Memaparkan catatan dengan label lautan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lautan. Papar semua catatan

Selasa, 2 Februari 2016

Keunikan Keluarga Sotong

Nautilus adalah yang paling primitif dalam kumpulan sotong hari ini.

Sotong merupakan sekumpulan hidupan laut yang amat unik. Meskipun ia terdiri dari pelbagai kumpulan hidupan yang berbeza iaitu octopus, squid, cuttlefish dan nautilus, kita mengenalinya dengan nama yang umum iaitu sotong. Ini kerana tidak banyak yang kita tahu mengenai sotong dan mungkin juga ia kurang menarik minat kita selama ini.

Sotong adalah termasuk di dalam kumpulan Cephalopods iaitu pecahan dari kelas ‘mollusks’ dengan kata lain sekumpulan besar hidupan tanpa tulang belakang (invertebrate) termasuk siput, lintah, kerangan dan kumpulan sotong sendiri. Jadi kali ini kita memberikan tumpuan kepada sotong dan ahli keluarganya untuk melihat dengan lebih dekat keistimewaan hidupan ini.

Sotong merupakan hidupan laut yang mendiami kawasan pantai sehinggalah ke perairan laut dalam. Terdapat hampir 800 spesies yang dikenalpasti. Sebahagian besar spesis sotong kemungkinan telahpun mengalami kepupusan, makala oleh kerana badannya yang lembut, badannya sukar membentuk fosil apabila mati – ini menyebabkan hidupan sotong purba sukar untuk dikesan.


Common Squid, bagi contoh squid.

Common Octopus, salah satu contoh octopus.

Atlantic Bobtail, spesies yang lebih unik.

Apa yang menajdikan sotong adalah kumpulan haiwan yang unik adalah kebolehannya untuk menukarkan bukan sahaja warna, malah tekstur kulitnya untuk komunikasi, penyamaran atau memburu dalam masa yang amat pantas. Tiada haiwan lain yang mempunyai keupayaan ini boleh melakukannya dengan lebih baik dari sotong.

Bagi tujuan keselamatan pula sotong amat mudah menyembunyikan diri di celahan batu kerana badannya yang amat lembut. Manakala apabila keadaan terdesak ia masih mempunyai satu kebolehan iaitu menyemburkan dakwatnya untuk menutup penglihatan pemangsa bagi membolehkan ia melarikan diri. Ia dibantu oleh semburan jet air untuk membolehkan ia bergerak dengan pantas. Sotong juga mempunyai kebijaksanaan yang agak unik dan ada di antaranya yang menggunakan cengkerang hidupan lain ataupun tempurung kelapa untuk tujuan perlindungan.

Spesies paling unik kumpulan sotong adalah nautilus, kerana ia merupakan yang paling primitif dalam kumpulan ini. Selain daripada dilengkapi cengkerang ia mempunyai daya penglihatan yang paling lemah berbanding dengan sotong-sotong yang lain. Mata pada nautilus hanyalah seperti ‘kamera lubang jarum’. Nautilus menggunakan deria baunya (olfaction) untuk tujuan mencari makanan dan tujuan-tujuan lain.


Sotong juga mempunyai 'Bioluminescence'.

Kepantasan menukar warna dan rupa fizikal yang amat menakjubkan.

Sotong juga mampu membuka penutup balang botol.

Terdapat pelbagai bentuk sotong dengan keunikan masing-masing dari jenis sotong kecil yang mendiami pinggiran pantai sehinggalah ke sotong gergasi yang menghuni laut dalam. Keunikan sotong ini merupakan antara kebolehan yang menjadi bahan kajian manusia (terutamanya kebolehan menukar warna dan fizikalnya).


Walaupun kita telah mengenali sejumlah besar sotong-sotong ini, usaha untuk mengesan lebih banyak spesies yang belum dikenali terus dilakukan. Ini kerana sotong juga merupakan hidupan yang jarang menunjukkan diri kepada manusia. Sayang sekali kita tidak mengenali sotong dengan lebih dekat – hanya berdasarkan kajian yang dilakukan oleh orang lain dan mengenali mereka hanya secara umum sahaja. Melalui kebolehan sotong ini mungkin satu hari nanti kita mempunyai peralatan yang boleh bertukar-tukar warna untuk peralatan seperti telefon, komputer, malah kereta dan rumah. Siapa tahu!



Free Download



Isnin, 18 Januari 2016

Belut Unik Garden Eel Yang Menarik Diperhatikan

Spotted Garden Eel dari jarak dekat.

Garden eel (Heteroconger hassi) atau spotted garden eel, merupakan sejenis belut yang amat kecil, namun amat menarik diperhatikan dengan kelakuan yang amat unik mereka semasa berada di dalam air. Belut yang biasanya hidup secara berkumpulan ini akan mengeluarkan kepalanya dari dalam pasir untuk mengawasi keadaan sekeliling dan masuk ke dalam pasir dengan pantas apabila dirasakan terdapatnya ancaman.

Juga dikenali sebagai  Hass's Garden Eel akan kelihatan seperti rumput laut apabila berada di dalam kumpulannya. Ia amat mudah dikenali dari segi rupabentuk mahupun warnanya dengan corak bintik-bintik hitam dengan dua (setiap sisi) tompok hitam besar.

Garden eel akan mengeluarkan kepalanya untuk mengawasi keadaan sekeliling.

Garden eel mempunyai kejiranan di terumbu karang.

Ia merupakan spesis yang biasa terdapat di perairan Indo-Pacific dari perairan Timur Afrika termasuk Laut Merah hingga ke Polynesia, dan dari Jepun ke Caledonia. Ia tinggal bersama-sama dalam saiz kumpulan yang berbeza-beza dengan terdedah kepada arus laut pada kedalaman 15 hingga 45 meter.

Saiz maksimum bagi garden eel adalah sehingga 40 cm. Ia memiliki rupa bentuk badan yang menyamai belut dengan ukuran rentas purata adalah 14 mm. Saiz ini seakan-akan sama bagi sepanjang badannya. Bahagian kepalanya juga kelihatan pendek oleh kerana mulutnya yang agak besar. Garden eel merupakan spesis karnivor dan merupakan antara spesis akuarium yang diminati. Bagi yang ingin memelihara spesis ini, lapisan pasir yang tebal adalah diperlukan untuk membolehkan garden eel menanamkan sebahagian badannya.

Garden eel mempunyai badan yang panjang.

Ia tinggal di dalam sebuah kumpulan.

Sebelum mengakhiri artikel kali ini, mungkin anda boleh melihat sedikit paparan yang menunjukkan keunikan garden eel bersama kumpulannya di dalam air. 






Free Download



Rabu, 13 Januari 2016

Mikro Post - Giant Pacific Octopus

Giant Pacific Octopus merupakan sotong kurita terbesar.

Kali ini kita melihat satu lagi hidupan laut yang sangat istimewa iaitu Giant Pacific Octopus (Enteroctopus dofleini) yang juga merupakan sotong kurita terbesar di dunia. Selain daripada bersaiz besar, ada banyak lagi perkara yang anda perlu tahu mengenai keunikan sotong gergasi ini yang menjadikan ia sebagai hidupan yang istimewa di dalam dunia haiwan.

Ia merupakan ‘octopus’ yang hidup lebih lama daripada sotong ‘octopus’ biasa iaitu antara 3 – 5 tahun sahaja. Ini bermakna, jangka hayat ‘octopus’ tidaklah panjang dan memerlukan kitar hidup yang baik untuk memastikan ia dapat terus membiak dengan baik untuk mengelakkan kepupusan. Terdapat specimen yang mencapai sehingga 9.1 meter (30 ft) dengan berat melebihi 272 kilogram (600 lb). Namun kebiasaannya saiznya adalah dalam 5 meter (16 ft) dengan berat 50 kilogram (110 lb) sahaja.


Sotong dari jarak dekat.

Ia mempunyai kebolehan penyamaran yang unik seperti juga sotong yang lain.

Mangkuk penyedut pada lelengan sotong ini.

Giant Pacific octopus mempunyai kepala yang agak besar yang berwarna coklat-kemerahan. Namun begitu seperti juga keluarga sotong-sotong yang lain, ia dengan mudah boleh menyamarkan diri menyerupai persekitarannya dari segi warna mahupun bentuk untuk tujuan memburu ataupun perlindungan.

Makanan utamanya adalah haiwan-haiwan kecil seperti udang, ketam, kerang-kerangan mahupun ikan. Bagaimanapun ia dikatakan pernah memakan ikan jerung dan juga burung (jadi ia boleh menjadikan apa sahaja makanannya). Ia mempunyai taburan di perairan suhu sederhana di Pacific iaitu dari Selatan California ke Alaska, Barat ke Kepulauan Aleutian dan Jepun.


Jepun merupakan antara pengguna makanan laut yang terkenal.

Satu keunikan giant Pacific octopus adalah sotong-sotong betina akan menghasilkan sekitar 120,000 ke 400,000 biji telur dalam sekali musim bertelur. Bagaimanapun ia akan menjaga telur-telur ini daripada dijangkiti alga dan juga parasit lain dengan mengusap dan juga menghembuskan air kepadanya. Proses pengeraman telur ini mengambil masa sehingga 6 bulan dan kebiasaannya sotong betina ini mati sebaik sahaja telur-telur ini menetas.


Seperti juga sotong-sotong kurita yang lain, giant Pacific octopus juga boleh menguasai kemahiran-kemahiran unik seperti membuka penutup balang, atau menyelesaikan teka-teki mudah. Walaupun jumlah sebenar mereka tidak diketahui ataupun tidak tersenarai sebagai haiwan terancam, hidupan ini amatlah sensitif dengan perubahan persekitaran yang boleh mengancam populasi mereka.



Free Download



Rabu, 23 Disember 2015

Ikan Laut Dalam Makan Ikan Yang Jauh Lebih Besar

Ikan Black swallower dengan makanan di dalam perutnya.

Black swallower, (Chiasmodon niger) merupakan ikan spesis laut dalam dari familyChiasmodontidae’ yang terkenal dengan kelebihan memakan mangsa yang jauh lebih besar darinya sendiri. Malah dengan kemampuannya ini ia juga adakalanya digelar sebagai "great swallower".

Ia mempunyai taburan di sekitar perairan tropika dan sub-tropika namun pada kedalaman yang dikenali sebagai zon ‘mesopelagic’ dan juga ‘bathypelagic’ iaitu kedalaman pada 700-2,745 m (2,297–9,006 kaki). Maka sebab itulah cara hidup ikan ini sukar dikenalpasti memandangkan agak sukar untuk membuat pengambaran tentang kehidupannya pada kedalaman tersebut.

Ikan unik ini mempunyai saiz yang agak kecil dengan ikan dewasa hanya mencapai saiz sehingga  25 cm (9.8 in). Namun begitu salah satu keistimewaannya adalah ia mampu menelan mangsa sehingga lebih dua kali ganda darinya dan berat sehingga 10 kali ganda. Kelebihan rahang yang mampu terbuka dengan besar dan perut yang elastik membolehkan ia menelan makanan yang bersaiz besar tersebut.


Specimen yang ditemui.

Black swallower.

Seperti juga ikan-ikan laut dalam yang lain, ia mempunyai rupa bentuk yang agak unik. Mempunyai kulit tanpa sisik dan bewarna coklat gelap. Kepalanya agak panjang dengan muncung yang tumpul. Memiliki mata yang sederhana dan mulut yang besar. Rahang bawahnya adalah jauh lebih besar berbanding rahang atas dan kedua-dua rahang ini mengandungi gigi yang tajam. Tiga gigi utama pada setiap rahang ini adalah besar dan membentuk taring.

Walaupun mempunai gigi yang tajam, ikan  Black swallower memakan makanannya yang terdiri daripada ikan-ikan bertulang secara penuh (tanpa mengunyahnya). Mengikut andaian oleh Theodore Gill ikan ini memakan mangsanya dari ekor sebelum menelannya dengan bergulung di dalam perutnya (seperti yang disaksikan dalam gambar).

Ikan ini adakalanya menelan ikan yang jauh terlalu besar dan tidak dapat menghadamkannya sebelum ia mula membusuk. Ini mengakibatnya terhasilnya gas yang menyebabkan ia dibawa naik ke permukaan laut dan mati. Kebanyakan specimen yang ditemui adalah disebabkan kejadian seperti ini. Pada 2007, ikan black swallower yang berukuran 19 cm (7.5 in) telah ditemuni mati di Grand Cayman. Di dalam perutnya terdapat ikan snake mackerel (Gempylus serpens) 86 cm (34 in) panjang iaitu empat setengah kali ganda daripada panjangnya sendiri.


Makanan yang terlalu besar juga menjadi punca ia mati.

Bagaimana Black swallower memakan makanan bersaiz besar.

Keunikan ini dikatakan membantu ikan-ikan laut dalam untuk menruskan kehidupannya di mana, pada kedalaman tersebut, sumber makanan adalah sukar. Melalui kebolehannya ini, ia boleh bertahan untuk satu tempoh yang agak lama sebelum menemui sumber makanan yang lain.


Ia merupakan salah satu daripada banyak lagi hidupan laut dalam yang lain seperti flashlight fish, cookiecutter shark, bristlemouths, anglerfish, viperfish, dan beberapa spesis eelpout. Malah anda juga mungkin pernah terbaca mengenai spesis sotong laut dalam yang dikenali sebagai flapjack yang amat unik. Laut dalam merupakan satu tempat yang sukar untuk didiami oleh hidupan biasa, jadi hidupan di sini jauh berbeza dengan hidupan yang biasanya mendiami lautan yang cetek. Menakjubkan!






Free Download



Khamis, 17 Disember 2015

Ikan Pelik Yang Berjalan – Frogfish (Batrachoididae)

Frogfish mempunyai banyak ciri unik membantunya untuk terus hidup.

Lautan dipenuhi dengan pelbagai hidupan yang unik yang adakalanya sukar dipercayai. Ikan frogfish iaitu kumpulan ikan-ikan dari family (Batrachoididae) merupakan kumpulan ikan yang unik kerana memiliki banyak keistimewaan berbanding ikan-ikan yang lain disekelilingnya. Walupun ia merupakan ikan yang bersaiz sederhana dan tidak mampu berenang dengan pantas kerana keunikannya masih membolehkan ia menangkap makanan dengan baik.

Keunikan utama ikan frogfish yang juga adakalanya dikenali sebagai ‘anglerfishes’ juga ‘toadfish’ ini adalah ia mempunyai sirip yang lebih berfungsi sebagai ‘kaki’ berbanding digunakan untuk berenang. Selain itu juga ia ditambah lagi dengan keunikan rupa bentuknya yang membantu ikan ini sebagai penyamaran untuk mengelakkan ancaman musuh dan juga membantunya untuk memburu mangsa. Sesetengah frogfish juga mempunyai keupayaan untuk menukar warnanya bagi menambahkan lagi keupayaan penyamarannya.

'Scarlet frogfish' berwarna merah terang.

Frogfish yang menyerupai alga dasar laut.

Walaupun ikan frogfish bergerak dengan perlahan, ia mampu menyambar mangsanya dengan kelajuan yang amat tinggi. Serangan ikan frogfish boleh berlaku pada kepantasan 6 millisaat. Selain daripada penyamarannya yang mengelirukan mangsa, ikan frogfish juga mempunyai antena (seakan-akan pancing) yang digunakan untuk menarik perhatian mangsa untuk menghampirinya.

Terdapat sehingga 45 spesis ikan frogfish yang mempunyai taburan di perairan tropika, sub-tropika, Atlantik dan Pasifik sehinggalah ke Lautan Hindi dan Laut Merah. Mendiami kawasan turumbu karang dan juga berbatu dengan kedalaman sehingga 100 meter (330 kaki). Selain daripada tinggal di perairan air masin, terdapat juga spesis frogfish (Sargassumfish) yang tinggal di perairan air payau (brackish water).

Saiz ikan frogfish adalah di antara  2.5–38 cm (1-15 inci) panjang mengikut spesis. Rupanya seakan-akan bola dengan permukaan yang adakalanya berbonjol, berbulu dan dipenuhi dengan rerambut seperti lumut dengan warna yang pelbagai (putih, kuning, merah, hijau atau hitam). Ia juga dilengkapi dengan ‘esca’ atau umpan (lure). Esca ini berbeza mengikut spesis dan ada diantaranya yang menyerupai ikan, udang, polychaetes dan juga cacing (tubeworms) untuk menarik minat mangsanya.

Frogfish yang bersembunyi di celahan batu.

Frogfish dengan warna yang unik di perairan Hawaii.

Kelihatan frogfish yang melambaikan 'esca' untuk menarik minat mangsa.

Perkara yang paling menarik untuk diperhatikan pada frogfish adalah pergerakkannya yang menggunakan sirip untuk berjalan dan bukannya berenang seperti ikan-ikan yang lain. Ini kerana, ia lebih suka bergerak secara perlahan di dasar laut  yang dipenuhi dengan batu karang atau batu-batuan. Semburan air (jet propulsion) juga digunakan oleh ikan-ikan kecil dengan menyembur air dari bukaan insangnya untuk membantu pergerakan. Manakala bagi spesis ‘sargassum frogfish’ pula terdapat sirip khas yang membantunya memegang sargassum (rumpai air) untuk membantunya memanjat dan bergerak menggunakan rumpai air tersebut.


Terdapat banyak lagi ciri-ciri keistimewaan ikan ganjil ini. Antaranya ia turut mampu memakan mangsa yang dua kali ganda lebih besar darinya. Walaupun ia hanya mampu bergerak perlahan dan rupa bentuknya yang ganjil, ikan istimewa ini dapat meneruskan hidupnya di persekitaran yang penuh mencabar. Mengagumkan!..







Free Download



Arkib Blog