Memaparkan catatan dengan label ekosistem. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ekosistem. Papar semua catatan

Selasa, 21 Mac 2017

Mengembalikan Kesuburan Loess Plateau, China

Loess Plateau sebelum dan selepas pemulihan semula.

Mungkin tidak semua pernah mendengar mengenai Loess Plateau atau Huangtu Plateau, iaitu sebuah kawasan seluas 640,000 km berada di hulu Sungai Huang He (Yellow River). Kawasan yang suatu masa dahulu amat subur ini bagaimanapun telah lama bertukar menjadi padang pasir dan menjadikan para penduduknya tinggal di dalam keadaan yang amat miskin. Sehinggalah pada tahun 1994 satu langkah drastik telah diambil yang menjadikan Loess Plateau kembali menghijau.

Loess Plateau merupakan satu kawasan yang amat subur suatu masa dahulu yang membolehkan banyak kerajaan lama didirikan di sekitar kawasan ini. Oleh kerana aktiviti pertanian dan penternakan yang tidak terkawal ia bagaimanapun bertukar menjadi tanah yang kering gersang. Hujan yang turun di kawasan ini hanya akan mengalirkan lumpur yang banyak ke dalam sungai dan menjadikan bencana di kawasan hilir sungai iaitu mendakan lumpur dan banjir.

Lokasi kedudukan Loess Plateau.

Kerja-kerja pemulihan yang dilakukan bersama.

Kehijauan yang kembali semula ke kawasan Loess Plateau.

Pada tahun 1994 satu usaha telah dijalankan dan dikenali sebagai “Loess Plateau Watershed Rehabilitation Project”, untuk mengurangkan kesan kegersangan ini. Langkah yang diambil oleh kerajaan ini dijalankan bersama dengan para penduduk yang mendiami kawasan Loess Plateau yang kurang memahami mengenai pertanian lestari (sustainable farming) menjadikan ia satu usaha yang kurang meyakinkan. Namun projek ini sendiri adalah untuk kebaikan para penduduk sendiri di mana tanah yang mereka usahakan menjadi tanah pertanian mereka sendiri pada masa akan datang.

Melalui pelbagai tahap pemulihan semula tanah termasuk membina empangan, kawasan tadahan air, teres-teres di lereng bukit dan penanaman pokok dalam skala yang besar, selain mengelakkan haiwan ternakan daripada berkeliaran bebas memakan anak-anak pokok yang baru tumbuh. Kawasan Loess Plateau yang gersang menampakkan perubahan dalam tempoh 10 tahun dan bertukar menjadi kawasan tanaman yang subur semula.

Penduduk yang meraikan hari perayaan.

Petani yang mengusahakan tanaman epal dengan hasilnya mampu menyara keluarga.

Kaum wanita yang dahulunya terpaksa mengangkut air dari jauh, kini mendapat bekalan air di hadapan rumah mereka.

Sehingga ke hari ini, kawasan Loess Plateau terus menjadi kawasan pertanian yang subur semula. Para petani yang suatu masa dahulu hidup dalam kesusahan berjaya mengeluarkan hasil tanaman yang menguntungkan. Ia merupakan satu perkara di luar jangkaan mereka. Ia antara lain menunjukkan bahawa alam sendiri dapat memberikan lebih baik apabila ianya terjaga dengan baik pula.

Berikutan dengan itu kawasan-kawasan gersang lain di dunia juga ingin mencontohi kejayaan ini. Ternyata, setiap kawasan di dunia mempunyai potensi untuk menjadi kawasan menghijau selagi ianya tidak digunakan dengan cara yang salah. Ini bukanlah bermakna tanah tersebut tidak boleh diusahakan untuk pertanian tetapi haruslah memahami mengenai keseimbangan kesuburan tanah dan mengelakkan ianya daripada terjejas.


Hari ini, dengan perkembangan teknologi manusia mempunyai lebih kemampuan untuk melaksanakan tujuan ini. Maka dengan itu, setiap tindakan perlulah diukur dengan lebih teliti kerana ia boleh mengakibatkan kesan jangka panjang dan boleh mengakibatkan kerugian pada diri sendiri dan generasi akan datang.








Free Download



Isnin, 27 Februari 2017

Kenali Makanan Laut Lobster

Lobster merupakan makanan laut yang digemari.

Lobster merupakan makanan laut yang amat digemari dan merupakan antara hidangan yang mewah. Secara umumnya terdapat pelbagai jenis lobster yang menghuni perairan di seluruh dunia namun American dan European clawed lobster (Homarus americanus dan Homarus gammarus) merupakan dua jenis lobster sebenar yang dilengkapi sepasang sepit yang besar.

Lobster bagaimanapun suatu masa dahulu hanya digunakan sebagai baja ataupun umpan. Ia juga hanyalah sekadar makanan bagi golongan hamba abdi dan juga dihidangkan sebagai hidangan penjara. Ia hanya mula dikenali sebagai hidangan istimewa pada pertengahan abad ke 19 dimana bot-bot nelayan dilengkapi dengan tangki yang membolehkan lobster-lobster dibawa pulang dalam keadaan hidup. Ini ditambah lagi dengan penerimaan loster sebagai makanan oleh penduduk New York dan Boston.

Perangkap yang digunakan untuk menangkap lobster.

Clawed lobster dengan sepit yang besar.

Hidangan istimewa yang menggunakan lobster.

Daripada pelbagai jenis lobster ini, beberapa di antaranya merupakan tangkapan yang menghasilkan industri perikanan yang bernilai berbillion dolar setiap tahun. Lobster-lobster ini ditangkap bagi memenuhi permintaan tinggi penggemar makanan laut. Selain daripada aktiviti tangkapan, pencemaran laut juga dikatakan menyebabkan jangkitan kepada kulit lobster yang mengakibatkan kematian.

Lobster merupakan hidupan yang menghuni dasar laut dengan menjadikan ikan-ikan kecil dan moluska sebagai makanan utamanya. Namun begitu ia turut menjadikan pelbagai sumber lain sebagai makanan termasuk alga dan cebisan-cebisan reputan penghuni laut yang lain termasuklah lobster sendiri.

Anak-anak lobster yang dibiakkan.

Larva lobster yang semakin membesar.

Lobster Sabah merupakan antara tarikan Kota Kinabalu, Malaysia.

Lobster di dasar laut.

Lobster betina akan membawa telurnya yang diletakkan di bawah bahagian perut. Telur ini akan dibawa kemana-mana buat tempoh masa setahun lamanya sebelum ianya dilepaskan apabila ia bertukar menjadi larva. Daripada larva inilah anak-anak lobster akan melalui beberapa peringkat sebelum mencapai usia dewasa. Ia akan menghabiskan masa di celahan batu-batu di dasar laut bagi mengelakkan serangan musuh. Lobster perlu bersalin kulit untuk terus membesar dan proses ini akan terus berulang untuk sepanjang usianya. Malah lobster boleh menjangkau usia purata sehingga 50 tahun. Manakala lobster tersebar yang ditangkap adalah seberat 20.14 kg dengan saiz 1.2 m dianggarkan berusia sekurang-kurangnya 100 tahun.


Lobster digemari di mana sahaja di seluruh dunia. Jadi pengenalan dan pemuliharaan kawasan pembiakan spesis ini adalah penting bagi memastikan bekalan lobster terus berkekalan selain tidak mengganggu fungsinya kepada ekosistem. Tidak dinafikan adalah sukar bagi para nelayan membendung permintaan pasaran namun sekiranya ia tidak diuruskan dengan berhati-hati maka tiada lagi lobster yang boleh dituai untuk tempoh beberapa tahun akan datang.



Free Download


Sabtu, 25 Februari 2017

Apabila Toman (Snakehead) Menghuni Perairan US

Toman spesis baru di perairan US.

Toman (snakehead) merupakan sejenis ikan air tawar yang berasal dari Afrika dan Asia yang juga merupakan spesis ikan pemangsa yang amat agresif. Walaupun saiz ikan ini tidaklah menjangkau sebesar saiz ikan-ikan pemangsa air tawar lain seperti arapaima, alligator gar, tapah (giant catfish), goliath tigerfish dan lain-lain lagi, namun keganasan toman amat dikenali di mana sahaja ia ditemui. Kenyataan ini kurang diketahui oleh orang ramai sehinggalah toman berjaya menghuni tasik-tasik dan sungai di US.

Ya, ikan ini mungkin terlepas ke perairan US secara tidak sengaja atau disengajakan oleh peminat-peminat ikan yang tidak mengetahui impak yang boleh diakibatkan oleh ikan ini. Ikan toman dikatakan membiak dengan pantas dan merebak ke serata bahagian US dari Florida, California, Maryland, Massachusetts dan Rhode Island. Malah ia terus merebak dengan pantas kerana adaptasi ikan toman yang amat unik. Ia bukan sahaja mampu bernafas di atas darat (selagi badannya berkeadaan lembab), malah mampu menahan cuaca sejuk semasa musim sejuk di sana.

Pemantauan jumlah ikan 'snakehead' menggunakan arus elektrik untuk ditangging dan bancian.

Mulut yang besar dan gigi yang tajam ikan toman.

Kewujudan ikan toman ini mendatangkan kerisauan kepada penduduk setempat yang mendapati populasinya yang merebak dengan pantas. Mungkin tiada yang menyangka bahawa ikan toman bukan sahaja dapat menyesuaikan diri dengan lokasinya malah ikan agresif ini mampu membiak dengan pantas sekali.

Pemantauan terus dilakukan di lokasi-lokasi di mana terdapatnya ikan toman bagi mengetahui dengan lebih jelas kesannya terhadap keseimbangan ekologi setempat. Daripada kajian yang dilakukan di Maryland mendapati, ikan toman tidak membawa kesan yang serius kepada populasi ikan-ikan asal seperti ‘bass’. Ikan toman sememangnya terkenal dengan sikap agresifnya namun ia mempunyai senarai pemakanan yang luas dan bukan daripada spesis ikan atau hidupan air sahaja.

Ikan yang dibenarkan ditangkap sepanjang tahun.

Orang ramai digalakkan memakan ikan toman untuk mengawal populasinya.

Walapun ramai yang menganggap toman sebagai spesis yang mengancam hidupan asal di perairan US, namun ramai juga yang mula menyukai ikan ini. Bagi para peminat memancing mereka tentu setuju bahawa ikan toman merupan ikan yang paling seronok di pancing di perairan air tawar. Malah ikan ini juga mempunyai rasa yang lebih enak apabila dijadikan hidangan.


Kini ikan toman bukan sahaja dikenali di seluruh dunia, malah dikatakan lebih ganas dari ikan-ikan air tawar yang lain. Walaubagaimanapun, pemindahan spesis ini ke perairan yang mana ia bukan spesis asal adalah satu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan. Mungkin ia tidak mendatangkan masalah yang besar di lokasi barunya, namun ia tetap membawa perubahan jangka panjang kepada ekosistem. Apapun, ikan toman merupakan salah satu ikan yang amat menarik pada pandangan saya, anda bagaimana?












Free Download


Ahad, 2 Oktober 2016

Keunikan Hidupan Laut - Mentimun Laut

Mentimun laut di dasar laut.

Mentimun laut juga lebih dikenali sebagai “sea cucumbers” merupakan satu lagi hidupan unik yang menarik perhatian MyRokan pada kali ini. Ini kerana selain mempunyai keunikan tersendiri, ia juga merupakan sebuah kumpulan hidupan yang besar dengan jumlah 1,717 spesis yang diketahui dengan sejumlah besarnya terdapat di kawasan sekitar Asia Pasifik. Maka tidak hairanlah mengapa masyarakat di sekitar kawasan ini menggunakan mentimun laut untuk pelbagai kegunaan, selain fungsi mentimun laut itu sendiri kepada alam semulajadi.

Oleh kerana jumlahnya yang besar itu, mentimun laut mempunyai pelbagai bentuk yang unik dan ada di antaranya juga yang mungkin agak kurang menyenangkan bagi sesetengah orang. Pada kebiasannya mentimun laut mempunyai saiz antara 10 hingga 30 cm (3.9 hingga 11.8 in) panjang. Namun saiz mentimun laut terkecil adalah hanya berukuran 3mm (0.12 in) panjang, manakala bagi jenis terbesar pula adalah mencapai sehingga 3 meter (9.8 ft). Walaupun kebanyakan mentimun laut berbentuk seperti silinder, namun ada juga yang berbentuk sedikit leper dan sebagainya. Malah ia juga mempunyai pelbagai rupa bentuk luaran yang menakjubkan.


Mentimun laut di kawasan dalam.

Mentimun laut.

Antara lain jenis mentimun laut.

Manakala mentimun laut sendiri memainkan peranan penting kepada ekosistem di mana ianya ditemui. Selain menjadikan bahan-bahan mereput sebagai sumber makanannya, mentimun laut sebenarnya merupakan agen pembersih yang penting dengan cara yang berbeza daripada hidupan-hidupan lain seperti tiram, kerang, siput, udang, ketam, belangkas dan sebagainya. Mentimun laut kebiasaannya akan menelan pepasir di dasar laut dan membersihkan pasir tersebut daripada sebarang bahan yang terlekat padanya. Namun terdapat juga spesis-spesis lain yang mempunyai tabiat pemakanan yang berbeza.

Di sesetengah kawasan, kepadatan jumlah mentimun laut adalah amat tinggi. Sebagai contoh di Laut Pasifik Selatan kepadatan mentimun laut boleh mencapai sehingga 40 ekor bagi setiap meter persegi. Pada jumlah ini mereka mampu membersihkan sehingga 19 kilogram sendimen bagi setiap meter persegi (34 lb /sq yd) setiap tahun. Namun keupayaan ini juga berbeza-beza mengikut spesis dan kaedah pemakanan mereka.

Kagunaan Kepada Manusia

Oleh kerana jumlah mentimun laut yang banyak dan mudah didapati, manusia telah mempelajari kaedah untuk memanfaatkan sumber mentimun laut ini. Selain dijadikan sebagai salah satu sumber makanan, mentimun laut juga mempunyai potensi sebagai bahan perubatan dengan contoh yang paling dikenali ramai iaitu “minyak gamat”.


Jenis mulut pada mentimun laut.

Antara masakan daripada mentimun laut.

Kawasan penternakan mentimun laut di Madagascar.

Bagi tujuan komersial, mentimun laut juga adalah diternak selain daripada diperolehi dari sumber liar. Teknik penternakan mentimun laut ini adalah dipelopori oleh China dan Jepun sebelum dikembangkan ke India pada tahun 1988. Pembangunan teknologi penternakan mentimun laut terus berkembang ke negara-negara lain seperti Australia, Indonesia, New Celedonia, Maldives, Solomon Islands dan juga Vietnam. Teknik penternakan ini pada mulanya adalah untuk beberapa spesis tertentu sahaja dan ianya semakin bertambah kepada spesis-spesis yang lain.

Antara kaedah yang popular adalah penternakan di bawah jaring ternakan ikan atau udang dalam sangkar. Kehadiran mentimun laut di bawah sangkar ini dapat membantu membersihkan bahan buangan dari ikan atau udang yang diternak di atasnya. Keadaan ini bukan sahaja meningkatkan hasil keluaran mentimun laut, malah ini juga menyediakan keadaan yang lebih bersih dan mengurangkan kerosakan serta bau yang tidak menyenangkan di kawasan penternakan tersebut. Melalui kaedah ini sahaja, China mampu mengeluarkan sehingga 90,000 tan mentimun laut dengan pertumbuhan anak-anak mentimun laut dengan lebih pantas.

Walaupun mentimun laut diternak secara komersial, permintaan pasaran terhadapnya adalah amat tinggi dan menyebabkan harganya menjadi mahal. Ini menyebabkan masih ada di antara mentimun laut yang diperolehi dari sumber liar. Penangkapan dari sumber liar ini menyebabkan populasi mentimun laut menjadi semakin berkurangan. Keadaan ini juga menyebabkan persekitaran tempat tinggal asal mentimun laut diancam dengan kotoran sendimen yang menjadi makanan mereka.

Makanan Dan Ubatan

Sejak sekian lama, khasiat mentimun laut sebagai bahan ubatan telah lama digunakan masyarakat setempat di Malaysia. Gamat atau mentimun laut dari jenis ‘golden sea cucumber’ (Stichopus horrens) digunakan dalam penghasilan produk-produk berasaskan gamat. Memandangkan teknik penternakan gamat di Malaysia kurang berjaya, jumlah populasi gamat adalah semakin berkurangan setiap tahun.

Berbanding dengan negara-negara lain, mentimun laut ini lebih popular sebagai bahan makanan. Dikenali sebagai trepang (atau trīpang) di Indonesia ia digunakan untuk menyediakan sajian-sajian unik dengan pelbagai kaedah masakan. Antara nama lain bagi mentimun laut adalah bêche-de-mer di dalam bahasa Perancis, namako di dalam bahasa Jepun dan balatan di dalam bahasa Tagalog. Walaupun mentimun laut boleh didapati di pasaran, harganya mungkin agak tinggi kerana permintaannya yang tinggi pula. Kebanyakan mentimun laut adalah dijual di pasaran dalam bentuk kering.


Begitulah serba sedikit mengenai keunikan hidupan mentimun laut yang amat unik. Walaupun ia kelihatan kurang menarik bagi sesetengah orang, ia tetap mempunyai fungsi yang amat penting serta permintaan yang amat tinggi. Banyak lagi perkara yang perlu diketahui mengenai hidupan unik ini bagi membolehkan ianya terus dimanfaatkan tanpa mengganggu jumlahnya di habitat liar - kerana ia juga mempunyai fungsi yang amat penting kepada ekosistem.


Free Download




Khamis, 21 Januari 2016

Kehilangan Mereka Mungkin Kehilangan Anda?

Kebanyakan kita hanya melihat fungus sebagai cendawan.

Seperti yang kita ketahui, setiap benda di dalam alam mempunyai fungsi masing-masing dan saling berkait sehinggakan tiada satu benda pun yang tidak mempunyai kaitan dengan benda yang lain. Begitulah halusnya ciptaan pada alam yang luas ini. Berikut hanyalah satu dari gambaran kecil yang digambarkan betapa kita begitu bergantung dengan benda/hidupan lain di dalam alam ini;

Lebah

Lebah serangga yang amat menarik dan berguna.

Lebah dan serangga-serangga lain menjadi agen pendebunga tumbuh-tumbuhan sejak jutaan tahun dahulu. Ini membolehkan tumbuhan menghasilkan makanan dan membiak yang memperkembangkan spesis mereka di dalam alam. Walaupun lebah bukan satu-satunya agen pendebunga, namun ia merupakan agen pendebunga utama yang mendebunga lebih banyak tumbuhan dengan lebih efektif. Disamping itu juga lebah sendiri membekalkan manusia dengan madu sebagai sumber manisan.

Kelawar

Kelawar diberikan reputasi yang buruk.

Kelawar juga merupakan agen pendebunga bagi tumbuhan-tumbuhan tertentu di hutan tropika. Tumbuhan-tumbuhan tertentu yang mempunyai bunga yang berwarna pudar ataupun kurang wangi biasanya didebungakan oleh kelawar. Malah kelawar menjalankan proses debunga ini pada waktu malam berbanding serangga dan burung yang menajalankan proses ini pada waktu siang memastikan lebih banyak tumbuhan boleh didebungakan dan menghasilkan buah.

Kelawar juga mengawal populasi serangga, selain menyebarkan biji buah-buahan ke kawasan yang lebih jauh dari tumbuhan asal (untuk meningkatkan peluang untuk hidup lebih subur). Kelawar merupakan agen pendebungan penting di kawasan seperti Afrika, Asia dan juga kepulauan Pasifik. Antara tumbuhan yang didebungakan oleh kelawar termasuklah pisang, durian, mangga dan buah-buahan hutan yang lain.

Karang

Terumbu karang merupakan kawasan perlindungan hidupan laut.

Kupulan karangan laut yang membentuk terumbu karang merupakan kawasan yang kaya dengan hidupan dan menyediakan tempat yang paling sesuai untuk hidupan laut membiak. Di sini bukan ikan sahaja, malah kerangan, udang, ketam, cacing laut, belut, lintah laut, obor-obor, span (sponges), sotong, tapak sulaiman mendapat perlindungan. Ia juga sebenarnya bertindak sebagai pemecah ombak dari terus menghakis kawasan pantai apabila ribut.

Namun begitu kawasan terumbu karang hanyalah sekitar 1 peratus dari keluasan laut yang luas. Ancaman kepada terumbu karang perlu dilihat sebagai masalah yang serius, kerana ia boleh mengkibatkan kesan yang amat besar.

Plakton

Plankton sebagai nadi makanan hidupan air.

Antara hidupan terkecil dengan fungsi yang paling besar. Plakton menghasilkan 50 – 80 peratus daripada sumber Oksigen di atmosfera disamping memendapkan Karbon ke dasar laut. Ia juga menjadi sumber makanan utama di dalam rantaian makanan bagi hidupan laut.  Plakton terdapat hampir di semua kawasan dengan lembapan samada air tawar mahupun air masin. Plakton yang sihat dapat memastikan sumber makanan air/laut yang kita makan adalah selamat.

Kulat/fungus

Armillaria solidipes merupakan fungus dengan koloni terbesar.

Dunia kulat amat luas yang merangkumi mikro-organisma seperti yis sehinggalah kepada fungus dengan koloni terbesar iaitu honey fungus (Armillaria ostoyae/ Armillaria solidipes ) yang direkodkan mencapai keluasan sehingga  8.9 km2 (2,200 ekar) di Blue Mountains, Oregon.

Kulat mempunyai pelbagai fungsi semulajadi dan antara yang paling penting adalah sebagai agen pengurai/pereputan bagi tumbuhan dan haiwan. Ia mengbalikan semula keseburan kepada tanah. Selain itu juga, manusia banyak menggunakan kulat dalam penghasilan bahan makanan seperti keju, coklat, minuman ringan, roti, tapai, cuka, tempeh, kicap dan sebagainya. Dari segi perubatan pula ia turut digunakan dalam menghasilkan pembagai jenis ubatan dan antibiotik seperti penicillin dan juga statins pengawal kolestrol.


Itu hanyalah 5 daripada hidupan di dalam alam yang disenaraikan. Sekiranya anda ingin melihat keseluruhannya anda pasti akan terpegun bahawa, setiap hidupan saling bergantungan antara satu sama lain untuk memastikan alam sentiasa seimbang. Aktiviti manusia banyak mengganggu keseimbangan ini dan boleh mengakibatkan kesan yang serius. Namun begitu dalam masa yang sama juga kita boleh mendapat manfaat daripada mereka sekiranya kita menggunakan sumber ini dengan betul dan berkhemah.


Free Download



Arkib Blog