Memaparkan catatan dengan label lukisan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lukisan. Papar semua catatan

Rabu, 14 Jun 2017

Lukisan Meningkatkan Daya Ingatan

Melakar membantu meningkatkan kemampuan mengingat.

Mengingat atau menghafal sesuatu bukanlah mudah, namun sekiranya anda melukiskan setiap perkara yang anda cuba ingati, ia mungkin boleh membantu meningkatkan tahap ingatan anda. Ini bukanlah perkara yang baru diketahui, tetapi kebanyakan kita tidak ingin melakukannya kerana tidak boleh melukis dengan baik.

Apa yang menarik, untuk tujuan mengingat ini anda tidak semestinya mempunyai bakat melukis yang hebat. Ianya cukup sekadar anda mengetahui apakah yang anda lukiskan. Anda mungkin mengetahui mereka yang sering dilihat melukis sesuatu semasa di dalam kelas - dan mereka adalah dari kalangan orang-orang yang mempunyai pencapaian yang baik. Jadi kecenderungan melakar ini membantu mereka untuk mengingat pelajaran dengan lebih baik.

Pelbagai jenis carta memudahkan proses menganalisis maklumat.

Otak manusia memproses gambar dengan lebih efektif.

Kajian mengenai perkara ini turut diterbitkan di dalam “Quarterly Journal of Experimental Psychology”, yang melaporkan kajian terhadap sekumpulan orang yang dikaji untuk samada menulis atau melakarkan beberapa perkataan mudah untuk diingati. Kemudian mereka diminta untuk mengingati sebanyak mungkin perkataan-perkataan yang ditulis atau dilakarkan tadi. Keputusan yang didapati adalah, mereka yang melakarkan perkataan tersebut lebih mudah mengingati berbanding mereka yang hanya menulisnya. Menurut ketua penulis kajian ini iaitu Jeffrey Wammes dari University of Waterloo, “Peserta biasanya mengingati lebih daripada dua kali ganda perkataan yang ditulis berbanding perkataan yang ditulis”.

Leonardo da Vinci dikenali sebagai seorang genius berbakat luar biasa.

Gambarajah dapat menerangkan sesuatu dengan lebih mudah.

Apa yang menarik untuk anda ketahui mengenai perkara ini adalah, anda tidak perlu melukis sesuatu perkara dengan ketepatan yang tinggi. Jadi anda tidak memerlukan bakat luar biasa semata-mata untuk anda mengingati sesuatu. Lukisan ringkas, sama juga seperti ‘peta minda’, carta, ‘fish bone chart’ dan sebagainya memudahkan proses mengingat di samping membuka lebih banyak peluang untuk anda mengembangkan lagi idea mengenai sesuatu perkara.


Ini juga menerangkan mengapa kebanyakan pengkaji seperti ‘Leonardo da Vinci’, mempunyai bakat melukis di samping kebijaksanaan rekaan luar biasa. Jadi, berilah galakan kepada anak-anak anda untuk melakar sesuatu bagi melatih mereka meningkatkan tahap ingatan serta mengembangkan idea mereka. Jadi tidaklah mereka melakar di dinding rumah anda lagi.



Free Download



Khamis, 24 Disember 2015

Peralatan Untuk Melukis Manga

'Nib pen' yang menjadi peralatan klasik dalam melukis manga.

Memandangkan kemahiran melukis manga mempunyai potensi yang tinggi bukan sahaja untuk dijadikan sebagai kerjaya, malah ia juga sesuai untuk mengasah bakat kreativiti seseorang, maka kita akan terus melihat perkara-perkara yang berkaitan dengan dunia manga ini dari semasa ke semasa. Hari ini kita akan lihat pula peralatan-peralatan yang diperlukan dalam menyediakan sesebuah lukisan manga.

Perlu diingat bagi peralatan dalam melukis manga, terdapat beberapa peralatan yang anda perlukan sebagai peralatan asas. Manakala yang lainnya pula adalah peralatan tambahan yang hanya bertindak sebagai penyokong (memudahkan kerja) atau aksesori (mencantikkan lagi) hasil karya manga anda. Perkembangan industri ini, sudah semestinya menambahkan lagi pelbagai bahan-bahan sampingan berbanding bahan khusus yang terdiri daripada beberapa peralatan asas sahaja pada mulanya.

Peralatan Asas Penting

Pensil


Pensil yang sesuai amat penting untuk lakaran yang baik.


Pensil diperlukan untuk tujuan asas lakaran. Jadi ia merupakan peralatan utama dalam menghasilkan manga. Pensil ini perlulah yang hanya menghasilkan lakaran asas seperti 2H sehingga ke HB namun ia juga bergantung dengan kesesuaian seseorang pelukis itu sendiri.

Pensil yang digunakan mungkin terdiri daripada pensil biasa ataupun pensil mekanikal yang tidak perlu diasah berulang-ulang. Ini dapat memudahkan para pelukis dengan hanya menukar ‘lead’ nya mengikut keperluan. Lead mungkin akan terdiri daripada kelas ‘B’ untuk mata yang lebih lembut dan gelap, manakala ‘H’ untuk mata yang agak keras dan garisan yang lebih pudar.

Apapun jenis pensil yang digunakan, untuk lukisan manga kebiasaannya pensil hanya digunakan dalam menghasilkan garisan panduan kerana hasil akhir lukisan akan menggunakan pen dakwat bagi menghasilkan garisan yang lebih jelas dan hitam.

Kertas 8.5"x11"

Bagi pelukis manga, anda perlulah memiliki bekalan kertas putih yang cukup untuk tujuan penghasilan manga anda dan juga untuk tujuan latihan lakaran karektor dan sebagainya. Kertas yang diperlukan kebiasaannya dari kertas yang bersaiz 8.5"x11" – memandangkan ia saiz yang biasa digunakan untuk komik standard.

Terdapat pelbagai jenis kertas yang berada di pasaran. Bagi seseorang pelukis manga pula anda perlu tahu membezakan jenis-jenis kertas ini kerana ia boleh membantu anda mengenal kualiti kertas dan kegunaannya dengan baik. Sebagai contoh anda mungkin boleh menggunakan kertas 70 gsm untuk tujuan lakaran biasa. Manakala untuk tujuan penghasilan hasil akhir kertas yang perlu digunakan adalah dari jenis 80 gsm dan ke atas.

Pembaris 12”

Pembaris adalah antara peralatan yang penting dalam manga untuk membantu anda membuat lakaran-lakaran garisan panduan. Pembaris panjang 12” (30 cm) dapat memudahkan anda melukis garisan panduan untuk keseluruhan panjang kertas yang digunakan. Ini dapat menjimatkan masa berbanding sekiranya anda menggunakan pembaris biasa 6” (15 cm).

Ruang Kerja


Ruang kerja yang selesa penting untuk menghasilkan kerja yang baik.
Meja kerja idaman para pelukis manga.


Ruang kerja mungkin merangkumi meja khas untuk anda melakukan kerja-kerja melukis manga. Ruang kerja penting bagi memastikan anda dapat melukis dengan selesa dengan peralatan yang lengkap tanpa gangguan. Anda mungkin tidak mahu peralatan anda diganggu sehingga menyebabkan kerja-kerja anda terbengkalai. Adalah lebih baik sekiranya anda memiliki meja lukisan atau sekurangnya papan lukisan khusus untuk itu.

Pemadam

Pemadam juga merupakan salah satu peralatan penting dalam melukis manga. Kerja-kerja melukis sentiasa memerlukan anda membuat perubahan kepada lakaran asal yang dibuat menggunakan pensil. Jadi pemadam yang sesuai amat penting bagi memastikan hasil kerja yang bersih lagi kemas. Ciri-ciri pemadam yang baik adalah, dapat membersihkan kesan yang ingin dipadamkan, tidak meninggalkan kesan pada kertas dan tidak pula merosakkan kertas.

Peralatan Manga: Permulaan (Asas)

Pen Dakwat


Pen dakwat dalam pelbagai saiz.

Pen Dakwat inilah yang membezakan antara komik dan lukisan biasa. Seterusnya terdapat perbezaan teknik mendakwat (inking) bagi teknik manga Jepun dan juga komik US misalnya. Namun begitu ia tetap memerlukan pen dakwat untuk memastikan lukisan komik dapat disiapkan. Pen Dakwat ini terdiri daripada pelbagai saiz daripada: 0.1, 0.5, 1.0, 2.0, dan sebagainya. Anda tidak perlu memiliki kesemua saiz pen tersebut, tetapi setidak-tidaknya perlu memiliki beberapa perbezaan saiz mata pen untuk memudahkan kerja mendakwat.

Template


Template untuk mempercepatkan proses melakar/melukis.

Template adalah peralatan yang mempunyai tebukan bentuk-bentuk dengan pelbagai rupa dan saiz. Walaupun bentuk-bentuk ini boleh dilukis sendiri, namun penggunaan template dapat menjimatkan masa dan juga menghasilkan lukisan yang lebih bersih/kemas. Terdapat juga template untuk melukis lengkuk, huruf dan nombor.

Kompas/jangka sudut

Penggunaan kompas dan jangka sudut ini juga penting bagi seorang pelukis manga. Untuk memastikan ia dapat digunakan dengan baik, anda perlulah mempunyai kemahiran menggunakannya dalam lukisan. Terdapat pelbagai jenis jangka sudut, dan ianya berguna mengikut fungsi-fungsinya tertentu.

Pembaris Lengkung

Pembaris lengkung juga adalah peralatan tambahan yang dapat menjimatkan masa. Walaupun lengkung biasanya dilukis menggunakan template lengkung atau ‘free hand’, penggunaan pembaris lengkung dapat menghasilkan garisan yang lebih kemas dengan pantas. Jadi ia merupakan peralatan tambahan yang dapat membantu.

T-Square


T-Square boleh menjadi peralatan yang menjimatkan masa.

Pembaris T-Square, hanya berfungsi dengan baik sekiranya anda menggunakan papan lukisan atau meja lukisan. Namun penggunaan peralatan ini juga dapat  menjimatkan masa apabila dipadankan penggunaannya dengan set-square (iaitu dua lagi pembaris segitiga yang bersudut 90 darjah). Penggunaan peralatan ini juga memerlukan kemahiran khusus. Jadi sekiranya anda baru bermula, peralatan ini mungkin merupakan peralatan tambahan sahaja.

Peralatan Manga: Advanced

Dakwat


Dakwat yang digunakan untuk melukis manga.

Dakwat diperlukan sekiranya anda memilih untuk melukis manga menggunakan pen lukisan ‘nib’. Terdapat pelbagai jenis dakwat dan jenis yang terbaik adalah dari jenis kalis air (waterproof) dan juga tahan pudar (fadeproof) yang dapat memastikan kualiti lukisan anda tahan untuk jangka masa yang lebih lama. Sebagai permulaan, anda bolehlah menggunakan dakwat dalam botol kecil untuk mengenal pasti dakwat yang sesuai.

Pen Dakwat Nib


Mata pen 'nib' dalam pelbagai bentuk dan saiz.


Ia adalah jenis pen dakwat klasik yang digunakan untuk melukis komik dan kaligrafi. Pen-pen ini terdiri daripada pelbagai bentuk dan jenis. Jadi anda juga perlu mengenali pen ‘nib’ yang sesuai untuk digunakan. Salah satu kelemahan menggunakan pen ini adalah ia perlu sentiasa dicelup ke dalam dakwat. Bagi yang kurang mahir, ia mungkin boleh menyebabkan hasil yang kurang kemas.

Cecair Pemadam (White Out)

Ia didatangkan dalam bentuk cecair di dalam botol atau pen. Bagi anda yang menggunakan dakwat, cecair pemadam ini adalah penting untuk membuat pembetulan pada kesilapan-kesilapan kecil. Penggunaan berlebihan mungkin mengakibatkan hasil lukisan anda kelihatan comot/buruk.

Manuscript Paper

Kertas ini digunakan untuk memudahkan anda menghantar kerja-kerja komik anda kepada penerbit. Jadi sebab itulah ia berada dalam kategori peralatan advance. Namun begitu sebelum anda menggunakan mana-mana ‘manuscript paper’ anda perlulah terlebih dahulu memastikan spesifikasi yang diperlukan oleh penerbit tertentu. Sebagai permulaan, kertas biasa juga adalah memadai.

Tones


Penggunaan 'tones' dalam komik/manga.

Tones, banyak digunakan dalam manga-manga klasik hitam-putih untuk menimbulkan kesan yang lebih menarik. Ia mungkin berbentuk garisan, titik-titik, corak dan sebagainya. Penggunaan tones mungkin akan memakan belanja yang agak mahal. Kebiasaannya pelukis komik mempunyai cara tersendiri menghasilkan tones dengan kaedah yang lebih murah.

Papan Pemotong

Papan pemotong dapat mengelakkan kerosakan pada meja anda sekiranya anda menggunakan ‘tones’ di mana anda biasanya perlu memotong ‘tones’ mengikut rupa bentuk yang diperlukan. Papan pemotong yang sesuai dapat memastikan ruang kerja yang efisyen dan kerja-kerja anda dapat dihasilkan dengan lebih pantas.

Pisau Pemotong

Anda memerlukan pisau pemotong untuk kerja-kerja memotong. Pisau pemotong kebiasaannya amat tajam. Jadi anda perlu berhati-hati dan memastikan ia berada dalam keadaan yang baik untuk memastikan hasil pemotongan adalah baik. Selain itu anda juga selamat sewaktu mengendalikannya.

Paper Cement


Paper Cement untuk melekatkan tones pada lukisan.

Paper cement bertindak seperti gam untuk melekatkan ‘tones’ kepada tempatnya. Ia perlu dilakukan dengan teliti kerana ia akan melekat dengan kuat. Jadi sekiranya berlaku kesilapan, adalah agak sukar untuk menanggalkannya semula.

Tersebut adalah peralatan-peratalan asas untuk anda menghasilkan manga. Walaupun terdapat peralatan yang tergolong di dalam kriteria “advanced”, di sini hanyalah keperluan asas untuk menghasilkan manga secara asas sahaja. Peralatan lengkap penghasilan manga merangkumi media yang lebih luas yang akan dibentangkan pula dalam artikel yang lain. Teknik penghasilan manga moden adalah merangkumi bahan media bewarna dan juga melibatkan perisian komputer.



Free Download



Arkib Blog