Selasa, 12 Julai 2016

Bagaimana Mebina Teleskop Pemantul Anda Sendiri?

Antara telescope berkualiti tinggi.

Teleskop merupakan antara peralatan yang agak mahal untuk dimiliki oleh semua. Namun ianya boleh dibina sendiri dengan harga yang jauh lebih murah. Walaupun teleskop yang dibina sendiri mungkin tidak mempunyai kualiti seperti teleskop moden yang lain, namun ia jauh lebih baik daripada teleskop yang digunakan oleh Galileo Galilei untuk mencipta sejarah ratusan tahun dahulu.

Seperti juga peralatan-peralatan lain, teleskop berubah mengikut peredaran zaman. Teleskop yang digunakan oleh Galileo Galilei merupakan teleskop optik biasa yang menggunakan kanta objektif cembung (convex objective lens) dan juga kanta mata cekung (concave eye lens) dan rekaan seperti ini dinamakan sebagai Galilean telescope. Percayakah anda bahawa teleskop yang digunakan oleh Galileo Galilei menghasilkan imej yang amat kabur, dengan kuasa pembesaran yang amat rendah?

Galileo Galilei merupakan tokoh dalam rekaan teleskop.

Contoh teleskop seperti yang direka oleh Galileo.

Banyak faktor yang menyebabkan mengapa teleskop beliau menghasilkan imej yang tidak berkualiti. Namun usaha beliau ini membolehkan teknologi tersebut terus berkembang, diperbaiki, malah menjadikan beliau antara manusia yang dikenang sebagai pereka teleskop terawal.

Perubahan Teknologi Teleskop

Penggunaan kanta cembung ataupun cekung seperti pada teleskop Galileo Galilei mempunyai banyak kekurangan. Kekurangan yang terpaling besar sekali adalah biasan cahaya (chromatic aberration) disebabkan cahaya yang terbias apabila melalui kanta. Jarak fokus (focal length) kanta juga menjadikan teleskop jenis ini memerlukan saiz yang amat panjang untuk menghasilkan kuasa pembesaran yang diperlukan selain turut meningkatkan lagi kesan ‘chromatic aberration’.

Cadangan menggunakan pemantul kaca mula dicadangkan sejurus rekaan Galilean telescope dihasilkan. Ia juga dicadangkan oleh beberapa tokoh awal seperti Alhazen (Hasan Ibn al-Haytham), begitu juga dengan Giovanni Francesco Sagredo yang turut mencadangkan penggunaan kaca cekung sebagai penumpu cahaya bagi menggantikan penggunaan kanta. Penggunaan kaca pemantul ini dapat mengelakkan kesan chromatic aberration seperti yang terdapat pada kanta. Rekaan awal dicadangkan oleh James Gregory pada tahun 1663, dan ia dinamakan sebagai Gregorian telescope. Namun begitu tiada rekaan sebenar yang dihasilkan sehingga Isaac Newton menghasilkan teleskop kaca pemantul yang berfungsi pada tahun 1668. Ia juga menjadikan rekaan teleskop pemantul ini dikenali sebagai Newtonian telescope.

Kesan chromatic aberration pada imej yang dihasilkan.

Teleskop yang dihasilkan oleh Newton pada tahun 1672.

Bagaimana Newtonian Telescope berfungsi.

Namun teleskop dengan pemantul ini juga mengambil masa yang lama untuk menjadi popular kerana kualiti pemantul yang dihasilkan tidak seperti yang diharapkan pada masa tersebut. Namun ia merupakan jenis teleskop yang digunakan oleh Frederick William Herschel (15 November 1738 – 25 August 1822). William Herschel juga sebenarnya menghasilkan teleskopnya sendiri menggunakan pemantul yang dibuat daripada logam yang digilap dengan cermat pada tahun 1774.

