Jumaat, 30 Julai 2021

Pam Air Tanpa Guna Kuasa Elektrik atau Petrol, Amat Menjimatkan

Air merupakan sumber yang amat penting dalam kehidupan, bagi tujuan minuman, pertanian mahupun penternakan.
 
Walaupun hari ini rata-ratanya kita tidak memikirkan tentang masalah bekalan air - kerana ia dengan mudah didapati daripada sumber air yang dibekalkan terus ke rumah melalui sistem perpaipan. Namun bekalan air merupakan satu perkara penting - kerana mungkin masih terdapat mereka yang berada jauh daripada sumber bekalan air paip ataupun mereka yang memerlukan sumber bekalan air bagi perladangan dan penternakan misalnya. Bekalan air merupakan sumber yang paling mustahak dan ia merupakan tajuk penting kita kali ini.
 
Pam air yang tidak menggunakan kuasa elektrik pernah dimuatkan di dalam artikel kami suatu masa dahulu, dan ianya merupakan pam air yang menggunakan sistem yang berbeza. Kali ini suatu lagi pam air tanpa menggunakan kuasa elektrik atau petrol ingin kami ketengahkan - sekali gus menerangkan, mungkin terdapat banyak lagi rekaan-rekaan pam yang terdapat di luar sana yang boleh kita manfaatkan bersama (bagi mereka yang memerlukan). Atau mungkin ada di antara kita yang ingin mencuba idea baru dan mereka sistem yang lain pula - Ini adalah jauh lebih menarik!

 
Pam yang ingin di ketengahkan pada kali ini lebih dikenali sebagai “Ram Pump”, dan ianya telah lama dicipta berdasarkan konsep yang sama. Cuma hari ini, Ram Pump lebih mudah dihasilkan dengan pelbagai kelengkapan peralatan paip yang terdapat di pasaran. Maka, rekaan ini dapat dimanfaatkan dengan mudah bagi kegunaan mereka yang memerlukan bekalan air - dan dalam masa yang sama menjimatkan penggunaan tenaga (elektrik, petrol dan diesel).
 
Ram Pump menggunakan kuasa tekanan dari sumber air itu sendiri bagi membekalkan tekanan yang lebih dikenali sebagai “water hammer”. Tekanan ini kemudiannya digunakan untuk menolak air ke bahagian yang lebih tinggi dengan menggunakan injap yang mengelakkan ia mengalir semula ke bahagian bekalan air masuk. Proses ini akan terus berulang selagi bekalan air bertekanan dimasukkan ke dalam sistem Ram Pump.

Pam air yang menggunakan kuasa elektrik.

Pam air yang menggunakan petrol.

Bahagian asas reka bentuk ram pump.
1) air masuk
2) air keluar dari injap buangan
3) air keluar dari pam
4) injap buangan
5) injap sehala
6) tangki tekanan 

 
Antara reka bentuk ram pump.


Terdapat Ram Pump yang dihasilkan dengan rekabentuk baru seperti Papa Pump, di mana ia lebih mudah dipasang, selain daripada mempunyai ketahanan lebih baik, ini kerana ia direka menggunakan bahan yang tahan lama selain daripada mempunyai komponen yang lebih ringkas. Namun begitu, Ram Pump ini masih lagi menggunakan konsep yang sama iaitu menggunakan tenaga yang dihasilkan daripada “water hammer”.
 
Oleh kerana pam ini telah lama direka - terdapat banyak variasi reka bentuk Ram Pump yang dihasilkan. Bagi mereka yang ingin menghasilkan Ram Pump sendiri, bolehlah mencuba antaranya seperti yang dihasilkan daripada laman instructables. Namun sekiranya anda ingin mencuba reka bentuk baru, anda bolehlah menggunakan barangan yang anda fikirkan sesuai dengan memenuhi prinsip asas rekaan Ram Pump (boleh lihat gambarajah, konsep rekaan Ram Pump).

 
Semasa mencari bahan rujukan mengenai topik ini, kami menemui video daripada YouTube: Traditional Channel, mengenai pereka yang membina sebilangan Ram Pump untuk kegunaan masyarakat di kawasan sekitar daerah berhampiran beliau. Dapat dilihat, sumbangan yang diberikan memberikan bantuan yang amat diperlukan oleh masyarakat setempat - ya, bagi kita yang mempunyai bekalan air paip, mungkin tidak merasa sukar seperti mereka yang terpaksa mengangkat air dari sumber seperti sungai atau perigi yang berada jauh dari rumah. Apatah lagi bagi mereka yang memerlukan sumber air yang lebih banyak untuk ternakan dan tanaman.
 
Antara lain perkara yang lebih menarik, pereka tersebut menghasilkan Ram Pump dengan pelbagai rekabentuk dan saiz (untuk tujuan hiasan), yang membuktikan ia amat mahir mengenai konsep rekaan Ram Pump ini. Bagi mereka yang berminat untuk mempelajari kaedah rekaan beliau, bolehlah melewati channel tersebut dan melihat video-video lain yang dihasilkan oleh beliau.

Ram pump boleh direka dengan peralatan yang ringkas.


Ram Pump terbesar yang dihasilkan.

Papa Pump, menghasilkan reka bentuk yang lebih ringkas.

Papa Pump yang telah siap dipasang dan digunakan.

 
Ram Pump merupakan satu kaedah yang amat bermanfaat memandangkan ia amat sesuai sekali digunakan di kawasan di mana sumber tenaga seperti elektrik dan bahanapi sukar didapati, malah ia juga amat menjimatkan disamping mengurangkan kesan kerosakan kepada alam. Jadi penggunaan Ram Pump amat digalakkan apabila sesuai.


Adalah diharap tajuk kali ini dapat memberikan manfaat kepada para pembaca. Selain daripada mengetahui mengenai pam air ini, ia mungkin juga membangkitkan keinginan bagi mencuba idea-idea baru, bagi mereka yang meminati dunia rekaan. Jadi, sekiranya anda mempunyai bahan-bahan menarik untuk dikongsi bersama, bolehlah kongsikannya di ruangan komen. Terima kasih.




* Video bagaimana ram pump dihasilkan dari scratch! - amat menarik untuk ditontoni.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog