Ahad, 11 September 2016

Pokok Purba Yang Unik – Dragon’s Blood Tree

Dragon's blood tree - antara pokok yang mencapai usia yang amat tua.

Sejenis pokok yang unik kerana dragon’s blood tree (Dracaena cinnabari) merupakan pokok yang tumbuh secara perlahan-lahan untuk tempoh yang sangat lama. Selain itu ia merupakan pokok yang hanya terdapat di Pulau Socotra, Yemen. Pokok ini mendapat gelaran dari getahnya yang berwarna merah apabila ianya ditoreh.

Pokok ini hanya mempunyai batang tunggal pada awal tumbesarannya. Ia akan hanya menumbuhkan cabang baru apabila cabang utama ini mengalami kerosakan (seperti dimakan oleh haiwan). Ia bagaimanapun biasanya menghasilkan bentuk seperti payung yang mempunyai daun yang agak rimbun di bahagian atasnya. Daun-daunnya hanya terdapat di bahagian hujung pucuknya sahaja. Bagi setiap 3 – 4 tahun, keseluruhan daunnya akan luruh dan akan menumbuhkan daun-daun baru yang akan mencapai kematangan dalam tempoh yang sama.

Pokok yang menghasilkan bunga.

Resin yang dihasilkan berwarna merah.

Bahan pewarna yang dihasilkan.

Namun begitu pokok unik ini mempunyai buah dan dalam setiap buah ini mengandungi 1  hingga 3 biji. Warna buahnya akan bertukar dari hijau ke hitam dan oren apabila masak. Buah-buahnya menjadi makanan kepada burung yang juga akan menyebarkan biji-biji tersebut ke kawasan yang baru. Biji-biji ini mempunyai saiz diameter antara 4-5 mm dengan berat lebih kurang 68 mg.

Apabila mencapai saiz yang besar, ia akan membentuk bahagian atas seperti payung yang besar. Walaupun daunnya kelihatan halus, sebenarnya setiap daun pokok ini boleh mencapai saiz sehingga 60 cm panjang dan 3 cm lebar. Ia juga mempunyai ciri-ciri sepertimana pokok palma lain selain beberapa ciri-ciri istimewa yang lain.

Pokok dragon’s blood mempunyai kegunaannya tersendiri kepada manusia dimana ia digunakan sebagai penggalak, ubat kumur dan juga sebagai ubat gigi. Bukan itu sahaja ia turut digunakan sebagai bahan pewarna selain sebagai bahan ubatan. Orang-orang Socotra juga turut menggunakannya sebagai pokok hiasan, selain untuk mewarnakan bulu, sebagai bahan pelekat, penyegar nafas dan juga sebagai lipstik.

Dragon's blood tree semasa bersaiz kecil.

Buah yang dihasilkan oleh pokok dragon's blood tree.

Pokok ini juga digunakan sebagai ubatan untuk pelbagai jenis masalah kesihatan seperti merawat luka, pembeku darah, merawat diarrhea, disentri, menurunkan suhu demam panas. Ia juga digunakan untuk merawat ulser di dalam mulut, tekak, usus dan perut. Ia juga mempunyai pelbagai kegunaan lain seperti sebagai varnish untuk biola (violins) dan juga ‘photoengraving’.


Pokok dragon’s blood merupakan salah satu daripada pokok-pokok yang mampu mencapai usia yang amat tua. Malah oleh kerana ia merupakan tumbuhan endemik bagi kepulauan Socotra sahaja, pemeliharaannya adalah sangat penting bagi membolehkan kita mengenali potensinya secara menyeluruh.


Free Download



Jumaat, 9 September 2016

Lokasi Unik di Leshan China - Giant Buddha

Patung Buddha gersasi di Leshan, China.

Seperti yang selalu dicadangkan, lokasi-lokasi yang menarik minat bagi MyRokan adalah lokasi-lokasi yang memberikan pengajaran, kesungguhan, kebudayaan, sejarah dan sebagainya. Walaupun hari ini kita mencapai kemajuan yang lebih tinggi dari orang-orang terdahulu, namun kesungguhan mereka banyak memberikan pengajaran kepada kita. Maka sebab itulah tinggalan-tinggalan mereka masih dikagumi sehingga ke hari ini.

Jadi kali ini kita akan melihat satu lagi tinggalan yang amat menarik iaitu patung gergasi Buddha di Leshan, China. Patung yang mencapai ketinggian sehingga 71 meter (233 ft.) ini bukanlah dibina dengan mudah melainkan ia mengambil masa yang amat lama dan mempunyai lakaran sejarah tersendiri. Sememangnya ia merupakan antara tempat lawatan terpenting dan disenaraikan sebagai sebahagian daripada “World Heritage Site” oleh UNESCO semenjak tahun 1996 lagi.

Sejarah pembinaannya bermula pada tahun 713 yang diketuai oleh seorang sami yang bernama Hai Tong. Pembinaan patung Buddha itu adalah diharap dapat mengurangkan arus deras sungai yang mengalir di bawahnya. Air deras ini mendatangkan bahaya kepada kapal-kapal yang menggunakan laluan tersebut. Usahanya bagaimanapun mengalami halangan apabila peruntukan pembinaan patung gergasi tersebut tidak berjaya. Hai Tong dikatakan mencungkil matanya sebagai tanda pengorbanan untuk menyiapkan patung tersebut. Apabila beliau meninggal dunia, kerja-kerja pembinaan tersebut pun terbengkalai. Hanya 70 tahun kemudian, usaha ini dibiayai semula oleh jiedushi dan projek pembinaan tersebut diteruskan oleh para pengikut Hai Tong pada tahun 803.

Pemandangan daripada atas.

Meneruni anak tangga ke kaki Buddha gergasi.

Pemandangan dari bahagian bawah.

Pembinaan patung tersebut menyebabkan sejumlah besar batu dan tanah yang dibuang ke dalam sungai di hadapannya yang juga merupakan pertembungan 3 buah sungai iaitu Minjiang, Dadu dan Qingyi menjadikan sungai tersebut lebih tenang.

Patung gergasi ini juga sebenarnya dilengkapi dengan sistem pengairan/pembentungan yang unik bagi mengelakkan kesan hakisan daripada air hujan. Sistem tersebut masih berfungsi sehingga ke hari ini.

Semasa proses pengukiran patung tersebut, sebuah binaan kayu setinggi 13 tingkat di bina bagi melindunginya dari hujan dan panas matahari. Binaan ini bagaimanapun dimusnahkan oleh orang-orang Mongols semasa perang yang berlaku di akhir pemerintahan Yuan Dynasty. Maka bermula dari itu, patung ini mula terdedah sepertimana yang dilihat pada hari ini.


Air sungai berada pada aras rendah.

Pemandangan daripada cruise.

Gambar daripada National Geographic.

Sememangnya ia antara beberapa binaan besar manusia yang menarik untuk ditontoni. Walaupun ia mungkin merupakan simbol keagamaan bagi sesetengah golongan, namun bagi yang lainnya ia menjadi simbol kesungguhan, kegigihan, keazaman dan keyakinan untuk melakukan sesuatu. Bagi yang berminat untuk melawat ke sini, bandar terdekat dengan lokasi ini adalah Chengdu dengan jarak kurang daripada 150 km.


Free Download



Rabu, 7 September 2016

Tempat-Tempat Lawatan Menarik di Sri Lanka

Sri Lanka menyimpan keunikan tersendiri.

Sri Lanka merupakan sebuah pulau yang terletak di Selatan India. Walaupun dipengaruhi oleh budaya dan adat dari India, Sri Lanka turut mempunyai keunikannya sendiri. Sri Lanka mempunyai kisah silam yang agak menarik terkandung di dalam kisah Ramayana selain mempunyai sejarah penjajahan dalam usaha Eropah untuk menguasai perdagangan rempah dari Asia. Oleh kerana ia adalah antara lokasi unik berdekatan SE Asia, ia patut diberi tumpuan sebagai lokasi lawatan yang berpotensi.

Bagi mengenali Sri Lanka dengan lebih baik, seperti biasa lokasi-lokasi yang perlu diberikan tumpuan adalah lokasi-lokasi yang disenaraikan oleh UNESCO sebagai “World Heritage Sites” di Sri Lanka. Lokasi-lokasi ini mempunyai pelbagai keunikan tersendiri selain nilai-nilai sejarah yang boleh membantu kita mengenali Sri Lanka dengan lebih dekat.

Terdapat 8 lokasi yang disenaraikan dengan 6 lokasi tergolong sebagai lokasi budaya dan 2 lokasi lagi adalah berkaitan alam semulajadi.

Ancient City of Polonnaruwa



Disenaraikan pada tahun (1982) merupakan bandar ke-2 terpenting di Sri Lanka selepas kemusnahan Anuradhapura pada tahun 993.  Ia merupakan lokasi bandar purba dengan tinggalan binaan-binaan mereka yang dibina oleh Parakramabahu di sekitar abad ke-12.

Ancient City of Sigiriya



Turut disenaraikan pada tahun (1982) Sigiriya terletak tidak berapa jauh dari Polonnaruwa dan merupakan bandar yang dibina lebih awal oleh Raja Kassapa I (477–95). Ia dibina di kawasan yang lebih tinggi di kawasan bebatuan sehingga 180m tinggi.

Golden Temple of Dambulla



Disenaraikan pada tahun (1991), juga berada di kawasan berhampiran dengan kedua-dua tapak lokasi penting sebelumnya. Apa yang berbeza, Dambulla merupakan kuil yang didirikan bagi penganut-penganut Buddha. Selain itu juga, ia merupakan kuil yang dibina di dalam gua di bawah batuan yang amat besar. Antara keunikan lain adalah lukisan mural yang merangkumi keluasan seluas 2,100 m2.

Old Town of Galle dan Kotanya



Kota yang dibina pada abad ke-16 ini merupakan kesan tinggalan penjajahan Portuguese di Sri Lanka. Kawasan kota lama ini mencapai kemuncaknya pada abad ke-18. Kota ini juga merupakan salah satu contoh terbaik kesan tinggalan Eropah, sepertimana di kawasan-kawasan Asia Tenggara yang lain. Antara lain ia juga memperlihatkan pertembungan seni bina Eropah dan Asia Tenggara.

Sacred City of Anuradhapura



Disenaraikan sebagai tapak warisan dunia padat tahun (1982), Anuradhapura merupakan antara binaan tertua di Sri Lanka yang masih kekal sehingga ke hari ini. Ia dibina di sekitar pohon yang ditanam daripada keratan batang pohon di mana Buddha bertapa, yang dibawa ke sini pada abad ke-3 B.C. oleh Sanghamitta. Ia merupakan bandar lama bagi Sri Lanka yang bertahan untuk tempoh 1,300 tahun sehinggalah ianya dicerobohi pada tahun 993. Setelah ditinggalkan, ia kekal sepi di dalam hutan belantara sehinggalah kini ianya dihidupkan kembali.

Sacred City of Kandy



Merupakan antara bandar purba terpenting di Sri Lanka dan disenaraikan pada tahun (1988). Ia juga dikenali sebagai Senkadagalapura. Antara lain keunikan ia juga menempatkan Kuil yang menyimpan gigi Buddha menjadikan ia antara tempat lawatan penting penganut-penganut Buddha. Bandar Kandi juga merupakan antara bandar yang paling lama bertahan di Sri Lanka iaitu selama 2,500 tahun sehinggalah ia dijajah oleh British pada tahun 1815.

Central Highlands of Sri Lanka



Kawasan hutan pergunungan ini hanya disenaraikan pada tahun (2010) merupakan kawasan hutan pergunungan yang mengandungi banyak spesies hidupan liar di Sri Lanka. Ketinggian kawasan pergunungan ini mencecah sehingga 2,500 meter dari aras laut dan menempatkan beberapa kawasan hutan simpan iaitu Peak Wilderness Protected Area, Horton Plains National Park dan juga Knuckles Conservation Forest.

Sinharaja Forest Reserve



Sinharaja merupakan kawasan hutan yang pertama disenaraikan di Sri Lanka iaitu pada tahun (1988), merupakan habitat bagi hidupan-hidupan yang unik kepada Sri Lanka sahaja. Oleh kerana ianya merupakan sebuah pulau, maka hidupan yang terdiri daripada haiwan dan tumbuhan ini hanya terdapat di sini sahaja. Ia terletak di bahagian Selatan Sri Lanka dan berada berhampiran dengan satu lagi kawasan penting di Sri Lanka iaitu Adam’s Peak.

Selain daripada kawasan-kawasan yang tersenarai sebagai “World Heritage Sites” ini, terdapat banyak lagi keunikan Sri Lanka yang perlu diterokai bagi para pelawat yang ingin melihat dengan lebih mendalam mengenai keunikan Sri Lanka. Seperti yang dikisahkan mengenai kisah lama Ramayana juga boleh menjejaki kesan-kesan tinggalan daripada kisah tersebut. Walaupun kisah tersebut merupakan mitos yang mendalam di dalam masyarakat di Asia Tenggara, namun ketika anda berada di Sri Lanka, mengapa tidak mengambil kesempatan untuk melihat kesan tinggalan tersebut.


Ya, setiap tempat ada keunikannya tersendiri dan anda hanya akan mengetahuinya apabila anda berada di tempat tersebut.


Free Download



Isnin, 5 September 2016

Tempat-Tempat Menarik Untuk Dilawati di SE Asia

Bayon, terletak di Kompleks Angkor, Siem Reap, Cambodia.

SE Asia (Asia Tenggara) merupakan kawasan yang meliputi beberapa negara menyimpan banyak sejarah yang perlu dihayati oleh bukan sahaja penduduk SE Asia sendiri, malah oleh semua penduduk dunia. Sehubungan itu dengan bantuan UNESCO (United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization), sebahagian lokasi-lokasi penting ini telah disenaraikan supaya ianya terus dipelihara selain membolehkan orang ramai mengunjunginya.

Walaupun kebanyakan tinggalan ini hanyalah sebahagian daripada lipatan sejarah, ia banyak menyimpan ciri-ciri keunikan kita sendiri yang tinggal di dalam satu kawasan yang sama. Sedikit sebanyak ia mengingatkan hubung kait kita kepada negara-negara jiran. Ramai di antara kita yang mempunyai pertalian jauh atau dekat, manakala banyak pula perkara yang kita lakukan (seperti masakan, pakaian ataupun pertuturan mempunyai persamaan). Maka dengan itu, kawasan-kawasan penting ini perlu dititik beratkan sebagai lawatan kita masyarakat yang tinggal di SE Asia.

Sehingga kini, UNESCO menyenaraikan sekitar 37 kawasan di 9 buah negara sebagai kawasan “World Heritage Sites”, walaupun mungkin banyak lagi kawasan yang disenaraikan di masa-masa akan datang. Melalui penyenaraian ini, ia memudahkan lagi para pelawat untuk melihat sendiri keunikan kawasan-kawasan tersebut. Manakala penduduk tempatan juga mendapat kebaikan daripada kunjungan para pelawat dari luar.

Berikut adalah senarai kawsasan-kawasan tersebut mengikut negara:

Angkor Wat, Siem Reap, Cambodia.

2 Kawasan World Heritage Sites, di Cambodia:
  • Kompleks Angkor, Seam Reap.
  • Temple of Preah Vihear, Preah Vihear.

Kompleks Prambanan di Jawa Tengah, Indonesia.

8 Kawasan World Heritage Sites, di Indonesia:
  • Candi Borobudur, Jawa Tengah.
  • Taman Negara Komodo, Timur Nusa Tenggara.
  • Candi Prambanan, Jawa Tengah.
  • Taman Negara Ujung Kulon, Banten dan Lampung.
  • Kawasan Penempatan Awal Sangiran, Jawa Tengah.
  • Taman Negara Lorentz, Papua.
  • Kawasan Taman Negara Hutan Hujan di Sumatra (3 lokasi), Sumatra.
  • Landskap Kebudayaan di Bali (2 lokasi), Bali

Bandar Luang Prabang, Laos.

2 Kawasan World Heritage Sites, di Laos:
  • Kawasan Perbandaran Luang Prabang,
  • Tinggalan Vat Phou, Champasak

Taman Negara Kinabalu, Malaysia.

4 Kawasan World Heritage Sites, di Malaysia:
  • Taman Negara Mulu, Sarawak
  • Taman Negara Kinabalu, Sabah
  • Bandar Bersejarah, Melaka dan Georgetown
  • Tapak Aerkeologi, Lembah Lenggong

Bandar Purba Pyu, Myanmar.

1 Kawasan World Heritage Sites, di Myanmar:
  • Bandar Purba Pyu, Mandalay

Gereja lama, Church of San Agustín, Paoay, Philippines.

6 Kawasan World Heritage Sites, di Philippines:
  • Gereja-gereja Baroque di Philippines (4 lokasi)
  • Kawasan Terumbu Karang Tubbataha, Palawan
  • Kawasan Tanaman Padi Bukit, Cordilleras.
  • Bandar Bersejarah Vigan, Ilocos Sur.
  • Taman Negara, Sungai Subterranean Puerto-Princesa, Palawan.
  • Kawasan Hidupan Liar Gunung Hamiguitan, Davao Oriental.

Singapore Botanical Garden.

1 Kawasan World Heritage Sites, di Singapore:
  • Singapore Botanic Gardens

Kompleks Kerajaan Lama Sukhotai, Thailand.

5 Kawasan World Heritage Sites, di Thailand:
  • Bandar Bersejarah Ayutthaya.
  • Bandar Bersejarah Sukhothai.
  • Kawasan Hidupan Liar, Thungyai-Huai Kha Khaeng, Uthai Thani.
  • Tapak Arkeologi Ban Chiang, Udon Thani.
  • Kompleks Perhutanan Dong Phayayen-Khao Yai, Saraburi, Nakhon Ratchasima, Nakhon Nayok, Prachinburi, Sa Kaeo dan Buriram.

Kompleks Kerajaan Lama di Hué, Vietnam.

8 Kawasan World Heritage Sites, di Vietnam:
  • Kompleks Monumen Hué, Thừa Thiên–Huế.
  • Ha Long Bay, Quảng Ninh.
  • Bandar Purba Hoi An, Quảng Nam.
  • My Son Sanctuary, Quảng Nam.
  • Taman Negara Phong Nha-Ke Bang, Quảng Bình.
  • Imperial Citadel of Thang Long, Hanoi.
  • Citadel of the Ho Dynasty, Thanh Hóa.
  • Kompleks Pemandangan Trang An, Ninh Binh.

Mungkin anda tidak bekesempatan melawat kesemuanya. Namun dengan lawatan ke tempat-tempat yang disenaraikan di atas sedikit sebanyak memberikan pelajaran mengenai sejarah kita di serata SE Asia. Tidak dinafikan setiap negara dan kawasan mempunyai keunikannya masing-masing, dari keunikan inilah kita dapat lebih memahami antara sesama kita.


Bagi penduduk tempatan di tempat yang disenaraikan pula, lakukanlah yang terbaik untuk memilihara kawasan-kawasan penting ini. Berikan pula kerjasama kepada para pelawat yang datang berkunjung untuk melihat keunikan tempat masing-masing. Bantuan anda merupakan satu usaha yang amat diperlukan selain ia juga mungkin membantu taraf ekonomi anda sendiri.


Free Download



Arkib Blog