Selasa, 20 September 2016

Tasik Gunung Berapi Terbesar di Indonesia - Danau Toba

Letusan kuat yang menukarkan Toba menjadi daya tarikan.

Indonesia merupakan daerah terkenal dengan gunung-gunung berapinya samada yang masih aktif, mahupun yang telah lama meninggalkan sejarah yang tidak boleh dilupakan kepada penghuninya sejak berzaman dahulu. Antara tinggalan yang paling meninggalkan kesan paling besar gunung berapi di Indonesia, adalah Gunung Berapi Toba.

Toba merupakan gunung berapi ‘supervolcano’, yang meletus kira-kira 75,000±900 tahun dahulu yang menghasilkan sebuah tasik terbesar di Sumatra.  Walaupun terdapat tasik-tasik lain yang dihasilkan daripada letusan gunung berapi seumpamanya iaitu Danau Maninjau dan Danau Singkarak, Danau Toba merupakan tasik terbesar yang boleh dilihat dengan jelas dari angkasa.

Namun begitu kejadian kawah terbesar ini dikatakan bukanlah berpunca daripada hanya sebuah gunung berapi namun sebaliknya daripada empat gunung berapi yang berlaku dalam beberapa tempoh yang berasingan dengan letusan pertama sekitar 78,8000±2,200 tahun dahulu. Namun begitu letusan Toba ini seperti juga letusan-letusan gunung berapi gergasi di Indonesia yang lain (seperti  Krakatoa dan Tambora) mampu menghasilkan letusan terkuat disepanjang tempoh 25 juta tahun yang lalu.

Pemandangan di persisir Danau Toba.

Bot dari Parapat membawa pelancong ke Pulau Samosir.

Muzium Kebudayaan di Pulau Samosir.

Persembahan tarian orang-orang Batak.

Danau Toba sehingga kini merupakan daya tarikan pengunjung ke Medan untuk melihat sendiri keunikan fenomena alam ini selain keunikan gaya hidup masyarakat Batak yang mendiami di sekitar tasik dan Pulau Samosir yang berada di tengah-tengah tasik tersebut. Melalui kunjungan para pelawat ini, Bandar Medan terus membangun menjadi antara bandar terpenting di Indonesia. Malah kini Medan terus dibangunkan dengan pelbagai tarikan istimewa bagi kemudahan pengunjung dengan pembangunan taman-taman tema baru seperti Hillpark Sibolangit dan juga Taman Simalem Resort.

Seperti juga bandar-bandar utama yang lain, Medan sememangnya mempunyai keunikan kebudayaan tersendiri daripada lakaran sejarahnya yang unik. Pembinaan bangunan-bangunan lama bersejarah di Bandar Medan sendiri merupakan tarikan yang digemari oleh para pengunjung. Ini menjadikan tarikan-tarikan asli seperti Air Terjun Sipisopiso dan Danau Toba sendiri lebih mudah untuk dikunjungi dengan adanya kemudahan pengangkutan dan penginapan yang cukup untuk para pengunjung.

Salah satu bangunan unik di Medan, Graha Maria Annai Velangkanni.

Aktiviti di sekitar Danau Toba.

Antara tarikan lain di sekitar Medan, Air Terjun Sipisopiso.

Danau Toba, merupakan satu lokasi lawatan yang penting penuh pelajaran dari segi geologi, arkeologi, budaya, ekonomi dan sebagainya bagi mereka yang peka. Sebagai antara lokasi yang terdekat dengan hub utama pengangkutan udara tambang murah terbaik dunia, AirAsia (Kuala Lumpur), Medan dan Danau Toba merupakan lokasi yang harus diberikan perhatian.

Free Download



Sabtu, 17 September 2016

Memanfaatkan Sistem Pengangkutan Awam - Integrated Rail Transit

Pembukaan stesyen baru menyediakan lebih pilihan laluan pengguna.

Sistem pengangkutan awam bukan sahaja dapat mengurangkan kadar trafik di kawasan-kawasan bandar, malah ianya membantu menyediakan kemudahan pelancong asing dan tempatan. Berikutan dengan pertambahan laluan tambahan (sistem keretapi negara) masih ramai pengguna yang tidak mengetahui lalaun-laluan bari ini mampu memudahkan lagi perjalanan mereka.

Pada tahun ini 2016, beberapa laluan baru perkhidmatan rapid-KL diperkenalkan dan ianya menghubungkan dua stesyen utama yang sebelum ini terpisah iaitu Steyen Kelana Jaya dan juga Stesyen Sri Petaling. Kini laluan ini telah disambungkan melalui satu stesyen iaitu Stesyen Putra Heights. Ia juga turut membuka laluan-laluan baru di antara kedua-dua stesyen tersebut.

Untuk melihat laluan penuh sistem transit tersebut anda boleh mengikuti link ini:

Laluan baru bagi sistem pengangkutan keretapi pusat bandar.

Apa yang ingin disampaikan di sini bukan sahaja mengenai lalun-laluan train tersebut malah bagaimana anda boleh menggunakannya dengan lebih efektif terutamanya bagi mereka yang perlu menggunakannya secara lebih kerap. Ini kerana selain ianya lebih menjimatkan, anda mungkin tidak menyangka anda mempunyai kelebihan lain dengan menggunakan kemudahan yang disediakan oleh sistem tersebut.

Selain daripada mengetahui laluan-lalaun train, anda juga perlu mengetahui kemudahan-kemudahan yang disediakan di stesyen-stesyen tertentu kerana ia turut memberikan kemudahan lain seperti ‘parking’ dan perkhidmatan bas sokongan.  Stesyen-stesyen pertukaran juga membolehkan anda menukar haluan ke destinasi-destinasi lain dengan lebih mudah.

Penggunaan Kad (MyRapid Card)

Penggunaan kad penting bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan train terutamanya bagi penggunaan yang kerap. Walaupun anda tidak menggunakan train setiap hari, penggunaan kad mempunyai beberapa kelebihan tersendiri. Selain daripada kad untuk pengguna biasa, terdapat juga kad-kad lain untuk keprluan tertentu;

  • MyRapid Card & Touch n’ Go - kad pengguna biasa, harga lebih rendah.
  • MyRapid Smart 7 – penggunaan harga mingguan.
  • MyRapid Smart 30 – penggunaan harga bulanan.
  • Warga Emas (Senior Citizens) – potongan 50% bagi warga emas.
  • Pelajar (Students) – potongan 50% bagi pelajar.
  • OKU – potongan 50% bagi golongan ‘Orang Kurang Upaya’.

*bagi kanak-kanak di bawah umur 7 tahun, tambang train dan bas adalah percuma.

Kad dan coin yang digunakan untuk sistem pengangkutan rapidKL.
Kad bagi pengguna 'Warga Emas'.

Kad bagi pengguna 'Pelajar'.

Diskaun Istimewa

Bermula daripada 24 Ogos 2016 juga diskaun diberikan bagi pengguna yang menggunakan perkhidmatan train bermula dari jam 6 pagi hingga ke 7 pagi. Potongan 50% harga tambang akan diberikan bagi mereka yang menggunakan kad-kad seperti yang disebutkan di atas. Pemberian diskaun ini adalah bertujuan bagi mengurangkan kesesakan pengguna pada waktu-waktu puncak. Diskaun ini merangkumi train-train berikut;
  • LRT laluan Kelana Jaya
  • LRT laluan Sri Petaling
  • LRT laluan Ampang
  • KL Monorail
  • BRT laluan Sunway


Kelebihan Lain Penggunaan Kad MyRapid

Bermula daripada 1 Ogos 2016 juga, pengguna-pengguna yang menggunakan MyRapid kad juga berpeluang menikmati kelebihan-kelebihan lain di beberapa premis yang menawarkan diskaun bagi pemegang kad-kad tersebut. Walaupun setakat ini tempoh promosi tersebut adalah sehingga 31 Jun 2016, dijangkakan tawaran baru mungkin diperkenalkan semula.

Antara premis yang mengambil bahagian adalah;
  • KL Bird Park
  • Waxxzillian
  • Original Classic
  • Puffy Buffy NU Sentral
  • MUD The Musical
  • Coliseum CafĂ©
  • Petrosains
  • KL Tower
  • Metro 360 Hotel
  • X1R
  • i-Teksi
  • Berjaya Times Square Theme Park
  • Krispy Kreme
  • Crocs
  • Zoo Negara
  • Caliburger
  • Sunway Lagoon Resort
  • Lost World Tambun
  • Bukit Gambang Resort City
  • MBG FruitShop

*Promosi dan diskaun yang ditawarkan adalah berbeza-beza, jadi anda boleh melihatnya dengan lebih lanjut melalui link ini:

Sistem pengangkutan yang lebih mudah bagi warga kota.

Mesin pembelian token dan juga isian semula untuk pengguna kad.

Melalui pengenalan ini, adalah diharap kita dapat mengenali perkhidmatan pengangkutan awam (laluan train dan sebagainya) dengan lebih dekat dan memanfaatkannya dengan sebaik mungkin. Manakala segala promosi dan diskaun yang diberikan dapat membantu anda menjimatkan lagi kos-kos yang perlu ditanggung bagi tujuan tersebut.


Walaupun pengangkutan awam yang disediakan di Kuala Lumpur dan sekitarnya semakin baik. Namun perkhidmatan awam secara keseluruhannya masih kurang memuaskan bagi kawasan-kawasan di luar liputan perkhidmatan tersebut (pengguna masih perlu menggunakan perkhidmatan teksi). Manakala perkhidmatan pengangkutan awam di luar Kuala Lumpur pula adalah semakin berkurangan.


Free Download



Rabu, 14 September 2016

Lawatan Dengan Keretapi Tanah Melayu (KTM)

Keretapi lama dan baru yang digunakan oleh KTM.

Pengangkutan merupakan salah satu faktor penting dalam aktiviti lawatan ke kawasan-kawasan pelancongan utama di serata negara. Salah satu sistem pengangkutan yang tidak kurang pentingnya adalah keretapi atau lebih dikenali sebagai KTM. Sekiranya anda kurang mahir dengan sistem pengangkutan ini, kali ini kita akan melihat kemudahan pengangkutan ini untuk tujuan tersebut.

KTM sentiasa meningkatkan keupayaan sistem pengangkutan mereka setiap tahun. Melalui pembangunan sistem keretapi elektrik di bahagian pantai barat Semenanjung, kaedah pengangkutan ini semakin penting sebagai salah satu pilihan pengangkutan untuk perhubungan bandar-bandar utama. Begitu juga dengan laluan ke Pantai Timur yang telah dipertingkatkan, kini lalaun ke Pantai Timur telahpun kembali berfungsi seperti biasa.

Laluan Keretapi Elektrik

Keretapi elektrik menyediakan pengangkutan yang lebih pantas dan selesa.

Laluan keretapi elektrik terbahagi kepada 2 sistem utama iaitu Komuter  dan juga ETS (Electric Train Service) dengan perkhidmatan yang lebih pantas. Kedua-dua sistem ini bagaimanapun beroperasi dengan kelajuan antara maksima 145km/h walaupun ia direka untuk kelajuan maksima sehingga 160 km/h (99mph). Setiap train kebiasaannya mengandungi 6 gerabak dengan keupayaan membawa sehingga 350 jumlah penumpang dalam satu masa.

Keretapi elektrik (komuter) pertama kali diperkenalkan pada tahun 1995 menghubungkan berapa bandar utama daripada Rawang, Seremban, Batu Caves dan Pelabuhan Klang. Sistem pengangkutan ini terus diperkembangkan sehingga merangkumi laluan daripada Padang Besar (sempadan Thailand) sehinggalah Gemas di Selatan. Perkhidmatannya juga terbahagi kepada tiga kelas utama iaitu Silver, Gold dan Platinum.

  • Silver - berhenti di kesemua stesyen di laluannya dan merupakan keretapi dengan harga tiket terpaling murah.
  • Gold - berhenti di beberapa stesyen utama di laluannya dan mempunyai harga sederhana.
  • Platinum - merupakan train yang hanya berhenti di beberapa stesyen sahaja dan merupakan train terpantas dengan harga tiket yang lebih tinggi.


Anda perlu menyemak jadual perjalanan anda untuk memastikan perkhidmatan yang manakah anda perlukan. Apabila anda mempunyai masa yang lebih panjang, mungkin perkhidmatan train Silver memberikan anda lebih masa untuk meninjau keadaan sekeliling dengan lebih selesa. Manakala perkhidmatan Platinum juga membantu anda apabila anda memerlukan perkhidmatan perjalanan yang lebih pantas.

Perkhidmatan Komuter dan ETS ini kini merangkumi laluan dari Gemas sehingga ke Padang Besar melalui negeri-negeri lain termasuk Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan Perlis. Anda boleh menyemak lokasi stesyen-stesyen di setiap negeri-negeri terbabit melalui jadual perjalanan train ataupun peta perkhidmatan train KTM.

Jadual train ETS adalah seperti berikut;


Anda juga boleh menempah tiket ETS ini melalui online melalui Link ini:

Lalun keretapi di Semenanjung Malaysia.

Perkhidmatan Train Antarabandar (Intercity)

Bagi laluan-lauan lain termasuk laluan Pantai Timur anda bolehlah menggunakan perkhidmatan keretapi antarabandar. Laluan Pantai Timur mengalami kerosakan semasa kejadian banjir pada penghujung 2014 dan dipertingkatkan untuk perkhidmatan yang lebih baik. Perkhidmatan laluan ke Tumpat (Kelantan) ini bagaimanapun telah kembali beroperasi semula pada 1 September 2016. Sehingga pada 1 September 2016 dua jadual baru diperkenalkan dan Jadual tersebut adalah seperti berikut;


Train antarabandar merupakan perkhidmatan yang telah disediakan sejak sekian lama oleh KTM dan sentiasa dipertingkatkan. Perkhidmatan train yang mengekalkan konsep pengangkutan keretapi lama ini sesuai untuk pengangkutan jarak jauh kerana turut menyediakan gerabak dengan kemudahan katil dan tempat duduk yang selesa.

Kini laluan antarabandar kekal digunakan bagi laluan Tumpat - JB Sentral, manakala bagi laluan adari Gemas – Padang Besar ianya telahpun diambil alih perkhidmatan train ETS dan komuter.

Koc yang disediakan pada perkhidmatan antarabandar.

Kerusi yang lebih selesa bagi perkhidmatan antarabandar.

Tempat-tempat Lawatan Menarik

Bagi tempat-tempat lawatan menarik untuk dilawati dengan menggunakan perkhidmatan train KTM, anda perlulah melihat laluan di sepanjang laluan train tersebut. Di sini beberapa lokasi menarik yang sesuai untuk dilawati dengan menggunakan perkhidmatan train antaranya termasuk lah;
  • Padang Besar
  • Langkawi (anda perlu menggunakan perkhidmatan feri ke Langkawi dari Kuala Kedah).
  • Alor Setar
  • Butterworth (Pulau Pinang)
  • Taiping/ Kuala Kangsar
  • Ipoh
  • Gemas
  • Taman Negara (Pahang)
  • Tumpat (Kelantan).

Masjid Ubaidullah di Kuala Kangsar.

Kota Bharu boleh dilawati melalui stesyen terdekat Tumpat.

Semakin banyak kemudahan baru yang diperkenalkan oleh KTM bagi memperbaiki mutu perkhidmatannya. Selain daripada menyediakan ‘coach’ yang lebih selesa, KTM turut menyediakan perkhidmatan 'Park & Ride', perkhidmatan bas sokongan, sistem pembelian tiket online, ‘touch n go’, pass bulanan dan sebagainya. KTM juga turut menyediakan pakej-pakej lawatan bagi mereka yang berminat menyertai pakej lawatan bersama KTM.



Free Download



Selasa, 13 September 2016

Lokasi-Lokasi Lawatan Menarik di Sumatra

Keindahan Danau Toba sememangnya memukau.

Sumatra adalah lokasi lawatan yang paling hampir dengan Malaysia dan merupakan antara lokasi penting untuk dilawati kerana selain mempunyai hubungan yang rapat dengan Malaysia dan negara-negara lain sekitarnya, ia mempunyai banyak tinggalan sejarah dan keajaipan alam semulajadi yang amat menarik untuk kita amati. Walaupun ia merangkumi keseluruhan kepulauan di Indonesia, kita akan melihat Sumatra sebagai satu ringkasan sebelum ke bahagian-bahagian lain di Indonesia (dan bahagian lainnya pada masa akan datang).

Aceh


Keadaan selepas bencana tsunami di Aceh 2004.

Masjid Baiturarahman bangunan yang masih bertahan selepas tsunami 2004.
Rumah Aceh yang mempunyai keunikan senibina tersendiri.

Aceh menjadi fokus utama pada 2004 apabila ia mengalami benjana tsunami terbesar di dunia. Walaupun ia sekian lama mempunyai sejarahnya tersendiri, namun sejarah hitam tersebut memberikan Aceh satu sejarah baru yang akan diingati oleh masyarakat dunia. Kesan tsunami ini masih dapat dilihat sehingga ke hari ini selain muzium yang dibina khusus untuk mengingati kejadian tersebut. Muzium Tsunami Aceh, terletak di Banda Aceh siap dibina pada tahun 2009.