Teknologi teleskop ini terus diperbaharui seiring dengan perkembangan teknologi dan ilmu sains. Hari ini teleskop berfungsi bukan sahaja untuk mencerap cahaya yang boleh dilihat dengan mata kasar malah turut mencerap gelombang-gelombang lain seperti infra-merah, x-rays, UV, gelombang radio dan juga gelombang-gelombang pendek. Malah gangguan-gangguan yang disebabkan oleh atmosfera bumi turut diatasi dengan menggunakan teleskop yang ditempatkan di ruang angkasa.

Bagaimana Memiliki Teleskop

Oleh kerana teleskop merupakan peralatan yang mahal, maka membina sendiri teleskop anda merupakan antara jalan yang paling baik. Selain mengelakkan pembaziran wang, ia juga turut membantu anda lebih memahami bagaimana peralatan ini berfungsi. Malah kesemua pakar astronomi seperti yang disebutkan di atas juga membina teleskop mereka sendiri dengan barangan yang berkualiti rendah. Apakah yang menyebabkan anda tidak boleh membinanya.

Untuk memudahkan proses pembinaan tersebut, terdapat video panduan di hujung artikel ini. Kenal pasti barangan-barangan yang diperlukan, langkah-langkah dan teknik penghasilan sebelum anda membuat keputusan untuk membinanya. Fikirkan peralatan ganti sekiranya anda tidak berjaya mendapatkan bahan yang sama seperti yang digunakan di dalam video tersebut. Fahami juga konsep bagaimana peralatan ini berfungsi untuk memudahkan anda menghasilkan teleskop pemantul yang berfungsi (atau apabila anda ingin menghasilkan teleskop yang lebih baik pada masa akan datang).

Semoga paparan kali ini sedikit sebanyak membantu anda dalam mengenali satu lagi peralatan yang penting kepada dunia sains. Antara peralatan lain yang menggunakan konsep yang sama, namun pada skala yang berbeza adalah mikroskop. Mikroskop juga mengalami perubahan teknologi yang jauh berbeza daripada konsep asalnya; mungkin akan dibincangkan pada kesempatan yang lain pula. Selamat mencuba.






Free Download



Isnin, 11 Julai 2016

Bagaimana Melihat ISS Mengelilingi Bumi?

ISS bergerak amat pantas dan mengambil masa hanya 91.63 minit untuk mengelilingi bumi.

ISS (International Space Station) merupakan salah satu rekaan manusia yang terpaling mahal berada di ruang angkasa untuk menjalankan pelbagai eksperimen bagi membantu kita menghurai pelbagai persoalan. Tidak kurang pula ada yang mempertikaikan kewujudannya di ruang angkasa. Jadi kali ini kita akan melihat bagaimana kita boleh melihatnya sendiri ketika ia mengelilingi bumi.

Untuk memudahkan lagi proses ini anda boleh menyemak video yang disertakan bersama-sama dengan artikel ini yang disediakan oleh John Read yang turut menyediakan buku panduan dalam melihat objek-objek lain di ruang angkasa. Ini kerana, angkasa merupakan ruang yang amat luas dan mencari objek yang kecil seperti ISS menjadi satu perkara yang mencabar – bagi mereka yang kurang berpengalaman.

Selain menyediakan peralatan visual iaitu teleskop yang sesuai anda juga mungkin memerlukan kamera (sekiranya anda ingin merakamkannya). Jadi pilihlah peralatan yang sesuai atau anda mungkin boleh meminjamnya daripada badan-badan yang memiliki peralatan tersebut (sekiranya anda berpeluang).

Tanpa menggunakan apps, kedudukan ISS sukar dipastikan.

Kualiti imej adalah bergantung kepada peralatan yang digunakan.

Anda juga memerlukan applikasi tertentu untuk memudahkan lagi proses mengesan kedudukan ISS (yang akan bergerak dengan pantas ketika mengelilingi bumi). Anda boleh menggunakan Sputnik sekiranya menggunakan iPhone/iPad. Bagi pengguna Android pula anda boleh menggunakan ISS Detector yang boleh dimuat turun melalui Google Play. Tanpa sebarang bantuan, kerja-kerja mengesan kedudukan ISS amat sukar kerana berada jauh di angkasa – amat kecil untuk dilihat dengan mata kasar.

Sediakan peralatan-peralatan lain di lokasi yang sesuai – yang mempunyai kurang pencemaran cahaya (untuk mendapatkan hasil cerapan yang lebih baik). Dapatkan lokasi kedudukan ISS untuk membolehkan anda besedia apabila ia melepasi ruang angkasa di atas anda. Terus mencuba sekiranya anda tidak berjaya buat kali pertama.


Sebaliknya bumi juga merupakan objek yang menarik dilihat dari ISS.

Diharap anda mengambil peluang untuk melihat sendiri peralatan yang menakjubkan ini. Ini kerana ISS bukanlah didirikan oleh sebuah negara malah melibatkan banyak lagi negara-negara maju yang lain. Ia juga secara tidak langsung dapat menafikan andaian bahawa ISS adalah sekadar cerita rekaan. Teruskan usaha anda dalam mengkaji fenomena-fenomena lain juga kerana teknologi memerlukan penglibatan semua. Menarik!





Free Download



Ahad, 3 Julai 2016

Lagi Buah Yang Agak Unik, Puhala Tree Seed Pod

Puhala dengan isinya dengan warna yang cantik.

Satu lagi buah yang agak unik untuk dikenali, kerana walaupun ia mungkin tidak ditemui di sini, namun ia merupakan dari jenis tumbuhan yang mempunyai kaitan dengannya iaitu spesis pandan.  Hala atau Pū hala (Pandanus tectorius) merupakan spesis pandan yang berasal dari Hawaii juga dikenali sebagai Hawaiian screwpine, mempunyai buah yang unik. Sebagai spesis pandan, ia mempunyai banyak lagi kegunaan lain.

Tidak seperti spesis pandan/mengkuang biasa ia tumbuh agak tinggi mempunyai batang dan cabang-cabang sehingga 20 – 40 kaki tinggi. Namun ia mempunyai pelbagai kegunaan kepada masyarakat tempatan lebih dari sekadar buah peliknya boleh dimakan.

Sejak sekian lama, seperti juga mengkuang dan pandan tumbuhan ini digunakan untuk membuat barangan seperti keperluan bagi canoe/sampan, baju yang dikenali sebagai ʻahu hīnano, serat dari akarnya juga digunakan untuk untuk membuat barangan keperluan harian. Batang utama pokok ini digunakan untuk membentuk syiling rumah dan bahagian-bahagian lain bangunan.

Pokoknya mungkin juga ditanam sebagai hiasan.

Buah puhala yang muda.

Seperti juga mengkuang, ia digunakan untuk membuat peralatan-peralatan kraftangan yang lain seperti bakul, tikar, topi, sandal, kipas dan sebagainya. Secara kasarnya, masyarakat Hawaii menggunakan keseluruhan tumbuhan ini untuk dimanfaatkan.

Berbalik kepada buahnya yang unik kerana rupa bentuknya yang jarang kita lihat. Dari luar ia kelihatan seperti buah yang berbonjol-bonjol (permukaan tidak sekata). Malah, ia juga membentuk pecahan-pecahan kecil (ulas). Ia boleh mencapai antara 38 – 200 ulas dan setiap satunya mengandungi 2 biji sehingga 8 biji. Keseluruhan buah boleh  mencapai saiz antara 8–30 cm (3.1–12 in)  dan panjang sehingga 4 – 20 cm (1.6–7.9 in). Buahnya ini adalah ringan dan tahan apabila terapung dipermukaan laut beberapa bulan. Apa yang menarik wana buahnya apabila dibuka.

Buah yang telah masak.

Seulas daripada sebiji buah yang besar,

Buahnya selain dimakan mentah, ia juga boleh dimasak dan merupakan sumber makanan penting di Micronesia. Buahnya agak berserat yang boleh dijadikan sebagai floss semulajadi. Daunnya digunakan untuk menambahkan perasa makanan-makanan manis seperti kaya/jem (sama juga seperti pandan). Antara sumber bauan utama dari tumbuhan ini diperolehi daripada bunga dan buahnya.


Menarik bukan, buah yang unik mempuyai pelbagai kegunaan. Walaupun ia bukan berasal dari negara kita, namun ia boleh tumbuh di kawasan beriklim tropika. Namun kita juga mempunyai banyak tumbuhan dari family yang sama dan boleh dimanfaatkan dengan baik.


Free Download



Buah Yang Lebih Pelik, Buddha's Hand

Buah Buddha's Hand yang berbeza dari buah-buah yang lain.

Ya, saya pernah melihat buah ini dan amat tertarik mengenai kegunaannya. Bagaimana sesetengah orang tahu memanfaatkan buah ini? Kerana ia sangat berbeza dengan buah-buah yang lain bukan sahaja dari segi bentuknya malah banyak lagi.

Buddha's hand, Citrus medica var. sarcodactylis, atau juga dikenali sebagai fingered citron, kebiasaan nya menyerupai buah citron (Citrus medica) yang kemudiannya memecah membentuk rupa bentuk jari. Di Jepun ia juga dikenali sebagai “busshukan” (仏手柑 atau ブッシュカン).

Bahagian jejari yang memecah membentuk jejari ini juga berbeza-beza, ada yang merapat membentuk jari yang tertutup (tangan tertutup)dan ada pula yang mencapah dan membentuk jari yang terbuka (tangan terbuka) memberikan ianya ekspressi tersendiri. Ia dikatakan berasal di Timur Laut India atau China yang kemudiannya ditanam di merata kawasan di China, Jepun dan hari ini turut ditanam di California, USA.

Terdapat 6 jenis utama tumbuhan ini yang ditanam oleh petani-petani di China yang mempunyai kebun seluas 5,000 ekar di Selatan Shanghai. Ia mendapat permintaan yang tinggi dengan harga sehingga $24 bagi setiap pound. Buah ini juga adakalanya didapati dijual di pasaraya di Malaysia.

Bentuk dan warna buah yang amat menarik.


Mengapa Ia Pelik?

Buah yang tidak mempunyai isi ataupun biji.

Kebun buah Buddha's Hand di Vietnam.

Tidak seperti buah yang lain, buah Buddha's hand ini tidak mempunyai isi atau biji. Jadi apabila dibelah ianya hanyalah kulit dan bahagian dalam kulit putih yang menyerupai span. Jadi untuk menanamnya kaedah yang digunakan adalah secara tut atau cantuman tunas.

Ia digunakan terutamanya sebagai bahan bauan atau menaikkan aroma. Oleh kerana ia tidak mempunyai isi, bahagian yang digunakan adalah terdiri daripada keseluruhan buah tersebut yang memberikan bauan dan aroma yang menyegarkan. Ia sering digunakan sebagai bahan bau-bauan sebagai persembahan di rumah-rumah ibadah bagi orang Buddha.

Ia boleh digunakan untuk meningkatkan aroma minuman terutamanya minuman beralkohol seperti vodka dan cocktail. Namun minuman tidak beralkohol juga boleh menggunakannya kerana ia mengeluarkan bau dan aroma yang amat menyegarkan.

Buddha's Hand digunakan untuk membuat kek.

Sesuai untuk masakan kerana kulitnya tidak pahit.

Kulitnya tidak pahit dan amat sesuai untuk dijadikan sebagai bahan makanan seperti halua atau dijadikan jem (marmalade). Bahan makanan yang dihasilkan menggunakan buah ini dikira istimewa kerana rasa dan baunya yang harum. Malah ianya diukir menjadi bentuk-bentuk yang menarik seperti burung atau bunga sebelum ianya disira dengan madu lebah untuk menghiasi bahagian tengah meja makan.

Bagi menyegarkan ruangan bilik atau almari pakaian juga merupakan antara kegunaan Buddha's hand yang popular. Malah caranya adalah amat mudah iaitu dengan hanya meletakkan buah ini ke dalam ruangan tersebut. Baunya juga dikatakan lebih harum daripada menggunakan potpourri. Selain untuk bilik, ia juga sering digunakan sebagai bahan campuran dalam cucian untuk memberikan kesegaran kepada pakaian. Pokoknya juga digunakan sebagai tanaman hiasan samada ditanam terus ke tanah ataupun di dalam pasu-pasu yang sesuai.


Terdapat pelbagai kaedah penggunaan buah dan pokok tumbuhan istimewa ini. Walaupun rupanya sedikit pelik, namun ia mempunyai pelbagai kegunaan dan menghasilkan bau yang amat istimewa pula. Sekiranya anda menjumpai buah ini nanti, janganlah rasa pelik lagi, sebaliknya gunakanlah ia bagi menggantikan bahan-bahan pewangi tiruan yang kita gunakan untuk bilik, kereta ataupun pakaian.


Free Download



Jumaat, 1 Julai 2016

Buah Pelik Yang Sedap, Monstera deliciosa

Buah pelik dengan rasa yang unik, kenali sebelum memakannya!

Seperti yang kita ketahui banyak buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan berasal daripada kawasan lain di dunia seperti nenas, koko, kopi, jagung dan banyak lagi. Jadi kebarangkalian banyak lagi buah-buahan yang tidak kita ketahui adalah tinggi. Antaranya seperti buah Monstera deliciosa yang merupakan sejenis buah yang berasal dari kawasan hutan tropika di Mexico sehingga ke Panama. Namun ia juga pernah diperkenalkan keluar dari kawasan asalnya ke Hawaii, Seychelles, Ascension Island dan Society Islands.

Pokok tumbuhan ini melilit pada batang pokok lain dan memanjat sehingga 20 m (66 ft) dengan daun seperti pokok keladi yang juga merupakan tumbuhan dari family Araceae. Daunnnya mempunyai saiz sehingga 25–90 cm (10–35.5 in) panjang dan 25–75 cm (10–29.5 in) lebar. Ia tidak mempunyai lubang sewaktu muda dan mula menghasilkan lubang apabila ia semakin tua. Kebiasaannya tumbuh di kawasan yang gelap, dan kemudiannya tumbuh menjalar memanjat pokok untuk mendapatkan lebih cahaya apabila membesar.

Pokoknya ditanam sebagai hiasan. 

Bentuk daun yang besar dan cantik.

Bunga Monstera deliciosa.

Selain buahnya boleh dimakan Monstera deliciosa juga sering dijadikan sebagai tanaman hiasan. Ia lebih sesuai ditanam di kawasan tropika dengan suhu sekitar 20–30 °C (68–86 °F) selain memerlukan kelembapan dan kawasan yang redup. Cuaca sejuk dan frost boleh membunuh pokok ini.

Walaupun buahnya boleh dimakan, ia mengambil masa yang agak lama untuk mencapai usia matang (boleh dimakan), iaitu lebih dari setahun. Bagaimanapun rasanya dikatakan seakan-akan gabungan buah pisang, nenas dan mangga. Ia merupakan buah yang amat digemari dan digunakan sebagai bahan perasa dalam minuman, ice-cream atau dimakan begitu sahaja.

Setiap bahagian tumbuhan ini mengadungi racun daripada oxalic acid, kecuali buahnya yang telah masak. Ia akan menyebabkan keradangan pada tekak dan mulut. Jadi bukanlah mudah bagi kita yang kurang mengenali tumbuhan ini untuk menjadikan ia sebagai makanan. Bagaimanapun ia merupakan satu lagi keajaipan dunia tumbuh-tumbuhan yang unik.

Hanya buah yang benar-benar masak boleh dimakan.

Bauh ini dari dekat.

Merupakan buah kegemaran ramai.

Free Download



Arkib Blog