Selasa, 22 Disember 2020

Internet Satelit Starlink Untuk Liputan Serata Dunia

Pelancaran 60 buah satelit Starlink ke angkasa.


Internet merupakan antara teknologi terpenting buat masa ini bagi membolehkan orang ramai mendapat capaian maklumat yang cukup sama ada untuk tujuan komunikasi ataupun mendapatkan maklumat. Walaupun tahap kelajuan capaian internet di bandar-badar utama adalah membanggakan, namun masih terdapat bahagian-bahagian dunia yang mendapat capaian yang kurang memuaskan atau tiada capaian langsung.
 
Bagi membolehkan keseluruhan bahagian dunia mendapat liputan internet ini kaedah yang lebih efektif adalah dengan capaian internet dari angkasa! Ia merupakan satu usaha yang sangat besar kerana menelan belanja yang amat tinggi. Namun, sekiranya kaedah biasa digunakan seperti penggunaan kabel, ianya hampir mustahil. Sehubungan itu, beberapa syarikat cuba bersaing untuk menyediakan perkhidmatan ini bagi memastikan penguasaan pasaran yang sekian lama dikenal pasti ini.
 
Starlink merupakan antara Syarikat yang berjaya memulakan servis internet angkasa seperti yang dirancangkan. Berbanding dengan pesaing-pesaing yang lain, Starlink yang mendapat sokongan daripada syarikat induknya iaitu SpaceX mempunyai kelebihan bagi mendahului dalam arena ini. SpaceX bukan sahaja mempunyai roket pelancar satelit sendiri, malah teknologi pelancaran nya yang efisyen menjimatkan lagi kos pelancaran satelit-satelit yang diperlukan di dalam sistem Starlink.

Perancangan gugusan satelit Startlink di angkasa.

 

Meskipun Starlink merupakan nama yang sangat popular berkaitan dengan internet satelit, ia bukanlah merupakan satu-satunya syarikat yang menyediakan operasi ini. Antara syarikat yang sedang beroperasi antaranya adalah Viasat dan HughesNet di Amerika. Namun begitu, kualiti pengoperasiannya masih lagi tidak dapat menyamai atau memenuhi keperluan pengguna internet pada hari ini. Ini kerana kedua-dua syarikat ini menggunakan pendekatan teknologi yang berbeza daripada yang digunakan oleh Startlink.
 
Manakala, antara syarikat lain yang bersaing dalam pembinaan internet satelit pula termasuklah OneWeb, yang baru-baru ini hampir mengalami masalah bankrupsi. Ia bagaimanapun mendapat sokongan pelaburan sebanyak lebih daripada USD1 billion daripada kerajaan UK dan juga Bharti Global. Ini membolehkan OneWeb meneruskan semula program internet satelitnya - yang telahpun melancarkan kira-kira 110 satelitnya menjelang December, 2020.
 
Sama juga seperti SpaceX, OneWeb menggunakan sekumpulan ribuan satelit untuk membolehkan liputan capaian internet ke seluruh dunia. Namun kedua-dua syarikat ini mempunyai satelit yang berbeza dan beroperasi pada ketinggian yang sedikit berbeza di antara keduanya. Namun dalam perlumbaan ini, ternyata Starlink lebih mendahului OneWeb di mana, ia telahpun melacarkan service Beta nya di bahagian Utara Amerika dan Selatan Canada pada Nov, 2020.

Loon menggunakan belon udara untuk memancarkan isyarat ke bumi.

Kapal terbang solar, Aquila oleh Facebook.

 

Namun begitu selain daripada kedua syarikat ini, Samsung juga pernah membentangkan cadangan untuk melancarkan rangkaian internet satelitnya. Rancangan melancarkan 4,600 satelit ini telah pun dicadangkan pada 2015 bagi membolehkan capaian ke seluruh dunia. Ini mungkin bagi menyokong peranti-peranti Samsung yang rata-ratanya memerlukan capaian internet berkelajuan tinggi seperti telefon bimbit, 4K TV dan juga 8K TV. Namun sehingga hari ini, Samsung masih lagi belum melancarkan sebarang satelit untuk tujuan ini.
 
Antara teknologi lain adalah termasuk penggunaan belon yang digunakan oleh Google, melalui projek Loon. Oleh kerana belon berada pada altitud yang lebih rendah, maka ia tidak menggunakan teknologi seperti satelit malah hampir sama sepertimana di permukaan bumi iaitu LTE. Selain Loon, Facebook juga pernah cuba menerokai teknologi internet melalui kapal terbang solarnya. Namun usaha ini bagaimanapun berakhir pada 2018 dan hanya sebuah kapal terbang solar yang dikenali sebagai Aquila dihasilkan.

Replika satelit yang digunakan oleh OneWeb.

Starlink digunakan di kawasan yang hampir mustahil untuk mendapat liputan internet.

 

Teknologi internet menjadi rancak semula, apabila Starlink mula melancarkan service Beta nya yang menunjukkan hasil yang positif. Ini kerana, masih terdapat peluang yang besar bagi pengguna-pengguna yang masih tidak lagi mempunyai capaian internet (yang berkualiti) di dunia. Walaupun mengikut perangkaan iaitu seramai 4.66 billion (59%) penduduk dunia merupakan pengguna aktif internet, kebanyakan mereka tidak mendapat capaian berkelajuan tinggi. Tambahan pula masih terdapat sebilangan besar yang tidak dapat menggunakan kemudahan ini kerana tidak mempunyai infrastuktur yang sesuai.
 
Maka dengan inilah peluang ini cuba digunakan oleh syarikat-syarikat ini. Terdapat banyak peluang bagi mereka yang berada jauh di pendalam untuk menggunakan teknologi ini. Ini bukan sahaja membolehkan mereka yang jauh di pendalaman mendapat capai internet, malah pembangunan yang lebih baik dapat dibangunkan - dengan impak yang lebih minima, di mana selama ini agak sukar untuk dilakukan tanpa kemudahan perhubungan komunikasi dan data.
 

Walaupun mungkin terdapat syarikat-syarikat yang baru akan turut bersaing di masa akan datang. Apa yang penting, semoga usaha ini dapat memberikan kebaikan kepada masyarakat dunia dalam mencapai pembangunan yang lebih lestari. Mungkin ia dapat digunakan untuk memperbaiki semula kerosakan yang telahpun dilakukan seperti pencemaran plastik di lautan, mengembalikan semula spesies-spesies haiwan yang hampir pupus akibat pemburuan dan tangkapan berlebihan, pencemaran dan sebagainya.
 
 
Rujukan:
 
1. wikipedia.org
2. space.com
3. starlink.com
4. wikipedia.org
5. wikipedia.org
6. loon.com
7. wikipedia.org

Arkib Blog