Muzium ini dibina oleh arkitek Indonesia, Ridwan Kamil mempunyia keluasan sehingga 2,500 m2 turut menampilkan banyak ciri-ciri unik dalam menampilkan kejadiaan tsunami tersebut secara simbolik. Malah selain daripada muzium ini, banyak lagi tinggalan lain yang boleh disaksikan kesan daripada kejadian bersejarah tersebut. Anda juga mungkin boleh mengenali bandar lama ini dan masyarakatnya dengan lebih dekat. Antara binaan menarik di Bandar Aceh adalah Masjid Raya Baiturrahman yang selamat dalam bencana besar 2004 tersebut.

Medan


Pemandangan di sekitar Danau Toba.

Keunikan senibina rumah Batak di Toba.

Air terjun Sipisopiso yang menakjubkan.

Medan mempunyai beberapa lokasi penting dari segi kebudayaan mahupun alam semulajadi. Di sini anda boleh melihat keunikan cara hidup orang-orang Batak yang mendiami di sekitar Tasik Gunung Berapi Toba atau lebih dikenali dengan nama Danau Toba. Malah banyak lagi keunikan yang anda akan saksikan di sini. Keunikan senibina orang-orang Batak ini mempunyai keunikan tersendiri jika dibandingkan dengan keunikan senibina-senibina suku-suku lain yang terdapat di seluruh Kepulauan Indonesia. Maka sebab itulah anda perlu membuat penelitian yang rapi bagi memastikan anda tidak terlepas untuk memerhatikan ciri-ciri unik ini.

Selain itu anda juga boleh melihat pemandangan Air Terjun Sipisopiso yang amat menarik. Air terjun setinggi 120 meter ini merupakan satu daripada sungai-sungai yang mengalir ke dalam kawah gunung berapi Toba. Selain pemandangan alam sekitar yang cantik, anda juga berpeluang melihat banyak bangunan-bangunan bersejarah seperti Istana Maimun dan juga Tjong A Fie Mansion di Bandar Padang. Medan juga merupakan bandar terbesar di Sumatra.

Padang


Istana Basa Pagar Ruyung merupakan lokasi penting di Padang.
Rumah gadang di Padang Panjang.
Danau Maninjau, satu lagi lokasi unik di Padang.

Satu lagi lokasi penting di Sumatra adalah Padang yang penuh dengan keunikan tersendiri dari segi budaya dan juga bentuk muka bumi nya. Daerah Padang bukan sahaja terkenal dengan budaya Adat Pepatihnya malah ia juga mempunyai senibina tersendiri dengan binaan bumbung yang unik. Rumah-rumah ‘gadang’, di sini dibina dengan ukiran-ukiran yang menarik. Lokasi menarik untuk melihat kebudayaan ini adalah di Pagaruyung di mana terletaknya Istano Basa Pagaruyung. Anda juga boleh melawat ke kawasan lainnya seperti Padang Panjang untuk melihat aktiviti menarik penduduk di sana.

Antara lain yang menarik di Padang adalah kawasan tanah tingginya yang dikenali sebagai Bukit Tinggi yang satu masa dahulu dijadikan sebagai tempat kediaman oleh Belanda. Begitu juga semasa dijajahi oleh Jepun, kawasan Bukittinggi ini juga turut dijadikan markas yang meninggalkan kesan sehingga ke hari ini. Terdapat beberapa lokasi penting di Bukittinggi sebelum anda boleh melihat kawasan sekitar yang menarik seperti Danau Maninjau, Danau Singkarak dan kawasan-kawasan lainnya yang amat menarik.
Daerah-Daerah Lain


Daerah-daerah lain juga mempunyai keunikan masing-masing seperti Taman Nasional Bukit Tiga Puluh yang terletak di sempadan daerah Riau dan Jambi. Walaupun kawasan-kawasan ini tidak ditekankan di sini, itu tidak bermakna kawasan tersebut kurang penting. Anda bolehlah mencari lokasi-lokasi penting di sana termasuk beberapa daerah lain seperti Palembang, Lampung dan Bengkulu. Para pembaca juga boleh tambahkan tempat-tempat menarik di ruangan komen. 


Free Download



Arkib Blog