Jumaat, 3 Disember 2021

Jalan-Jalan ke Kampung Baru, Kuala Lumpur

Pintu gerbang masuk ke Kampung Baru dengan ukiran yang menarik. 

 
Merupakan satu-satunya kawasan perkampungan yang masih bertahan di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur, Kampung Baru sendiri menjadi bahan tarikan menarik kepada para pengunjung dari dalam dan luar negeri. Selain daripada rumah-rumah dengan senibina lama, Kampung Baru juga terkenal sebagai lokasi makanan terutamanya “Nasi Lemak Kampung Baru”. Terdapat pelbagai kedai makanan di lokasi yang disediakan, begitu juga dengan pengusaha Nasi Lemak yang terdiri daripada beberapa pengusaha yang kebanyakannya begitu dikenali oleh penggemar makanan.

 
Lokasi gerai-gerai makanan ini ditempatkan di lokasi yang strategik, iaitu di sepanjang Jalan Raja Muda Musa di mana kedai-kedai ini lebih mudah untuk dilawati. Terdapat juga lokasi tempat letak kereta - bagi yang datang dengan menaiki kereta. Kawasan ini juga mudah dilawati dengan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Ia terletak berhampiran dengan Stesyen Monorel Medan Tuanku, atau menggunakan laluan Pintasan Saloma bagi yang datang dari arah KLCC. Dengan menggunakan perkhidmatan awam, anda lebih mudah untuk meneroka kawasan sekitar setelah menikmati makanan-makanan menarik di kawasan Kampung Baru.

Para peniaga amat mementingkan keselamatan para pelanggan.

Terdapat pelbagai jenis lauk untuk dipadankan dengan Nasi Lemak kegemaran anda.

Anda boleh memilih sebarang lauk (untuk tujuan percubaan, di sini jumlah lauk agak banyak).

Walaupun terkenal dengan Nasi Lemak Kampung Baru, sebenarnya terdapat pelbagai jenis makanan yang boleh dicuba di sini. Terdapat juga Nasi Baryani, Tom Yam, Seafood, Western Foods, Kambing Bakar, Cendol Durian dan sebagainya. Pendek kata, anda perlu mengunjungi kampung baru beberapa kali sekiranya ingin betul-betul menikmati makanan-makanan yang terdapat di sini. Apa yang dapat diperhatikan, terdapat juga restoran makanan kampung Melayu yang menyediakan juadah makanan unik seperti daging salai, rendang dan ulam-ulaman. Ini amat menarik, dan merupakan antara sebab mengapa ia perlu dikunjungi semula.
 
Kawasan sekitar Kampung Baru

Pemandangan persekitaran menarik mengelilingi Kampung Baru.

Slogan menarik, kehilangan satu huruf - harap diganti dengan segera.

Walaupun kebanyakan kedai-kedai makan berada di lokasi Jalan Raja Muda Musa, kawasan-kawasan berhampiran juga turut terdapat restoran-restoran yang unik. Kawasan ini diselenggarakan dengan baik, jadi ia kelihatan teratur serta bersih. Terdapat pintu gerbang menarik yang dibina bagi menyambut pengunjung yang mengunjungi kawasan ini. Pintu gerbang yang dibina dengan senibina ukiran Melayu ini amat cantik dan mengetengahkan lagi keunikan budaya Melayu yang penuh kehalusan yang tersendiri. Terdapat juga paparan tulisan “I @ Syurga Makanan”, yang menandakan tema kawasan yang dikhususkan bagi peniaga-peniaga makanan. Bagaimanapun salah satu huruf kelihatan telah hilang - dan perlu digantikan. Diharap ia akan segera diperbaiki, kerana ianya agak menarik untuk terus dikekalkan.

 
Kawasan ini sememangnya menarik untuk dikunjungi kerana para pengunjung juga masih boleh melihat senibina rumah-rumah kampung Melayu. Samada datang dari arah Stesyen Monorel Medan Tuanku yang menyediakan pelbagai kemudahan seperti Pusat Membeli Belah Quill City Mall dan juga Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur sebelum melalui Jalan Raja Abdullah yang juga dipenuhi dengan kedai-kedai makanan selain rumah-rumah kampung. Manakala bagi mereka yang ingin melawati Kampung Baru dari arah KLCC pula menggunakan Pintasan Saloma yang juga merupakan satu lagi ikon menarik bagi Kuala Lumpur. Daripada pintasan tersebut anda boleh mengambil laluan dari Jalan Hassan Salleh untuk menuju ke Jalan Raja Muda Musa.

Kampung Baru, merupakan kampung yang masih kekal di tengah bandar Kuala Lumpur.

Bangunan-bangunan yang mengelilingi kawasan Kampung Baru.

Menara Berkembar KLCC tetap menjadi pemandangan yang indah dari Kampung Baru.

Kampung Baru sememangnya telah terkenal sejak sekian lama sebagai kawasan tumpuan peminat makanan. Apa yang menarik, hari ini ia turut diberikan nafas baru dengan pembangunan kawasan sekeliling serta penyelenggaraan yang teratur. Adalah dengan ini diharap ianya akan terus dipelihara bersama bukan sahaja oleh badan-badan kerajaan, malah para peniaga dan juga para pengunjung. Saya mungkin ke sana lagi, untuk mencuba restoran yang lain pula.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog