Isnin, 19 Februari 2024

Pengalaman Yang Tidak Dapat Dilupakan Menanti di Da Nang, Bandar Batu Permata Vietnam

Da Nang, muncul sebagai sebuah bandar pelancongan yang baru menampilkan tarikan semulajadi dan juga binaan baru yang menakjubkan.
 
Sekiranya anda pernah melawat ke Vietnam, tentunya anda ingin melawati bandar yang unik ini yang juga merupakan bandar ke-6 terbesar di Vietnam. Namun oleh kerana lokasi dan tarikannya, Da Nang tidak kurang menarik daripada dua bandar utama di Vietnam seperti Ho Chi Minh dan juga Hanoi. Pengalaman setelah melawat ke Da Nang mengubah persepsi asal yang menganggap Da Nang hanyalah bandar kecil yang mungkin memberikan sedikit kepuasan apabila anda melawatinya.
 
Kelebihan Da Nang yang berbeza dengan bandar-bandar lain adalah sebaik sahaja anda sampai di bandar ini. Kedudukan lapangan terbangnya yang berada di tengah-tengah bandar memudahkan perjalanan menuju ke hotel penginapan. Walaupun perjalanannya tidaklah terlalu jauh mungkin sekitar beberapa kilometer yang mungkin boleh ditempuh dengan hanya berjalan kaki. Namun kemudahan pengangkutan seperti teksi dan servis seperti Grab amat memudahkan proses perjalanan sekitar bandar.
 
Keunikan Da Nang adalah terdiri daripada beberapa faktor seperti lokasinya yang berdekatan dengan laut dan merupakan pelabuhan yang penting sejak dahulu lagi. Ini memberikan dia keadaan yang unik iaitu pantai yang cantik dan juga kuala sungai yang juga memberikan ketenangan, terutamanya di waktu malam. Bentuk muka bumi dan keunikan geografi Da Nang, menjadikan ia salah satu tarikan unik seperti Marble Mountains dan semenanjung Son Tra yang harus dilawati bagi melihat sendiri keunikannya. Manakala sejarah Da Nang juga menjadikan satu lagi tarikan unik bandar ini yang dilengkapi dengan beberapa buah muzium untuk menyelami sejarahnya. Di samping itu juga terdapat beberapa muzium lain yang memberikan fokus kepada hasil seni dan perkara-perkara unik yang lain.
 
Bagi merasi keunikan dan hiburan bersama keluarga juga, Da Nang menjanjikan pelbagai tarikan dengan harga yang berpatutan. Tumpuan utama adalah Ba Na Hills, yang menjanjikan suasana nyaman di puncak pergunungan dengan pemandangan yang indah dan seni bina Eropah yang unik. Terdapat beberapa taman tema dan hiburan yang lain di sekitar Da Nang dan kawasan berhampiran dengan harga yang berpatutan menjadikan Da Nang destinasi yang sesuai untuk dilawati oleh setiap golongan masyarakat. Pusat permainan seperti Asia Park dan Mikazuki Water Park 365 merupakan dua taman tema utama selain banyak taman-taman tema kecil yang didirikan untuk penduduk tempatan.
 
Da Nang, Vietnam, memikat pengunjung dengan gabungan unik sejarah, keindahan semula jadi dan keajaiban moden. Daripada menerokai kuil gua purba hingga mengagumi pemandangan panoramik yang menakjubkan, bandar ini menawarkan kaleidoskop pengalaman untuk pengembara yang arif. Berikut adalah beberapa tarikan yang mesti dilihat yang akan menjadikan pengembaraan Da Nang anda tidak dapat dilupakan:

Antara tarikan semulajadi termasuklah gunung marmar yang terletak tidak berapa jauh dengan pusat bandar. Kawasan ini sangat unik dan terdapat banyak gua batu kapur dan kuil-kuil lama didirikan.
 
Terokai Gua Mistik: Mendaki Pergunungan Marmar, lima puncak batu kapur yang dihiasi dengan pagoda dan ukiran yang rumit. Ia dikenali sebagai Ngũ Hành Sơn di dalam Bahasa Vietnam. Merupakan antara lokasi lawatan popular para pelancong berhampiran dengan pusat Bandar Da Nang. Lokasinya yang berhampiran dengan pantai Mỹ Khê, menjadikan ianya lebih mudah mendapat tarikan bagi pelancong setelah puas meluangkan masa di tepi pantai. Oleh kerana terdapat lima puncak di sini ia diberikan nama dengan unsur-unsur seperti Kim (Logam), Thủy (Air), Mộc (Kayu), Hỏa (Api), and Thổ (Tanah), menambahkan lagi keunikan lokasi unik ini. Di sini anda berpeluang menerokai gua-gua tersembunyi yang penuh dengan kuil Buddha, selain dapat menikmati ganjaran dengan pemandangan panoramik bandar dan pantai.

Golden Bridge, merupakan rekaan manusia yang da menjadi daya tarikan baru di Ba Na Hills, di Da Nang.
 
Hayati Retret Puncak Bukit yang Memikat: Antara lawatan mesti anda lakukan ketika melawat ke Da Nang adalah lawatan sampingan ke puncak Ba Na Hills yang menyamankan. Lawatan ini akan menjadi lebih menarik sekiranya lawatan dilakukan pada musim panas, kerana kedinginan udara di puncak lebih ketara daripada cuaca panas di tengah-tengah bandar. Untuk melawati Ba Na Hills, anda boleh mendapatkan khidmat pengangkutan bas-bas pelancongan yang beroperasi di sekitar bandar dan ada di antaranya yang boleh ditempah di atas talian, sebelum anda menjejakkan kaki ke Da Nang. Kunjungan ke Ba Na Hills banyak memberikan pengajaran kepada kita bukan sahaja keunikan seni binanya, malah usaha yang dilakukan oleh pengusaha dan sokongan kerajaan dalam meningkatkan mutu pelancongan bagi meningkatkan ekonomi bandar ini perlu dicontohi oleh negara-negara SE Asean yang lain. Mutu perkhidmatan pengangkutan untuk ke puncak dan kemudahan yang terdapat di atas puncak Ba Na Hills, memberikan kepuasan walaupun anda hanya melawatnya dalam masa satu hari. Lawatan ini jelas memberikan ketenangan di Bukit Ba Na, syurga yang menawarkan udara gunung yang segar dan pemandangan yang tiada tandingannya. Selami replika French Village, terpesona dengan taman fantasi, dan pastikan anda bergambar di jambatan ikonik Golden Bridge, yang tangannya seolah-olah menjangkau dari awan.

Pantai My Khe, amat menarik dan menenangkan untuk pelbagai aktiviti bersama keluarga dan rakan.
 
Bersantai di Pantai Pristine: Antara tumpuan pada pelancong ke Da Nang adalah untuk melawat dan berjemur di bawah sinaran matahari keemasan di Pantai My Khe (Mỹ Khê), yang terkenal dengan perairan biru dengan desiran ombak yang meningkatkan keseronokan anda. Meluangkan masa dengan berjalan dengan kaki di atas pasir di sepanjang pantai merapatkan lagi sentuhan anda bersama alam di samping menikmati tiupan angin pantai yang nyaman. Pantai My Khe, sememangnya sesuai untuk pelbagai aktiviti walaupun hanya untuk berehat. Ia menjadi lawatan para pengunjung sehingga ke lewat malam. Maka dengan itu juga deretan hotel-hotel didirikan berhampiran pantai yang menjadi kegilaan para pengunjung. Semasa kunjungan ke sini manjakan diri anda dengan sukan air, nikmati makanan laut yang segar, atau hanya berehat dan nikmati suasana yang meriah.

Satu acara yang menjadi tarikan unik adalah, jambatan naga yang menghembuskan api.
 
Saksikan Naga Menjadi Hidup: Jambatan Naga yang menjadi ikon penting kepada Bandar Da Nang bukankah sekadar jambatan yang mati. Ia merupakan mercu tanda penting yang mewakili bandar ini sebagai tanda keunikannya. Ia dibina merentasi kuala sungai Hàn sebelum ia menuju ke laut. Jambatan ini bukan sahaja menarik pada waktu siang, malah diterangi dengan lampu-lampu yang menyerlahkan seni binanya pada waktu malam. Manakala pada hujung minggu pula bermula dari malam Jumaat, Sabtu dan Ahad, bermula pada jam 9:00 malam, naga ini akan menyemburkan api dan juga air sebagai pertunjukan. Pertunjukan ini mungkin akan dibatalkan sekiranya terdapat pertunjukan lain seperti pesta bunga api misalnya. Keunikan jambatan ini juga sesuai untuk ditonton semasa anda menaiki River Cruise yang terdapat di Sungai ini. Perkhidmatan River Cruise disediakan oleh beberapa pengendali dengan kadar bayaran yang berbeza-beza.

Terdapat beberapa rekaan patung gergasi di sekitar Da Nang, dan ini adalah salah satu di antaranya yang terletak di Ba Na Hills.
 
Dapatkan Ketenangan Rohani: Sekiranya anda berpeluang untuk ke Semenanjung Son Tra pula anda akan menemui Pagoda Linh Ung. Kunjungan ke sini juga memberikan anda pemandangan panoramik lautan dan patung Lady Buddha putih yang megah memberi inspirasi kepada ketenangan. Semenanjung ini menyediakan kawasan hijau yang menyegarkan dan beberapa lokasi kuil untuk dilawati. Terdapat juga resort-resort mewah yang mengutamakan privasi dan ketenangan menghadapi laut yang biru. Trek-trek untuk aktiviti trekking juga terdapat di kawasan ini. Namun anda mungkin perlu mendapatkan lebih maklumat daripada penduduk tempatan untuk mendapatkan trek yang betul. Puncak gunung yang mencapai ketinggian sehingga 600 meter ini sudah semestinya memberikan anda pemandangan sekitar yang mempersonakan.

Da Nang Museum of Cham Sculpture, merupakan muzium unik yang menampilkan sejarah yang berkaitan dengan Budaya Champ dan sejarah Vietnam lama.
 
Perjalanan Melalui Sejarah: Terdapat beberapa muzium di sekitar bandar Da Nang yang penting untuk dilawat. Ia bukan sahaja mengajar kita untuk mengenali sejarah Da Nang dengan lebih dekat, malah hubungan Da Nang dengan bandar-bandar yang lain semenjak dahulu lagi. Bagaimana sejarah bermula semenjak ribuan tahun dan menjadi bandar yang penting semenjak ratusan tahun dahulu. Ia kemudiannya mengalami keperitan bencana perang yang memakan masa yang lama dan mengorbankan ramai penduduk tempatan. Dengan kesempitan, kesusahan dan kesabaran menjadikan penduduk Vietnam lebih cekal dalam membangunkan negara mereka menjadi tarikan penting kepada pelawat dan pelabur. Muzium yang penting untuk dilawati adalah Đà Nẵng Museum yang mempamerkan pelbagai sejarah latar belakang Da Nang dan Vietnam. Manakala warisan kaya orang Cham boleh dilawati di Da Nang Museum of Cham Sculpture, menempatkan koleksi arca dan artifak yang menawan. Ia mendedahkan lokasi-lokasi bandar purba lama di sekitar Vietnam yang mempunyai hubungan rapat dengan senibina di Angkor, Cambodia.

Asia Park, menyediakan tarikan unik seisi keluarga dengan harga yang amat berpatutan di tengah-tengah Bandar Da Nang.
 
Banyak perkara yang perlu anda terokai di Da Nang dan ianya berbeza sekali dengan kedua-dua bandar utama di Vietnam ianya Ho Chi Minh dan Hanoi yang terlalu sibuk dengan kenderaan dan motosikal. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh kepadatan penduduk yang kurang. Namun begitu, tarikan-tarikan di bandar ini juga adalah sangat menarik dan ia boleh dilakukan dengan mudah seperti berjalan di pesisir pantai atau laluan pejalan kaki di sepanjang riverfront di waktu petang merupakan aktiviti yang menenangkan dan tidak memerlukan sebarang bayaran. Aktiviti masyarakat setempat pula boleh dilihat dengan mudah di sepanjang jalanan atau pasar di mana jualan dilakukan. Selain itu anda juga tidak akan terlepas makanan dan minuman unik penduduk tempatan seperti kopi kelapa (coconut coffee).
 
Ini hanyalah gambaran sekilas tentang pengalaman menarik yang menanti anda di Da Nang. Sama ada anda mencari pengalaman sejarah, keajaiban semula jadi atau keseronokan moden, bandar yang meriah ini memenuhi setiap keinginan perjalanan. Anda perlu mula merancang pengembaraan ke Da Nang dari sekarang kerana bandar ini bakal menjadi tumpuan pelancong dan ia akan mengubah banyak perkara, terutamanya kos melawat ke sini!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog