Jumaat, 4 Jun 2021

Apakah Perbezaan Belut Sawah dan Belut?

European eel, melakukan penghijrahan ke laut untuk membiak.


Semasa kecil saya amat suka dengan aktiviti memancing dan menangkap ikan. Sesekali apabila terserempak dengan ikan ganjil ini (semasa mula-mula berhadapan dengan belut), pasti perkara luar biasa akan berlaku.. hahaha.. ular! Belut merupakan hidupan air yang istimewa, kerana ia berbeza sekali dengan ikan-ikan lain yang mirip dengannya. Namun apabila diamati, belut sawah dari family (Monopterus), adalah berbeza daripada belut-belut yang lain dari family (Anguilla). Perbezaan paling utama adalah, belut dari family Aguilla, melakukan penghijrahan ke laut untuk membiak!
 
Adakah ikan-ikan seperti belut, merupakan belut?
 
Tidak seperti ikan biasa, di mana kita lebih mudah untuk membezakannya. Bagi kumpulan ikan seperti belut ini, ianya agak sukar kerana kita tidak membiasakan diri dengan kumpulan-kumpulan ikan ini. Terdapat banyak ikan-ikan yang mempunyai rupa bentuk seperti belut, merupakan ikan-ikan daripada kumpulan yang berbeza dan spesies yang berbeza pula. Perkara ini ditambah dengan nama yang diberikan - menyebabkan kita menjadi bertambah keliru, seperti belut elektrik (Electrophorus electricus), yang sebenarnya merupakan sebahagian dari kumpulan ikan pisau (knifefish: Gymnotiformes). Begitu juga ikan dari kumpulan: Macrognathus, atau spiny eels, yang merupakan kumpulan ikan yang mempunyai bentuk seperti belut, namun mempunyai sisik dan muncung yang tirus. Ikan-ikan dari kumpulan ini juga mempunyai duri-duri yang tajam pada bahagian belakangnya - ia juga mempunyai nama tempatan sebagai ikan tilan, manakala ia juga dikenali dengan nama seperti, peacock eel, tire track eel, fire eel dan beberapa jenis lagi .

 
Setelah kita mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai ikan-ikan ini. Tinggal dua kumpulan utama yang rapat iaitu dua kumpulan utama: belut sawah (Monopterus) dan juga belut (Anguilla) - yang berhijrah ke laut untuk membiak (walaupun ia terkenal dengan nama European Eel) - terdapat beberapa spesies yang berada di luar Eropah dan beberapa spesies lagi di bahagian Asia.
 
Kedua-dua kumpulan ini dikenali sebagai belut - namun mempunyai perbezaan yang ketara dan lebih mudah dikenali dengan beberapa ciri-ciri tertentu. Belut sawah, bukan sahaja tidak berhijrah ke laut, malah ia tidak mempunyai sirip tepi pada badannya (membuatkan ia lebih mirip kepada ular). Berbeza dengan belut dari keluarga Anguilla, ia mempunyai sirip seperti ikan, pada bahagian tepi badannya dan terdapat belahan insang - ini tidak terdapat pada belut sawah.

Belut elektrik yang merupakan sebahagian dari keluarga ikan pisau (knife fish).

Ikan 'tire track eel', merupakan ikan yang menyerupai belut.

Terdapat beberapa spesies berbeza ikan ini, yang juga dikenali sebagai ikan tilan.

 
Adakah nilai komersial untuk kedua kumpulan ini?
 
Ya, kedua-dua kumpulan belut ini mempunyai nilai komersial. Apa yang membimbangkan, kumpulan belut dari jenis Anguilla, tidak boleh dibiakkan di dalam kurungan dan mempunyai jumlah bilangan yang semakin berkurangan di habitat liar - oleh kerana penangkapan anak-anak belut yang masih kecil untuk diternak secara komersial. Malah, kebanyakan aktiviti pengumpulan anak benih belut ini dilakukan secara tidak sah - dan dieksport melalui pasaran gelap.
 
Berbeza dengan belut sawah, ia bukan sahaja boleh diternak, malah boleh dibiakkan di dalam kurungan. Namun begitu, oleh kerana kegiatan penangkapan yang tinggi juga menyebabkan, jumlah belut sawah semakin berkurangan (mungkin kerana aktiviti bersawah yang semakin berkurangan). Belut-belut sawah adakalanya dilihat sebagai musuh - oleh kerana tabiatnya yang suka membuat lubang pada tebing kolam ataupun petak sawah. Namun, seperti juga belut lain, ia turut menjadi sebahagian makanan penting bagi masyarakat di mana sahaja ia boleh didapati.

 
Berbeza dengan belut Anguilla yang mempunyai saiz penternakan yang lebih besar - kerana pasarannya yang amat tinggi. Bagi belut-belut European Eel, negara-negara seperti Netherlands, Italy, dan Denmark merupakan negara penternak utama, selain Spain, Greece, Sweden dan Germany juga turut mempunyai penternakan dalam saiz yang lebih kecil. Belut-belut juga turut diternak di Jepun dan US (dari spesies Anguilla di Jepun dan US). Penternakan belut-belut ini merupakan industri terkenal dengan penggunaan teknologi moden bagi memenuhi permintaan pasaran antarabangsa yang amat tinggi bagi belut. Harga belut boleh mencecah sehingga 1,000 HKD (128.86 USD) sekilogram, dan harganya pernah mencecah sehingga 5,000 HKD.
 
Bagaimana dengan belut sawah?

Belut sawah dari dekat, tiada kelihatan sirip atau insang.

Belut sawah secara keseluruhannya.

 
Belut sawah juga mempunyai nilai komersial, namun oleh kerana ia lebih mudah ditangkap di sawah dan kawasan-kawasan paya, ia jarang diusahakan secara komersial. Namun begitu, keadaan mula berubah, di mana kawasan pembiakan belut kini semakin berkurangan, malah penangkapan belut bukanlah satu pekerjaan yang mudah. Maka, penternakan belut sawah mula menjadi salah satu usaha yang mendapat perhatian.
 
Belut sawah bukan sahaja popular di negara-negara Asia Tenggara, malah ia turut menjadi sumber makanan berkhasiat di mana sahaja ia membiak. Negara-negara lain seperti China dan India telah lama memanfaatkan khasiat belut sawah di dalam hidangan mereka melalui pelbagai resepi. Hidangan-hidangan ringkas seperti ‘
stir fries’ dan ‘casseroles’ sehingga gandingan bahan-bahan seperti daun bawang, rebung, wine beras, gula, kanji dan sos soya - merupakan antara bahan-bahan yang digunakan untuk meningkatkan rasa sejati belut ini. Begitu juga dengan kawasan di India yang dikenali sebagai Daerah Assam, penggunaan kari merupakan kaedah yang lebih sesuai dengan citarasa tempatan. Selain daripada itu, belut-belut ini juga turut terdapat di negara-negara seperti Amerika Tengah dan Amerika Selatan, Afrika dan Australia. Ia juga dikatakan mula membiak di Amerika Utara oleh kerana pembebasan tidak terkawal (mungkin disebabkan oleh industri ikan-ikan akuarium).

 
Maka tidak hairanlah sekiranya, industri penternakan belut sawah juga merupakan antara industri yang semakin popular. Oleh kerana, ia masih berada di peringkat awal. Industri penternakan ini mempunyai peluang yang tinggi untuk dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan pasaran, selain memenuhi standard kesihatan dan keselamatan pengguna. Bagi pengeluar belut sawah ini, negara Indonesia merupakan negara pengeluar utama bagi pasaran dunia, selain Thailand dan Malaysia. Di Malaysia khususnya, penternakan belut masih lagi berada dalam tahap pembangunan, walaupun terdapat pengusaha-pengusaha yang berjaya seperti En. Zakaria Harun, dari Kampung Kubang Puyu, Terengganu, yang mencuba menternak belut sawah semenjak 2012.
 
Apakah khasiat pemakanan belut sawah?

Penternakan belut sawah atau 'swamp eel', merupakan industri yang masih baru.

Belut sawah mempunyai khasiat pemakanan yang sangat baik, setanding dengan khasiat pemakanan ikan-ikan yang lain. Antaranya, ia mengandungi Vitamin A sehingga 15,000 IU/100 gram, manakala ia juga mengandungi DHA mencapai 1,337 mg/100 gram yang jauh lebih tinggi berbanding dengan ikan salmon yang hanya mengandungi sekitar 820 mg/100 gram, manakala ikan makarel yang hanya mengandungi sekitar 748 mg/100 gram.
 
Walaupun masih terdapat sebahagian daripada kita yang agak sukar untuk menjadikan belut sebagai hidangan, namun ia telah lama menjadi hidangan yang amat digemari di serata dunia. Apatah lagi memandangkan khasiat pemakanan belut sawah yang baik, ia mungkin boleh dipertimbangkan. Apa yang penting, melalui amalan penternakan yang baik dan kaedah penyediaan masakan yang menarik, ia mungkin menukar persepsi mereka yang selama ini agak sukar mencuba daging belut sebagai makanan.
 
Sekian sahaja pengenalan mengenai belut air tawar buat kali ini. Saya akan pasti menulis lagi lanjutan daripada tajuk ini, kerana terdapat banyak lagi perkara yang perlu dikongsi dengan para pembaca berkaitan belut dan ikan-ikan yang seangkatan dengan nya. Melalui pengenalan ini, mungkin sedikit sebanyak dapat kita mempelajari betapa pentingnya setiap haiwan di dalam alam. Selain itu, mungkin ia juga akan membuka mata bagi kita yang ingin memulakan satu peluang baru, atau seakannya. Bagi yang ingin berkongsi idea, ilmu pengetahuan, sila jangan segan untuk meluahkan pandangan anda di ruangan komen.
 
 
Rujukan:
 
1) Wikipedia: Eel
2) Wikipedia: Anguillida
3) Wikipedia: Swap eel
4) Wikipedia: European eel
5) Animaldiversity.org
6) Ocean and fisheries
7) Foa.org
8) Fao.org - II
9) Invasive.org
10) Aquanswers.com
11) Anim Agro Technology
12) MyMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog