keluar daripada kepompong dengan keadaan sayap dan badannya masih lagi basah. Ia perlu mengeringkannya terlebih dahulu sebelum boleh memulakan penerbangan pertamanya.

Rama-rama akan terbang dari satu bunga ke bunga yang lain. Rama-rama tidak memerlukan makanan daripada madu ini untuk membesar lagi melainkan sebagai pembekal tenaga untuk membolehkan ia terus hidup dan membiak. Seekor rama-rama betina akan menghasilkan sekitar 50,000 biji telur sepanjang usianya!.. Apa. 50,000!.. Ya, ini kerana kebanyakan anak-anaknya mati disebabkan pelbagai faktor selain daripada menjadi makanan kegemaran burung.

Ulat sutera juga merupakan sejenis kupu-kupu (seakan rama-rama) yang menghasilkan kepompongnya daripada lilitan bebenang sutera. Maka di dalamnya ulat beluncas akan perlahan-lahan bertukar menjadi rama-rama. Seperti yang dinyatakan tadi, selain daripada rama-rama terdapat beberapa serangga lain yang mempunyai kitar hidup seperti ini iaitu lalat, nyamuk, kumbang dan angkut-angkut. Kitaran hidup seperti ini dipanggil ‘metamorphosis’ lengkap.


kepompong sutera
Kepompong sutera yang dihasilkan oleh beluncas sutera.

Manakala sekiranya diamati serangga-serangga lain mempunyai kitar hidup yang berbeza. Di mana diperingkat kecil lagi mereka sudah menyerupai induk mereka yang dewasa. Serangga seperti ini adalah lipas, semut, pepatung, belalang dan cengkerik. Mereka perlu melalui proses bersalin kulit beberapa kali sebelum bertukar menjadi dewasa menyerupai induknya.

Bukan serangga sahaja perlu menjalani proses bersalin kulit, malah hidupan lain seperti ketam, udang, ular dan reptilia lain juga menjalani proses bersalin kulit untuk membolehkannya membesar. Jadi anda perlulah lebih peka dengan proses kitaran hidup haiwan-haiwan ini bagi membolehkan anda mengenali mereka pada tahap kehidupan mereka yang berbeza.

Begitulah serba sedikit mengenai keunikan kitaran hidup hidupan-hidupan yang berada di sekeliling kita. Dalam masa yang sama kesemua haiwan ini saling bergantung di antara satu sama lain dalam mengimbangi keseluruhan ekosistem. Sekiranya salah satu daripadanya kurang maka, sudah tentu mereka perlu mencerobohi kawasan manusia sebagai usaha untuk terus hidup!

Sama-sama kita perhatikan. 

Free Download



Arkib Blog