Isnin, 15 Mei 2017

Bijirin Sumber Makanan Dunia; Gandum (Wheat)

Gandum merupakan tanaman sumber makanan penting di dunia.

Gandum merupakan antara tanaman terpenting dunia kerana ia merupakan salah satu sumber makanan seperti juga beras. Malah seperti juga beras ia mengandungi pelbagai cultivar hasil daripada penanaman komersial yang dilakukan sejak sekian lama. Gandum dikatakan mula ditanam sejak 9600 BCE lagi berdasarkan bukti penemuan arkeologi.

Gandum menjadi tanaman penting sumber makanan manusia selepas beras kerana ia mempunyai keupayaan tahan cuaca sejuk dan kering (tidak seperti tanaman beras ataupun jagung). Ini menjadikan ia sebagai sumber tanaman yang sesuai bagi negara-negara beriklim 4 musim. Sehingga pada tahun 2014, keluasan tanah yang digunakan untuk tanaman gandum sahaja mencapai keluasan sehingga 220.4 juta hektar di seluruh dunia.

Gandum digunakan untuk menyediakan pelbagai makanan.

Penggunaan gandum sebagai sumber makanan bukan sahaja popular di negara-negara di mana ia ditanam. Hari ini dapat dilihat penggunaan gandum juga menjadi sebagai bahan penyediaan yang penting di negara-negara lain hasil daripada pemindahan budaya. Malah makanan-makanan tradisi di Asia Tenggara sendiri ada di antaranya yang dihasilkan menggunakan gandum.

Top wheat producers in 2014
Country
millions of tones
China
126.2
India
95.8
Russia
59.7
United States
55.1
France
39.0
 Canada
29.3
Germany
27.8
Pakistan
26.0
Australia
25.3
Ukraine
24.1
World
720
Source: UN Food & Agriculture Organization

Kawasan penanaman gandum di dunia.

Penggunaan jentera merupakan faktor utama kejayaan tanaman gandum.

Gandum merupakan makanan popular di negara-negara beriklim sejuk, Utara Afrika, Timur Tengah dan juga semakin popular di Asia. Malah ia ditanam dengan lebih meluas berbanding beras. Seperti di dalam jadual di atas, negara-negara utama pengeluar gandum adalah China, India, Russia dan Amerika Syarikat.

Gandum digunakan dengan meluas kerana ia digunakan untuk menyediakan pelbagai bentuk makanan daripada roti, pasta, kek, pie, bubur, biskut, bijirin sarapan dan pelbagai lagi makanan proses yang boleh disimpan untuk tempoh yang lama. Tempoh penyimpanan merupakan antara kriteria penting dalam penggunaan bahan makanan kerana ia memastikan bahawa bahan tersebut masih boleh digunakan setelah disimpan untuk tempoh beberapa ketika.

Antara keunikan gandum juga adalah ianya mengandungi protein gluten yang membolehkan tepung mengembang dengan menyimpan gelembung-gelembung kecil gas karbon dioksida apabila proses pengeraman/penapaian dilakukan. Ini merupakan ciri-ciri penting dalam proses penghasilan roti dan kek. Selain itu juga, gandum turut menjadi sumber makanan utama haiwan ternakan.

Gandum "einkorn wheat", gandum asal.

Emmer Wheat.

Durum Wheat

Polish Wheat.

Spelt Wheat.

Common wheat (Triticum aestivum).

Kejayaan penanaman gandum juga antara lainnya adalah dipengaruhi oleh penggunaan teknologi yang digunakan. Rata-ratanya ladang-ladang gandum diusahakan menggunakan mesin yang dapat mempercepatkan segala proses daripada kerja-kerja tanah sehinggalah kepada penuaian. Tanpa menggunakan mesin, tanaman gandum mungkin tidak mencapai keluasan seperti hari ini dan harganya juga tentulah jauh lebih mahal. Selain mesin sistem irigasi dan penggunaan baja juga memainkan peranan penting dalam industri tanaman gandum.

Dari segi jenis gandum pula terdapat pelbagai jenis gandum yang ditanam mengikut kesesuaian bentuk muka bumi sesuatu kawasan. Daripada jenis gandum asal yang lebih dikenali sebagai Einkorn wheat (single grain) sehinggalah kepada Miracle wheat (Triticum turgidum var. mirabile) yang mampu mengeluarkan hasil yang lebih tinggi. Seperti juga tanaman-tanaman lain, industri penanaman gandum terus dipertingkatkan untuk penghasilan dan kualiti tanaman yang lebih baik.

Bakul daripada jerami gandum.

Bahan binaan daripada buangan tanaman gandum.
Peralatan yang dihasilkan dengan jerami gandum.

Bukan sahaja biji gandum yang digunakan oleh para penanam gandum. Sejak dahulu lagi, serkam (hampas) dan batang gandum turut digunakan untuk pelbagai kegunaan. Malah semakin banyak penggunaan bahan sampingan penanaman gandum ini dapat dimanfaatkan. Antaranya termasuklah sebagai bahan makanan sampingan ternakan, penghasilan bahan binaan, biogas, biofuels, pengawal hakisan, barangan kraf, penghasilan kertas, tali, kasut, hortikultur, packaging dan sebagainya.


Gandum mungkin tidak boleh ditanam di kawasan beriklim tropika, namun ia masih digunakan di kawasan-kawasan lain sebagai salah satu sumber makanan penting. Walaupun begitu, tanaman yang boleh ditanam di sini (beriklim tropika seperti padi) mungkin boleh dimanfaatkan seperti mana tanaman gandum ini. Jadi, selain daripada mengusahakan tanaman, teknik pengolahan bagi memanfaatkan sumber tanaman juga adalah penting.


Free Download





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog