Selasa, 23 November 2021

Ulaman Yang Kurang Dikenali Ketumpang Air atau Sireh Cina

Ketumpang air yang telah dibersihkan, sedia untuk hidangan.

 
Sememangnya terdapat banyak tumbuhan yang hidup di sekeliling kita yang kurang dikenali, sehubungan itu tidak dimanfaatkan sebaiknya. Kali ini kita melihat tumbuhan amat mudah tumbuh, dan adakalanya diabaikan begitu sahaja kerana kurang diketahui khasiatnya. Tumbuhan tersebut adalah dikenali sebagai ketumpang air (Peperomia Pellucida), juga dikenali sebagai sireh laut, sireh cina, sireh pasir, sireh air, sireh bunian dan ketumpang.
 
Tumbuhan ini sememangnya amat mudah dikenali dan
kebiasaan nya tumbuh sendiri di kasawan-kawasan yang agak lembab, di dalam pasu-pasu bunga. Bagi yang tidak mengenalinya, ia sudah tentu akan dibuang keranya menganggap ia sebagai sebahagian daripada rumpai yang tidak diperlukan. Namun sebaliknya, tumbuhan ini boleh dijadikan ulaman selain mempunyai pelbagai khasiat dalam pelbagai rawatan penyakit (sebagai rawatan tradisional). Malah ia turut dijual di kedai-kedai Sensei Cina dalam bentuk kering pada harga sekitar RM10 bagi setiap 100gram.

 
Sebenarnya tumbuhan ini turut terdapat di negara-negara Amerika Selatan dan juga negara-negara di Asian. Apa yang menarik, ia juga turut digunakan dalam merawat pelbagai masalah kesihatan. Di Bolivia contohnya, ianya digunakan oleh Alteños Indians dengan menghancurkan keseluruhan bahagian tumbuhan, dicampurkan dengan air, dipanaskan dan diambil secara meminumnya bagi merawat
perdarahan. Bahagian akarnya digunakan untuk merawat demam, manakala bahagian atas tumbuhan tersebut pula digunakan untuk merawat luka.

Tumbuhan yang biasanya hidup meliar di kawasan lembab.

 
Dalam sumber rujukan yang lain pula, P. pellucida digunakan untuk merawat sakit perut, bisul, ance, gembung perut, keletihan, gout, sakit kepala, sakit buah pinggang, sakit sendi, kanser buah dada, impotensi, demam campak, sakit mental dan juga cacar. Ia juga digunakan di dalam salad atau dimasak sebagai sayuran dalam merawat sakit-sakit sendi.
 
Manakala di bahagian lain seperti Brazil, tumbuhan ini turut digunakan untuk mengurangkan kolesterol, sementara di Guyana pula ia digunakan sebagai bahan
diuretik dalam merawat proteinuria (kandungan protein yang luar biasa di dalam kencing). Di kawasan Amazon, ia digunakan untuk merawat batuk, bahan duretik, pelembab dan untuk merawat cardiac arrhythmia.
 
Berbalik ke negara-negara serantau, di Indonesia ia digunakan untuk merawat sakit kepala ketika demam. Jus daripada daunnya digunakan untuk merawat sakit perut dan gembung. Di Philippines digunakan sebagai pupur untuk merawat bisul dan nanah. Di India pati daripada tumbuhan (ditumbuk dan direbus) diminum untuk menghentikan pendarahan.
 
Manakala di negara kita pula Malaysia, tumbuhan ini dikenali mempunyai khasiat untuk perawatan masalah kesihatan seperti:

 
  • Merawat Gout
  • Penawar sakit sendi dan perut
  • Jus perahannya mampu mengelakkan jangkitan pada mata
  • Mengubati dan meredakan cirit-birit
  • Meredakan batuk
  • Meredakan Demam (Ramas Dengan Sedikit air dan sapukan dikepala)
  • Merawat Buasir
  • Melegakan selsema
  • Merawat jangkitan pada pundi kencing
  • Merawat Kayap
  • Alternatif kepada ubatan darah tinggi
  • Merawat kencing manis
Cantik di tanam di dalam pasu sebagai hiasan.

 
Namun begitu, bagi yang ingin mencuba perlulah mengimbangi pengambilannya. Sekiranya keadaan kesihatan anda agak serius sebaiknya mendapatkan rawatan lebih lanjut daripada pakar perubatan dan hospital. Ini kerana, peralatan moden dapat melakukan pemeriksaaan kesihatan yang lebih teliti untuk memastikan punca sebenar masalah kesihatan anda.
 
Apa yang menarik bagi saya mengenai tumbuhan ini sebenarnya adalah penggunaannya sebagai ulam atau makanan. Walaupun masih belum sempat mencubanya (begitu ingin mencubanya). Ia dikatakan mempunyai rasa yang lebih lemak dan boleh dimakan mentah. Jadi selain anda dapat menikmati kenikmatannya, dalam masa yang sama, anda juga mendapat faedah kesihatan daripada khasiat pokok tersebut.

 
Ia merupakan pokok yang mudah ditanam (dan kebiasaannya tumbuh sendiri di dalam pasu-pasu bunga dan kawasan-kawasan lembab). Apa yang penting, elakkan terik panas matahari dan pastikan ia mendapat air yang cukup. Ia mempunyai daun berkilat yang cantik sebagai tanaman hiasan. Maka, sekiranya tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat dan boleh dimakan tidak dimanfaatkan, tentulah ia merupakan satu pembaziran - jangan di rungutkan sekiranya anda mengalami masalah sakit kepala atau migraine.

Bertambah cantik sekiranya subur dan dijaga rapi.

 
Jadi, itu sahaja catatan buat kali ini. Diharap ia dapat memberikan kita satu lagi pengetahuan yang berguna. Sekiranya perlu, bolehlah dikongsi-kongsikan kepada mereka yang memerlukan atau bagi yang mengetahui lebih lanjut mengenai tumbuhan ini, bolehlah kongsi-kongsikan pengetahuan anda di ruangan komen untuk manfaat bersama.

1 ulasan:

Arkib Blog