Memaparkan catatan dengan label elektronik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label elektronik. Papar semua catatan

Jumaat, 13 Mei 2016

Memasak ‘Steak’ Lebih Mudah Dengan Sous Vide

Steak yang dimasak menggunakan kaedah sous-vide kelihatan lebih segar.

Steak merupakan antara makanan yang rumit untuk disediakan memandangkan adalah sukar untuk mengukur masa yang sesuai untuk penyediaannya. Apatah lagi sekiranya ianya jarang disediakan oleh anda. Hasil yang diperolehi mungkin terlebih masak di bahagian luar, namun dalamnya yang masih mentah, selain itu juga steak yang dimasak menggunaakan kaedah biasa adalah lebih kering.

Kaedah memasak ‘sous-vide’, berasal dari Perancis yang bermaksud “di bawah vakum”. Ia bukanlah kaedah baru dan selain digunakan untuk memasak ‘steak’, ia juga boleh digunakan untuk menyediakan hidangan-hidangan lain. Apakah istimewanya kaedah masakan ini?

Memasak dengan kaedah ini, bahan masakan perlu dimasukkan ke dalam beg plastik yang telah di vakum kan. Ia kemudiannya dimasak di dalam air dengan suhu yang perlahan antara 55 ke 60 °C (131 ke 140 °F) untuk suatu tempoh yang cukup untuk bahan makanan tersebut masak sepenuhnya sehingga ke dalam. Bagi penyediaan ‘steak’, proses berikutnya adalah memanggangnya semula – untuk menjadikan bahagian luarnya lebih garing. Hasilnya, sangat menakjubkan.

Hasil masakan untuk jenis makanan yang berbeza.

Steak yang dimasak secara sous-vide.

Steak yang dimasak dengan kaedah biasa.

Kaedah masakan ini dikatakan bermula lebih awal dengan kaedah pertama diperkenalkan oleh Sir Benjamin Thompson (Count Rumford) pada tahun 1799 yang menggunakan udara panas sebagai medium pengalihan haba kepada makanan. Ia kemudiannya ditemui semula oleh jurutera Amerika dan Perancis pada pertengahan 1960-an sebagai kaedah pengawetan dalam industri makanan. Kaedah ini kemudiannya digunakan oleh Georges Pralus pada tahun 1974 untuk ‘Restaurant Troisgros’ di Roanne, France. Melalui kaedah ini, sejenis makanan yang dikenali sebagai ‘foie gras’, yang dihasilkan kelihatan lebih menarik, selain teksturnya juga lebih baik. Ini kemudiannya diikuti pula oleh beberapa tokoh lagi di dalam bidang masakan dan juga kajian sains.

Apa yang menarik melalui kaedah ini, bahan yang ingin dimasak akan disimpan di dalam bekas plastik dalam keadaan vakum. Keadaan ini membolehkan haba dialirkan dengan lebih baik kepada bahan makanan yang ingin dimasak tanpa mengeluarkan bahan yang terkandung di dalam bahan yang dimasak. Bahan yang dimasak juga tidak akan hangus walaupun ia dimasak dalam tempoh yang lama - ini kerana, ia tidak akan melebihi suhu air yang digunakan seperti yang dinyatakan di atas.

Pelbagai peralatan masakan sous-vide.

Peralatan sous-vide industri.

Kaedah ini adalah antara kaedah yang digunakan oleh chef-chef terkenal seperti; Heston Blumenthal, Paul Bocuse, Michael Carlson, Thomas Keller, Grant Achatz, Ferran Adrià, Joël Robuchon, Philippe Rochat, Alessandro Stratta, Charlie Trotter, Michael Mina, Joan Roca dan ramai lagi. Amtrak juga menggunakan kaedah ini untuk hidangan yang dihidangkan di dalam keretapinya termasuk Acela Express.

Hari ini peralatan memasak teknik ‘sous-vide’ banyak dihasilkan untuk memudahkan orang ramai menghasilkan makanan mereka menggunakan kaedah ini. Apa yang penting adalah kefahaman bagaimana teknik ini berfungsi kerana terdapat banyak sekali variasi peralatan memasak ‘sous-vide’ dihasilkan samada berbentuk ‘slow cooker’, ataupun sebagai alat pemanas sahaja. Dibantu pula dengan teknologi elektronik dan komputer peralatan ini turut dilengkapi dengan pelbagai fungsi tambahan.

Walaupun ia merupakan kaedah baik dalam masakan, namun bagi mereka yang ingin menyediakan makanan dengan teknik ini perlulah berhati-hati untuk tujuan keselamatan dalam memastikan bahan makanan selamat daripada organisma seperti bakteria dan sebagainya. Bagi mereka yang mempunyai masalah imuniti atau ibu-ibu yang mengandung perlu menyediakan makanan mereka dengan teknik ini dengan lebih behati-hati (kerana suhu yang digunakan adalah lebih rendah).

Tujuan kita kali ini adalah untuk melihat bagaimana sesetengah kaedah memasak perlu dilakukan dengan kaedah yang berbeza disamping mengenali peralatan-peralatan memasak moden yang dilengkapi dengan keistimewaan tertentu. Anda tentu tertanya bagaimana ‘steak’ yang tebal boleh dimasak dengan sempurna disamping mengekalkan teksturnya - melainkan ianya disediakan menggunakan teknik yang berbeza.



Free Download



Sabtu, 16 April 2016

Samsung Dengan Patent Untuk Smart-Contact Lens

Smart-Contact Lens mungkin menjadi satu lagi fenomena.

Syarikat-syarikat gergasi kini bukan sahaja mempunyai produk-produk yang hebat, malah mereka mempunyai bahagian R&D dan teknik perniagaan yang memastikan mereka terus berada di hadapan daripada pesaing-pesaing mereka yang lain. Salah satu teknik tersebut adalah ‘Patent’.

‘Patent’ memastikan syarikat-syarikat lain tidak boleh mengeluarkan barang tersebut tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada mereka yang mempunyai ‘patent’ tersebut. Namun ia juga mempunyai kelemahan di mana terdapat syarikat-syarikat besar yang mem’patent’ perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti Amazon yang pernah ingin mem’patent’ video dengan latar belakang berwarna putih.

Contact lens daripada filem Mission Imposible - Ghost Protocol.
Gambarajah daripada patent oleh Samsung.

Kita kembali semula kepada rekaan Samsung yang dipatentkan iaitu “Smart-Contact Lens”, yang mana ia mempunyai keupayaan lebih daripada membantu memperbaiki kebolehan penglihatan seseorang berbanding contact-lens biasa. Antara kelebihannya adalah mengambil gambar dengan melalui kelipan mata pemakainya. Ia mirip sekali dengan contact-lens yang digunakan di dalam filem Mission Impossible 4 – Ghost Protocol.

Selain daripada dilengkapi dengan kamera, ia juga turut dilengkapi dengan pemapar imej – dan ini menjadikan ia antara produk yang menyaingi produk sebelumnya seperti “Google Glass” oleh Google. Selain itu sensor tambahan membolehkan fungsi tambahan seperti mengambil gambar hanya melalui kelipan mata pemakainya. Ia bagaimanapun memerlukan sokongan peralatan tambahan seperti ‘smartphone’ untuk melakukan kerja-kerja tambahan – yang disambungkan secara ‘wireless’.

Proses permohonan patent tersebut telah dilakukan lebih awal iaitu sejak tahun 2014 lagi dan hanya baru-baru ini sahaja ia diterbitkan secara umum. Ia dilengkapi dengan pelan asal kanta lekap tersebut.
Selain daripada Samsung, Google juga mempunyai patent untuk produk yang hampir sama dan masih belum ada yang tampil dengan produk yang berfungsi setakat ini. Seperti yang diterangkan pada awal artikel ini, ia merupakan salah satu teknik syarikat-syarikat gergasi dalam mengawal produk-produk masa depan mereka dan adakalanya hanyalah sebagai gimik perniagaan.

Keradangan mata antara masalah biasa daripada pemakaian contact lens.

Jangkitan boleh berlaku daripada pemakaian contact lens.

Walaupun ia bagaikan peralatan impian semua, namun meletakkan peralatan elektronik ke atas permukaan mata anda bukanlah perkara yang mudah (menyihatkan). Ia banyak menimbulkan masalah walaupun dengan kanta lekap (contact-lens) biasa yang telah berada di pasaran sekian lama. Masih banyak perkara yang perlu dikaji sebelum produk ini mempunyai fungsi yang betul-betul boleh mendapat sokongan pengguna.


Namun begitu dari segi pembangunan teknologi ia tetap merupakan usaha yang baik. Tiada produk yang terus mempunyai kualiti terbaik melainkan mempunyai sejarah pembaik pulihan yang berpanjangan seperti radio, TV, telefon dan sebagainya. Kita tidak boleh terus menganggap satu rekaan yang mudah tidak mempunyai masa depan yang cerah.




Free Download



Jumaat, 18 Mac 2016

Lagi Mini Komputer Sehebat Rasberry Pi 3

Saiz Pine64 yang kecil seperti juga mini komputer yang lain.

Pine 64 itulah nama mini komputer baru yang berharga jauh lebih murah dari Rasberry Pi 3 yang juga merupakan mini komputer yang menggunakan sistem 64-bit. Pine 64 dengan harga hanya USD15 itu adalah lebih dari separuh berbanding Rasberry Pi 3 dengan harga USD35.

Komputer-komputer mini kini membanjiri pasaran bagi peminat-peminat mini komputer untuk melakukan lebih banyak projek automasi dengan kawalan komputer. Ini membolehkan para peminat projek elektronik berkomputer mencuba sesuatu idea baru dengan kos yang lebih murah – memberikan peluang yang lebih besar kepada orang ramai untuk melibatkan diri (walaupun secara individu).

Terdapat beberapa versi Pine 64 iaitu; Pine 64 (USD15), Pine 64+ (USD19) dan Pine 64+ 2GB (USD29) dengan beberapa ciri-ciri tambahan bagi memenuhi keperluan pengguna. Kesemua jenis Pine tersebut dilengkapi dengan CPU 1.2 Ghz Quad-Core ARM Cortex A53 64-Bit. Apa yang membezakan antara board-board ini adalah dari segi saiz RAM dari 512MB sehingga 2GB. Manakala bagi board Pine 64+ 2GB turut dilengkapi dengan port untuk kamera 5MP, 4 lanes MIPI video Port dan juga port untuk kegunaan Touch Panel.

Konfigurasi papan Pine64 dan soket-soket berkaitan.

Papan Pine64 secara dekat.

Home Media merupakan kegunaan asas mini komputer.

Pine 64 dibangunkan di atas sumbangan orang ramai melalui program Kickstarter. Sejumlah USD1.7 juta dikumpulkan dari kempen program tersebut. Manakala kini para penyumbang tersebut merupakan antara mereka yang terawal menerima mini komputer mereka.

Pine 64 boleh dipesan melalui laman webnya di Pine64.com dari seluruh dunia. Manakala stock bagi Pine 64 (USD15) mengalami kekurangan stock dan ianya akan dihantar menjelang May nanti.

Seperti juga Raspberry Pi, Pine 64 amat sesuat untuk digunakan dengan perisian Android dan juga Remix OS. Malah bagi para peminat dunia mini komputer ini banyak lagi perisian yang digunakan untuk mengawal mini komputer mereka.


Banyak perkara boleh dilakukan menggunakan mini-mini komputer ini selain untuk kegunaan biasa. Anda boleh menggunakannya sebagai komputer ‘programming’, media player, video kamera, projek-projek automasi dan apa sahaja mengikut kreativiti anda sendiri. Jangan lepaskan peluang anda dan ikuti lebih lanjut kaedah penggunaan mini komputer melalui laman-laman hobi dan forum yang disediakan. 

Antara aksesori boleh digunakan bersama Pine64 (I/O).

Anda boleh membina mini super-computer dengan harga sebuah PC biasa.


Free Download



Selasa, 8 Mac 2016

Sejarah Rekaan Peralatan Pembersih Hampagas (Vacuum Cleaner)

Roomba, mesin pembersih hampagas robotik tanpa pengawasan.

Sejarah rekaan sesuatu peralatan merupakan perkara yang penting untuk diketahui. Melalui kisah ini kita dapat melihat bagaimana perubahan sesuatu barang tersebut sehingga ke tahap yang lebih baik seperti yang kita lihat pada hari ini. Di sini kita mengambil pembersih hampagas sebagai contoh sahaja di mana, kesemua barangan dan peralatan lain adalah dihasilkan melalui proses yang seakan-akan sama sahaja.

Pembersih hampagas direka lebih awal iaitu sekitar 1860-an bagi tujuan untuk membersihkan isi rumah (kebiasaannya adalah karpet yang menyimpan habuk). Pada mulanya Daniel Hess mencipta peralatan yang dipanggil sebagai “carpet sweeper”, yang menggunakan berus untuk menarik habuk dari carpet. Ia bagaimanapun tidak dihasilkan secara komersil.

Beberapa rekaan lain turut dihasilkan oleh Ives W. McGaffey, yang mereka “Whirlwind” yang menggunakan kipas yang dipusingkan menggunakan tenaga manusia.  Ia agak janggal digunakan namun – ia mungkin merupakan satu-stunya peralatan yang ada pada masa tersebut, dan mendapat jualan yang lebih baik. Ini diikuti pula dengan “Grand Rapids” yang direka oleh Melville R. Bissell.
Tidak kurang juga John S. Thurman dari St. Louis, Missouri yang mencipta "pneumatic carpet renovator" yang menggunakan tenaga ‘gasoline’, ia merupakan peralatanyang menghembuskan habuk ke udara dan tidak pula mengumpul habuk-habuk tersebut.

Whirlwind yang direka oleh Ives W. McGaffey.

Contoh rekaan yang dipatentkan.

Corinne Dufour memperbaiki rekaan pada “carpet sweeper” dengan menggunakan motor elektrik dan span basah untuk menangkap habuk. Manakala Hubert Cecil Booth dari England pula mencipta peralatan vakum pertama menggunakan enjin bermotor. Ia bersaiz amat besar dan perlu menggunakan kereta kuda untuk memindahkannya.

Walter Griffiths mencipta peralatan vakum mudah alih yang pertama, namun ia masih menggunakan tenaga manusia sebagai sumber kuasanya. Kemudian satu lagi rekaan yang penting dihasilkan adalah “Domestic Cyclone” oleh James B. Kirby, yang menggunkan air untuk mengumpul habuk-habuk yang disedut dari karpet.

Peralatan pembersih hampagas (vacuum cleaner) yang menggunakan motor elektrik pertama adalah dihasilkan oleh James Murray Spangler dari Canton, Ohio. Ia dikira sebagai pembersih hampagas (vacuum) pertama yang menggunakan motor elektrik, mudah alih dan mengumpulkan habuk dalam satu masa.

Contoh peralatan awal dan moden. 

Vacuette, antara mesin tidak menggunakan elektrik.

'Domestic Cyclone' menggunakan air untuk mengumpul habuk.

James Murray Spangler

Bekerja sebagai pembersih (janitor) di sebuah pasaraya, tugasnya adalah membersihkan karpet yang dilakukan menggunakan kaedah biasa – memukul, menyapu dan menggunakan peralatan-peralatan yang ada. Oleh kerana alahan terhadap asthma, beliau mencari kaedah yang dapat mengelakkan dirinya terdedah kepada habuk semasa melakukan kerja-kerja tersebut.

Semasa menggunakan peralatan-peralatan lain, terfikir olehnya sekiranya peralatan tersebut menggunakan kipas yang seperti yang digunakan di syiling tempat beliau bekerja. Dari sinilah beliau memulakan proses rekaannya mencipta peralatan menggunakan kipas elektrik.

Rekaan beliau tidak berjalan dengan mudah, kerana pada mulanya peralatan tersebut hanya mampu menyedut habuk, namun ianya beterbangan di udara. Beliau kemudiannya menggunakan sarung bantal untuk mengumpul habuk-habuk yang disedut dan dikumpulkan.

Rekaan tersebut dipatent dan dijual kepada syarikat William Henry Hoover. Di mana sehingga ke hari ini syariakt tersebut masih lagi menghasilkan pelbagai jenis dan model pembersih hampagas (vacuum cleaner).

Mesin pembersih menggunakan teknik Cyclone dari Dyson.

Pembangunan Berterusan

Dari rekaan inilah saiz dan bentuk peralatan ini terus berubah dari semasa ke semasa. Teknologi yang digunakan pada pembersih hampagas juga adakalanya turut digunakan pada mesin-mesin yang lebih besar seperti pembersih ‘cyclone’, yang biasa digunakan untuk mengumpul partikel yang beterbangan di dalam industri perkilangan/ pembuatan.

Hari ini pembersih hampagas digabungkan dengan teknologi perkomputeran yang membolehkan mesin tersebut melakukan kerja-kerja pembersihan dengan sendiri tanpa pengawasan manusia. Teknologi robotik yang digabungkan bersama dengan mesin pembersih ini telah dimulakan sejak lewat 90-an dan awal tahun 2000 lagi. Antara mesin pembersih robotik yang paling terkenal adalah Roomba, Neato, dan bObsweep.


Kebiasaan mesin pembersih hampagas hari ini.


Ianya sangat menarik melihat bagaimana sesuatu perkara mula dicipta. Ia biasanya bermula dengan pelbagai kekurangan, kecatatan dan sebagainya. Namun kita dapat lihat betapa ia merupakan salah satu rekaan penting digunakan hampir di setiap rumah. Apa yang penting di sini, ia direka oleh seorang yang menginginkan perubahan tanpa menanti ianya dilakukan oleh orang lain. Anda boleh jadi siapa sahaja untuk mencipta sesuatu yang dapat memudahkan diri anda sendiri ataupun orang lain di sekeliling anda.



Free Download



Ahad, 6 Mac 2016

Mini Komputer Berharga di Bawah USD10

Komputer mini yang sangat kecil dan murah.

Komputer menjadi antara peralatan penting hari ini. Oleh kerana kepesatan teknologi komputer, harganya menjadi semakin murah dan boleh dimiliki oleh siapa sahaja. Namun begitu harga komputer mini ini jauh lebih murah kerana binaan dan fungsinya yang tersendiri.

Dua mini komputer pada harga di bawah USD10 iaitu Rasberry Pi Zero (USD5) dan juga C.H.I.P (USD9) mempunyai kelebihan masing-masing. Seperti juga yang kita ketahui sebelum ini Rasberry Pi telah mengeluarkan beberapa model mini komputer sebelum ini iaitu : Rasberry Pi A, A+: B, B+ - sebelum mengeluarkan model terbaru ini iaitu Rasberry Pi Zero.

Kedua-kedua komputer mini ini boleh digunakan untuk pelbagai projek dan anda perlulah mengetahui sedikit sebanyak mengenai teknik-teknik mengendalikannya. Ini kerana papan (board) komputer ini didatangkan tanpa kabel dan peralatan lain seperti keyboard, monitor, speaker dan lain-lain. Jadi anda perlu mengetahui jenis-jenis kabel, slot-slot yang betul untuk menyambungkan peralatan-peralatan lain kepada board ini untuk membolehkan ianya berfungsi dengan betul.

C.H.I.P. komputer di atas papan keyboard.

Layout pada papan Rasberry Pi Zero.

Layput pada papan C.H.I.P. komputer.

Kedua-dua mini komputer ini mempunyai kuasa CPU yang hampir sama iaitu dengan kelajuan 1GHz dengan RAM 512MB. Namun begitu C.H.I.P menggunakan CPU yang lebih baru iaitu ARMv7 dan Pi Zero pula menggunakan ARMv6 (adakalanya dipanggil sebagai ARM11). Terdapat beberapa perbezaan ketara antara kedua papan komputer mini ini. Jadi anda perlu memeriksanya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menggunakannya.

Komputer-komputer mini ini amat sesuai untuk digunakan pada pelbagai projek elektronik dan programming. Selain daripada ianya jauh lebih murah, ia juga mudah dipadan dan di program.  Bagi yang baru ingin mencuba mungkin Rasberry Pi adalah jauh lebih baik kerana ia mempunyai komuniti pengguna yang ramai – mudah untuk mendapat bantuan tentang penggunaannya. Namun begitu C.H.I.P juga mungkin sesuai bagi mereka yang telahpun biasa menggunakan mini-mini komputer yang lain.


Free Download



Arkib Blog