Khamis, 13 Ogos 2015

Bill Gates Minum Air dari Sisa Kumbahan?

Bill Gates meminum air dari penapisan JOP.

Bill Gates tidak asing lagi kerana merupakan antara orang terkaya di dunia, bersama-sama dengan Paul Allen membina syarikat gergasi Microsoft pada tahun 1975 setelah meninggalkan pengajiannya di Harvard University. Beliau meninggalkan jawatannya sebagai CEO Microsoft pada Januari 2000 namun kekal sebagai pengerusi sehingga 2006.

Berikutan daripada itu Bill Gates lebih aktif dengan tugasan barunya bersama Bill & Melinda Gates Foundation yang diasaskan pada tahun 2000 juga. Melalui badan amal ini beliau dan isterinya giat melakukan kerja-kerja dalam membantu masyarakat di seluruh dunia.

Melalui badan amal ini ia menyasarkan untuk membantu di dalam beberapa lapangan iaitu pendidikan, kesihatan dan juga menghapuskan kemiskinan. Ia juga merupakan badan amal yang paling besar di dunia dengan jumlah derma terkumpul sebanyak US$42.3 billion pada 24 November 2014.

Jadi apakah yang berkaitan dengan tajuk utama artikel ini sebenarnya? Ia merupakan salah satu daripada usaha yang dijalankan oleh badan amal ini dalam mempertingkatkan tahap kesihatan penduduk di negara-negara membangun yang tidak mendapat bekalan air bersih. Tanpa air bersih, penduduk akan mudah mendapat jangkitan dan merupakan punca utama kepada kematian lebih daripada 700,000 kanak-kanak di dunia setiap tahun.


Pengurusan air kumbahan di Dakar, Senegal yang tidak selamat.

Usaha ini bermula pada tahun 2011 dengan pelancaran program “Reinvent the Toilet Challenge”, untuk membantu lebih daripada 2.5 billion penduduk dunia yang tidak mendapat sistem sanitasi yang baik atau efektif terutama bagi penghuni bandar yang miskin. Program ini mendapat penglibatan daripada seluruh dunia terutama daripada universiti-universiti di U.S., Europe, India, China dan South Africa.

Jadi pada awal tahun 2015 Bill Gates berkongsi video di mana ia meminum air hasil daripada sisa kumbahan ini. Setelah beberapa tahun usaha dijalankan sistem ini akhirnya dapat disediakan bukan sahaja dengan lebih efektif, malah dapat disediakan untuk ianya beroperasi dengan model operasi lengkap (perbelanjaan dan ekonomi pengurusan sistem tersebut).


Sistem lengkap Janicki Omni Processor.

Mesin yang dikenali sebagai Janicki Omni Processor atau JOP itu kini dibina di Dakar, Senegal sebagai tapak ujian pertamanya. Dakar merupakan bandar dengan 3.4 juta penduduk di mana lebih daripada sejuta penduduknya tidak mendapat kemudahan sistem kumbahan yang selamat. Ia merupakan salah satu punca yang mendedahkan para penduduk ini kepada bahaya wabak penyakit.

Mesin JOP direka untuk bukan sahaja sebagai mesin tapisan air kumbahan malah memproses setiap bahan buangan untuk diguna semula dengan pengendalian yang selamat bagi setiap proses. Hasil daripada sisa buangan ini digunakan sepenuhnya untuk menjana elektrik bagi sistem tersebut dan selebihnya digunakan untuk membuat bata (bahan binaan).

Banyak lagi sumbangan-sumbangan lain yang dilakukan oleh Bill & Melinda Gates Foundation menjurus kepada fokus utama mereka iaitu pendidikan, kesihatan dan menghapuskan kemiskinan. Ia juga turut membantu dalam menyumbangkan dana untuk membantu mangsa-mangsa bencana di seluruh dunia termasuklah semasa gempa bumi dasar laut di Lautan Hindi pada tahun 2004 dan juga gempa bumi di Kashmir pada tahun 2005.


Bill Gates dan isterinya Melinda Gates pada tahun 2009.

Sumbangan juga turut disalurkan untuk pembangunan pertanian seperti ‘International Rice Research Institute’, bagi penyelidikan untuk meningkatkan penghasilan beras dalam memenuhi permintaan rakyat di seluruh dunia pada masa akan datang, selain daripada ‘Alliance for a Green Revolution in Africa’ (AGRA); di mana ia bersama-sama dengan Rockefeller Foundation untuk mempertingkatkan sains pertanian dan penghasilan dari ladang kecil di Afrika.


Itu adalah sebahagian daripada sumbangan berterusan daripada Bill Gates setelah meninggalkan Microsoft, sedangkan apa yang dihasilkan Microsoft sendiri merupakan antara teknologi terpenting yang membolehkan pembangunan sistem perkomputeran berlaku dengan pesat pada masa itu. Jadi kegigihan beliau amat penting untuk menjadi contoh bagi kita untuk bukan sahaja membangunkan diri sendiri malah mereka yang berada si sekeliling kita.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog