Isnin, 28 September 2020

Mengenali Daun Salam dan Ciri-cirinya

Daun salam (Syzygium polyanthum), merupakan tumbuhan liar di SE Asia.

Daun salam nama yang sering didengari dan sering dikaitkan dengan bay leaf. Namun daun salam yang digunakan dalam masakan Melayu, masakan India dan masakan Barat merupakan daun daripada 3 tumbuhan berbeza. Namun daripada perbezaan ini, ada di antara boleh menggantikan antara satu-sama lain, manakala dari jenis ‘Indian bay leaf’, pula mempunyai ciri-ciri yang sedikit berbeza, dari segi aromanya.
 
Daun salam atau bay leaf tidak digunakan seperti rempah-rempah atau herba yang lain. Ini kerana ia hanya dicampurkan di dalam masakan. Ia sendiri tidak boleh dimakan, namun kehadirannya di dalam masakan memberikan aroma yang berbeza. Ia boleh digunakan dalam bentuk segar mahupun kering. Namun kebiasaannya didapati di dalam bentuk kering, dan dikeluarkan setelah hidangan siap dimasak atau diasingkan semasa makanan dihidangkan.
 

Jenis-jenis Daun Salam

 
Oleh kerana daun salam kebiasaannya dikaitkan dengan ‘bay leaf’, yang sebenarnya merupakan tumbuhan dari jenis yang berbeza dari segi taburan geografi, mahupun jenis tumbuhan, Jadi kita mulakan dengan ‘bay leaf’ sendiri atau dikenali sebagai ‘bay laurel’, (Laurus nobilis, Lauraceae). Ia merupakan tumbuhan Mediterranean dan didapati di kawasan-kawasan di Turkey, Utara Syiria, Selatan Sepanyol, Utara-tengah Portugal, Utara Morocco, Kepulauan Canary dan di Madeira.
 
Manakala daripada kumpulan family yang sama juga terdapat di kawasan-kawasan yang lain, kebiasaannya kerana memiliki bentuk daun atau aroma yang sama kepada Laurus nobilis, antara contoh yang paling ketara adalah ‘California bay laurel’ (Umbellularia californica, Lauraceae), yang juga merupakan dari family Lauraceae. Dari keluarga laurel sendiri terdapat beberapa lagi spesies yang tumbuh di kawasan beriklim sederhana seperti ‘Cherry laurel’.

Bay laurel, (Laurus nobilis, Lauraceae) digunakan dalam masakan Barat.

Indian bay leaf, (Cinnamomum tamala, Lauraceae) dari jenis kayu manis.

Daun salam yang juga dikenali sebagai Indonesian bay leaf.

 
Janis kedua yang juga dikenali sebagai ‘Indian bay leaf’, atau ‘malabatrum’ (Cinnamomum tamala, Lauraceae) yang juga merupakan dari family Lauraceae. Indian bay leaf merupakan keluarga terdekat kepada pokok yang digunakan untuk menghasilkan kulit kayu manis atau Cinnamon (Cinnamomum verum). Jadi aroma yang dihasilkan daripada daun Indian bay leaf, juga adalah seakan-akan kulit kayu manis yang agak lemah.
 
Indonesian Bay Leaf’, atau lebih dikenali sebagai daun salam (Syzygium polyanthum, Myrtaceae), adalah merupakan daun yang digunakan dalam masakan-masakan Melayu dan kawasan serantau. Ia mempunyai pelbagai nama tempatan antaranya, serai kayu, samak kelat, manting, maselengan selain dikenali sebagai Daeng klua di Thailand. Daun salam digunakan di sekitar kepulauan tanah Melayu dan juga Thailand - di mana kawasan ini mempunyai ikatan kebudayaan yang kuat. Namun begitu ‘Indian bay leaf’ juga adakalanya digunakan kerana perpindahan budaya daripada migrasi yang ketara.
 
Satu lagi daun yang mempunyai kaitan terdekat dengan daun salam ialah ‘West Indian bay leaf’, (Pimenta racemosa, Myrtaceae) yang turut digunakan untuk membangkitkan aroma masakan. Ia juga turut digunakan untuk menghasilkan pati haruman dan wangian. Berbeza dengan daun salam biasa, daunnya mempunyai hujung yang agak bulat. Ia juga kini turut ditanam di kawasan-kawasan lain termasuk Oceania.

West Indian bay leaf, (Pimenta racemosa, Myrtaceae) mempunyai bentuk daun yang berbeza.

 

Kegunaan Daun Salam

 
Daun salam popular bukan sahaja kerana aroma yang dibangkitkan di dalam masakan, malah ia juga dikatakan mempunyai pelbagai khasiat kesihatan. Daun salam mudah digunakan dalam pelbagai masakan kerana ia tidak mengubah rasa masakan melainkan menambah aroma sahaja. Jadi ia digunakan dalam pelbagai jenis masakan termasuk masakan jenis lemak, masak asam, tumis, kari,  sup, nasi dan lain-lain jenis masakan. Jadi ia juga boleh dipadankan dengan bahan masakan seperti ayam, daging, ikan dan sayuran.
 
Seperti yang telah disebutkan di atas, daun salam boleh digunakan dalam bentuk segar, kering mahupun yang telah dihancurkan dengan kepingan kasar. Ini kerana ianya tidak dimakan bersama bahan yang dimasak. Namun begitu ia tidak memudaratkan sekiranya dimakan, malah pucuk salam biasa dijadikan ulaman yang dimakan bersama nasi.

Buah daripada pokok daun salam.

Nasi biryani antara masakan yang menggunakan Indian bay leaf.
 

Selain digunakan untuk masakan, daun salam juga mempunyai pelbagai khasiat kesihatan. Ia digunakan untuk merawat pelbagai masalah kesihatan terutamanya masalah berkaitan pernafasan seperti selesema dan batuk. Masalah berkaitan pencernaan yang juga membantu proses penurunan berat badan. Lain-lain khasiat kesihatan termasuk membantu mengubati masalah darah tinggi, mengawal kencing manis, meredakan stress, mencegah penyakit batu karang, menguatkan jantung dan pelbagai lagi khasiat kesihatan.
 
Walaupun daun salam digunakan secara meluas. Ia jarang ditanam secara komersial dan adakala sukar untuk didapati di sesetengah kawasan menunjukkan ia mempunyai potensi pasaran yang tinggi. Namun begitu anda masih boleh mendapatkan benih pokok anak salam dari beberapa penjual anak benih pokok seperti di kebuna.com.
 
Itu merupakan serba sedikit mengenai daun salam seperti yang biasa kita dengari, dan mungkin kita mempunyai pemahaman yang berbeza mengenai jenis-jenis tumbuhan tersebut. Namun begitu kita masih boleh mempelajari dan mendapatkan kebaikan daripada tumbuhan ini dari segi penggunaannya untuk masakan mahupun khasiat kesihatan.

3 ulasan:

  1. Assalamualaikum En Ibrahim - adakah semua jenis daun salam mempunyai khasiat kesihatan yg serupa?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih atas soalan yang diajukan. Di dalam artikel di atas, ketiga-tiga jenis daun salam ini adalah daripada spesies yang berbeza, sedangkan "daun salam", yang diberikan hanyalah merujuk kepada nama yang digunakan di dalam Bahasa Melayu, dan tidak bermaksud ia mempunyai persamaan yang rapat. Ketiga-tiga daun ini sebenarnya adalah berbeza dan mempunyai khasiat yang berbeza pula.

      Padam
  2. Kalau serai kayu dekat kampung saya, bau dia seperti bau serai wangi.... Rasanya lain dengan daun salam ni

    BalasPadam

Arkib Blog