Jumaat, 18 Februari 2022

Bagaimana Kita Boleh Membeli Masa?

Kita tidak boleh memberhentikan masa, sebaliknya hanya menguruskannya dengan sebaik mungkin.

Masa merupakan perkara yang amat penting mempengaruhi kehidupan manusia. Ia terus berlalu tanpa henti dan kita tidak dapat mengembalikan masa atau memperlahankan masa. Oleh kerana masa amat penting, setiap dari kita amat biasa dengan perkataan “jangan membuang masa”, “masa itu emas”, “masa berlalu tak akan kembali” dan sebagainya. Kepentingan masa telah diketahui sejak dahulu lagi, dan ia adakalanya diandaikan sebagai lawan kepada kehidupan, di mana setiap saat membawa kita hampir kepada saat akhir kehidupan. Jadi bagaimanakah kita boleh memanfaatkan masa, bolehkah ianya dibeli, bagi membolehkan kita melakukan lebih banyak perkara dalam tempoh kehidupan yang pendek ini?
 
Kita mungkin tidak menyedari selama ini, kita telah lama membeli masa. Mungkin apa yang berbeza adalah, sejauh manakah kita sudah membelinya atau mampu membelinya. Masa diukur dalam tempoh masa atau sebanyak manakah perkara yang boleh kita lakukan untuk suatu tempoh masa tertentu. Bagi pengukuran dalam bentuk tempoh masa, tiada banyak perkara yang boleh dilakukan, dimana kita tidak dapat mengubah atau menganjakkan tempoh masa yang telah berlalu. Namun dalam erti kata lain, kita masih boleh melakukan lebih banyak perkara dalam tempoh masa yang sama - (mendekkan masa untuk sesuatu perkara).

 
Sekiranya dilihat, kehidupan manusia sebelum era teknologi berlaku dengan amat perlahan. Sistem pengangkutan mengambil masa yang lama untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang baru. Perjalanan menggunakan kaedah pengangkutan yang kurang efisyen seperti menggunakan haiwan atau pengangkutan air yang perlahan dan adakalanya berbahaya. Penghantaran mesej atau surat menyurat juga amat perlahan dan mengambil masa beberapa hari hingga kepada beberapa minggu. Begitu juga sekiranya anda ingin mendapatkan sesuatu bekalan, ianya perlu didapatkan dari tempat di mana ianya dihasilkan atau, kemungkinan besar, anda tidak dapat mendapatnya langsung. Begitu juga dengan keperluan-keperluan harian seperti memasak, membasuh pakaian, membersihkan rumah, semuanya perlu dilakukan secara “tenaga manusia”. Pada masa tersebut, hanya segelintir dari mereka yang mampu mengupah sejumlah bilangan pembantu rumah bagi meringankan beban-beban kerja tersebut.

Teknologi pengangkutan membantu sistem perdagangan manusia berkembang lebih cepat.  

Keretapi laju, merupakan pengangkutan yang jauh lebih efektif bagi destinasi  di laluannya.

Pembangunan teknologi dan pembangunan tamadun manusia adalah mengurangkan tempoh masa yang diperlukan untuk memenuhi keperluan-keperluan ini. Melalui pembangunan kehidupan secara bermasyarakat, setiap dari anggota masyarakat menyediakan sesuatu keperluan untuk mereka yang lain. Jadi ia bergantung antara satu sama lain bagi memenuhi keperluan bersama. Petani yang membekalkan sayuran, perlu mendapatkan pakaian daripada penenun kain yang mana beliau juga perlu mendapatkan bekalan daging dari penternak dan seterusnya. Begitulah rantainan hubungkait kehidupan bermasyarakat dan mengapa kita hidup dalam berkumpulan.

 
Pembangunan memperbaiki kehidupan manusia dalam bentuk mempercepatkan proses untuk melakukan sesuatu perkara. Sistem pengangkutan yang membolehkan manusia bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan lebih cepat dan selamat seperti kapal terbang dan keretapi laju (bullet train). Ia juga merupakan nadi utama perdagangan yang membolehkan barangan dijual kepada pengguna yang berada lebih jauh dari tempat dimana ia dihasilkan. Begitu juga dengan teknologi rekabentuk yang membolehkan bangunan dibina secara bertingkat-tingkat bagi memanfaatkan penggunaan ruang. Maka dengan itu, lebih ramai penduduk dapat tinggal berhampiran kawasan bandar yang juga membekalkan pekerjaan bagi sumber pendapatan. Manakala sistem perhubungan juga menjadi lebih pantas berbanding surat menyurat yang memerlukan tempoh penghantaran yang perlahan.

Teknologi keretapi laju yang terus diperbaiki, meningkatkan kepantasannya.

Hari ini kehidupan manusia lebih efisyen dengan rekaan pelbagai mesin untuk kegunaan di rumah. Sejak daripada bangun seawal pagi sehingga tidur, kita dibantu oleh pelbagai rekaan peralatan bagi membolehkan kita memanfaatkan masa dengan lebih baik. Sebahagian daripada mesin ini juga adalah beroperasi secara automatik dengan pengawasan yang minima. Manusia yang memerlukan beberapa orang pembantu di rumah, hari ini hanya memerlukan seorang atau boleh melakukannya sendiri. Hari ini, kesemua peralatan ini dianggap sebagai keperluan bagi membolehkan kita menjalani kehidupan dengan lebih selesa.

 
Berbalik kita kepada tajuk asal, “bagaimana kita membeli masa”, adalah bagaimana kita memanfaatkan peralatan yang ada di pasaran bagi membolehkan kita melakukan perkara-perkara lain yang lebih penting. Ya, ia bukanlah datang dengan percuma, melainkan kita perlu membelanjakan sejumlah wang untuk mendapatkannya. Apa yang baik, kebanyakan rekaan ini menjadi semakin murah dan mampu dimiliki oleh kebanyakan dari kita. Ia tidak perlu dilihat sebagai satu perkara mewah, sebaliknya sebagai faktor utama membolehkan kita menjimatkan masa yang perlu diluangkan untuk perkara-perkara yang lebih bermanfaat - adakalanya termasuk berehat!


Peralatan rumah yang membantu kerja-kerja seharian menjadi lebih mudah dan pantas.


'Smart Home', merupakan teknologi yang sedang diperbaiki bagi meningkatkan lagi kualiti kehidupan manusia.
 
Tidak terhenti di situ, banyak lagi rekaan yang akan datang untuk memperbaiki rekaan-rekaan yang telah sedia ada sekarang. Melalui penggunaan sistem AI, banyak lagi fungsi boleh ditambah bagi menjadikan proses sesuatu kerja diperbaiki. Kerja-kerja seperti mengemaskan rumah boleh dilkukan sepenuhnya oleh robot, begitu juga dengan mencuci pakaian. Melalui kemudahan-kemudahan seperti inilah kita mempunyai lebih masa untuk mempelajari sesuatu yang baru, atau menyumbangkan idea dan rekaan baru untuk memenuhi keperluan kita sendiri.
 
Penulisan ini antara lain menggalakkan kita untuk menggunakan kemudahan rekaan-rekaan yang bermanfaat mengikut kemampuan. Kita sepatutnya meluangkan masa untuk menjadi lebih produktif dengan berkongsi perkara-perkara yang lebih bermanfaat, termasuk melakukan perkara untuk tujuan kesihatan seperti bersenam dan berehat. Gunakan masa untuk mempelajari sesuatu yang baru, berkumpul ban berbincang mengenai idea yang lebih baik, mereka dan mencuba rekaan-rekaan yang belum pernah dicuba. Kehidupan perlu menjadi penjelajahan mental dan fizikal yang berterusan. Jadi, setakat ini sahaja buat kali ini, sehingga bertemu lagi di dalam artikel yang seterusnya.

 

Isnin, 7 Februari 2022

Dunia Tanpa Elektrik?

Kincir angin yang tidak menggunakan tenaga elektrik.

Elektrik merupakan sumber tenaga yang amat penting masa kini untuk melakukan pelbagai aktiviti untuk kegunaan rumah mahupun industri. Kebergantungan manusia kepada tenaga elektrik menyebabkan penjanaan tenaga elektrik merupakan satu keperluan penting bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dilakukan bagi memenuhi keperluan penduduk dunia yang semakin meningkat. Sesetengah proses penjanaan tenaga elektrik tidak kurang efisyen seperti penggunaan arang batu yang turut menghasilkan gas karbon dioksida, sulfur dioksida dan nitrogen oksida manakala penjanaan menggunakan tenaga nuklear pula boleh mendatangkan risiko besar seperti kegagalan loji nuklear seperti di Chernobyl ataupun kemalangan yang berlaku seperti di Fukushima.
 
Walaupun kaedah penghasilan tenaga elektrik yang lebih baik, selamat dan bersih terus cuba dihasilkan, kebergantungan kepada sumber tenaga ini akan terus meningkat memandangkan keperluan manusia yang semakin tinggi. Penghasilan tenaga hijau seperti, penjanaan tenaga solar, kincir angin, empangan hidroelektrik, ‘waste to energy’, penjanaan tenaga ombak, geothermal dan sebagainya bertujuan untuk menghasilkan elektrik, tidak memadai kerana tenaga elektrik merupakan tenaga yang diperlukan untuk menggerakkan jentera ataupun peralatan di rumah. Bagaimanakah masalah ini boleh diatasi?

 
Penghasilan peralatan yang tidak menggunakan elektrik sebagai sumber tenaganya! Sebelum penemuan tenaga elektrik, manusia telah lama menggunakan sumber tenaga terus dari sumber seperti matahari, air, angin, tekanan stim, mahupun tenaga dari haiwan. Walaupun ia tidak sebaik peralatan yang menggunakan tenaga elektrik, apa yang penting sebenarnya adalah peningkatan rekabentuk dan bahan rekaan yang lebih moden. Hanya dengan ini kebergantungan kepada tenaga elektrik dapat dikurangkan, malah rekaan tersebut boleh digunakan di kawasan-kawasan yang jauh dari kemudahan sumber tenaga elektrik seperti di kawasan pendalaman mahupun bagi mereka yang perlu melakukan penyelidikan yang jauh dari penempatan manusia.

Peralatan elektronik bergantung kepada tenaga elektrik sepenuhnya.

 
Dunia Sebelum Penemuan Elektrik
 
Elektrik merupakan tenaga baru yang hanya digunakan pada penghujung tahun 1800 dan kepesatan elektrik hanya berkembang pada awal 1900 sehingga ke hari ini. Walaupun penggunaan elektrik sebagai sumber tenaga adalah lebih baik, manusia telah lama bergantung kepada rekaan-rekaan yang tidak memerlukan tenaga elektrik. Sekiranya rekaan peralatan atau mesin yang tidak menggunakan elektrik turut diberikan penekanan, kebergantungan kita kepada tenaga elektrik mungkin dapat dikurangkan dan ini mengurangkan impak kepada alam sekitar seperti pembebasan karbon dioksida dan pembinaan empangan bagi projek hidroelektrik.  
 
Walaupun tanpa elektrik, tamadun-tamadun lama turut membangun dengan pesat. Apa yang membezakan adalah mereka tidak mampu membangunkan teknologi perkomputeran seperti sekarang, namun dari segi keperluan harian and pembangunan masih mampu dilakukan. Dari Machu Picchu di Peru, sehinggalah ke Angkor Wat di Cambodia, adalah dibangunkan tanpa teknologi kejenteraan ataupun peralatan elektrik. Pembangunan bandar-bandar purba lama ini dapat berjalan seperti biasa. Apa yang ingin kita pelajari dari sini adalah, keseimbangan penggunaan teknologi yang memerlukan tenaga elektrik dan tenaga-tenaga lain yang boleh digunakan terus.

Kepesatan pembangunan di Angkor Wat suatu masa dahulu.

Teknik bersawah di Bali yang telah dilakukan sejak ratusan tahun.

 
Penggunaan Terus Tenaga
 
Sebelum penemuan elektrik, sumber tenaga digunakan terus dari sumber tenaga kepada bentuk tenaga diperlukan. Banyak contoh yang boleh kita perhatikan seperti kincir angin di Netherlands yang digunakan untuk mengepam air, memerah minyak dari bijirin atau memotong kayu. Sementara itu tenaga terus daripada matahari telah lama digunakan untuk mengeringkan makanan. Antara contoh pengolahan moden cahaya matahari adalah Relau suria terbesar di Odeillo, Pyrenees-Orientales, Perancis. Banyak lagi contoh lain penggunaan tenaga matahari yang boleh dimanfaatkan, dan ia pernah di kongsikan di dalam artikel kami: Kaedah Memanfaatkan Tenaga Percuma, Matahari.
 

c Manakala terdapat pula kaedah penyejukan yang menggunakan pembinaan struktur unik yang dikenali sebagai Yakchal di Iran. Rekaan bangunan unik ini membolehkan ais disimpan sehingga musim panas. Disini, penggunaan struktur bangunan membolehkan suhu panas dipindahkan dengan lebih efektif membolehkan kawasan khas di dalam bangunan ini tetap sejuk.
 
Sementara itu di kawasan-kawasan seperti Cambodia dan Bali telah lama mengamalkan sistem pengairan yang teratur bagi membolehkan penduduknya menanam padi sebagai sumber makanan. Walaupun kawasan sekitar Angkor Wat hari ini tidak lagi ditanam padi seperti suatu masa dahulu, namun teknik pengairan inilah yang membolehkan bandar purba ini pesat maju suatu masa dahulu. Berbeza pula di Bali yang menyusun atur pengaliran air dari sumber air dari gunung untuk pengairan sawah di lereng-lereng gunung tersebut. Kesemua sistem ini diselenggarakan tanpa menggunakan jentera atau pam yang menggunakan kuasa elektrik.
 
Teknik penggunaan tenaga matahari secara terus yang telah digunakan oleh manusia sejak dahulu.


Rekaan Teknologi Moden.
 
Melalui pembangunan teknologi bahan moden, seharusnya kita lebih mudah memanfaatkan sumber-sumber tenaga seperti ini dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga elektrik. Ini bukan bermakna kita tidak boleh menggunakan tenaga elektrik, tapi mengurangkan kebergantungan kepadanya bagi mengurangkan impak kepada alam.
 
Walaupun terdapat rekaan-rekaan yang tidak menggunakan elektrik seperti pam yang direka oleh aQysta dari Netherlands ataupun rekaan yang jauh lebih ringkas seperti Ram Pump yang boleh dimanfaatkan dengan baik, jumlahnya adalah teramat sedikit. Dengan pembangunan teknologi moden, seharusnya pembangunan peralatan seperti ini dapat dilakukan dengan lebih mudah.

 
Ia merupakan peluang bagi pereka-peraka moden untuk mengolah potensi yang lebih besar dengan kepesatan teknologi moden. Kini bukan sahaja terdapat lebih banyak bahan dan peralatan yang boleh digunakan, malah teknologi perkomputeran bagi memastikan rekaan dapat berfungsi dengan lebih baik. Walaupun, rekaan-rekaan ini mungkin mempunyai sedikit keterbatasan seperti hanya berfungsi apabila sumber tenaga ada (seperti matahari, angin dan air), namun ia masih memberikan manfaat dari segi penjimatan tenaga (kerana proses perubahan tenaga dari satu bentuk ke bentuk dapat dikurangkan).

Ram pump, merupakan rekaan ringkas tanpa menggunakan tenaga elektrik.

 
Peluang Meneroka Bentuk Tenaga Baru
 
Selain memanfaatkan tenaga-tenaga yang biasa digunakan dalam rekaan klasik, hari ini kita mungkin berpeluang untuk meneroka bentuk-bentuk tenaga yang lain seperti magnet, bunyi, tenaga dari bahan kimia, bakteria, alga, fungus atau gabungan tenaga-tenaga yang biasa digunakan. Ini kerana, hari ini kita mempunyai lebih pengetahuan mengenai tenaga-tenaga ini dan mempunyai lebih banyak kelengkapan untuk membina peralatan yang boleh memberikan hasil yang lebih baik.
 
Mereka peralatan yang tidak menggunakan elektrik boleh mengelakkan kita terlalu bergantung dengan sumber ini (kerana pertambahan permintaan yang tinggi). Selain itu, sumber elektrik juga boleh terganggu sekiranya berlaku letusan “solar storm” yang kuat, kemusnahan stesyen janakuasa dan bencana. Manakala kerja-kerja penyediaan infrastruktur bekalan kuasa elektrik memerlukan pengolahan kawasan hutan, pembinaan empangan, penggunaan bahan radioaktif yang memberikan impak yang negatif kepada hidupan dan alam sekitar. Maka dengan ini, kita perlu sedikit sebanyak menyedari kepentingan rekaan tanpa penggunaan elektrik.
 
 

Khamis, 27 Januari 2022

Pisau Tajam Mengelakkan Kecederaan atau Terluka - Mengasah Pisau Dengan Betul

 
Benarkah pisau yang tajam boleh mengelakkan kecederaan di dapur? 

Apabila berkata mengenai kecederaan di dapur seperti terluka, ramai yang berpendapat adalah lebih selamat bagi mengekalkan pisau berkeadaan tumpul. Jadi ini dapat mengelakkan terluka sekiranya anda tidak sengaja. Sejauh manakah benarnya pendapat ini? Baru-baru ini saya sendiri mengalami kecederaan semasa di dapur dengan pisau. Kecederaan tersebut memerlukan luka perlu dijahit bagi menghentikan darah dengan lebih cepat. Jadi, ini merupakan soalan yang agak penting bagi memastikan keselamatan di dapur lebih terjamin.
 
Tidak kira samada anda seorang tukang masak profesional, memasak untuk ahli keluarga atau hanya memasak sekali sekala untuk masakan yang ringkas. Pisau merupakan peralatan yang digunakan untuk memotong bahan makanan. Pisau yang betul dapat menjamin hasil kualiti pemotongan yang baik, selain itu juga ia memastikan bahan yang dipotong tidak rosak. Bagi memahami mengenai fungsi-fungsi pisau secara ringkas anda boleh mengikuti artikel kami terdahulu yang menyentuh mengenai tajuk ini. Kali ini kita lebih menekankan mengenai kaedah mengasah pisau dengan betul.

 
Menurut pakar-pakar masakan, pisau yang tajam amat penting bagi memastikan kerja-kerja memotong dapat dilakukan dengan baik. Malah pisau yang tajam dapat mengelakkan pisau daripada tergelincir sewaktu memotong bahan masakan dan mengelakkan kecederaan. Pisau merupakan peralatan yang perlu digunakan dengan berhati-hati. Bukan sahaja kaedah memotong, malah kaedah mengendalikannya dan penyimpanan pisau perlu dilakukan dengan betul bagi mengelakkan kecederaan. Pisau yang tajam dapat mengelakkan bahan masakan daripada rosak, menghasilkan potongan yang kemas serta memelihara kualiti masakan. Jadi, pandangan daripada mereka yang menggunakan pisau secara kerap dapat memberikan kita pandangan yang lebih jelas mengenai kepentingan pisau yang diasah dengan sempurna.
 
Terdapat pelbagai peralatan mengasah pisau di pasaran bagi membantu anda memperolehi pisau yang tajam. Tetapi sekiranya anda ingin memiliki pisau yang mempunyai kualiti ketajaman yang sempurna pastikan menggunakan kaedah yang terbaik dalam mengasah pisau kesayangan anda. Sesetengah peralatan pengasah pisau memberikan ketajaman sementara, manakala sebahagian yang lain pula mungkin merosakkan mata pisau anda. Terutamanya bagi anda yang memiliki pisau yang berkualiti tinggi, pastinya ingin mengekalkan kualiti pisau anda dari segi fungsi dan ketahanannya untuk jangka panjang.

'Honing steel' digunakan untuk meratakan semula mata pisau.

Peralatan seperti ini mudah digunakan, namun tidak memberikan ketajaman yang sempurna.

 
Sekiranya anda hanya memiliki pisau yang ringkas atau biasa. Di mana anda kerap mengganti pisau anda. Kaedah mengasah yang digunakan tidaklah terlalu sukar, kerana anda boleh menggunakan mana-mana kaedah bagi menajamkan pisau anda. Pisau-pisau berkualiti biasa, direka untuk kegunaan jangka pendek. Walaupun ia masih boleh diasah, namun ia masih perlu ditukar kerap memandangkan ia tidak mampu bertahan lama. Namun, pisau-pisau ini mampu bertahan lebih lama sekiranya digunakan dengan cermat dan diberikan penjagaan yang betul.
 
Terdapat pelbagai peralatan mengasah pisau yang terdapat di pasaran. Kebanyakan peralatan ini menyediakan kaedah yang mudah bagi pengguna untuk mengasah pisau seperti peralatan seperti roda, penggesek, kepingan-kepingan keluli malah pengasah pisau elektrik. Walaupun mudah, peralatan-peralatan ini hanya sesuai digunakan untuk pisau-pisau biasa (untuk kegunaan jangka pendek). Tidak dinafikan, ada antara peralatan ini yang mempunyai kualiti yang baik untuk kegunaan professional, tetapi kaedah yang banyak disyorkan oleh pakar-pakar masakan adalah dengan menggunakan batu pengasah khas untuk pisau.

 
Walaupun peralatan megasah yang mudah didapati di pasaran dapat memberikan ketajaman pada pisau anda, ada diantaranya yang merosakkan mata pisau untuk jangka panjang. Selain itu juga, mata pisau tidak diasah pada sudut yang sesuai bagi mengekalkan ketajaman pisau. Ini menyebabkan pisau perlu kerap diasah. Oleh kerana proses mengasah juga menghasilkan haba, proses mengasah boleh menyebabkan mata pisau menjadi lemah dan rosak. Jadi, anda perlu memastikan peralatan pengasah yang ingin digunakan tidak merosakkan pisau-pisau anda, lebih-lebih lagi sekiranya anda mempunyai pisau berkualiti untuk kegunaan jangka panjang.
 
Kaedah mengasah menggunakan batu pengasah yang sesuai merupakan antara kaedah yang paling digemari oleh pakar-pakar masakan. Terutamanya bagi mereka yang mempunyai pisau-pisau yang berkualiti tinggi. Teknik pengasahan yang betul bukan sahaja memberikan ketajaman yang sempurna kepada pisau, malah ketahanan jangka panjang kepada pisau tersebut. Namun begitu, teknik ini memerlukan sedikit kemahiran (yang perlu dipelajari). Ia bagaimanapun tidaklah begitu sukar untuk dikuasai, cuma kemahiran ini akan menjadi lebih baik setelah anda mengamalkannya secara berulang-ulang. Selain itu juga, kaedah ini mungkin memakan sedikit masa, yang menyebabkan pengguna-pengguna biasa memilih untuk menggunakan peralatan pengasah ringkas seperti di atas.

Set batu pengasah 'whetstones', yang lengkap dengan alat pembantu (guide) dan juga perata batu.

 
Mengasah Pisau Menggunakan Batu Pengasah
 
Terdapat beberapa jenis batu pengasah di pasaran. Namun bagi kegunaan mengasah pisau kesayangan anda, batu pengasah yang berkualiti adalah lebih disarankan bagi menjamin kualiti ketajaman yang baik. Terpadat batu pengasah yang menggunakan minyak (oilstones) atau batu pengasah yang menggunakan air (waterstones). Penggunaan batu pengasah menggunakan adalah jauh lebih mudah, namun ia bergantung kepada pilihan masing-masing. Batu pengasah atau lebih dikenali sebagai whetstones kebiasaan nya mempunyai dua lapisan dengan tekstur permukaan yang berbeza. Tekstur kekasaran ini dikenali sebagai “grit”, membolehkan proses mengasah dan kemasan dilakukan dengan satu batu pengasah sahaja.
 
Bacaan ‘grit’ yang rendah menandakan permukaan yang kasar. Ini bermakna permukaan pisau akan diasah dengan lebih pantas, namun mempunyai kemasan yang agak kasar. Ia kemudiannya perlu dikemaskan dengan menggunakan permukaan dengan ‘grit’ yang lebih tinggi bagi memberikan permukaan yang lebih kemas dan sempurna. Bacaan ‘grit’ ini adalah bergantung kepada jenis pisau dan bagaimana ia digunakan. Bagi pengguna biasa, bacaan grit yang rendah adalah lebih mudah untuk digunakan. Manakala, bagi mereka yang lebih mahir, penggunaan ‘grit’ yang lebih tinggi adalah bergantung kepada kesesuaian pisau dan kegunaannya. Bacaan ‘grit’ di antaranya adalah, #400/#1000, #2000/#6000,#3000/#8000, #5000/#10000 dan sebagainya. Bacaan ‘grit’ yang tinggi adalah untuk mendapat kemasan yang baik dan tidak menajamkan mata pisau. Jadi pastikan anda bermula dengan bacaan ‘grit’ yang rendah terlebih dahulu.
 
Teknik Mengasah Menggunakan Batu Pengasah
 
Setelah memastikan anda mempunyai batu pengasah yang betul, anda bolehlah membuat persiapan untuk memulakan kerja-kerja mengasah pisau. Sebelum anda memulakan proses mengasah, rendamkan baru pengasah di dalam air (sehingga tiada lagi buih kelihatan, bermakna air betul-betul telah meresap ke dalam batu). Sesetengah batu pengasah didatangkan dengan alas bagi memastikan ia tidak bergerak semasa digunakan. Anda boleh meletakkan batu pengasah dengan alas tersebut di atas kain buruk bagi memastikan ia betul-betul stabil semasa melakukan proses mengasah nanti.

Pengasah elektrik lebih mudah digunakan, namun masih tidak memenuhi kualiti yang diingini oleh pakar masakan.

Mulakan dengan permukaan kasar atau bahagian ‘grit’ yang rendah. Pastikan sudut pisau berada dalam keadaan yang betul (15° bagi pisau Asia dan 20° bagi pisau gaya Barat). Bagi yang tidak biasa boleh menggunakan peralatan panduan (diselit di belakang pisau) untuk mendapatkan sudut yang betul. Tekan mata pisau dengan tekanan sekitar 2 - 4 lb atau (1 - 2 kg). Tekanan ini bagi mempercepatkan proses pembentukan mata semasa mengasah. Tekanan juga tidak perlu terlalu kuat kerana ia merosakkan mata pisau. Dari semasa ke semasa, bersihkan permukaan batu pengasah dengan air dan teruskan semula proses mengasah.
 
Mulakan dengan sebelah permukaan terlebih dahulu. Pastikan anda mengasah keseluruhan mata pisau dari pangkal ke hujungnya atau sebaliknya. Setelah anda mendapati mata pisau terbentuk, teruskan pula untuk permukaan sebaliknya. Lakukan proses yang sama sehingga anda betul-betul berpuas hati dengan ketajaman pisau anda.

 
Langkah berikutnya adalah memberi kemasan kepada hasil asahan anda dengan menggunakan batu pengasah yang lebih halus iaitu bahagian dengan ‘grit’, yang lebih tinggi. Lakukan langkah yang sama, cuma bezanya anda melihat mata pisau akan menjadi berkilat dan licin. Ini memberikan ketahanan kepada ketajaman pisau disamping memastikan kualiti pemotongan yang lebih kemas. Seperti biasa, lakukan untuk kedua-dua bahagian pisau sehingga anda berpuas hati.
 
Untuk memastikan pisau anda benar-benar tajam, anda boleh melakukan ujian memotong kertas. Pisau yang tajam dapat memotong kertas tanpa mengakibatnya terkoyak. Ketajaman seperti ini adalah ketajaman yang digunakan oleh pakar-pakar masakan. Ia mungkin agak menakutkan, tetapi apabila anda menggunakan pisau yang benar-benar tajam, anda dapat memberzakan mengapa ianya lebih selamat (cuma gunakan dengan berhati-hati pastikan anda memberikan perhatian semasa menggunakan pisau). Elakkan daripada mata pisau mengarah kepada anda. Bersihkan pisau dengan sempurna daripada belakang mata pisau, begitu juga semasa mengelapnya - bukan dari arah mata pisau.

Ujian memotong kertas merupakan ujian ketajaman pisau yang biasa digunakan.

 
Gunakan pisau sesuai dengan kegunaannya
 
Bagi memastikan pisau tetap tajam, selain memastikan ia sentiasa diasah sempurna adalah menggunakannya dengan kaedah yang betul. Sebab itu kita memerlukan beberapa jenis pisau di dapur sesuai dengan fungsinya daripada kerja-kerja ringan sehinggalah kepada kerja-kerja berat dan kasar. Penggunaan yang tidak sesuai akan merosakkan mata pisau dan lebih teruk sekiranya kerosakan ini tidak boleh diasah. Jadi penggunaan pisau yang betul meningkatkan jangka hayat pisau-pisau anda seterusnya menjimatkan daripada terpaksa membeli pisau yang baru.
 
Pastikan pisau disimpan dengan baik selepas digunakan. Ini boleh mengelakkan pisau daripada menjadi bengkok sekiranya dihimpit benda yang berat, atau menjadi lembut apabila terdedah kepada suhu yang terlalu panas. Jangan gunakan pisau untuk kegunaan lain seperti memotong kayu, membuka skru, membuka kotak, memotong tali dan sebagainya. Kerap kali kelalaian ini memberikan kesan yang serius kepada pisau (terutamanya untuk pisau yang berkualiti tinggi). Kerja-kerja yang tidak sesuai ini sudah tentu akan merosakkan pisau istimewa anda.
 
Artikel ini ditulis setelah saya mendapat kemalangan luka semasa menggunakan pisau di dapur. Luka tersebut terpaksa dijahit untuk memberhentikan darah daripada terus mengalir. Jadi saya tertanya, betulkah pisau yang tumpul adalah lebih baik untuk mengelakkan kecederaan di dapur? Jawapannya adalah, tidak! Anda hanya perlu berhati-hati sewaktu menggunakan pisau, atau gunakan sarung tangan khas untuk mengelakkan luka. Akhir kata, jangan terlalu takut untuk menggunakan pisau untuk kerja-kerja anda di dapur. Semoga jumpa lagi.

Jumaat, 7 Januari 2022

Lengkuas Bahan Perasa Makanan Penting dan Faedahnya

Lengkuas yang sedia untuk dijual di pasaran.

Lengkuas merupakan nama yang tidak asing lagi bagi mereka yang biasa memasak di dapur. Terkenal dengan nama lengkuas (Alpinia galanga), ia merupakan satu lagi tumbuhan dari keluarga Zingiberaceae seperti juga halia, kunyit, buah pelaga, cekur dan sebagainya. Lengkuas sendiri terdiri dari pelbagai jenis, walaupun kebanyakannya digunakan di dalam masakan, ada di antaranya yang lebih digunakan untuk tujuan perubatan. Lengkuas merupakan tumbuhan yang menjadi fokus kita kali ini.
 
Walaupun lengkuas merupakan nama yang cukup dikenali, namun di Malaysia ia lebih popular apabila tibanya hari perayaan seperti Hari Raya, untuk penyediaan rendang. Namun ia juga turut digunakan untuk masakan-masakan biasa seperti laksa, singgang atau gorengan. Penggunaan lengkuas lebih meluas di negara-negara jiran seperti Indonesia dan amat terkenal di Thailand untuk masakan seperti kari hijau, tom yum, tom sab leng, massaman dan juga tom kha gai. Penggunaan nya di dalam masakan turut dikongsi dengan negara jirannya iaitu Laos dan negara-negara Asia Tenggara yang lain termasuk Vietnam, Cambodia, Myanmar dan Philippines. Antara lain lengkuas turut mendapat jolokan nama antaranya halia Thailand atau halia Laos.

 
Penggunaan lengkuas di dalam masakan memberikan rasa dan aroma yang lebih menyelerakan. Ia mudah dipadankan dengan pelbagai jenis masakan dan rempah-rempah yang lain. Tidak diketahui dengan jelas mengapa di negara kita ia tidak sepopular di negara-negara jiran. Mungkin antara sebabnya adalah dari segi bekalan nya di sesetengah tempat yang hanya mudah diperolehi ketika musim-musim perayaan. Tidak seperti dua lagi herba yang popular iaitu kunyit dan halia yang digunakan lebih meluas di negara kita.

"Thai green curry" merupakan masakan Thai yang amat popular menggunakan lengkuas.

Perbezaan antara pokok lengkuas, kunyit dan halia.

Sebelum kita melihat lebih lanjut mengenai lengkuas, mari kita lihat nama lengkuas di beberapa negara antaranya; blue ginger, Thai ginger, lengkuas, romdeng (Cambodia), riềng (Vietnam), kanghu (manipuri), pa de kaw (Myanmar), langkawas (Philippines), and laos (Indonesia). Mungkin terdapat pelbagai nama lagi di kawasan-kawasan lain di dunia yang tidak dapat disenaraikan di sini. Selain itu, lengkuas-lengkuas ini juga mungkin terdiri daripada spesies yang berbeza, jadi ia tidak semestinya sama dengan apa yang kita perolehi di negara kita Malaysia.
 
Di Malaysia penanamannya dilakukan secara ladang di beberapa kawasan seperti di Muar dan Batu Pahat oleh masyarakat Jawa. Tempoh penanaman yang mengambil masa sekurang-kurangnya 9 bulan ke atas untuk mendapatkan hasil tuaian yang baik. Ia boleh dilakukan di kawasan tanah rendah setelah proses pengemburan yang baik. Proses mengapor perlu dilakukan sekiranya tanah mempunyai pH rendah (berasid) selain menambah unsur Phosphorus (P) dan juga Kalsium (Ca). Seperti juga tanaman-tanaman Zingiberaceae yang lain, tanaman lengkuas memerlukan tanah yang cukup gembur, berhumus tinggi dan sebaiknya tidak terdedah kepada matahari yang terlalu kuat. Namun dalam saiz ladang yang besar, teduhan ini adalah daripada kumpulan pokok-pokok itu sendiri.

 
Walaupun mempunyai potensi yang tinggi, harga lengkuas di pasaran tidaklah begitu tinggi. Ini mungkin kerana penggunaan nya tidak cukup meluas seperti di negara-negara jiran. Namun sekiranya dilihat dari segi fungsinya di dalam masakan dan faedah kesihatan tumbuhan ini perlu digunakan lebih kerap (pada kadar yang selamat di dalam masakan), atau sukatan sesuai apabila digunakan secara luaran. Antara lain faedah lengkuas adalah;

Lengkuas dalam bentuk segar, kering dan serbuk.

1) Masalah berkaitan penghadaman / pencernaan - lengkuas merupakan bahan yang digunakan untuk melegakan masalah berkaitan pencernaan seperti sakit perut, cirit-birit, muntah-muntah dan cegukan. Ia boleh digunakan dengan menyediakan masakan yang menggunakan lengkuas. Sangat mudah! Namun faedah lengkuas dan faedahnya kepada perut turut disokong dengan kajian daripada sekumpulan penyeldik di Jepun pada tahun 2003 yang mendapati ekstrak lengkuas mampu melindungi dinding perut daripada kecederaan.
 
2) 
Menyegarkan bau badan - lengkuas juga dikatakan dapat mengurangkan pertumbuhan bakteria pada badan yang menyebabkan bau badan dan masalah nafas berbau (halitosis). Ini kerana lengkuas mengandungi 1’-acetoxy eugenol acetate yang merupakan bahan yang mengelakkan pertumbuhan bakteria.
 
3) Membantu melawan keradangan dan sakit - lengkuas mungkin berpotensi dalam melawan keradangan dan mengurangkan sakit bagi pengidap osteoarthritis. Lengkuas mengandungi HMP, iaitu sejenis phytochemical yang dihasilkan secara semulajadi dan melalui ujian ke atas haiwan menunjukkan peningkatan potensi anti-keradangan.

Lengkuas yang dituai tepat pada masanya kelihatan segar dan cantik.

4) Meningkatkan kesuburan lelaki - kajian terus dilakukan mengenai potensi lengkuas dalam meningkatkan kesuburan lelaki. Ujian ke atas tikus menunjukkan peningkatan dan pergerakan aktif sperma setelah diberikan ekstrak lengkuas. Manakala dalam ujian yang lain mendapati sekumpulan 66 lelaki dengan jumlah sperma yang kurang, diberikan suppliment yang mengandungi ekstrak lengkuas dan buah delima mendapati 62% peningkatan jumlah dan pergerakan aktif, berbanding 20% peningkatan bagi mereka yang hanya menerima plasebo.
 
5) 
Mencantikkan kulit dan anti penuaan - lengkuas turut digunakan dalam produk penjagaan kulit dalam bentuk minyak Essential. Ia sesuai digunakan untuk pelbagai masalah kulit dengan kandungan anti-oksidan yang mengelakkan masalah penuaan kulit.

Ladang lengkuas di Indonesia.

Banyak lagi kajian bagi mengenalpasti potensi lengkuas bagi tujuan perubatan. Namun perlu diingatkan bahawa penggunaan lengkuas perlu dilakukan dalam jumlah yang selamat (iaitu pada kadar yang digunakan di dalam masakan) - dose yang dikatakan selamat ke atas haiwan adalah sekitar 909 mg per pound (2,000mn per kg) berat badan. Penggunaan berlebihan boleh mengakibatkan komplikasi dan kesan sampingan yang serius.

 
Seterusnya anda bolehlah mula mengenali jenis-jenis masakan yang menggunakan lengkuas bagi mempelbagaikan lagi penggunaannya di dalam kehidupan harian. Lengkuas sebenarnya amat mudah digunakan dalam pelbagai jenis masakan yang biasa bagi orang Asia Tenggara. Ia sesuai dipadankan dengan masakan yang menggunakan daging, ayam, ikan, makanan laut, mahupun sayuran. Maka dengan ini, anda akan menambahkan lagi penggunaannya dalam kehidupan harian.
 
Maka dengan itu merupakan perkongsian kita kali ini. Semoga ia dapat memberikan minat kepada satu lagi tumbuhan yang penting kepada masyarakat kita dan sekitar Asia Tenggara. Selain meningkatkan penggunaan lengkuas, ia juga membuka peluang bagi mereka yang berminat untuk menceburi bidang penanaman lengkuas atau menanamnya untuk tujuan hobi sahaja. Sekian sahaja, terima kasih.


Khamis, 30 Disember 2021

Buah Pelaga Antara Rempah Yang Termahal

Buah pelaga (cardamom), banyak digunakan di dalam masakan dan minuman.

Tidak ramai yang suka apabila tergigit buah pelaga di dalam masakan, namun rempah unik ini merupakan pelengkap masakan yang tidak mungkin akan dikecualikan. Bagi anda yang biasa membeli bahan masakan tentu akan perasan akan harga buah pelaga adalah jauh lebih mahal berbanding dengan rempah-rempah lain seperti kayu manis, bunga cengkih, buah keras, bunga lawang, lada hitam dan sebagainya. Sekiranya ia tidak sesedap rasanya, mengapakah buah pelaga begitu mahal? Sejauh manakah kita mengenali rempah yang unik ini, dan mengapakah kita tidak mengusahakannya?
 
Buah pelaga atau cardamom (Elettaria cardamomum) adalah tumbuhan dari keluarga Zingiberaceae dalam erti kata lain adalah terdiri dari kumpulan keluarga halia seperti juga kunyit, halia, lengkuas dan lain-lain lagi tumbuhan dalam keluarga ini. Terdapat dua genus utama iaitu Elettaria dan juga Amomum dari mana kedua-dua genus ini adalah tumbuhan asal bagi bahagian di India sehingga ke Indonesia. Ia merupakan tumbuhan yang tumbuh pada kawasan beriklim tropika dan sub-tropika. Oleh sebab itu, kini pengeluar utama buah pelaga adalah Guatemala diikuti dengan India yang merupakan sejak sekian lama merupakan pengeluar utama. Selain itu buah pelaga juga turut ditanam di negara-negara lain seperti Malaysia, Thailand, Indonesia, Tanzania, Nepal, Bhutan, Costa Rica, El Salvador, Honduras, Papua New Guinea, Sri Lanka, dan Vietnam.

 
Buah pelaga yang terkenal merupakan buah pelaga hijau dari spesies Elettaria cardamomum yang tumbuh di sekitar India sehingga ke Malaysia. Manakala buah pelaga putih pula adalah dari jenis buah pelaga siam atau Siam cardamom, Amomum krervanh. Sejenis lagi buah pelaga adalah buah pelaga hitam Amomum subulatum yang mempunyai saiz yang lebih besar merupakan tumbuhan asal di kawasan Timur Himalaya seperti Nepal, Sikkim, Darjeeling dan kawasan West Bengal di India, dan juga Bhutan.

Antara buah pelaga yang telah kering dan bijinya.

Buah pelaga yang masih berada pada pokok.

Buah pelaga bukan sahaja popular di kawasan di mana ia tumbuh. Sejak bermulannya perdagangan rempah, ia telah lama dikenali di Timur Tengah dan juga Eropah sebagai sebahagian rempah yang penting. Walaupun masyarakat kita hanya menggunakannya di dalam masakan, antara lain ia turut dijadikan sebagai perasa minuman, kuih-muih dan juga bahan kudapan. Ini berbeza sekali dengan kita yang tidak menyukai apabila tergigit buah ini di dalam masakan. Rasanya berbeza sekali dari rempah-rempah yang lain, dan bercampur baur antara aroma dan pelbagai rasa yang juga sedikit berangin bagaikan pudina (mint).
 
Buah pelaga amat terkenal sebagai bahan perasa di dalam minuman seperti teh yang menggunakan buah pelaga dan kayu manis sebagai bahan perasanya amat popular di negara-negara seperti Bangladesh, India , Nepal, Pakistan dan Trinidad and Tobago. Di kawasan Timur Tengah pula serbuk buah pelaga hijau digunakan sebagai bahan perasa masakan manis, selain sebagai bahan perasa bagi minuman tradisi di dalam kopi dan teh. Bezanya, penggunaan buah pelaga digunakan dengan lebih meluas sebagai bahan perasa makanan. Manakala di sesetengah kawasan di Timur Tengah buah pelaga digunakan sehingga 40% daripada bahan yang digunakan. Maka tidak hairanlah hari ini negara-negara seperti Arab Saudi dan Kuwait merupakan pengimport terbesar rempah ini.

 
Begitu pula di negara-negara Nordik seperti Sweden, Norway dan Finland di mana ia digunakan sebagai bahan perasa makanan tradisional seperti roti Scandinavian Yule, Julekake, atau bun manis dari Sweden kardemummabullar, dan roti manis dari Finland, pulla. Ini kerana rempah buah pelaga mula ditemui oleh Vikings dan membawanya pulang ke Scandinavia dan ianya mula popular di dalam penyediaan wine, pastri dan juga roti.

Teh berempah dengan menggunakan buah pelaga merupakan minuman popular di banyak negara.

Di negara-negara Scandinavia, buah pelaga digunakan sebagai penambah aroma kepada makanan dan manisan seperti roti Scandinavian Yule, Julekake.

 
Apakah Yang Membuatkan Buah Pelaga Mahal?
 
Buah pelaga hijau merupakan rempah yang ketiga termahal di dunia selepas saffron dan juga c. Harga 100 gram rempah ini boleh mencecah USD9 (RM37) atau USD90 (RM370) bagi sekilogram. Seperti juga rempah-rempah yang mempunyai harga yang tinggi, buah pelaga merupakan tumbuhan yang sukar untuk diuruskan. Kira-kira sebanyak 6 kilogram buah segar perlu dituai bagi menghasilkan 1 kilogram buah pelaga hijau yang kering. Buah-buah ini juga perlu dituai oleh mereka yang berpengalaman, kerana buah-buah tidak matang dalam masa yang sama dan perlu dituai dengan betul bagi mengelakkan buah rosak (seperti buah pecah dan kurang bernilai di pasaran). Kerja-kerja perlu dilakukan dengan tenaga manusia terutamanya dalam memetik buah dan pengurusan pokok. Kerja rumit ini perlu dilakukan di kawasan penanaman buah pelaga yang kebiasaannya di lereng-lereng bukit dengan taburan hujan yang tinggi.

 
Penanaman Buah Pelaga
 
Penanaman buah pelaga boleh dilakukan dengan biji benih ataupun daripada keratan akar (rhizomes). Pastikan anda menggunakan biji yang digunakan untuk tanaman berbanding biji daripada rempah yang dibeli bagi memastikan pertumbuhan yang baik. Manakala dengan menggunakan akar pula. Pastikan akar cukup matang, iaitu kira-kira setahun dengan sekurang-kurangnya dua mata tunas. Semai biji pada jarak 1/2 atau 1 inci antara satu sama lain dengan kedalaman sekitar 1/8 inci di dalam tanah. Pastikan pokok buah pelaga anda mendapat cahaya yang cukup namun bukan cahaya terus matahari. Pokok buah pelaga memerlukan tanah yang kaya dengan humus dan sedikit berasid.
 
Dalam proses pembesaran juga pokok-pokok buah pelaga memerlukan tanah yang lembab, namun tidak bertakung. Pencahayaan yang cukup, tetapi tidak terdedah kepada cahaya terus daripada matahari. Ia sesuai ditanam di bawah teduhan pokok-pokok yang lain. Selain itu ia juga perlu berada dalam persekitaran dengan kelembapan tinggi. Ini perlu dilakukan dengan semburan air, ataupun tanaman berhampiran kolam air. Walaupun ia boleh ditanam di dalam bekas atau pasu, pertumbuhan akar yang berlebihan boleh menyebabkan pokok buah pelaga tidak menghasilkan bunga. Maka akar perlu dibahagikan bagi menggalakkan pertubuhan akar dan bunga. Secara kasarnya tumbuhan ini memerlukan air dan kelembapan yang cukup, cahaya (nanum bukan terik matahari) dan persekitaran yang tidak terlalu sejuk (suhu di atas 10°C).

Pokok-pokok buah pelaga memerlukan persekitaran yang lembab dan tidak terdedah kepada terik matahari.

Teduhan daripada pokok lain penting bagi pokok buah pelaga serta tanah yang kaya humus. 
 
Antara keadaan di sebuah ladang buah pelaga di negara Nepal.

Kegunaan Buah Pelaga
 
Terdapat pelbagai kegunaan buah pelaga tidak terhad kepada penggunaan nya sebagai bahan perisa rempah makanan sahaja. Malah sejak sekian lama, buah pelaga amat terkenal sebagai bahan perubatan yang digunakan sebagai minuman teh herba. Selain itu ia juga digunakan sebagai bahan kudapan untuk menyegarkan nafas, malah ia turut digunakan oleh Wrigley, di dalam produk Eclipse Breeze Exotic Mint, bagi membantu menyegarkan bau nafas yang kuat.

 
Antara industri lain yang turut menggunakan bauan daripada buah pelaga termasuklah industri minyak wangi yang telah lama menggunakan bauan buah pelaga sebagai antara ramun bauan di dalam sesetengah bauan seperti: Le Male; Jean Paul Gaultier, Emporio Armani Night; Giorgio Armani, Burberry Brit Summer; Burberry, CK Free Blue; Calvin Klein, 212 Men White; Carolina Herrera, Chrome; Azzaro, Versace Oud Noir; Versace, The One; Dolce & Gabbana, Givenchy Blue Label; Givenchy, Dunhill Pursuit; Alfred Dunhill, Jeans Couture; Versace, Boss Bottled Sport; Hugo Boss, Encounter; Calvin Klein, Aramis; Aramis. Manakala bagi haruman bagi wanita pula antaranya: Fendi; Fendi, Crystal Noir; Versace, Knowing; Estee Lauder, Aroma Tonic; Lancome, Spellbound; Estee Lauder, Carolina; Carolina Herrera, DKNY Women Fall 2013; Donna Karan, Omnia; Bvlgari, Jungle L’Elephant; Kenzo, Farouche; Nina Ricci, Versense; Versace, Secret Intention; Guerlain, Chrysalide; Lancome, Desnuda; Emanuel Ungaro, Mirror Mirror Collection Miroir Des Majestes; Thierry Mugler. Itu adalah sebahagian kecil shaja daripada haruman yang menggunakan bauan buah pelaga sebagai sebahagian daripada harumannya. Jadi terlalu banyak haruman di luar sana yang dihasilkan menggunakan haruman dari buah ini.

Buah pelaga hijau dan buah pelaga hitam yang mempunyai saiz yang lebih besar.
 
Buah pelaga putih yang mempunyai warna jelas berbeza daripada buah pelaga hijau.

Jadi diharap tajuk kita kali ini dapat menambahkan lagi pengetahuan kita mengenai spesies rempah istimewa ini. Walaupun selama ini kita mungkin mengenalinya hanya di dalam masakan atau sebagai rempah di dapur, hari ini kita melihat fungsinya yang lebih besar. Maka, sama-sama kita menghargai tumbuhan istimewa ini, setidak-tidaknya anda boleh membuat perbezaan harga rempah ini untuk kunjungan anda ke pasaraya akan datang. Seperti biasa jangan lupa untuk menambah sebarang maklumat tambahan di ruangan komen dan kongsi-kongsikan bersama keluarga dan rakan-rakan.


Rabu, 22 Disember 2021

Bolehkah Anda Menanam Padi Daripada Beras Yang Dibeli Dari Pasaraya?

Penanaman padi di dalam pasu adalah perkara yang biasa dilakukan.

 
Padi (Oryza sativa) merupakan tumbuhan yang unik menjadi sumber makanan manusia hampir di seluruh dunia. Keunikan tumbuhan yang ditanam sejak ribuan tahun ini menghasilkan pelbagai varieti unik oleh setiap masyarakat di serata dunia. Malah padi sering menjadi tajuk perbincangan artikel-artikel kami sejak dari dahulu lagi. Pembangunan penanaman padi secara komersial membuatkan kaedah penanaman padi tidak diketahui oleh kebanyakan kita. Secara tidak langsung, tidak semua di antara kita mengenali pokok padi secara dekat. Bagaimanakah kita boleh menanam sendiri pokok padi ini? Mungkin ini adalah antara pilihan yang boleh kita lakukan.
 
Oleh kerana sukar untuk mendapatkan benih padi, iaitu biji padi yang belum diproses. Menggunakan beras yang dijual di pasaraya adalah salah satu daripada cara mendapatkan benih padi. Namun ia bukanlah semudah biji padi yang belum diproses (kerana biji benih yang belum diproses tidak rosak akibat pemprosesan padi menjadi beras). Untuk kaedah ini hanya beras perang yang boleh digunakan. Ini kerana beras perang masih mempunyai bahagian tunas (germ) pada biji benih padi. Beras putih biasa tidak mempunyai bahagian ini dan tidak akan bercambah untuk menumbuhkan tunas baru. Malah, penggunaan beras perang ini juga tidak menjanjikan hasil yang seratus peratus berjaya.

 
Sekiranya anda sememangnya menggunakan beras perang untuk masakan, maka bolehlah mengambil sedikit beras untuk tujuan ini. Manakala bagi yang ingin mencuba sahaja, maka bolehlah membeli beras perang dalam kuantiti yang kecil. Sebaiknya periksalah terlebih dahulu jika jenis beras perang tersebut benar-benar masih mempunyai bahagian tunas tersebut ataupun tidak. Ini kerana tidak semua proses menghasilkan beras perang adalah sama. Sekiranya anda mempunyai jenis beras yang betul bolehlah kita ke proses yang seterusnya iaitu proses pengaktifan benih. Proses ini adalah sama seperti proses penyemaian, iaitu beras direndam di dalam air untuk membolehkan biji benih mula menghasilkan percambahan mata tunas dan penghasilan akar. Dalam proses ini, beras-beras tadi direndam di dalam air (air diganti setiap hari) sehingga tunas dan akar kelihatan jelas.
 
Apabila tunas dan akar mula kelihatan, biji-biji benih padi tadi bolehlah dialihkan ke tanah dengan kelembapan yang tinggi. Ini kerana proses pertumbuhan padi biasanya di dalam tanah yang berlumpur. Proses pertumbuhan ini juga memerlukan lebih nutrient dari tanah dan sumber air yang mencukupi. Awasi kualiti air kerana penanaman secara kecil-kecilan begini menyebabkan air bertukar warna ataupun berbau. Jadi sekiranya perlu tukarlah air dan mungkin juga menambah sedikit baja sekiranya pokok kelihatan tidak subur atau kekuningan.

Beras perang masih mempunyai bahagian tunas berbanding beras putih biasa.

Pilih biji-biji yang sihat dengan pertumbuhan yang baik.


Biji dialihkan tapak semaian bagi membolehkan ia terus membesar.

 
Pada peringkat ini, anak-anak pokok padi memerlukan bekas yang lebih besar untuk terus membesar.

Sekiranya anda ingin meneruskan proses penanaman sehingga pokok padi menghasilkan buah. Pemindahan seterusnya perlu dilakukan apabila pokok mencapai saiz yang agak besar, iaitu kira-kira sebulan usianya. Pada usia ini, pokok padi telahpun menghasilkan beberapa helai daun yang lebih besar dan ketinggian 10 - 15 cm. Pemindahan ini penting bagi membolehkan pokok padi membesar dengan sempurna kerana akarnya berkembang dengan pesat bagi membolehkan pokok padi terus menjadi dewasa, sebelum sedia untuk menghasilkan bunga-bunga padi. Untuk tujuan ini, bekas yang lebih besar perlu disediakan dengan jumlah tanah dan air yang lebih banyak.
 
Bagi penyediaan ini, bekas yang tidak berlubang perlu disediakan. Tanah perlu ditapis kerana padi tidak boleh tumbuh dengan baik pada tanah yang keras. Air dicampur secara berperingkat bagi memastikan tanah mempunyai kelembapan yang sekata. Apabila campuran tanah dan air menjadi seakan-akan lumpur (namun tidak terlalu cair), maka pokok padi tadi bolehlah dialihkan. Anda boleh menanam sehingga 3 anak benih padi untuk membentuk serumpun pokok padi. Selain itu, pada peringkat awal pertumbuhan padi, and juga perlu menambah jumlah air supaya air berada beberapa centimeter tinggi daripada tanah.

 
Walaupun pokok-pokok padi akan menjadi semakin tegap, namun pemantauan berterusan perlu dilakukan. Setiap perubahan pada pokok padi perlu diberikan perhatian yang secukupnya. Kesan-kesan seperti warna daun, kerosakan pada daun menandakan masalah yang boleh mengakibatkan pokok padi anda mati. Awasi jumlah air (yang mengawal tanah supaya tidak terlalu lembut ataupun terlalu keras). Pada peringkat pembesaran, baja perlu ditambah secara berperingkat mengikut kesesuaian pertumbuhan pokok. Pastikan juga kualiti air dan jumlah air. Kurangkan air sekiranya tanah menjadi terlalu lembut dan tambahkan air sekiranya tanah terlalu kering. Gunakan jaring atau letakkan pokok padi anda dalam tempat yang selamat daripada serangga perosak. Bagi penanam kecil sebegini, anda mungkin tidak perlu menggunakan racun serangga, cukup sekadar menutup pokok padi anda dengan jaring yang sesuai.
Anak padi dialihkan ke dalam bekas baru yang lebih besar untuk proses pembesaran yang sempurna.

Air ditambah untuk proses pertumbuhan yang berikutnya.

Setelah sebulan dialih, air dikeringkan bagi mengelakkan tanah yang terlalu lembik.

Setelah tanah kering, air ditambah semula pada ketinggian kira-kira 2 cm.

Pembajaan perlu dilakukan bagi memastikan pertumbuhan yang berterusan.

 
Pada peringkat akhir pertumbuhan adalah apabila pokok mula menghasilkan bunga. Jaring boleh dibuka bagi membolehkan bunga-bunga padi didebunga dengan baik bagi menghasilkan buah yang mempunyai isi. Teruskan penjagaan sehingga buah-buah menjadi matang (kelihatan berisi dan saiz yang lebih besar). Apabila ia cukup matang, iaitu kira-kira sebulan daripada bunga mula dihasilkan, air boleh dikeringkan daripada bekas tanaman padi. Seterusnya teruskan penjagaan seperti biasa sehingga buah-buah padi benar-benar masak, iaitu buah padi menjadi kekuningan (hanya sekitar 9 hari selepas air dikeringkan). Apabila cukup matang, daun-daun pada pokok padi juga akan mula kelihatan kekuningan menandakan ia sedia untuk dituai. Anda boleh memotong pokok-pokok padi untuk dikeringkan.

 
Apabila sudah betul-betul kering, proses pengasingan buah bolehlah dilakukan. Anda bolehlah melakukan proses ini dengan kaedah yang anda rasakan sesuai (kerana dalam jumlah yang kecil, ia tidak boleh menggunakan proses yang digunakan untuk saiz penanaman yang besar seperti ‘membanting padi’). Setelah diasingkan, barulah proses berikutnya dilakukan iaitu memecahkan kulit buah padi. Gunakan bahan yang tidak terlalu keras bagi mengelakkan buah padi hancur. Cukup untuk memecahkan kulit luar buah padi. Seterusnya cukup sekadar dengan meniupnya bagi mengasingkan kulit-kulit padi yang telah dipecahkan. Kini, anda telahpun menghasilkan beras sendiri, daripada beras yang asalnya dibeli di pasaraya.

Pokok-pokok pad mula mengeluarkan bunga.

Buah padi mula matang, dan air boleh dikeringkan daripada bekas tanaman.

Buah mula kekuningan dan daun mengering menandakan pokok padi sedia untuk dituai.

Bagi memastikan kejayaan yang lebih tinggi, pastikan padi yang cuba ditanam adalah dari spesies tempatan (atau yang sesuai dengan cuaca setempat). Pastikan juga memilih tunas yang betul-betul sihat daripada peringkat awal bagi menjamin pembesaran yang lebih sempurna. Sekiranya anda ingin menanamnya semula, pastikan anda tidak memecahkan kesemua buah-buah baru yang dihasilkan. Sebaliknya disimpan untuk tanaman yang berikutnya.
 
Kaedah ini adalah kaedah yang dihasilkan oleh penghasil video daripada YouTube di Jepun iaitu Noringo. Hobi penanaman tumbuh-tumbuhan daripada bahan yang dibeli di pasaraya dapat mendidik kita bahawa kita boleh menanam kebanyakan daripada bahan yang dibeli ini. Ini bukan bermakna kita perlu menjadi petani, tetapi banyak perkara boleh dipelajari daripada proses penanaman tumbuhan. Selain mempelajari kesusahan yang perlu dilalui oleh para petani dalam menghasilkan sumber makanan yang kita perolehi daripada pasaraya tersebut. Namun begitu, sebahagian bahan makanan adalah lebih baik dihasilkan sendiri bagi memastikan ianya bebas daripada racun rumpai dan racun serangga misalnya. Apatah lagi bagi bahan yang diperlukan dalam jumlah sedikit seperti daun-daun herba yang boleh dibesarkan dengan mudah di tepi dapur atau hanya dengan merendamkannya di dalam air. Semoga ini sedikit sebanyak dapat memberikan satu lagi inspirasi kepada para pembaca untuk mencuba hobi menanam di rumah.
 
*tontoni video daripada Noringo, mengenai kaedah penanaman padi menggunakan beras yang dibeli dari pasaraya.


 
 

Arkib Blog