Selasa, 6 Julai 2021

Sampah Bagi Anda, Keberuntungan Bagi Orang Lain: Bagaimana memanfaatkan sampah?

Produk yang dihasilkan menggunakan jerami gandum: ecoproducts.com
 
Pernahkah anda terfikir, setiap apa yang kita buang sebenarnya dikitar semua di dalam alam (kecuali barangan plastik dan buangan-buangan bahan tidak terurai yang lain). Seperti sisa makanan, bahan buangan kayu, sampah-sampah daripada kerja-kerja pembersihan taman, kersemuanya akan mereput dan dikitar semula oleh alam - daripada proses pereputan oleh kulat, hidupan-hidupan dan bakteria pengurai. Proses ini mengembalikan semula bahan-bahan organik tersebut ke dalam alam sebagai nutrient yang boleh digunakan oleh hidupan-hidupan lain seperti tumbuhan. Kitaran bahan-bahan organik inilah yang membolehkan alam sentiasa berada dalam proses kitaran yang seimbang.
 
Jadi, berbalik semula kita kepada tajuk asal, adakah sampah yang dibuang oleh kita - benar-benar tidak boleh digunakan lagi, atau tidak boleh mendatangkan manfaat untuk kegunaan lain? Seperti yang diterangkan di atas, kesemua sampah organik digunakan oleh hidupan lain dalam kitaran proses pereputan - dalam mengembalikan semula nutrient daripada bahan organik ke dalam alam. Bahan-bahan ini paling mudah boleh digunakan sebagai bahan kompos untuk mengembalikan kesuburan tanah atau sebagai baja.

 
Namun selain daripada kaedah ini, mungkin ada kedah lain untuk memanfaatkan bahan buangan, disamping memberikan faedah komersial. Jadi, bahan buangan anda mungkin masih boleh dimanfaatkan oleh orang lain sebagai bahan asas dalam menghasilkan bahan-bahan lain. Jadi kali ini, kita ingin melihat, bagaimana kebanyakan bahan buangan masih mempunyai potensi untuk digunakan sebagai bahan bagi menghasilkan bahan-bahan bermanfaat lain - ini termasuklah bahan buangan seperti plastik dan bahan-bahan yang boleh dikitar semula. Mungkin melalui kaedah ini, kita dapat mengelakkan bahan yang perlu dihantar ke pusat pelupusan sampah yang akhirnya akan terus mencemarkan alam.

"Coco peat" yang dihasilkan daripada sabut kelapa amat penting untuk tujuan pertanian.

Sabut kelapa diproses sebelum dieskport ke India dan China di Bangladesh.

 
Bahan buangan organik
 
Bahan buangan organik merupakan bahan-bahan buangan daripada bahan-bahan semulajadi, ini termasuklah sampah-sampah dari taman, lebihan makanan dan termasuk bahan binaan daripada kayu, malah bahan buangan seperti hampas kelapa, hampas tebu, serbuk kayu, sekam padi, jerami padi dan macam-macam lagi. Kesemua bahan ini mempunyai potensi untuk digunakan untuk membuat baja kompos organik. Namun sebahagian bahan lagi boleh diproses semula untuk digunakan bagi menghasilkan bahan lain. Sebagai contoh, sabut kelapa boleh digunakan untuk menghasilkan produk-produk lain seperti tali, bahan isi perabot dan sebagai “coco peat” - yang digunakan sebagai bahan pertanian. Manakala bahan seperti hampas kelapa pula, masih boleh digunakan sebagai makanan haiwan seperti ayam dan itik atau bahan campuran untuk makanan ikan.

 
Penternakan “Black Solder Fly
 
Antara fenomena baru yang semakin popular adalah penternakan “black soldier fly”, yang digunakan sebagai sumber makanan haiwan ternakan ikan dan ayam. Penternakan lalat ini mampu membantu melupuskan bahan bungan organik terutamanya bahan buangan makanan - termasuk buah-buahan dan sisa makanan. Berbanding makanan biasa, makanan yang dihasilkan daripada anak-anak lalat ini mempunyai khasiat protein yang tinggi dan lebih digemari oleh ternakan - yang sememangnya menjadikan serangga ini sebagai makanan nya.
 
Selain itu juga, bahan buangan sisa organik dapat dikitar semula dengan lebih cepat berbanding daripada dengan kaedah pelupusan secara pembuangan terbuka - melalui tapak pelupusan sampah (yang mengambil masa yang lebih lama). Melalui kaedah ini, ia bukan sahaja memberi hasil pendapatan kepada penternak lalat tersebut - malah memberikan sumber bahan makanan bagi penternak ikan dan ayam dengan harga yang lebih murah.

Anak-anak lalat yang diternak sebelum diproses.

Bagi petani kecil, kos makanan ikan mungkin adalah agak mahal.

Anak-anak lalat boleh diproses menjadi pelet ikan atau diberikan terus kepada ikan.

 
Bahan buangan pertanian
 
Bahan buangan pertanian sememangnya diketahui umum boleh digunakan untuk menghasilkan baja kompos. Selain itu juga bahan seperti sekam dan jerami padi boleh digunakan bagi tujuan penanaman cendawan atau bahan pertanian. Sebaliknya bahan seperti jerami padi boleh juga dimanfaatkan bagi menghasilkan bahan lain seperti kertas. Ini dapat dilihat daripada usaha yang dilakukan di Thailand. Bagaimana seorang graduan yang melihat ini merupakan bahan yang berpotensi untuk dimajukan. Seterusnya membuka lebih peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan. Penggunaan jerami untuk menghasilkan bahan gantian plastik ini juga semakin popular di kawasan-kawasan. Antara lain ia turut digunakan untuk menghasilkan tali dan bekas makanan seperti pinggan dan cawan kertas.
 
Bahan buangan bukan organik
 
Bagi sisa-sisa bukan organik seperti plastik khususnya, antara kaedah yang turut mempunyai potensi adalah kitaran semula bahan plastik kepada minyak melalui kaedah pyrolysis - di mana plastik dipanaskan tanpa pendedahan kepada oksigen dan dikondensasi semula kepada minyak. Minyak ini boleh digunakan untuk pada engin janakuasa, pam air dan dengan proses penapisan yang betul juga boleh digunakan pada kenderaan. Apa yang penting di sini, ia dapat mengelakkan plastik terus berada di atas permukaan tanah (dan tidak mereput untuk jangkamasa yang lama), dan berkemungkinan dihanyutkan ke laut pada musim hujan. Ia merupakan kaedah yang lebih baik dalam penggunaan semula plastik berbanding proses kitaran biasa - memandangkan kebanyakan jenis plastik tidak boleh dikitar semula.

 
Proses kitaran plastik merupakan antara masalah pembuangan sampah yang utama, kerana berbanding dengan sampah-sampah yang boleh terurai - plastik akan tetap kekal di dalam alam. Melalui kaedah pembakaran terbuka pula, plastik akan menghasilkan gas-gas beracun yang membahayakan kesihatan. Jadi, kaedah pyrolysis merupakan antara kaedah yang boleh dilakukan secara kecil-kecilan (dengan memastikan bahan sisa proses dilupuskan dengan selamat). Ini kerana, buat masa ini, jumlah pusat pelupusan incinerator yang mampu melupuskan plastik masih lagi tidak mencukupi bagi membendung masalah plastik.

Penternakan kecil-kecilan seperti ini, dapat memanfaatkan pelbagai bahan buangan organik.

Kehidupan yang lebih lestari dapat dicapai melalui pengurusan sumber yang betul.

 
Kaedah pyrolysis telah digunakan di banyak kawasan di dunia - terutamanya di India yang memberikan kesan yang sangat positif, dan membawa manfaat kepada penduduk. Ia merupakan salah satu contoh yang boleh diteladani. Malah terdapat banyak lagi contoh-contoh kaedah pengoperasian sistem pyrolisis yang boleh dilakukan secara kecil-kecilan.
 
Peluang terbuka
 
Dalam contoh-contoh di atas, jelas menunjukkan - bahan buangan tidak semestinya tidak mempunyai nilai bagi orang lain. Selain ia dapat mengurangkan kos pelupusan dan pencemaran, ia mungkin dapat dimanfaatkan lagi untuk menghasilkan pelbagai kegunaan. Jadi terpulanglah kepada kita bagaimana memikirkan kaedah yang baik untuk memastikan bahan buangan dapat dimanfaatkan secukupnya sebelum ia dibuang begitu sahaja.
 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog