Isnin, 6 Julai 2015

Penerbangan Serangga Terpantas

Horsefly mempunyai kemampuan penerbangan terpantas dalam dunia serangga.

Serangga biarpun kecil memainkan peranan penting dalam ekosistem dari sekecil-kecil hama hinggalah kepada serangga terbesar iaitu kumbang Goliath. Mungkin ada yang menganggap serangga ini sebagai pembawa penyakit dan mengganggu. Namun begitu tanpa serangga juga banyak perkara di dalam alam ini akan terganggu dan boleh membawa masalah yang besar juga.
Hari ini kita ingin melihat tahap kepantasan serangga-serangga ini dan mungkin ia berkait rapat dengan fungsinya juga di dalam ekosistem secara tidak langsung anda boleh mengetahui juga sejauh manakah kepantasan yang anda perlukan untuk menangkap serangga-serangga ini.

1) Horsefly

Sesuai dengan namanya, horsefly merupakan serangga yang terpaling pantas dengan kemampuan terbang pada kelajuan 145 km/j mempunyai taburan di seluruh dunia. Serangga ini menghabiskan waktunya di dalam bentuk larva selama 1 – 2 tahun dan meluangkan masa dewasanya sebagai lalat dewasa untuk beberapa hari sahaja. Ia boleh membawa penyakit kerana horsefly betina memerlukan darah seperti nyamuk sebelum ia bertelur – dan memindahkan kuman semasa proses menghisap darah ini.

2) Black cutworm moth

Black cutworm mempunyai nama lainnya iaitu ‘Dark sword-grass’ boleh didapati hampir di seluruh kawasan di dunia tetapi lebih banyak terdapat di kawasan bersuhu sederhana di bahagian Utara dan Selatan. Kupu-kupu ini boleh terbang dengan kelajuan sehingga 113 km/j. Namun begitu ia dianggap musuh kepada petani kerana seekor beluncas kupu-kupu ini memerlukan kira-kira 400 cm2 daun sebelum bertukar dewasa. Antara tanaman yang boleh terjejas oleh kupu-kupu ini adalah jagung, kapas, tembakau, bunga matahari, tomato, sugar beet dan kentang.

3) Green darner dragonfly


Pepatung ini antara lainnya merupakan serangga yang bermigrasi daripada bahagian Utara Amerika hingga ke Texas dan Mexico berupaya terbang dengan kelajuan 85 km/j. Ia juga merupakan antara pepatung dengan saiz yang besar iaitu boleh mencapai panjang sehingga 76 mm (3 in) dengan bukaan sayap sehingga 80 mm (3.1 in). Semasa kecil ia tinggal di dalam air dan memakan serangga dan haiwan-haiwan kecil di dalam air.

4) Deer botfly

Deer botfly juga dikenali sebagai ‘deer nose bot’ merujuk kepada semua spesis daripada genus Cephenemiya merupakan serangga yang besar menyerupai bumblebee. Ia perlu terbang mengelilingi kepala haiwan dari jenis rusa untuk meletakkan larvanya pada hidung haiwan tersebut. Larva ini yang akan membesar di bawah lidah haiwan tersebut dan akan keluar dan bertukar dewasa di dalam tanah (2 ke 3 minggu) sebelum bertukar kepada serangga dewasa. Untuk itu ia memerlukan kepantasan penerbangan sehingga 80 km/j.

5) White-spotted prepona butterfly


Merupakan rama-rama yang mendiami kawasan hutan dan memiliki sayap yang berukuran 50-58 mm. Ia juga dikenali dengan naman Archaeoprepona amphimachus mempunyai beberapa sub-spesis yang lain. Rama-rama ini merupakan rama-rama terpantas dengan kelajua penerbangan pada 80 km/j dan didapati di sekitar Mexico ke Bolivia.

6) Brown planthopper

Kupu-kupu ini merupakan serangga yang terdapat di Australia dan Asia dan menjadikan tumbuhtumbuhan sebagai makanannya termasuklah padi (Oryza sativa L.) dan apa yang menjadikan ia merbahaya kepada padi adalah kerana ia membawa virus yang boleh merosakkan tanaman tersebut. Negara-negara yang terlibat dengan serangan brown planthropper termasuklah Australia, Bangladesh, Bhutan, Burma (Myanmaar), Cambodia, China, Fiji, India, Indonesia, Japan, North and South Korea, Laos, Malaysia, Nepal, Pakistan, Papua New Guinea, Philippines, Sri Lanka, Taiwan, Thailand, dan Vietnam. Kupu-kupu ini mempunyai keupayaan terbang pada kepantasan 80 km/j.

7) Regent Skipper

Regent Skipper juga dikenali sebagai Euschemon rafflesia bersempena nama Sir Stamford Raffles merupakan rama-rama yang terdapat di Australia boleh mencapai saiz sehingga 54 mm hingga 61 mm. Rama-rama dewasa akan bertelur di bawah daun yang akan menjadi makanan anaknya nanti. Beluncas-beluncas ini pula akan meluangkan masa untuk makan pada waktu malam dan tinggal di dalam dua daun yang disambungkan menggunakan sutera. Kelajuan penerbangan rama-rama Regent Skipper adalah mencapai 60 km/j.

8) Death’s-head hawkmoth

Merupakan spesis kupu-kupu dengan tabiat yang berbeza iaitu menyerang koloni lebah untuk mendapatkan madu. Mempunyai rupa-bentuk yang mudah dikenali kerana terdapat tanda seakan-akan tengkorak manusia di bahagian atas badannya. Terdapat di beberapa kawasan dengan berlainan spesis iaitu di Eropah, Timur Tengah dan Afrika. Ia mampu menyelinap ke dalam koloni lebah kerana mempunyai kemahiran unik iaitu memiliki bau yang sama seperti lebah. Kelajuan penerbangan kupu-kupu Death’s-head hawkmoth adalah sekitar 53 km/j.

9) Asian giant hornet


Hornet merupakan serangga pemburu dan menjadikan lebah dan serangga-serangga lain sebagai sasarannya. Ia turut berbunuhan sesama sendiri selain daripada berkemampuan membunuh lebah-lebah dengan rahangnya yang kuat. Seekor hornet dari spesis ini mampu membunuh 40 ekor lebah dalam masa seminit. Ia juga mampu terbang sejauh 100 kilometer sehari dengan kelajuan sehingga 40 km/j.

10) Desert locust


Belalang padang pasir (Schistocerca gregaria) sememangnya terkenal sebagai musuh utama tanaman di kawasan-kawasan Afrika, Timut Tengah dan Asia kerana kemampuannya memusnahkan tanaman dan tumbuhan dalam tempoh yang singkat. Malah ia juga turut memakan segala bahagian tumbuhan yang terdiri daripada tanaman dan tumbuh-tumbuhan liar. Serangan belalang ini dianggap salah satu bencana yang serius dan mendapat perhatian antarabangsa. Belalang ini mampu terbang pada kelajuan 33 km/j.

Itulah dia sebahagian serangga dan kepantasan penerbangan masing-masing. Walaupun ia membawa masalah kepada manusia kerana merosakkan tanaman, mungkin ia mempunyai kebaikan tertentu yang tidak kita ketahui. Apa yang penting, semakin kita mengenalinya, semakin kita berkeupayaan untuk mengawal atau memanfaatkannya.



MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Ahad, 5 Julai 2015

Kemajuan Peralatan Pemain Muzik

Radio Transistor Regency TR-1 pada tahun 1954.


Peralatan pemain muzik mempunyai hubungan yang rapat dengan manusia, semenjak manusia -mencipta peralatan pertama iaitu radio, peralatan ringkas tersebut terus berubah dari semasa ke semasa dalam memperbaiki saiz, kemudahan serta kualitinya dalam memberikan hiburan muzik kepada manusia.

Muzik sememangnya mempunyai kaitan rapat dengan manusia. Bunyi-bunyian yang harmoni dapat memberikan ketenangan, mengembalikan kenangan, memeriahkan suasana, menjadi sebahagian hiburan dan memberikan ilham/idea. Hubungan rapat manusia dan muzik dapat dilihat bagaimana manusia sering menghasilkan bunyian sendiri (humming) sebagai tanda keperluan kepada muzik.

Transistor Radio

Rekaan pertama yang memberikan kemudahan kepada manusia untuk menikmati muzik dengan lebih mudah adalah radio transistor. Antaranya radio transistor pertama yang dihasilkan adalah Regency TR-1 yang dihasilkan pada tahun 1954. Mempunyai rupa bentuk yang ringkas dengan saiz berukuran 3” X 5” 1.25” mempunyai “tuner” ringkas untuk radio AM. Mungkin sekarang anda tidak lagi mendengar perkataan AM atau “Amplitude Modulation” ini.

Walaupun mempunyai kualiti muzik yang asas, dan hanya dilengkapi dengan satu speaker mono ia dipasarkan pada harga $49.95 pada waktu itu atau bersamaan dengan $325 dengan nilai hari ini.

Pemain Piring Hitam

Pemain piring hitam bersaiz kecil.

Bagi membolehkan manusia mendengar muzik mengikut selera masing-masing rekaan piring hitam merupakan satu langkah awal bagi rekaan-rekaan lain yang berikutnya. Walaupun saiznya agak besar pada waktu itu, versi mudah alih (portable) seperti KLH Model 11 yang dihasilkan oleh Henry Kloss pada tahun 1962 merupakan peralatan yang amat memberikan kesan kepada senario peralatan muzik.
Mempunyai rekaan seakan-akan beg baju (suitcase) ia lebih mudah dibawa ke mana-mana selain dilengkapi dengan sistem amplifier ber-transistor stereo. Namun begitu ia memerlukan sumber kuasa A/C.

Pita Rakaman

Pita rakaman atau “cassette tape” membuka dimensi baru dalam rekaan peralatan ‘stereo peribadi’ kerana bermulanya rekaan peralatan muzik mudah alih yang lebih drastik. Syarikat barangan elektrik terkenal Phillips pada tahun 1965 menghasilkan ‘Phillips Compact Cassette’ dan ‘Norelco Carry-Coder 150’yang pada mulanya hanyalah untuk membuat sebarang rakaman suara – seperti temuramah.

Ia merupakan peralatan yang menggunakan kuasa daripada bateri dan boleh di bawa kemana-mana menggunakan pita rakaman bersaiz 1/8-inch. Penggunaan pita rakaman ini bertukar apabila Mercury Records menggunakan pita rakaman daripada Phillips untuk memasarkan lagu-lagunya dengan harga $6 seunit dan ia terus mendominasi dunia muzik selama 20 tahun berikutnya.

Walkman

Sony merupakan pengeluarkan walkman yang paling terkenal.

Walkman mendominasi sistem peralatan muzik peribadi dan menjadi titik tolak kepada perubahan peralatan-peralatan berikutanya. Nama yang tidak asing lagi dengan peralatan ini adalah Sony yang terus mendominasi peralatan walkman sehingga era terakhir peralatan ini pada tahun 2000.

Bermula dengan model walkman TPS-L2 pada tahun 1979 Sony memperkenalkan model ini pada harga $274 dan mengeluarkan berjuta-juta unit diikuti dengan pelbagai model seterusnya. Walkman juga menggunakan pita kaset dan dilengkapi dengan ‘tuner’ radio.

Discman

Seperti juga walkman, discman membolehkan pengguna mendengar rakaman disc menggunakan sebuah peralatan yang kecil. Bagi era ini Sony juga merupakan salah salah satu pelopor yang mendahului dengan model Sony Discman D-50. Kualiti muzik yang terdapat pada CD merupakan kualiti terbaik yang cuba dikekalkan oleh peralatan muzik mudah alih sehingga kini.  Selain daripada Discman peralatan stereo peribadi yang seiring dengannya adalah ‘mini-disc’.

Compast Disc merupakan peralatan yang seakan-akan peralatan piring hitam sebelumnya dengan perbezan ianya adalah digital. Mempunyai kualiti bunyi yang lebih baik dan bersaiz lebih kecil. Oleh kerana Compact Disc menyimpan data – ianya boleh digunakan untuk pelbagai fail digital selain muzik.

Peralatan Muzik Digital

Pemain muzik digital dengan pelbagai saiz.

Peralatan digital pertama dihasilkan oleh SaeHan daripada Korea yang mampu membuat rakaman audio selama 32 minit. Peralatan ini menggunakan ‘Solid State Drive’ (SSD) dan merupakan peralatan audio digital terawal dan berada di pasaran pada tahun 1998. Menggunakan batteri NiMH ia mampu digunakan utuk tempoh selama 9 jam.

Peralatan muzik digital berubah dengan drastik dengan perubahan format muzik membolehkan saiz fail dikecilkan dan menggunakan tenaga elektrik yang kurang. Hari ini permain muzik digital seperti iPod nano hanya bersaiz beberapa cm sahaja dan turut disertakan dengan telefon-telefon pintar.


Peralatan muzik digital ini memudahkan pengguna bukan sahaja untuk mendengar muzik, malah membuat rakaman temuramah, mendengar rakaman pelajaran (motivasi/bahasa/latihan) mengikut kesesuaian pengguna sendiri. Lebih memudahkan, sekiranya anda tidak memerlukan peralatan lebih kecil, ia telahpun dimuatkan bersama telefon bimbit anda.


Free Download




Sabtu, 4 Julai 2015

Olympus Air Kamera untuk Telefon Pintar

Olympus Air kamera boleh digunakan pada iOS7 dan juga Andriod 4.0 ke atas.

Olympus Air merupakan sebuah kamera yang dipadankan dengan telefon bimbit jauh lebih baik berbanding kamera telefon kerana memiliki sonsor yang lebih besar berkeupayaan untuk menghasilkan kualiti gambar yang lebih jelas.

Dengan menjadikan telefon sebagai paparan ia menjimatkan kos pada kamera untuk sistem paparannya. Selain dari itu juga ia dikendalikan dengan apps yang juga dihasilkan secara ‘open source’ yang memberi kebebasan kepada para pengguna untuk mengolah keupayaan yang ada pada kamera ini.

Mampu menghasilkan gambar bersaiz 16MP dan mampu dipadankan dengan semua lens daripada siri M43 untuk memenuhi pelbagai kegunaan. Olympus Air dapat menandingi produk yang dihasilkan sebelumnya oleh Sony iaitu QX100 yang mempunyai lensa tetap.


Pilihan lensa berlainan dari siri M43 Olympus.

Olympus Air juga menampilkan beberapa ciri-ciri lain untuk memeberi keselesaan semasa mengambil gambar mahupun untuk digunakan pada gadget pelbagai saiz seperti smartphone dan tablet. Ia turut boleh digunakan berasingan daripada smartphone kerana disambungkan ke smartphone menggunakan WiFi. Maka dengan anda boleh meletakkan ia di mana sahaja atau menggunakan ‘selfie-stick’ dan merakamkan gambar melalui kawalan di telefon anda.

Gambar-gambar yang diambil akan disimpan di dalam MicroSD/SHDC yang terdapat pada kamera tersebut dan boleh dipindah kepada telefon melalui WiFi boleh digunakan untuk sistem pengoperasian iOS mahupun Android.

Chip sensor pada Olympus Air.
Olympus Air bersaiz kecil dan menarik.

Ia merupakan kamera yang jauh lebih baik berbandig kamera yang terdapat pada telefon dengan saiz yang lebih ringan daripada kamera DSLR manual biasa. Namun begitu setakat ini ia hanya dikeluarkan untuk pasaran Jepun sahaja dengan harga sekitar ¥33,800 (USD289) dan dilengkapi dengan Olympus 14-42mm f/3.5-5.6 lens pada harga ¥49,800 (USD425).




Free Download




Jumaat, 3 Julai 2015

Khasiat Buah Delima

Buah delima yang telah masak.

Buah Delima tidak begitu popular bagi Kaum Melayu Malaysia kerana ia bukan tanaman asal negara ini. Namun begitu pokok delima masih boleh tumbuh dan berbuah di Malaysia dengan buah yang agak kecil. Buah delima dengan saiz yang besar adalah didapati dengan mengimportnya dari luar negara dan terdapat di kedai-kedai buah utama.

Delima atau lebih dikenali sebagai ‘pomegranate’ (Punica granatum) merupakan buah daripada pokok yang sederhana besar dengan ketinggian 5 hingga 8 meter (16 – 26 kaki) tinggi. Ia dikatakan berasal daripada Timur Tengah iaitu Iran dan  sekitar Mediterranean kemudiannya merebak ke Utara India. Ia diperkenalkan ke Amerika Selatan dan California oleh pelayar Spanyol di sekitar 1769.

Hari ini pokok delima ditanam di lebih banyak kawasan di dunia dari Timur Tengah, Afrika Utara, dan bahagian Tropika Afrika, India, China, Asia Tengah  dan bahagian kering di Asia Tenggara. Ia juga dikatakan semakin popular di bahagian Eropah dan bahagian Barat yang lain.

(Los Angeles County Museum of Art)
Lukisan buah delima dari Dinasti Song sekitar 1200 - 1340 (Los Angeles County Museum of Art)

Buah delima telah menjadi buah yang penting bagi manusia sejak ribuan tahun dahulu. Catatan sejarah direkodkan semenjak 6000 BC lagi di Greece menunjukkan ia mula ditanam oleh manusia. Catatan-catatan berikutnya pula terdapat pada patung-patung yang diukir dan lukisan-lukisan dari Greek (800 BC), Rome (700 BC) selain turut tampil dalam seni (Buddhism) dari China.

Buah delima digunakan bukan sahaja sebagai makanan dan ubatan, malah bunganya juga digunakan sebagai bahan pewarna dan kulitnya digunakan sebagai pewarna barangan kulit. Oleh kerana kepentingannya dalam masyarakat ia dapat dilihat dalam banyak hasil seni masyarakat dahulu daripada lukisan, ukiran dan lambang ‘Coat of Arms’ bagi Granada.

Buah delima yang masak di pokok.

Buah delima digunakan dalam beberapa cara selain daripada minuman, ia juga digunakan dalam penyediaan salad, digunakan dalam masakan, dijadikan sos, dan dipelbagaikan mengikut kesesuaian seperti dimakan dengan ice-cream dan yogurt. Ia amat popular di Turkey sebagai minuman dan juga digunakan sebagai masakan dikenali sebagai ‘pilaf’ dan juga ‘shepherd’s salad’ dikenali sebagai ‘narÅŸÉ™rab’ di dalam Bahasa Azerbaijani.

Buah delima terkenal sebagai buah yang mempunyai pelbagai khasiat perubatan tradisional bagi pelbagai masyarakat. Bahagian yang digunakan dalam perubatan merangkumi dari buah, kulit dan juga kulit pokok itu sendiri digunakan untuk merawat diarrhea, dysentery dan parasit di dalam usus seperti cacing. Jus dari buah dan biji dikatakan baik untuk merawat jantung dan tekak selain membantu pembentukan darah. Namun penggunaan untuk tujuan perubatan Ayurveda ini juga adalah mengikut kesesuaian jenis buah delima.

Buah delima juga digunakan sebagai bahan pencegah kehamilan. Penggunaan delima untuk tujuan ini direkodkan dalam penulisan di India dan mungkin masih digunakan hingga ke hari ini.


ash-e anar
Sup 'ash-e anar' dari Parsi menggunakan jus delima.

Kajian terhadap potensi buah delima dalam merawat masalah kesihatan terus giat dijalankan bagi mengenal pasti potensi buah delima dalam merawat pelbagai masalah kesihatan antaranya masalah berkaitan jantung dan pembuluh darah – termasuk darah tinggi (high blood pressure), jantung tersumbat (congestive heart failure – CHF), serangan jantung (heart attack), menguatkan arteri (atherosclerosis) dan kolesterol tinggi (high cholesterol). Potensi lain turut merangkumi merawat ‘flu’, masalah mulut (stomatitis), gusi berdarah (gum disease), ‘erectile dysfunction’ (ED), kencing manis ‘diabetes’ selain digunakan untuk mengelakkan kanser prostat (prostate cancer), obesity dan penurunan berat badan.

Buah delima sememangnya istimewa dan merupakan buah yang penting bagi banyak masyarakat di dunia. Walaupun begitu penggunaannya untuk tujuan perubatan perlulah dilakukan dengan berhati-hati. Anda juga boleh mendapatkan jus delima yang telah sedia diproses (sekiranya perlu) selain buah delima segar daripada pembekal buah-buahan.

Video mengeluarkan biji delima:



Rujukan:

Free Download



Mikro Post: Keunikan Pulasan

Pulasan seperti rambutan namun lebih besar dan berkulit tebal.

Pulasan merupakan buah yang unik, ia mempunyai nama yang sedikit kerana hanya terdapat di beberapa buah negara sahaja iaitu ‘pulasan’ di Malaysia, ‘kapulasan’ di Indonesia, ‘ngoh-khosan’ di Thailand, dan ‘bulala’ atau ‘panungayan’di Philippines. Mempunyai rupa bentuk seakan-akan buah rambutan dan lychee, buah pulasan bersaiz agak besar, manakala rambutnya adalah lebih kasar dan rasanya lebih manis.

Buah pulasan atau nama saintifiknya Nephelium mutabile merupakan satu lagi buah yang unik kepada Asia Tenggara sahaja. Ia didapati tumbuh di kawasan hutan tanah rendah di pinggiran sungai yang tidak berpaya yang kebiasaannya bertanah pasir atau tanah liat. Namun begitu buah pulasan ditanam hanya dalam keluasan yang sedikit di Malaysia dan Thailand dengan beberapa variasi cuba dihasilkan di Malaysia.

Pokok pulasan dewasa.
Daun pulasan sedikit panjang dan berwarna terang berbanding rambutan.
Bunga pulasan kelihatan sama seperti bunga rambutan.

Secara kasar pokok pulasan amat mirip kepada pokok rambutan dengan sedikit perbezaan sahaja – bentuk daunnya yang lebih panjang dan warna yang agak terang (ia kelihatan sedikit bergulung). Mencapai ketinggian 30 – 45 kaki (9-14 meter) dan mempunyai rimbunan daun yang berbentuk membulat. Ia juga mempunyai bunga yang seakan-akan rambutan – cuma apabila ia menjadi buah, ia kelihatan lebih besar, bewarna merah gelap (apabila masak) dan rambut yang agak kasar.

Pulasan merupakan tumbuhan asal di Semenanjung Malaysia terutama di kawasan rendah di sekitar Perak, ia juga terdapat di Philippines di kawasan sekitar Luzon ke Mindanao. Di Malaysia dan Thailand pokok pulasan kebiasaannya ditanam manakala di Philippines ia merupakan tumbuhan meliar. Manakala di Indonesia juga dikatakan terdapat kawasan penanaman pulasan di sepanjang jalan keretapi di antara Bogor dan Jakarta.

Pulasan, buah unik kepada Asia Tenggara.

Jadi sekiranya anda terjumpa buah ini dijual nanti bolehlah mencubanya kerana ia tidak terdapat di tempat lain. Bagi yang berminat untuk menanamnya pula bolehlah mencari anak benih pokok pulasan untuk ditanam di persekitaran rumah atau di dusun buah-buahan anda.


Free Download






Rabu, 1 Julai 2015

Mikro Post: Keunikan Pisang

Pisang berguna pada manusia dari jantung hingga ke akar.

Pisang merupakan buah yang mudah didapati di Malaysia, manakala pisang goreng pula merupakan makanan minum petang yang paling popular. Kita bertuah kerana ia tumbuh dengan mudah di sekitar kawasan Asia Tenggara, seterusnya menjadikan ia sebagai pokok yang menyediakan pelbagai kegunaan kepada masyarakat setempat. Namun adakalanya agak sukar bagi sesetengah orang untuk mengenal jenis pisang dan kegunaannya yang sesuai.

Seperti juga tumbuhan-tumbuhan yang lain, pisang digunakan oleh masyarakat dalam pelbagai kegunaan dari pangkal pokoknya sehinggalah kepada jantung pisang. Malah bagi pisang hutan yang buahnya dipenuhi biji juga masih boleh memberikan manfaat, di mana daunnya masih boleh digunakan untuk membungkus makanan atau membuat kuih sama juga seperti daun pisang yang lain.


Pisang merupakan buah yang mudah dimakan.


Namun begitu, terdapat pelbagai jenis pisang di Malaysia dan pisang-pisang ini mempunyai kesesuaian dan fungsinya masing-masing. ‘Pisang Emas’ contohnya, amat sesuai dimakan terus menjadikan ia pisang yang paling mudah untuk dinikmati. Manakala ‘Pisang Nangka’ pula, sesuai dijadikan sebagai ‘Pisang Goreng’ dan tidak sedap untuk dimakan mentah. Namun kreativiti kita bukan setakat itu, pisang-pisang ini ada yang digunakan di dalam masakan, dijadikan minuman, kerepek, kek, cekodok, pengat, pisang rebus, pisang salai, apam pisang dan lain-lain lagi.

Pokok pisang dimanfaatkan sepenuhnya. Serat dari batang pisang digunakan untuk membuat tali manakala batang pisang boleh digunakan untuk membuat tambak atau penutup tanah di sekitar tanaman. Daun pisang pula amat terkenal sebagai alas atau pembungkus makanan – seperti hidangan di atas daun pisang atau pembungkus nasi lemak. Pembungkusan dengan daun pisang ini dikatakan menambah aroma kepada makanan. Bagi penyediaan kuih-muih juga daun pisang merupakan antara bahan penting antaranya dalam penyediaan lepat, lemang, sebagai alas kukus atau pembalut untuk ikan bakar.


Beberapa jenis pisang biasa di Asia Tenggara.

Berikut adalah beberapa jenis pisang yang terdapat di Malaysia, sekiranya anda mengetahui ciri-ciri penting pisang ini seperti ciri fizikal dan kegunaannya bolehlah kongsikan dengan kami;
  • Pisang Abu
  • Pisang abu keling
  • Pisang abu kapas
  • Pisang abu batu
  • Pisang awak
  • Pisang Berangan
  • Pisang Benggala (Galla)
  • Pisang Bunga
  • Pisang Embun
  • Pisang Kapas
  • Pisang Kari
  • Pisang Kelat Keling
  • Pisang Lemak Manis
  • Pisang Lidi
  • Pisang Mas
  • Pisang Merah
  • Pisang Nangka
  • Pisang Nipah
  • Pisang Putar
  • Pisang Rastali
  • Pisang Serendah
  • Pisang Susu
  • Pisang Talang
  • Pisang Tanduk
  • Pisang Tanduk Raja
  • Pisang Teratai
Daun dan jantung pisang di Pasar Thanin, Chiang Mai, Thailand.

Tidak ketinggalan juga embut pisang, buah, jantung dan bunga pisang kesemuanya turut digunakan dalam masakan. Sebagai contoh ‘Kaeng yuak’ merupakan masakan menggunakan embut pisang di Utara Thailand, manakala ‘Kilawin na pusô ng saging’ pula merupakan hidangan daripada Filipina yang menggunakan bunga pisang. Di Malaysia juga jantung pisang amat terkenal dalam penyediaan pelbagai jenis masakan samada kerabu, dimasak atau dijadikan ulam bersama sambal belacan.

‘Kilawin na pusô ng saging’
‘Kilawin na pusô ng saging’, dari Filipina.

Baiklah, mungkin kita akan melihat lebih banyak keistimewaan pisang untuk masa-masa akan datang. Bersama kongsikan pengetahuan anda untuk rujukan bersama. 


Free Download



Arkib Blog