Selasa, 22 September 2020

Keunikan Selasih, Sebagai Masakan dan Khasiat Kesihatan

Sweet Basil (Ocimum basilicum), atau juga dikenali sebagai selasih.

Selasih atau juga dikenali sebagai ‘Basil’, (Ocimum basilicum), bukanlah satu tumbuhan asing bagi masyarakat Melayu, Asia Tenggara malah di dunia. Namun begitu terdapat perbezaan antara selasih-selasih yang digunakan oleh masyarakat mengikut geografi, negara malah bangsa. Keunikan tumbuhan selasih ini, selain daripada fizikalnya yang berbeza, ia turut memberikan hasil masakan yang berbeza juga. Tumbuhan selasih telah digunakan sejak sekian lama, bukan sahaja untuk tujuan masakan malah sebagai khasiat perubatan.
 
Terdapat sekitar 160 jenis kultivar selasih di dunia dan hanya 60 jenis daripadanya merupakan antara yang biasa digunakan dalam masakan. Jadi apabila anda menyediakan masakan menggunakan selasih, anda juga perlu memastikan jenis daun selasih yang digunakan - untuk mendapatkan kualiti masakan seperti yang disediakan dalam masakan tersebut. Di negara kita (Malaysia) sendiri terdapat beberapa jenis daun selasih yang biasa digunakan iaitu yang dikenali sebagai kemangi, thulasi dan selasih Thai.
 
Mungkin kita dapat mengungkap beberapa perkara penting berkenaan daun selasih di dalam artikel ini. Walaubagaimanapun terdapat banyak lagi mengenainya yang perlu kita ketahui dari artikel-artikel yang lain.
 
Tidak semua jenis selasih mampu memberikan hasil masakan yang sama. Ada di ataranya, mempunyai aroma dari seakan jintan manis (anise) hingga ke aroma serai (lemon grass) dengan kekuatan yang berbeza pula. Jadi penggunaan daun selasih ini perlulah digunakan mengikut kesesuaian jenis selasih yang digunakan.

Tanaman selasih secara ladang.

Tanaman selasih di dalam bekas kecil.

Penanaman Selasih

 
Selasih merupakan tumbuhan herba yang mudah ditanam samada menggunakan keratan batang mahupun biji benih. Bagi tanaman untuk kegunaan sendiri ia bukanlah menjadi masalah besar kerana ia boleh ditanam di dalam di dalam bekas kecil daripada pollybag mahupun pasu. Manakala untuk tanaman komersial pula, ia boleh terus di tanam di atas tanah.
 
Ia memerlukan sumber cahaya, namun masih boleh ditanam selagi mendapat cahaya yang baik (di letakkan berhampiran tingkap dengan cahaya yang cukup). Dengan tanah yang mempunyai saliran yang baik dan pembajaan, anda tidak perlu risau kerana tumbuhan selasih jarang dijangkiti penyakit dan tidak mempunyai musuh dari jenis serangga seperti tumbuhan lain.
 
Manakala untuk tanaman komersial pula, ia merupakan tanaman jangka pendek dengan tuaian sebanyak 3 - 5 kali setahun. Penuaian dilakukan apabila pokok mencapai ketinggian antara 15-20cm. Pada peringkat ini kebiasaannya pokok mula mengeluarkan bunga dan daun-daun pada bahagian pokok mula menjadi kekuningan. Penanaman komersial kebiasaannya bukan sahaja bertujuan untuk kegunaan masakan malah untuk tujuan pengeringan dan penghasilan pati minyak selasih.
 
Kegunaan Masakan

Antara jenis-jenis daun selasih dari seluruh dunia.

 

Daun selasih sememangnya terkenal digunakan dalam masakan Timur mahupun masakan Barat. Ia boleh diambil sebagai ulaman segar selain sebagai tambahan di dalam masakan. Ia mudah disesuaikan dengan pelbagai jenis masakan samada ayam, daging, ikan mahupun sayuran. Terdapat banyak resepi yang menggunakan daun selasih sebagai bahan campuran antaranya:
 
- Ayam daun selasih
- Kepah tumis kunyit daun selasih
- Ikan goreng kicap daun selasih
- Kerabu daging daun selasih
- Masak bening tembikai
- Udang masak lemak daun selasih
- Nasi goreng daun selasih
-Asam tumis daun keladi daun selasih
- Maggi kari daun selasih
- Daging masak kicap daun selasih
- Kerabu timun dengan daun kemangi
 
Itu adalah sebahagian daripada masakan yang menggunakan daun selasih. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, daun selasih ini mudah disesuaikan dengan apa jua jenis masakan. Jadi ia digunakan dengan meluas dalam masakan Melayu mahupun masakan serantau.

Daun Kemangi atau 'Lemon Basil', yang biasa digunakan oleh masyarakat Melayu.

Thulasi, ruku atau 'Holy Basil' yang lebih popular dengan masyarakat India.

 

Manakala untuk masakan antarabangsa juga, daun selasih (basil) digunakan dengan pendekatan yang sama - iaitu padanan dengan pelbagai jenis makanan utama daripada ayam, daging, udang, sayuran dan sebagai bahan perasa. Antara masakan Barat yang menggunakan daun selasih adalah seperti berikut:
 
- Honeydew and fennel salad with basil
- Beef stir-fry with green beans and tomatoes
- Romesco pasta salad with basil and parmesan
- Tomato salad with warm basil dressing
- Bright and spicy shrimp noodle salad
- Pesto
- Basil-chip ice cream
- Hummus with sugar snap peas and basil
- Poached Arctic Char with basil-tarragon mayonnaise
- Drinks and cocktails
 
Seperti yang dapat dilihat, daun selasih digunakan dengan lebih meluas di dalam makanan barat yang turut merangkumi, minuman dan juga pencuci mulut seperti ice cream. Ini kerana masakan barat telah diolah lebih awal berbanding masakan-masakan dari Timur yang lebih menekankan resepi-resepi tradisional. Walaubagaimanapun hari ini, masakan dari Timur juga telah mula mengalami pengolahan yang drastik.

Pasta yang menggunakan daun selasih

Ayam lemon dengan daun selasih.

Ikan goreng kicap daun selasih.


 
Jenis-jenis Selasih
 
Oleh kerana daun selasih mempunyai senarai yang meluas, sebahagian daun selasih ini tidak mempunyai nama tempatan. Jadi ia akan disenaraikan di dalam Bahasa Inggeris ataupun nama saintifiknya sekiranya diketahui (oleh penulis). Jadi mari kita melihat beberapa jenis daun selasih yang biasanya digunakan dalam masakan Timur mahupun Barat.
 
- Great Basil (Ocimum basilicum)
- Kemangi, atau lemon basil (Ocimum × citriodorum)
- Thai Basil, sweet basil (Ocimum basilicum)
- Thulasi, atau holy basil (Ocimum tenuiflorum, formerly known as O. sanctum)
- Dark opal basil (Ocimum basilicum var. Purpureum)
- Cinnamon basil (Ocimum basilicum 'Cinnamon')
- Osmin purple basil (Ocimum basilicum), dengan daun berwarna purple.
- Corsican Basil
- Ajaka Basil
- Lime Basil
- Spicy Bush Basil
- Purple Ruffles
- Greek Basil
- Summerlong Basil
- African Blue Basil
- Ararat
- Cardinal Basil
 
Itu hanyalah sebahagian daripada jenis-jenis basil yang biasa digunakan dalam masakan. Jadi sekiranya anda mencuba resepi yang menggunakan basil, sebaiknya melihat jenis basil yang digunakan, untuk mendapatkan hasil masakan yang memuaskan.

Daun selasih dari jenis African Blue Basil.

Selasih dari jenis Cardinal Basil.

Daun selasih dari jenis Purple Ruffles.


 
Kegunaan Rawatan Kesihatan
 
Manakala untuk tujuan rawatan kesihatan pula, daun selasih ini telah lama digunakan masyarakat tempatan untuk merawat beberapa masalah kesihatan yang ringan antaranya adalah.
 
- gatal gatal pada tekak
- bertindak sebagai perangsang
- pelawas kencing
- mengeluarkan peluh
- merawat sakit kepala
- masalah pembuangan air besar bagi kanak-kanak
- kurap
- batuk
- rawatan selepas bersalin
- demam panas
- asma
- meredakan demam
- merawat keradangan usus
- penyakit kulit
- merawat kencing manis
- gangguan pernafasan
 
Aroma daun selasih ini mampu memberikan ketenangan, maka ia sesuai digunakan terus atau dalam bentuk pati minyak. Anda juga mungkin ingin mencubanya dalam bentuk teh.
 
Itu adalah sebahagian sahaja daripada keunikan dan kegunaan tumbuhan istimewa selasih atau basil. Semoga dengan ini ia akan menambah pengetahuan kita dan dapat memanfaatkannya untuk kegunaan sendiri mahupun keluarga. Anda juga mungkin ingin mencuba menanamnya untuk kegunaan keluarga mahupun komersial seterusnya membangunkan ekonomi. Apapun selamat mencuba. Jangan lupa tuliskan sebarang saranan berguna di ruangan komen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog