Memaparkan catatan dengan label sampah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sampah. Papar semua catatan

Rabu, 14 Julai 2021

Memanfaatkan Sampah Plastik di Persekitaran, Menjana Pendapatan

Pencemaran plastik sebegini menjejaskan kesihatan dan persekitaran.

Permasalahan mengenai sampah plastik telah banyak diperbincangkan di dalam artikel-artikel kami. Walaupun telah banyak usaha dijalankan, namun masalah ini masih lagi merupakan antara perkara yang mebimbangkan. Jadi ada baiknya kita lakukan sekadar perlu, bagi sedikit sebanyak memanfaatkan keadaan ini, selain daripada mengurangkan masalah pencemaran plastik yang semakin buruk.
 
Daripada membiarkan masalah yang dihadapi terus menjejaskan kualiti kehidupan dan mengancam keluarga serta masyarakat, ada baiknya kita mengambil langkah yang mungkin mendatangkan manfaat, malah ia juga mungkin sedikit sebanyak memperbaiki masalah yang dihadapi.

 
Seperti yang kita ketahui masalah berkaitan plastik ini hanya diselesaikan dengan dua cara - iaitu pembuangan ke tapak pelupusan sampah (yang mana ia akan kekal di dalam tanah - atau dihanyutkan semula ke dalam sungai) atau dikitar semula (di mana tidak semua jenis plastik boleh dikitar semula, dan selebihnya dibuang atau dibakar menjadi pencemaran). Ketiadaan kemudahan sistem pelupusan sampah moden yang boleh melupuskan plastik dengan efisyen seperti WTE (waste to energy) menyebabkan sampah plastik tetap menjadi perkara yang hanya diperbincangkan tanpa penyelesaian.

Waste to Energy Plant seperti ini dapat menukarkan sampah pepejal termasuk plastik kepada tenaga elektrik.

 
Jadi langkah seterusnya yang boleh diambil adalah dengan menukar plastik menjadi minyak secara kecil-kecilan. Ya, langkah ini adalah jauh lebih baik, kerana plastik dapat dibersihkan daripada terus berada di persekitaran - dan minyak dapat digunakan semula sebagai bahanapi - samada untuk kenderaan atau bahan bakar untuk memasak dan sebagainya. Kaedah ini, boleh dilakukan walaupun dalam skala yang kecil. Apa yang penting proses penukaran plastik kepada minyak melalui proses pyrolysis perlu dilakukan dengan betul bagi memastikan hasil yang baik.
 
Antara masalah yang mungkin dihadapi adalah bahanapi untuk memanaskan plastik itu sendiri - dimana ia bergantung kepada kos bahanapi yang digunakan. Jadi tenaga yang digunakan untuk memanaskan plastik tersebut boleh menggunakan sumber-sumber seperti, gas asli, minyak, kayu, arang, tenaga elektrik (mungkin dari solar), solar furnace (haba terus daripada matahari), biogas dan termasuk gas yang terhasil daripada proses pyrolysis itu sendiri. Penggunaan bahan-bahan ini adalah bergantung kepada kesesuaian lokasi di mana ia dilakukan - mengikut jenis sumber bahanapi yang mudah didapati.

 
Selain itu bahan yang digunakan untuk mereka sistem tersebut juga adalah penting. Walaupun ia dibina berdasarkan konsep yang amat mudah, sistem tersebut perlu direka bagi memastikan keselamatan dan ketahanan dari segi fungsi dan kegunaannya. Bagi sebuah mesin yang kecil, ia mungkin lebih mudah direka - maka sebab itu, ia sesuai sekali dilakukan secara kecil-kecilan. Mesin yang baik, perlu mengelakkan kebocoran gas yang dihasilkan daripada sistem ini. Selain memastikan sistem kondensasi dapat menukar wap panas daripada pemanasan plastik ditukarkan kepada minyak dengan berkesan - mesin yang direka mungkin perlu diperbaiki bagi meningkatkan kualiti keberkesanannya.

Mesin-mesin DIY sebegini mampu membersihkan kawasan persekitaran daripada plastik.

Tiada standard rekabentuk bagi sistem ini, apa yang penting ia berfungsi dengan baik.

 
Terdapat banyak sekali contoh mesin-mesin pyrolysis yang dihasilkan oleh pengusaha secara kecil-kecilan. Dalam rekabentuk mesin ini, apa yang penting adalah kaedah bagaimana ia berfungsi, bagi menghasilkan produk yang diinginkan iaitu minyak. Bagi sistem yang ringkas, anda tidak memerlukan meter tekanan, meter suhu dan sebagainya. Ia cukup sekadar mampu memanaskan plastik tanpa pendedahan kepada oksigen - dan menukar gas yang dihasilkan kepada minyak melalui proses kondensasi.

 
Minyak yang dihasilkan pula boleh digunakan sebagai bahanapi (bagi kegunaan kenderaan, anda perlulah membuat penelitian kualiti minyak yang dihasilkan). Namun, hasil pyrolysis plastik biasa digunakan bagi menjalankan janakuasa elektrik kecil, pam air, dan mungkin juga mesin-mesin ringkas. Ia juga digunakan sebagai bahan bakar untuk tujuan memasak.

Kualiti minyak yang dihasilkan adalah bergantung kepada rekabentuk dan proses penyulingan yang baik.

Bagi kawasan perkampungan seperti ini, dapur kayu yang menghasilkan banyak asap dan sumber kayu dapat digantikan dengan dapur minyak yang lebih efisyen.

Apa yang penting, kaedah ini dapat mengurangkan plastik yang terus berada di permukaan tanah atau di dalam air daripada terus mencemarkan alam. Ini kerana ia boleh mendatangkan mudarat kepada hidupan lain termasuk manusia sendiri - dan menjejaskan pendapatan bagi mereka yang bergantung kepada laut dan sungai seperti nelayan. Ia juga antara lain mungkin menghasilkan sumber pendapatan baru daripada bahan buangan ini. Sehingga masalah pembuangan plastik ini dapat dibendung dan keadaan dapat sedikit sebanyak diperbaiki.


Selasa, 6 Julai 2021

Sampah Bagi Anda, Keberuntungan Bagi Orang Lain: Bagaimana memanfaatkan sampah?

Produk yang dihasilkan menggunakan jerami gandum: ecoproducts.com
 
Pernahkah anda terfikir, setiap apa yang kita buang sebenarnya dikitar semua di dalam alam (kecuali barangan plastik dan buangan-buangan bahan tidak terurai yang lain). Seperti sisa makanan, bahan buangan kayu, sampah-sampah daripada kerja-kerja pembersihan taman, kersemuanya akan mereput dan dikitar semula oleh alam - daripada proses pereputan oleh kulat, hidupan-hidupan dan bakteria pengurai. Proses ini mengembalikan semula bahan-bahan organik tersebut ke dalam alam sebagai nutrient yang boleh digunakan oleh hidupan-hidupan lain seperti tumbuhan. Kitaran bahan-bahan organik inilah yang membolehkan alam sentiasa berada dalam proses kitaran yang seimbang.
 
Jadi, berbalik semula kita kepada tajuk asal, adakah sampah yang dibuang oleh kita - benar-benar tidak boleh digunakan lagi, atau tidak boleh mendatangkan manfaat untuk kegunaan lain? Seperti yang diterangkan di atas, kesemua sampah organik digunakan oleh hidupan lain dalam kitaran proses pereputan - dalam mengembalikan semula nutrient daripada bahan organik ke dalam alam. Bahan-bahan ini paling mudah boleh digunakan sebagai bahan kompos untuk mengembalikan kesuburan tanah atau sebagai baja.

 
Namun selain daripada kaedah ini, mungkin ada kedah lain untuk memanfaatkan bahan buangan, disamping memberikan faedah komersial. Jadi, bahan buangan anda mungkin masih boleh dimanfaatkan oleh orang lain sebagai bahan asas dalam menghasilkan bahan-bahan lain. Jadi kali ini, kita ingin melihat, bagaimana kebanyakan bahan buangan masih mempunyai potensi untuk digunakan sebagai bahan bagi menghasilkan bahan-bahan bermanfaat lain - ini termasuklah bahan buangan seperti plastik dan bahan-bahan yang boleh dikitar semula. Mungkin melalui kaedah ini, kita dapat mengelakkan bahan yang perlu dihantar ke pusat pelupusan sampah yang akhirnya akan terus mencemarkan alam.

"Coco peat" yang dihasilkan daripada sabut kelapa amat penting untuk tujuan pertanian.

Sabut kelapa diproses sebelum dieskport ke India dan China di Bangladesh.

 
Bahan buangan organik
 
Bahan buangan organik merupakan bahan-bahan buangan daripada bahan-bahan semulajadi, ini termasuklah sampah-sampah dari taman, lebihan makanan dan termasuk bahan binaan daripada kayu, malah bahan buangan seperti hampas kelapa, hampas tebu, serbuk kayu, sekam padi, jerami padi dan macam-macam lagi. Kesemua bahan ini mempunyai potensi untuk digunakan untuk membuat baja kompos organik. Namun sebahagian bahan lagi boleh diproses semula untuk digunakan bagi menghasilkan bahan lain. Sebagai contoh, sabut kelapa boleh digunakan untuk menghasilkan produk-produk lain seperti tali, bahan isi perabot dan sebagai “coco peat” - yang digunakan sebagai bahan pertanian. Manakala bahan seperti hampas kelapa pula, masih boleh digunakan sebagai makanan haiwan seperti ayam dan itik atau bahan campuran untuk makanan ikan.

 
Penternakan “Black Solder Fly
 
Antara fenomena baru yang semakin popular adalah penternakan “black soldier fly”, yang digunakan sebagai sumber makanan haiwan ternakan ikan dan ayam. Penternakan lalat ini mampu membantu melupuskan bahan bungan organik terutamanya bahan buangan makanan - termasuk buah-buahan dan sisa makanan. Berbanding makanan biasa, makanan yang dihasilkan daripada anak-anak lalat ini mempunyai khasiat protein yang tinggi dan lebih digemari oleh ternakan - yang sememangnya menjadikan serangga ini sebagai makanan nya.
 
Selain itu juga, bahan buangan sisa organik dapat dikitar semula dengan lebih cepat berbanding daripada dengan kaedah pelupusan secara pembuangan terbuka - melalui tapak pelupusan sampah (yang mengambil masa yang lebih lama). Melalui kaedah ini, ia bukan sahaja memberi hasil pendapatan kepada penternak lalat tersebut - malah memberikan sumber bahan makanan bagi penternak ikan dan ayam dengan harga yang lebih murah.

Anak-anak lalat yang diternak sebelum diproses.

Bagi petani kecil, kos makanan ikan mungkin adalah agak mahal.

Anak-anak lalat boleh diproses menjadi pelet ikan atau diberikan terus kepada ikan.

 
Bahan buangan pertanian
 
Bahan buangan pertanian sememangnya diketahui umum boleh digunakan untuk menghasilkan baja kompos. Selain itu juga bahan seperti sekam dan jerami padi boleh digunakan bagi tujuan penanaman cendawan atau bahan pertanian. Sebaliknya bahan seperti jerami padi boleh juga dimanfaatkan bagi menghasilkan bahan lain seperti kertas. Ini dapat dilihat daripada usaha yang dilakukan di Thailand. Bagaimana seorang graduan yang melihat ini merupakan bahan yang berpotensi untuk dimajukan. Seterusnya membuka lebih peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan. Penggunaan jerami untuk menghasilkan bahan gantian plastik ini juga semakin popular di kawasan-kawasan. Antara lain ia turut digunakan untuk menghasilkan tali dan bekas makanan seperti pinggan dan cawan kertas.
 
Bahan buangan bukan organik
 
Bagi sisa-sisa bukan organik seperti plastik khususnya, antara kaedah yang turut mempunyai potensi adalah kitaran semula bahan plastik kepada minyak melalui kaedah pyrolysis - di mana plastik dipanaskan tanpa pendedahan kepada oksigen dan dikondensasi semula kepada minyak. Minyak ini boleh digunakan untuk pada engin janakuasa, pam air dan dengan proses penapisan yang betul juga boleh digunakan pada kenderaan. Apa yang penting di sini, ia dapat mengelakkan plastik terus berada di atas permukaan tanah (dan tidak mereput untuk jangkamasa yang lama), dan berkemungkinan dihanyutkan ke laut pada musim hujan. Ia merupakan kaedah yang lebih baik dalam penggunaan semula plastik berbanding proses kitaran biasa - memandangkan kebanyakan jenis plastik tidak boleh dikitar semula.

 
Proses kitaran plastik merupakan antara masalah pembuangan sampah yang utama, kerana berbanding dengan sampah-sampah yang boleh terurai - plastik akan tetap kekal di dalam alam. Melalui kaedah pembakaran terbuka pula, plastik akan menghasilkan gas-gas beracun yang membahayakan kesihatan. Jadi, kaedah pyrolysis merupakan antara kaedah yang boleh dilakukan secara kecil-kecilan (dengan memastikan bahan sisa proses dilupuskan dengan selamat). Ini kerana, buat masa ini, jumlah pusat pelupusan incinerator yang mampu melupuskan plastik masih lagi tidak mencukupi bagi membendung masalah plastik.

Penternakan kecil-kecilan seperti ini, dapat memanfaatkan pelbagai bahan buangan organik.

Kehidupan yang lebih lestari dapat dicapai melalui pengurusan sumber yang betul.

 
Kaedah pyrolysis telah digunakan di banyak kawasan di dunia - terutamanya di India yang memberikan kesan yang sangat positif, dan membawa manfaat kepada penduduk. Ia merupakan salah satu contoh yang boleh diteladani. Malah terdapat banyak lagi contoh-contoh kaedah pengoperasian sistem pyrolisis yang boleh dilakukan secara kecil-kecilan.
 
Peluang terbuka
 
Dalam contoh-contoh di atas, jelas menunjukkan - bahan buangan tidak semestinya tidak mempunyai nilai bagi orang lain. Selain ia dapat mengurangkan kos pelupusan dan pencemaran, ia mungkin dapat dimanfaatkan lagi untuk menghasilkan pelbagai kegunaan. Jadi terpulanglah kepada kita bagaimana memikirkan kaedah yang baik untuk memastikan bahan buangan dapat dimanfaatkan secukupnya sebelum ia dibuang begitu sahaja.
 


Jumaat, 13 November 2015

Bagaimana Sampah Berguna di Sweden?

Sweden kekal bersih dengan sistem pelupusan sampah yang efektif.

Masalah pembuangan sampah menjadi salah satu masalah hampir di mana sahaja di merata tempat. Samada bandar-bandar kecil ataupun pusat bandaraya yang lebih besar. Sampah yang dianggap sebagai barang buangan ini, tidak ramai yang tahu menggunakannya seperti Sweden!

Sweden merupakan antara negara yang paling berjaya dalam sistem pengurusan bahan buangan untuk ditukarkan kepada tenaga. Sehingga tahun 2012 hanya 1% sahaja bahan buangan yang dihasilkan. Ini bukanlah bermakna Negara Sweden tidak menghasilkan sampah, malah ia menghasilkan 3 kali ganda lebih banyak berbanding tahun 1985. Keadaan ini bukan sahaja membantu Sweden untuk kekal lebih bersih dan selamat, tetapi Sweden juga mengimport sampah dari Britain untuk dikitar semula.

Kepakakaran Sweden dalam menguruskan sampah ini adalah kerana sistem pelupusan sampah yang dikenali sebagai “incinerator” yang pertama telah dibina di Sweden sejak tahun 1904 lagi. Ini lah yang membantu negara ini dalam memperbaiki sistem pelupusan sampah mereka sehingga menjadikan sistem ini turut mampu menukarkan tenaga yang dihasilkan untuk digunakan semula bagi kegunaan orang ramai. Kepakaran Sweden ini turut dikuasai oleh negara-negara berhampiran seperti German, Denmark, Natherland dan Belgium.


Pelupusan sampah untuk penghasilan tenaga di Sweden.

Keadaan di dalam sistem pelupusan sampah.

Pembuangan sebegini tentu tidak menyihatkan.

Melalui sistem pelupusan sampah ini sekitar 950,000 buah rumah di serata Sweden dipanaskan dengan tenaga yang dihasilkan dari sini. Manakala 260,000 buah rumah lagi mendapat bekalan tenaga elektrik juga yang dihasilkan dari sistem pelupusan kitar semula. Jika tenaga yang dihasilkan dari sampah-sampah ini sangat berguna, maka tidak hairanlah mengapa Sweden mengimport sehingga 800,000 tan sampah pada tahun 2014, satu peningkatan yang jauh lebih tinggi berbanding hanya 550,000 tan pada tahun 2010.

Di negara kita, idea untuk membina sistem pelupusan sampah sebegini pernah dicadangkan oleh bekas perdana menteri Malaysia ke-4 Tun Dr. Mahathir dan tidak mendapat sokongan daripada orang ramai ketika itu. Ya, sistem ini mengambil masa untuk mencapai kematangan (memberikan hasil seperti apa yang berlaku di Sweden). Berbanding Eropah, negara-negara lain juga semakin giat memanfaatkan sistem pelupusan sampah mereka untuk menghasilkan tenaga (Waste-to-energy – WTE) seperti juga Jepun, China dan US.


Salah sebuah sistem 'incinerator' di Sweden.

Sistem tapak pelupusan begini, membawa kesan yang jauh lebih buruk.

Pelupusan sampah secara tradisional bukan sahaja memerlukan keluasan tapak pelupusan yang besar malah ia turut membebaskan gas-gas merbahaya, cecair toksid dan sebagainya. Sistem pelupusan yang lebih sistematik ini perlu dicontohi sebelum kita sendiri mencapai kematangan dalam sistem pelupusan tersebut. Sama-sama ktia fikirkan.








Free Download



Ahad, 26 Ogos 2012

Bagaimana Teknik Pelupusan Sampah di Rumah Penting Untuk Kebersihan Alam?

Kotak pelupusan sampah (incinerator) kegunaan rumah.

Setelah seminggu berhari raya mungkin kita perasan dengan longgokan sampah yang banyak dan sukar untuk dilupuskan akan mendatangkan pelbagai masalah. Sampah bukan sahaja menimbulkan bau yang tidak disengani malah mengundang anjing liar serta penyakit merbahaya. Jadi bagaimana caranya untuk mengelakkan maslah longgokan sampah ini? 

Bagi kawasan kecil atau persendirian mungkin anda tidak terfikir untuk memiliki sebuah pelupus sampah sendiri. Tapi sebenarnya teknik pelupusan sampah persendirian ini boleh dibuat dengan menggunakan bahan-bahan yang terbuang. Malah lebih menjimatkan hasil pelupusan boleh digunakan untuk menyuburkan semula kawasan taman di rumah anda.

Pelupus sampah sebenarnya mengumpulkan haba yang cukup untuk membakar semua sampah dengan sempurna. Maka dengan itu hasil pelupusan merupakan bahan yang baik untuk menjadi nutrient kepada tanah. Berbanding dengan teknik pembakaran biasa, haba yang tersebar menjadikan banyak sampah yang tertinggal (tidak terbakar), maka pelupusan menjadi sukar terutama sampah yang agak lembab seperti sampah makanan.

Pelupus sampah ringkas untuk rumah.

Bagi pelupus sampah ringkas boleh dibuat menggunakan tong yang besar dengan menyediakan lubang-lubang udara di bahagian bawahnya. Aliran udara ini yang membantu untuk proses pembakaran berlaku dengan sempurna. Manakala ruangan di dalam tong memerangkap haba supaya dapat membakar keseluruhan sampah sehingga betul-betul habis. Sekiranya anda boleh menyediakan satu ruangan khas untuk pelupusan sampah ianya boleh dibuat menggunakan konkrit bagi struktur tetap (permanent).

Sekiranya anda memilih untuk tidak menggunakan proses pembakaran sebagai teknik pelupusan pula, anda bolehlah menggunakan teknik pelupusan secara kompos. Teknik ini memerlukan masa yang lebih panjang. Ianya juga akan memakan kawasan yang lebih luas sekiranya bahan buangan anda adalah banyak. Teknik pelupusan kompos lebih mudah kerana anda hanya perlu menyediakan lubang dan memasukkan bahan buangan organik ke dalam lubang tersebut. Cuma perlu diingatkan teknik ini hanya untuk bahan organik sahaja. Tutup lubang ini bagi mengelakkan gangguan binatang serta menggalakkan aktiviti organisma pengurai.

Incinerator untuk kegunaan ladang (buangan haiwan).

Incinerator untuk bahan buangan perubatan (medical waste).

Adalah penting bagi kita memastikan persekitaran yang bersih dan selamat. Banyak usaha yang boleh kita lakukan untuk membantu alam sentiasa bersih;

i)                    Kurangkan penggunaan bahan plastik terutama untuk bungkusan barang.

ii)                   Sentiasa kitar semula barang yang telah digunakan.

iii)                 Gunakan teknik pelupusan yang betul. Ini dapat mengelakkan pencemaran punca air bagi skala yang besar.

iv)                 Lupuskan bahan buangan anda sendiri dengan kaedah yang betul.

Mungkin sebahagian kita tidak memandang perkara ini sebagai suatu perkara yang serius. Tetapi jelas dapat dilihat kadar penurunan kebersihan di beberapa kawasan yang dijadikan tapak pelupusan sampah kepada penduduk amat membimbangkan. Bau yang dihasilkan juga tidak menyenangkan selain menjadi tumpuan kepada haiwan liar seterusnya air dari kawasan inilah yang masuk kedalam sungai kita yang menjadikan punca air kita tidak selamat, begitu juga ikan yang hidup di dalamnya. Perlu diingat kesanya boleh mendatangkan keburukan bagi kita dalam jangka masa panjang.


Pelupus sampah seperti ini lebih efisyen untuk ladang-ladang kecil.



Free Download



Arkib Blog