Wednesday, July 14, 2021

Memanfaatkan Sampah Plastik di Persekitaran, Menjana Pendapatan

Pencemaran plastik sebegini menjejaskan kesihatan dan persekitaran.

Permasalahan mengenai sampah plastik telah banyak diperbincangkan di dalam artikel-artikel kami. Walaupun telah banyak usaha dijalankan, namun masalah ini masih lagi merupakan antara perkara yang mebimbangkan. Jadi ada baiknya kita lakukan sekadar perlu, bagi sedikit sebanyak memanfaatkan keadaan ini, selain daripada mengurangkan masalah pencemaran plastik yang semakin buruk.
 
Daripada membiarkan masalah yang dihadapi terus menjejaskan kualiti kehidupan dan mengancam keluarga serta masyarakat, ada baiknya kita mengambil langkah yang mungkin mendatangkan manfaat, malah ia juga mungkin sedikit sebanyak memperbaiki masalah yang dihadapi.

 
Seperti yang kita ketahui masalah berkaitan plastik ini hanya diselesaikan dengan dua cara - iaitu pembuangan ke tapak pelupusan sampah (yang mana ia akan kekal di dalam tanah - atau dihanyutkan semula ke dalam sungai) atau dikitar semula (di mana tidak semua jenis plastik boleh dikitar semula, dan selebihnya dibuang atau dibakar menjadi pencemaran). Ketiadaan kemudahan sistem pelupusan sampah moden yang boleh melupuskan plastik dengan efisyen seperti WTE (waste to energy) menyebabkan sampah plastik tetap menjadi perkara yang hanya diperbincangkan tanpa penyelesaian.

Waste to Energy Plant seperti ini dapat menukarkan sampah pepejal termasuk plastik kepada tenaga elektrik.

 
Jadi langkah seterusnya yang boleh diambil adalah dengan menukar plastik menjadi minyak secara kecil-kecilan. Ya, langkah ini adalah jauh lebih baik, kerana plastik dapat dibersihkan daripada terus berada di persekitaran - dan minyak dapat digunakan semula sebagai bahanapi - samada untuk kenderaan atau bahan bakar untuk memasak dan sebagainya. Kaedah ini, boleh dilakukan walaupun dalam skala yang kecil. Apa yang penting proses penukaran plastik kepada minyak melalui proses pyrolysis perlu dilakukan dengan betul bagi memastikan hasil yang baik.
 
Antara masalah yang mungkin dihadapi adalah bahanapi untuk memanaskan plastik itu sendiri - dimana ia bergantung kepada kos bahanapi yang digunakan. Jadi tenaga yang digunakan untuk memanaskan plastik tersebut boleh menggunakan sumber-sumber seperti, gas asli, minyak, kayu, arang, tenaga elektrik (mungkin dari solar), solar furnace (haba terus daripada matahari), biogas dan termasuk gas yang terhasil daripada proses pyrolysis itu sendiri. Penggunaan bahan-bahan ini adalah bergantung kepada kesesuaian lokasi di mana ia dilakukan - mengikut jenis sumber bahanapi yang mudah didapati.

 
Selain itu bahan yang digunakan untuk mereka sistem tersebut juga adalah penting. Walaupun ia dibina berdasarkan konsep yang amat mudah, sistem tersebut perlu direka bagi memastikan keselamatan dan ketahanan dari segi fungsi dan kegunaannya. Bagi sebuah mesin yang kecil, ia mungkin lebih mudah direka - maka sebab itu, ia sesuai sekali dilakukan secara kecil-kecilan. Mesin yang baik, perlu mengelakkan kebocoran gas yang dihasilkan daripada sistem ini. Selain memastikan sistem kondensasi dapat menukar wap panas daripada pemanasan plastik ditukarkan kepada minyak dengan berkesan - mesin yang direka mungkin perlu diperbaiki bagi meningkatkan kualiti keberkesanannya.

Mesin-mesin DIY sebegini mampu membersihkan kawasan persekitaran daripada plastik.

Tiada standard rekabentuk bagi sistem ini, apa yang penting ia berfungsi dengan baik.

 
Terdapat banyak sekali contoh mesin-mesin pyrolysis yang dihasilkan oleh pengusaha secara kecil-kecilan. Dalam rekabentuk mesin ini, apa yang penting adalah kaedah bagaimana ia berfungsi, bagi menghasilkan produk yang diinginkan iaitu minyak. Bagi sistem yang ringkas, anda tidak memerlukan meter tekanan, meter suhu dan sebagainya. Ia cukup sekadar mampu memanaskan plastik tanpa pendedahan kepada oksigen - dan menukar gas yang dihasilkan kepada minyak melalui proses kondensasi.

 
Minyak yang dihasilkan pula boleh digunakan sebagai bahanapi (bagi kegunaan kenderaan, anda perlulah membuat penelitian kualiti minyak yang dihasilkan). Namun, hasil pyrolysis plastik biasa digunakan bagi menjalankan janakuasa elektrik kecil, pam air, dan mungkin juga mesin-mesin ringkas. Ia juga digunakan sebagai bahan bakar untuk tujuan memasak.

Kualiti minyak yang dihasilkan adalah bergantung kepada rekabentuk dan proses penyulingan yang baik.

Bagi kawasan perkampungan seperti ini, dapur kayu yang menghasilkan banyak asap dan sumber kayu dapat digantikan dengan dapur minyak yang lebih efisyen.

Apa yang penting, kaedah ini dapat mengurangkan plastik yang terus berada di permukaan tanah atau di dalam air daripada terus mencemarkan alam. Ini kerana ia boleh mendatangkan mudarat kepada hidupan lain termasuk manusia sendiri - dan menjejaskan pendapatan bagi mereka yang bergantung kepada laut dan sungai seperti nelayan. Ia juga antara lain mungkin menghasilkan sumber pendapatan baru daripada bahan buangan ini. Sehingga masalah pembuangan plastik ini dapat dibendung dan keadaan dapat sedikit sebanyak diperbaiki.


No comments:

Post a Comment

Blog Archive