Rabu, 8 Disember 2021

Bunga Cantik Lebih Mudah Dengan Ros Jepun, Krokot atau Moss Rose

Ros Jepun (Portulaca), merupakan bungaan cantik yang mudah ditanam.
 
Bunga ros Jepun merupakan bunga yang telah lama dikenali ramai. Namun kini ia kembali diminati oleh kerana potensinya yang unik. Bunga yang mudah ditanam dan menghasilkan bunga yang cantik ini, mempunyai pelbagai warna. Oleh kerana ia mengambil masa yang singkat untuk menghasilkan bunga, jadi ia amat sesuai ditanam sementara menunggu bunga-bungaan lain menghasilkan bunga pula. Dikenali dengan pelbagai nama seperti krokot, moss rose, moss rose purslane, Mexican rose, sun rose, rock rose atau nama popularnya iaitu Ros Jepun (Portulaca grandiflora) boleh tumbuh di kawasan yang mendapat cahaya matahari dengan baik. Ia merupakan tumbuhan yang berasal dari Amerika Selatan
 
Bunga ros Jepun kembang apabila matahari mulai naik sehingga ke awal petang. Maka sebab itulah, ia lebih baik ditanam bersama-sama dengan bungaan lain yang lebih tahan lama. Walaubagaimanapun, bunga ros Jepun mampu menghasilkan bungaan yang cepat dalam jumlah yang banyak. Jadi faktor ini, menjadikan ia sebagai sokongan kepada taman anda, sekiranya anda mahu taman yang sentiasa mempunyai bunga yang mekar.

 
Bagi penanaman di kawasan beriklim panas, bunga ini adalah lebih mudah ditanam kerana tidak mempunyai masalah. Bunga ros Jepun amat menyukai cahaya matahari, malah ia lebih sesuai diletakkan di kawasan yang mendapat cahaya matahari yang penuh. Penanamannya yang mudah juga menjadikannya sesuai ditanam walaupun oleh kanak-kanak. Sekiranya, anda ingin melatih anak-anak untuk projek tanaman, tumbuhan ini amat sesuai digunakan sebagai bahan tanaman.

Contoh bungaan rimpun ros Jepun.

Rimbunan seperti ini dihasilkan dengan menanam pokok dalam jarak yang agak rapat (dengan pembajaan yang baik). 
 
Kaedah Penanaman;
 
1) Sediakan bekas tanaman dengan tanah yang sesuai. Pastikan tanah mempunyai pengaliran air yang baik. Ini kerana ros Jepun tidak sesuai dengan tanah yang berair. Campurkan baja ke dalam tanah bagi menggalakkan pertumbuhan pokok yang baik.
 
2) Bagi mendapatkan tanaman yang rapat dan rimbun, sediakan keratan batang sepanjang anggaran 2 inci dan cucukan pada jarak yang agak rapat antara satu sama lain. Ini bagi menghasilkan pokok dengan cabang yang banyak dan menutupi keseluruhan bekas tanaman.
 
3) Pokok perlu disiram setiap hari, sekurang-kurangnya sekali sehari. Apabila ia telah bertunas, bolehlah diletakkan di kawasan yang mendapat cahaya matahari yang banyak.
 
4) Periksa keadaan tanah supaya sentiasa mempunyai saliran yang baik dan pembajaan sekiranya perlu.
 

Selain tanaman di dalam bekas tanaman, bunga ros Jepun juga sesuai ditanam terus di atas tanah. Seperti biasa, pastikan tanah mempunyai saliran yang baik dan pembajaan yang cukup bagi tumbesaran dan penghasilan bunga yang menggalakkan. Anda boleh menyusun tanaman ros Jepun mengikut jenis dan warna bunga, bagi menghasilkan hasil tanaman yang lebih menarik.
 
Walaupun pokok bunga ros Jepun mudah di tanam di kawasan beriklim tropika. Ia masih boleh ditanam di kawasan-kawasan bercuaca sejuk pada penghujung musim bunga sehingga awal musim luruh iaitu pada bulan Jun, sehingga September. Pokok ini boleh mula disemai di dalam rumah dan diletakkan di luar rumah apabila keadaan cuaca mula menjadi lebih panas.

Contoh tanaman pada taman di halaman rumah.

Anak-anak pokok yang sedia untuk dialihkan ke kawasan tanaman berikutnya.

Walaupun tumbuhan ini tidak beracun kepada manusia, ia boleh menyebabkan kesan toksid kepada haiwan-haiwan seperti kucing, anjing, kuda dan haiwan ternakan yang lain. Jadi pastikan anda tidak secara tidak sengaja memberikan tumbuhan ini kepada haiwan-haiwan tersebut. Dalam masa yang sama, ia juga memberikan faedah kepada serangga seperti lebah, rama-rama dan juga serangga-serangga pendebungaan yang lain.

 
Terdapat pelbagai variasi ros Jepun yang boleh ditanam untuk mendapatkan hasil yang menakjubkan. Selain pelbagai warna, ia juga mempunyai bentuk dan saiz bunga yang berbeza antaranya;
 
* Afternoon Delight - mempunyai bunga yang besar sehingga 2 inci dan berkembang sehingga lewat tengahari (lebih lama dari varieti biasa).
 
* Duet - merupakan jenis dengan gabungan warna seperti kuning dan merah atau kuning dan merah jambu.
 
* Fairy Tale - jenis yang mempunyai bunga seakan-akan “Peony”, dengan di tengah-tengahnya terdapat bentuk ‘pom-pom’ dengan dikelilingi oleh kelopak yang lebih rata.
 
* Sundial - jenis yang berbunga lebih awal dan lebih toleran kepada cuaca mendung dan sejuk berbanding jenis-jenis lain.

Ros Jepun dengan gabungan warna menarik.

Antara varieti unik ros Jepun yang mempunyai kelopak yang unik.

Ros Jepun (Portulaca grandiflora), yang menyerupai bunga carnation.
 
Bagi peminat-peminat bunga ros Jepun, pasti mengetahui pelbagai lagi jenis dan varieti tumbuhan unik ini. Selain daripada ditanam sebagai hiasan, anda juga mungkin boleh mengumpul pelbagai jenis spesies sebagai koleksi. Tidak kurang juga yang menjadikan taman khas ros Jepun.
 
Itulah antara catatan mengenai ros Jepun buat kali ini. Sudah tentu terdapat pelbagai perkara yang boleh dikongsikan mengenai bunga istimewa ini. Jadi sekiranya anda mempunyai sebarang maklumat untuk dikongsikan, bolehlah ditambah di ruangan komen. Selain itu, jangan lupa kongsi-kongsikan maklumat menarik ini bersama keluarga dan rakan-rakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog