Thursday, June 24, 2021

Pencemaran Plastik Sejauh Manakah Kita Memahaminya?

Lambakan pembuangan plastik yang terus mencemarkan alam.

 
Plastik merupakan bahan yang paling mudah didapati hari ini. Kepentingan plastik tidak dapat dinafikan, yang membolehkan hampir semua benda dihasilkan dengan harga yang lebih mudah dimiliki oleh semua golongan. Disebalik kemudahan ini, plastik merupakan bahan yang paling bahaya dan mengkibatkan kerosakan yang serius kepada alam. Walaupun faedah penggunaan plastik ini amat bermanfaat, kita perlulah mengambil langkah segera bagi mengelakkan kesan keburukan pencemaran plastik yang boleh mendatangkan mudarat yang lebih serius.
 
Sejarah penciptaan plastik bermula lebih awal iaitu daripada penemuan plastik sintetik pertama oleh John Wesley Hyatt pada 1869 setelah mendapat tawaran daripada firma di New York bagi menemukan bahan gantian bagi gading gajah. Bahan sintetik yang dihasilkan adalah daripada fiber kapas dan kapur (camphor), dan bahan yang dihasilkan boleh diubah bentuk kepada pelbagai bentuk lain. Pada 1907, Leo Baekeland pula berjaya mencipta Bakelite, iaitu plastik 100% daripada bahan bukan organik. Penemuan ini memudahkan penggunaan nya dalam pelbagai bidang terutamanya dalam pembangunan industri (yang memerlukan bahan yang mudah dibentuk, sebagai penebat). Kedua-kedua penemuan ini menjadikan lebih banyak kajian dilakukan bagi menghasilkan lebih banyak plastik-plastik dengan pelbagai potensi kegunaan.
 
Penggunaan plastik terus meningkat berikutan keperluannya menjelang Perang Dunia ke-2, di mana sumber semulajadi amat terhad dan bahan-bahan sintetik merupakan pilihan utama. Penemuan bahan seperti Nylon oleh Wallace Carothers pada 1935 membolehkan pelbagai peralatan dihasilkan seperti payung terjun, tali, baju perisai, pelapik tapi keledar dan sebagainya. Manakala bahan seperti Plexiglass menggantikan kaca yang digunakan sebagai tingkap kapal terbang. Malah penggunaan plastik juga menjadi lebih penting selepas perang bagi memenuhi permintaan pasaran dan menghasilkan peralatan/barangan pada harga yang lebih murah.
 
Walaupun bahaya pencemaran plastik telah diketahui semenjak awal penciptaannya, penghasilan plastik adalah meningkat setiap tahun berikutan permintaan penggunaannya. Plastik yang dihasilkan pada 1950 adalah sebanyak 2.3 juta tan dan jumlah ini mencapai 448 juta tan pada tahun 2015. Angka ini dikatakan bakal meningkat dua kali ganda menjelang 2050 (sekiranya tiada langkah yang diambil).

Plastik yang dihanyutkan air mirip sekali dengan obor-obor yang menjadi makanan penyu. 

 
Plastik adalah bahan yang tidak terurai dan kekal dalam alam dengan anggaran selama 400 tahun. Plastik sebaliknya akan menjadi cebisan-cebisan kecil dan menjadi bahan makanan (secara tidak sengaja) hidupan-hidupan liar - yang menyebabkan kematian dan adakalanya menjadi makanan manusia semula. Keadaan ini telah diketahui sejak awal penggunaan plastik, namun tiada penyelesaian yang betul-betul berkesan dalam menangani masalah ini.
 
Kesan kepada di atas tanah

 
Setakat ini pelupusan plastik yang paling asas adalah secara penggunaan tapak pelupusan (kaedah yang digunakan oleh kebanyakan kawasan di dunia). Walaupun diketahui plastik tidak boleh diurai, ia bagi mengelakkan plastik daripada terus berada di kawasan kediaman atau mencemari kawasan pengairan seperti sungai. Kaedah ini tidak berkesan kerana, plastik masih dihanyutkan ke dalam sungai apabila tiba musim hujan. Ia juga menghalang pengaliran air ke dalam tanah dan adakalanya menyebabkan masalah saliran seterusnya menyebabkan banjir, masalah air bertakung dan pembiakan serangga merbahaya seperti nyamuk dan lalat. Hidupan-hidupan ternakan dan liar juga sering menjadikan plastik sebagai makanan nya secara tidak sengaja yang menyebabkan kematian. Pelupusan plastik dengan kaedah ini merupakan kaedah yang tidak boleh digunakan jangka panjang kerana seperti yang dapat dilihat hari ini, plastik-plastik terus dihanyutkan di sungai-sungai walaupun kita mempunyai kaedah pengumpulan sampah yang teratur.
 
Plastik di dalam saliran dan sungai

Plastik bukan sahaja menyekat aliran air, malah menyebabkan air menjadi kotor.

 
Walaupun plastik tidak dibuang terus ke dalam sungai, ia amat mudah dibawa air dan dihanyutkan ke dalam sungai. Di dalam sungai, ia akan terus dihanyutkan sehingga ke laut. Plastik mungkin mula menjadi cebisan-cebisan kecil dan mengancam hidupan air. Sebahagiannya akan tersangkut pada tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sekitar sungai dan menyekat pengaliran air yang lancar. Sungai merupakan pengangkutan mudah bagi plastik untuk dihanyutkan sehingga ke laut. Selain menjadi ancaman kepada hidupan air, ia juga turut mengancam mereka yang tinggal di kuala-kuala sungai. Kehadiran plastik di dalam sungai, menjadikan proses penguraian bahan-bahan organik di dalam sungai menjadi perlahan dan menyebabkan sungai menjadi kotor dan berbau. Bahan-bahan buangan plastik hari ini dengan mudah dapat dilihat di kawasan-kawasan bakau di mana ia menjadi kawasan pembiakan ikan-ikan.
 
Plastik di laut

Amat menyedihkan apabila tangkapan para nelayan semakin merosot - namun ia berpunca dari kesilapan manusia sendiri. 

 
Plastik yang berjaya hanyut ke laut akhirnya akan tetap berada di laut untuk tempoh yang panjang. Ia mungkin menjadi cebisan yang lebih kecil dan menjadi makanan oleh setiap hidupan di laut. Plastik mengancam hidupan dalam pelbagai bentuk dan tidak mengira saiz hidupan tersebut. Bagi cebisan yang besar boleh menyebabkan ia tersangkut pada haiwan dan menyebabkan kecacatan anggota dan kematian. Sebahagiannya dimakan secara tidak sengaja kerana menyangkanya adalah obor-obor dan menyebabkan kematian akibat tercekik. Bagi cebisan-cebisan kecil pula akan terus kekal di dalam perut ikan atau burung-burung laut - dan ini mengakibatkan haiwan tersebut mati akibat kebuluran (kerana plastik tidak boleh dihadam). Ia merupakan keadaan yang sukar dibayangkan melainkan kita melihatnya sendiri (dan ianya bukanlah satu pemandangan yang baik untuk dilihat). Apabila haiwan-haiwan ini mati - plastik yang sama masih mampu membunuh hidupan yang lain berikutnya.
 
Jumlah plastik yang berada di laut hanya akan terus bertambah setiap hari dan kekal di laut. Hari ini tiada kawasan di laut yang terlepas daripada pencemaran plastik - walaupun pulau terpencil di tengah lautan Pasifik sekalipun terdapat plastik yang dihanyutkan di pantainya. Manakala, plastik bukan sahaja berada di permukaan laut, malah kebanyakan plastik adalah berada di dasar laut. Hampir setiap hidupan laut mengandungi plastik. Plastik-plastik ini sudah tentu membawa mudarat kepada nya - namun cebisan-cebisan kecil plastik ini tidak dapat dibezakan oleh hidupan-hidupan laut yang menyangkanya adalah makanan. Manakala sebahagiannya pula menjadi makanan kepada manusia.
 
Bolehkah plastik menyebabkan kepupusan besar?
 
Ia merupakan satu perkara yang mungkin sedang berlaku. Apa yang dapat diperhatikan adalah penurunan hasil tangkapan di laut, kematian hidupan-hidupan lain seperti batu karang dan kematian hidupan akibat termakan plastik. Kadar peningkatan sesuatu spesies (seperti obor-obor) menandakan penurunan haiwan pemangsanya - yang menandakan ketidak seimbangan hidupan laut. Kepupusan berlaku apabila keseimbangan hidupan terancam di mana jumlah suatu spesies hidupan kurang dan menyebabkan jumlah spesies lain yang melampau. Ia bagaimanapun akan berakhir dengan kepupusan keduanya apabila jumlah makanan bagi spesies yang melampau berkurangan. Ia mungkin memakan masa yang lama untuk mencapai keseimbangan semula (seperti selepas berlakunya kepupusan besar jutaan tahun dahulu).

Burung-burung laut merupakan mangsa paling biasa ditemui mati akibat termakan plastik.

Masalah tersangkut pada serpihan pukat seperti ini juga biasa berlaku.

Plastik juga menyebabkan kecacatan kepada hidupan.



 
Kaedah pelupusan plastik yang terbaik
 
Walaupun terdapat beberapa kaedah pelupusan plastik, tiada suatu kaedah pun yang digunakan secara rasmi. Ini kerana tiada kesepakatan mengenai kaedah pelupusan yang sesuai. Ini menyebabkan masalah plastik berterusan mencemarkan alam sekitar. Pengitaran plastik pula adalah merupakan propaganda yang sebenarnya tidak berlaku dengan efektik - sebaliknya plastik dihantar ke negara-negara kecil (seperti SE Asia) oleh negara-negara maju bagi mengelakkan pelupusan plastik di negara mereka. Proses kitaran plastik merupakan proses yang amat rumit dan memerlukan pelbagai proses yang tidak praktikal. Plastik-plastik ini kemudiannya sekali lagi dihanyutkan ke laut dan seterusnya berada di laut. Ia bukanlah suatu perkara yang ganjil apabila negara-negara kecil ini menjadi penyumbang utama masalah plastik utama.
 
Plastik hanya boleh dilupuskan secara keseluruhannya melalui kaedah pelupusan incinerator - dan ia memerlukan pemantauan yang rapi, kerana hanya incinerator moden yang mampu melupuskan plastik tanpa menghasilkan bahan pencemaran seperti dioxins dan furans. Selain itu kaedah lain seperti gasification dan pyrolysis juga merupakan antara kaedah yang berpotensi untuk menggunakan semula plastik dan mengelakkan nya daripada ia berada di dalam alam. Namun seperti juga kaedah-kaedah yang lain, tiada badan yang mampu melakukannya secara komersial - yang dapat mengatasi jumlah plastik-plastik yang terus membanjiri alam sekitar.

Serpihan-serpihan kecil micro-plastic yang dihanyutkan ke pantai.

 
Bolehkah masalah plastik diatasi?
 
Sekiranya manusia mampu menjelajah sehingga ke angkasa, masalah berkaitan plastik adalah sekadar pilihan - samada manusia mahu terus membiarkan pencemaran plastik terus berlaku ataupun mengambil langkah untuk mengatasinya. Plastik merupakan satu ciptaan yang amat baik - yang membolehkan kita manusia menikmati pelbagai kemudahan hari ini. Tanpa plastik, kebanyakan peralatan yang kita gunakan adalah terlalu mahal dan kebanyakannya mungkin sukar dipasarkan seperti pembungkusan makanan. Namun kemudahan ini memerlukan tanggungjawab bersama bagi memastikan alam bukan sahaja selamat dihuni oleh manusia, malah untuk semua hidupan di dalamnya. Kita sebagai pengguna perlu mengurangkan penggunaan plastik dan memastikan ia dilupuskan dengan kaedah yang selamat. Elakkan plastik daripada menghampiri laluan air dan sungai. Gunakan bahan gantian plastik apabila sesuai dan bersama-sama mencari alternatif gantian plastik yang sesuai dalam masa yang sama mencari kaedah pelupusan plastik yang lebih efektif.

Wednesday, June 16, 2021

Manusia Termasuk ke Dalam Mulut Ikan Paus?

Ikan paus, hidupan paling besar di dunia.

Kisah kali ini agak berbeza kerana ia sangat unik. Kisah manusia di makan ikan raksasa ini mungkin begitu sinonim dengan kisah-kisah yang kita dengari dari cerita-cerita lama daripada pelbagai budaya. Namun kisah kali ini adalah kisah yang berlaku baru-baru ini ke atas seorang nelayan udang “lobster” yang pada ketika itu sedang melakukan kerja-kerjanya seperti biasa.
 
Michael Packard merupakan seorang nelayan lobster dari Provincetown, Massachusetts yang ketika itu sedang menyelam untuk menangkap lobster seperti biasa tiba-tiba berada di dalam mulut ikan paus selama antara 30 ke 40 saat. Ikan itu bagaimanapun naik ke permukaan dan memuntahkan beliau keluar dari mulutnya. Beliau hanya mengalami lebam-lebam pada anggotanya tanpa sebarang kecederaan yang serius.

 
Kejadian dikatakan berlaku ketika beliau menyelam pada sekitar kedalaman 45 kaki di mana kemudiannya beliau merasa seperti dilanggar truck dan segalanya bertukar menjadi gelap. Beliau yang pada mulanya menyangka dirinya telah dibaham oleh ikan jerung putih, kemudiannya perasan ianya adalah ikan paus - apabila mendapati ia tidak mempunyai gigi tajam seperti jerung.
 
Beliau yang dimuntahkan oleh ikan paus tersebut di permukaan laut, diselamatkan oleh rakan nelayannya, Josiah Mayo - yang melihat percikan air besar di mana Michael seakan-akan tiba-tiba muncul daripada percikan tersebut.
 
Kejadian tersebut bukan sahaja memberikan kejutan kepada saudara-mara dan rakan rapatnya, malah menjadi bahan berita di seluruh dunia. Keadaan beliau bagaimanapun adalah selamat dan dapat bertemu dengan keluarganya semula.
 
Kisah manusia dimakan ikan yang lain

Michael Pickard ketika dirawat di hospital.

Rainer Schimpf, ketika disambar oleh ikan paus.

Sebelum kisah yang melanda ke atas Michael Packard ini kisah yang sama berlaku ke atas seorang pemandu pelawat penyelam (dive tour operator), ketika beliau sedang sibuk membuat rakaman penghijrahan besar-besaran ikan sardin.
 
Kisah ini berlaku pada Mac 2019 - di mana penghijrahan ikan sardin merupakan fenomena yang amat menarik kerana ia merupakan kitaran tahunan yang mengimbangi jumlah ikan-ikan di lautan dunia (fenomena yang serupa juga berlaku di Sweden, Chile dan Lautan Pasifik). Namun perkara ini dalam masa yang sama turur menarik haiwan-haiwan pemangsa lain seperti dolphin, penguin, burung-burung laut, anjing laut, ikan-ikan pemangsa termasuk jerung dan ikan-ikan paus.
 
Rainer Schimpf 51, yang ketika itu sibuk membuat rakaman gerombolan ikan, atau diberikan jolokan “bait ball”, tiba-tiba mendapati persekitarannya menjadi gelap. Keadaan tersebut dengan segera membuatkan beliau perasan, bahawa beliau berada di dalam mulut ikan paus.

 
Menyedari dirinya tidak mampu berbuat apa-apa, beliau kemudiannya menahan nafas dan menunggu sehingga ikan paus tersebut melepaskannya semula. Ya, ikan paus adalah terlalu besar untuk manusia melawan - mungkin ikan tersebut tidak akan perasan, walaupun kita meronta atau cuba melawan.
 
Berbeza dengan Michael Packard, kejadian yang berlaku ke atas Rainer berlaku di atas permukaan laut - dan ianya sempat dirakamkan oleh rakannya. Di dalam rakaman tersebut jelas menunjukkan beliau termasuk ke dalam bulut haiwan tersebut dan segera pula dimuntahkan. Walaupun kejadian ia berlaku dengan pantas - ia mungkin dirasakan terlalu lama bagi mereka yang mengalaminya.
 
Pernahkan manusia dimakan ikan paus?

Ikan paus makan secara berkumpulan untuk memerangkap ikan-ikan kecil dan krill.

Adakalanya ikan paus secara tidak sengaja akan menyabar hidupan lain, yang bukan makanannya. 

Selain anjing laut, burung-burung laut juga hampir menjadi mangsa.

Ikan-ikan paus (yang tidak tergolong dalam keluarga ikan) terbahagi kepada dua kumpulan utama iaitu, ‘baleen’ dan juga ‘toothed’ yang mempunyai tabiat pemakanan yang berbeza. Ikan-ikan paus ‘baleen’, adalah seperti: paus biru, humpback, minke, grey, bowhead dan lain-lain lagi. Ia mudah dikenali dengan jaringan ‘baleen’ yang digunakan untuk menapis air dan menangkap hidupan-hidupan kecil yang menjadi makanan nya. Ikan-ikan ini mempunyai saluran pemakanan (tekak) yang kecil dan tidak mampu menelan makanan yang besar seperti manusia.
 
Ini berbeza dengan ‘toothed whales’, yang sememangnya menjadikan haiwan-haiwan bersaiz besar sebagai makananya. Antara ‘toothed whales’ termasuklah: Orca, dolphin, beluga, narwhal, dolphin sungai, beak whales dan juga sperm whales. Jadi ikan paus yang mempunyai kebolehan untuk menelan manusia adalah seperti sperm whales dan orca yang mempunyai saiz yang besar.
 
Setakat ini hanya satu kisah yang melaporkan mengenai kejadian pelanggaran ikan paus sperm whales yang mengakibatkan kapal memburu ikan paus karam di Essex pada tahun 1820. Manakala dalam lapuran lain pula pada awal tahun 1900-an, kejadian pelaut yang diselamatkan setelah berada dalam perut ikan paus selama 36 jam tidak dapat dibuktikan, setelah dibuat kajian terperinci pada tahun 1991.

Sperm whale merupakan toothed whale terbesar.

Orca memburu dalam kumpulan yang dipanggil 'pod'.

Dalam kejadian di atas kedua-dua ikan paus tersebut adalah terdiri darida ikan paus ‘baleen’, yang memakan hidupan laut kecil daripada ‘krill’ dan ikan-ikan kecil. Bagi Michael Packard, ikan yang menelan nya secara tidak sengaja adalah ikan paus humpback dan bagi Rainer Schimpf pula, ianya adalah ikan paus ‘Bryde's whale’.  
 
Kebarangkalian manusia dimakan ikan paus adalah amat tipis atas beberapa sebab. Pertama, ikan-ikan paus jarang sekali menjadikan manusia sebagai mangsanya - sebaliknya menjadikan manusia sebagai rakan di laut. Seperti yang dapat dilihat pada dolphin malah orca sendiri. Orca yang mempunyai saiz antara 6 - 8 m dengan berat antara 3.6 - 5.4 tan (bagi ikan jantan), dengan mudah mampu menjadikan manusia sebagai mangsanya. Manakala bagi ikan sperm whales pula, jarang sekali menghampiri pantai - sebaliknya memburu sotong gergasi di dalam laut dalam.

 
Kejadian serangan ikan orca pernah berlaku di dalam kurungan ke atas dua pelatihan taman hiburan dan satu lagi orang awam yang melepasi kawasan kurungan ikan tersebut. Kisah yang melibatkan orca yang diberikan nama sebagai Tilikum ini amat menyedihkan kerana ia ditangkap dari keluarganya pada tahun 1982 di Iceland. Ia kemudiannya dibawa ke Sealand of the Pacific di Victoria, British Columbia. Manakala pada tahun 1992 pula dibawa ke SeaWorld di Orlando, Florida. Kejadian kemalangan melibatkan Tilikum berlaku pada tahun 1991, kejadian kedua pada 1999 dan yang ketiga adalah pada tahun 2010. Kisah mengenai ikan ini dimuatkan di dalam dokumentari Blackfish, yang ditayangkan pertama kalinya di Sundance Film Festival pada Januari, 2013.

Manusia berkayak terlalu hampir dengan ikan paus, hampir menjadi mangsa.

Dalam kesemua kejadian di atas, kemalangan yang melibatkan ikan paus adalah berpunca daripada manusia yang menghampiri habitat ikan paus tersebut. Rata-ratanya ikan paus sememangnya tidak berminat menjadikan manusia sebagai makanannya, dan tidak pula berniat untuk mencederakan manusia. Adalah penting bagi manusia untuk mengelakkan berada terlalu dekat dengan ikan-ikan ini - terutamanya ketika mereka sibuk memburu makanan nya.
 
 
Rujukan:
1) Nbcboston.com
2) Livescience.com
3) Wikipedia.com:humpback
4) Wikipedia.com:tilikum
5) Wikipedia.com:Bryde’s whale
6) The conversation
7) A whale of a tale
8) Myrokan.com

Saturday, June 12, 2021

Kentang Antara Tanaman Penting Dunia Yang Perlu Dikenali

Kentang yang asalnya merupakan tumbuhan yang amat unik.

 
Walaupun kentang (Solanum tuberosum) dari keluarga Solanaceae bukan makanan asasi masyarakat di negara kita, rata-ratanya kita semua pernah menikmati kentang dalam pelbagai bentuk. Ini kerana, hari ini kentang mudah diperolehi dalam pelbagai bentuk makanan seperti “French fries”, kerepek kentang, kentang putar, “potato wedges”, “hash brown”, salad kentang, dan pelbagai bentuk masakan kentang yang disediakan oleh masyarakat kita sendiri. Walaupun kentang telah lama dikenali oleh masyarakat kita, namun ianya tidak seperti hari ini, di mana kita lebih menerima resepi-resepi baru dari barat - berbanding dahulunya - di mana masyarakat kita lebih bergantung kepada resepi tradisional. Selain itu, kentang juga tidak ditanam di negara kita - antara punca yang menyebabkan kentang sentiasa menjadi makanan import!
 
Bagi mengenali kentang dengan lebih dekat, kita perlu mengenali beberapa fakta penting mengenai kentang. Petama sekali adalah dari mana ianya berasal iaitu benua Amerika. Ia kemudiannya mula ditanam secara domestik oleh masyarakat asli di Peru sekitar 7,000 - 10,000 tahun dahulu. Kentang hanya dibawa ke Eropah pada pertengahan abad ke-15. Ia kemudiannya hanya mula berkembang di Eropah menjelang abad ke-16. Kentang dikatakan menjadi pemangkin kepada perkembangan penduduk dunia antara 1700 hingga 1900 - ini kerana ia mudah ditanam, dan memberikan hasil pulangan yang lebih tinggi bagi setiap ekar tanaman. Ia menjadi makanan utama bagi setiap lapisan masyarakat di Eropah (terutama golongan petani). Namun kentang juga menjadi punca kepada masalah kebuluran di Ireland pada 1845 disebabkan serangan penyakit yang dikenali sebagai “late blight”. Malapetaka ini lebih dikenali sebagai “Great Irish Famine”, yang menyebabkan lebih kurang 1 juta kematian, manakala kira-kira 2.1 juta lagi meninggalkan Ireland.

 
Menjelang tahun 2014, kentang merupakan tanaman sumber makanan ke-4 terpenting di dunia selepas jagung, gandum dan padi. Tanaman kentang hampir di tanam di seluruh dunia - memandangkan ia mudah ditanam berbanding tanaman-tanaman lain. Namun hari ini, kefahaman ilmu tanaman - dapat mengurangkan risiko - kemusnahan tanaman kentang seperti yang berlaku di Ireland pada tahun 1845 (yang boleh dielakkan sedari awal lagi), iaitu pentingnya mengekalkan variasi, pembiakan silang pada tanaman untuk membolehkan ianya menjadi lebih tahan dalam melawan penyakit - terutama bagi tanaman yang ditanam secara besar-besaran. Perkara ini amat penting bagi kentang yang ditanam melalui ubinya (ia berasal dari satu klon). Risiko menjadi kurang apabila, pokok ditanam daripada biji.

Varieti kentang yang terdapat di pasaran.

Kentang Russet, merupakan antara kentang yang banyak ditanam.

 
Melalui kaedah pertanian selama ribuan tahun, menghasilkan lebih 5,000 varieti kentang. Daripada jumlah tersebut lebih dari 99% kentang yang ditanam di seluruh dunia mempunyai baka yang berasal daripada kawasan rendah di Selatan-tengah Chile. Daripada jumlah tersebut lebih kurang 200 daripadanya merupakan spesies dan sub-spesies daripada baka liar. Daripada baka liar inilah terhasilnya kentang-kentang tanaman komersial. Ia juga digunakan untuk penghasilan baka baru yang lebih tahan penyakit. Apa yang menarik, baka-baka liar ini mempunyai bentuk dan warna yang pelbagai. Ia berbeza sekali daripada kentang yang kita kenali di pasaran.

 
Melalui perjalan selama ratusan tahun, hari ini kentang di terima oleh masyarakat di seluruh dunia. Kita menikmati kentang dalam pelbagai bentuk, daripada kerepek kentang, kentang putar/lenyek, salad kentang, “French fries”, atau dalam bentuk sajian tempatan seperti kari kentang, sambal kentang, bergedel dan sebagainya. Dunia moden menjadikan kentang sebagai makanan yang lebih penting daripada kepesatan rangkaian restoran makanan segera. Manakala kerepek kentang pula menjadi kegemaran makanan aktiviti santai seperti mononton TV dan perkelahan. Kepentingan kentang tanpa disedari - menjadi satu sumber makanan penting dunia hari ini. Teknik kulinari hari ini juga membolehkan lebih banyak resepi-resepi baru yang lebih menyelerakan dihasilkan daripada kentang. Masyarakat moden lebih terbuka dalam menerima kentang sebagai gantian makanan utama menggantikan nasi - yang dahulu agak sukar untuk ditinggalkan.

Penyediaan batas ringkas tanaman kentang.

Daun pokok-pokok kentang yang subur.

Petani-petani kentang di Indonesia.

Petani memungut hasil kentang di China.

 
Bermula daripada negara asalnya Peru, kini kentang di tanam di seluruh dunia. China merupakan negara pengeluar terbesar kentang, diikuti dengan India dan Rusia. Kesesuaian tanaman kentang adalah kerana ianya mudah ditanam serta hasil per hektar yang lebih tinggi berbanding tanaman-tanaman pertanian yang lain. Kentang juga mampu membekalkan khasiat pemakanan yang baik (sesuai dijadikan sebagai makanan utama). Oleh kerana itu di kawasan seperti SE Asia juga merupakan antara tanaman penting bagi kentang. Negara-negara di Asia Tenggara yang mempunyai tanaman kentang termasuklah Indonesia, Myanmar, Vietnam, Thailand, Philippines, Laos dan Timur-Leste. Selain daripada untuk kegunaan tempatan, Indonesia turut mengeksport hasil keluaran kentang mereka. Daerah-daerah tanaman kentang di Indonesia adalah seperti di Karo, Sumatera Utara, dan Dataran Tanah Tinggi Dieng, Jawa Tengah.

 
Berbanding di Indonesia, di US pula jutaan tan kentang terpaksa dibuang pada pertengahan tahun 2020 berikutan penularan wabak Covid-19. Permintaan kentang yang menurun akibat penutupan perniagaan menyebabkan lambakan stok kentang untuk tanaman musim berikutnya. Tidak seperti di negara-negara Asia, di US, kentang merupakan sumber makanan penting seperti beras dan ia dihidangkan di waktu pagi, tengahari dan malam - dalam pelbagai bentuk hidangan. Amat menyedihkan kerana petani bukan sahaja tidak dapat memulakan musim penanaman baru, malah stok sedia ada juga terpaksa dibuang. Sebaliknya para petani turut mengalami kerugian dan hutang daripada bank.

Kentang lenyek makanan sederhana yang mudah dimakan.

"Roasted potato" - hidangan menyelerakan.

Steak dan kentang, gandingan hebat sumber protein dan karbohidrat.

 
Berbanding dengan kepentingannya, kentang tidak diberikan perhatian yang secukupnya berbanding dengan dengan tanaman-tanaman lain seperti jagung, gandum, padi dan lain-lain. Sepanjang ribuan tahun dan ratusan tahun kebelakangan ini, hanya terdapat beberapa badan yang menampilkan kentang sebagai bahan penting makanan manusia antaranya adalah Idaho Potato Museum, The Canadian Potato Museum, Potatomuseum, dan International Potato Center. Badan-badan ini menyediakan pelbagai bahan yang bukan sahaja menumpukan kentang sebagai tumbuhan pertanian, malah teknologi pemakanan dan juga kentang dalam mencorak budaya kehidupan manusia di seluruh dunia. International Potato Center (CIP) juga turut bekerjasama dengan NASA dalam membuat kajian berkenaan dengan penanaman kentang di Planet Marikh (satu kajian yang amat futuristik).
 
Adalah penting bagi kita sebagai pengguna untuk mengenal lebih dekat mengenai bahan tanaman istimewa ini. Walaupun kentang bukan merupakan makanan utama, kita masih lagi menikmati kentang dalam kebanyakan situasi, malah ia antara bahan makanan yang sesuai untuk menggantikan makanan utama kita iaitu nasi. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku kepada tanaman, keadaan dunia yang tidak menentu. Mungkin pengetahuan mengenai kentang ataupun apa sahaja makanan dapat menyelamatkan manusia di seluruh dunia di masa akan datang. Semoga membawa manfaat.
 
 
Rujukan:
1) Wikipedia.com: Potato
2) Theguardian.com
3) Kompas.tv
4) Agrin
5) Faostat
6) International Potato Center
7) Idaho Potato Museum
8) The Canadian Potato Museum
9) Potato Museum

Friday, June 4, 2021

Apakah Perbezaan Belut Sawah dan Belut?

European eel, melakukan penghijrahan ke laut untuk membiak.


Semasa kecil saya amat suka dengan aktiviti memancing dan menangkap ikan. Sesekali apabila terserempak dengan ikan ganjil ini (semasa mula-mula berhadapan dengan belut), pasti perkara luar biasa akan berlaku.. hahaha.. ular! Belut merupakan hidupan air yang istimewa, kerana ia berbeza sekali dengan ikan-ikan lain yang mirip dengannya. Namun apabila diamati, belut sawah dari family (Monopterus), adalah berbeza daripada belut-belut yang lain dari family (Anguilla). Perbezaan paling utama adalah, belut dari family Aguilla, melakukan penghijrahan ke laut untuk membiak!
 
Adakah ikan-ikan seperti belut, merupakan belut?
 
Tidak seperti ikan biasa, di mana kita lebih mudah untuk membezakannya. Bagi kumpulan ikan seperti belut ini, ianya agak sukar kerana kita tidak membiasakan diri dengan kumpulan-kumpulan ikan ini. Terdapat banyak ikan-ikan yang mempunyai rupa bentuk seperti belut, merupakan ikan-ikan daripada kumpulan yang berbeza dan spesies yang berbeza pula. Perkara ini ditambah dengan nama yang diberikan - menyebabkan kita menjadi bertambah keliru, seperti belut elektrik (Electrophorus electricus), yang sebenarnya merupakan sebahagian dari kumpulan ikan pisau (knifefish: Gymnotiformes). Begitu juga ikan dari kumpulan: Macrognathus, atau spiny eels, yang merupakan kumpulan ikan yang mempunyai bentuk seperti belut, namun mempunyai sisik dan muncung yang tirus. Ikan-ikan dari kumpulan ini juga mempunyai duri-duri yang tajam pada bahagian belakangnya - ia juga mempunyai nama tempatan sebagai ikan tilan, manakala ia juga dikenali dengan nama seperti, peacock eel, tire track eel, fire eel dan beberapa jenis lagi .

 
Setelah kita mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai ikan-ikan ini. Tinggal dua kumpulan utama yang rapat iaitu dua kumpulan utama: belut sawah (Monopterus) dan juga belut (Anguilla) - yang berhijrah ke laut untuk membiak (walaupun ia terkenal dengan nama European Eel) - terdapat beberapa spesies yang berada di luar Eropah dan beberapa spesies lagi di bahagian Asia.
 
Kedua-dua kumpulan ini dikenali sebagai belut - namun mempunyai perbezaan yang ketara dan lebih mudah dikenali dengan beberapa ciri-ciri tertentu. Belut sawah, bukan sahaja tidak berhijrah ke laut, malah ia tidak mempunyai sirip tepi pada badannya (membuatkan ia lebih mirip kepada ular). Berbeza dengan belut dari keluarga Anguilla, ia mempunyai sirip seperti ikan, pada bahagian tepi badannya dan terdapat belahan insang - ini tidak terdapat pada belut sawah.

Belut elektrik yang merupakan sebahagian dari keluarga ikan pisau (knife fish).

Ikan 'tire track eel', merupakan ikan yang menyerupai belut.

Terdapat beberapa spesies berbeza ikan ini, yang juga dikenali sebagai ikan tilan.

 
Adakah nilai komersial untuk kedua kumpulan ini?
 
Ya, kedua-dua kumpulan belut ini mempunyai nilai komersial. Apa yang membimbangkan, kumpulan belut dari jenis Angilla, tidak boleh dibiakkan di dalam kurungan dan mempunyai jumlah bilangan yang semakin berkurangan di habitat liar - oleh kerana penangkapan anak-anak belut yang masih kecil untuk diternak secara komersial. Malah, kebanyakan aktiviti pengumpulan anak benih belut ini dilakukan secara tidak sah - dan dieksport melalui pasaran gelap.
 
Berbeza dengan belut sawah, ia bukan sahaja boleh diternak, malah boleh dibiakkan di dalam kurungan. Namun begitu, oleh kerana kegiatan penangkapan yang tinggi juga menyebabkan, jumlah belut sawah semakin berkurangan (mungkin kerana aktiviti bersawah yang semakin berkurangan). Belut-belut sawah adakalanya dilihat sebagai musuh - oleh kerana tabiatnya yang suka membuat lubang pada tebing kolam ataupun petak sawah. Namun, seperti juga belut lain, ia turut menjadi sebahagian makanan penting bagi masyarakat di mana sahaja ia boleh didapati.

 
Berbeza dengan belut Anguilla yang mempunyai saiz penternakan yang lebih besar - kerana pasarannya yang amat tinggi. Bagi belut-belut European Eel, negara-negara seperti Netherlands, Italy, dan Denmark merupakan negara penternak utama, selain Spain, Greece, Sweden dan Germany juga turut mempunyai penternakan dalam saiz yang lebih kecil. Belut-belut juga turut diternak di Jepun dan US (dari spesies Anguilla di Jepun dan US). Penternakan belut-belut ini merupakan industri terkenal dengan penggunaan teknologi moden bagi memenuhi permintaan pasaran antarabangsa yang amat tinggi bagi belut. Harga belut boleh mencecah sehingga 1,000 HKD (128.86 USD) sekilogram, dan harganya pernah mencecah sehingga 5,000 HKD.
 
Bagaimana dengan belut sawah?

Belut sawah dari dekat, tiada kelihatan sirip atau insang.

Belut sawah secara keseluruhannya.

 
Belut sawah juga mempunyai nilai komersial, namun oleh kerana ia lebih mudah ditangkap di sawah dan kawasan-kawasan paya, ia jarang diusahakan secara komersial. Namun begitu, keadaan mula berubah, di mana kawasan pembiakan belut kini semakin berkurangan, malah penangkapan belut bukanlah satu pekerjaan yang mudah. Maka, penternakan belut sawah mula menjadi salah satu usaha yang mendapat perhatian.
 
Belut sawah bukan sahaja popular di negara-negara Asia Tenggara, malah ia turut menjadi sumber makanan berkhasiat di mana sahaja ia membiak. Negara-negara lain seperti China dan India telah lama memanfaatkan khasiat belut sawah di dalam hidangan mereka melalui pelbagai resepi. Hidangan-hidangan ringkas seperti ‘
stir fries’ dan ‘casseroles’ sehingga gandingan bahan-bahan seperti daun bawang, rebung, wine beras, gula, kanji dan sos soya - merupakan antara bahan-bahan yang digunakan untuk meningkatkan rasa sejati belut ini. Begitu juga dengan kawasan di India yang dikenali sebagai Daerah Assam, penggunaan kari merupakan kaedah yang lebih sesuai dengan citarasa tempatan. Selain daripada itu, belut-belut ini juga turut terdapat di negara-negara seperti Amerika Tengah dan Amerika Selatan, Afrika dan Australia. Ia juga dikatakan mula membiak di Amerika Utara oleh kerana pembebasan tidak terkawal (mungkin disebabkan oleh industri ikan-ikan akuarium).

 
Maka tidak hairanlah sekiranya, industri penternakan belut sawah juga merupakan antara industri yang semakin popular. Oleh kerana, ia masih berada di peringkat awal. Industri penternakan ini mempunyai peluang yang tinggi untuk dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan pasaran, selain memenuhi standard kesihatan dan keselamatan pengguna. Bagi pengeluar belut sawah ini, negara Indonesia merupakan negara pengeluar utama bagi pasaran dunia, selain Thailand dan Malaysia. Di Malaysia khususnya, penternakan belut masih lagi berada dalam tahap pembangunan, walaupun terdapat pengusaha-pengusaha yang berjaya seperti En. Zakaria Harun, dari Kampung Kubang Puyu, Terengganu, yang mencuba menternak belut sawah semenjak 2012.
 
Apakah khasiat pemakanan belut sawah?

Penternakan belut sawah atau 'swamp eel', merupakan industri yang masih baru.

Belut sawah mempunyai khasiat pemakanan yang sangat baik, setanding dengan khasiat pemakanan ikan-ikan yang lain. Antaranya, ia mengandungi Vitamin A sehingga 15,000 IU/100 gram, manakala ia juga mengandungi DHA mencapai 1,337 mg/100 gram yang jauh lebih tinggi berbanding dengan ikan salmon yang hanya mengandungi sekitar 820 mg/100 gram, manakala ikan makarel yang hanya mengandungi sekitar 748 mg/100 gram.
 
Walaupun masih terdapat sebahagian daripada kita yang agak sukar untuk menjadikan belut sebagai hidangan, namun ia telah lama menjadi hidangan yang amat digemari di serata dunia. Apatah lagi memandangkan khasiat pemakanan belut sawah yang baik, ia mungkin boleh dipertimbangkan. Apa yang penting, melalui amalan penternakan yang baik dan kaedah penyediaan masakan yang menarik, ia mungkin menukar persepsi mereka yang selama ini agak sukar mencuba daging belut sebagai makanan.
 
Sekian sahaja pengenalan mengenai belut air tawar buat kali ini. Saya akan pasti menulis lagi lanjutan daripada tajuk ini, kerana terdapat banyak lagi perkara yang perlu dikongsi dengan para pembaca berkaitan belut dan ikan-ikan yang seangkatan dengan nya. Melalui pengenalan ini, mungkin sedikit sebanyak dapat kita mempelajari betapa pentingnya setiap haiwan di dalam alam. Selain itu, mungkin ia juga akan membuka mata bagi kita yang ingin memulakan satu peluang baru, atau seakannya. Bagi yang ingin berkongsi idea, ilmu pengetahuan, sila jangan segan untuk meluahkan pandangan anda di ruangan komen.
 
 
Rujukan:
 
1) Wikipedia: Eel
2) Wikipedia: Anguillida
3) Wikipedia: Swap eel
4) Wikipedia: European eel
5) Animaldiversity.org
6) Ocean and fisheries
7) Foa.org
8) Fao.org - II
9) Invasive.org
10) Aquanswers.com
11) Anim Agro Technology
12) MyMetro

Blog Archive