Memaparkan catatan dengan label melayu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label melayu. Papar semua catatan

Sabtu, 18 Januari 2014

Makanan Tradisi dari Buah-buahan dan Daun-daunan I


Bahagian pisang yang dimakan adalah dari jantung, buah dan embut.

Keunikan Masakan Melayu bukan pada jenis masakan malah bahan yang digunakan yang adakalanya terdiri daripada buah-buahan yang juga dijadikan sebahagian daripada bahan masakan. Adakalanya ini memberikan nilai yang lebih tinggi bagi buah tersebut – dan ini mengelakkan pembaziran. Berikut adalah sebahagian buah-buahan/ bahagian pokok yang digunakan sebagai bahan masakan dalam Masakan Melayu.

Pisang


Pisang memang sedap dimakan apabila masak dan boleh digunakan untuk membuat pelbagai kuih-muih seperti goreng pisang, lepat dan apam pisang. Pisang muda juga merupakan masakan popular yang amat digemari. Bagi tujuan masakan bukan isi pisang sahaja digunakan, malah kulit pisang muda juga akan digunakan. Terdapat beberapa jenis pisang yang sesuai untuk digunakan sebagai bahan masakan semasa pisang masih muda. Malah tekstur pisang ini berbeza-beza mengikut jenis apabila digunakan dalam masakan. Walaubagaimanapun boleh dikatakan kesemua pisang yang digunakan dalam masakan adalah menyelerakan.

Selain daripada buah, jantung pisang juga amat popular dijadikan bahan masakan. Terdapat pelbagai kaedah penggunaan jantung pisang dalam masakan. Paling tidak ia akan dicelur dengan air panas dan dinikmati bersama sambal pilihan – mungkin anda pernah mencubanya. Ada juga masakan yang menggunakan embut pisang. Walaupun saya belum pernah mencuba masakan ini, tetapi masakan ini seperti menarik.

Nenas


Nenas yang digunakan dalam masakan pula agak berbeza kerana kebiasaannya nenas yang tua hampir masak/masak digunakan. Penggunaan nenas bukan sahaja popular dalam masakan Melayu malah ia juga biasa digunakan dalam masakan moden. Rasa nenas yang masam-masam manis menjadikan masakan lebih menyegarkan.

Nenas biasa digunakan untuk menyediakan masakan pajeri nenas, acar buah dan nenas ikan masin. Penggunaan nenas sesuai digunakan dalam masakan yang berbeza-beza dan ini menunjukkan ia mampu dipadankan dalam pelbagai masakan.

Betik boleh dimasak dalam pelbagai penyediaan.

Betik


Betik enak dimakan setelah masak kerana amat mudah dihadam dan menyegarkan. Sama ada anda ingin memakan betik dalam bentuk potongan atau menggunakan sudu - betik amat lembut dan tidak perlu kunyahan yang banyak.

Betik yang biasanya digunakan dalam masakan adalah semada muda sehingga hampir masak. Ini kerana betik masak akan menjadi lembut dan mudah hancur sekiranya digunakan di dalam masakan. Betik muda boleh digunakan sebagai bahan utama masakan ataupun sebagai bahan campuran. Keenakan masakan betik bergantung kepada bahan perasa/campuran masakan yang digunakan kerana betik muda mempunyai rasa yang agak neutral (sedikit manis) tetapi membangkitkan sensasi kunyahan. Selain itu pucuk betik juga dijadikan ulam – tetapi ianya agak pahit, namun tetap mempunyai peminat ulam pucuk betik.

Asam Keping


Buah asam ini tidak akan dimakan secara mentah melainkan digunakan dalam masakan atau dikeringkan menjadi asam keping. Keunikan pokok ini adalah kedua-dua iaitu daun dan buah merupakan bahan campuran masakan yang amat popular. Malah asam keping menjadi bahan asas perasa masam yang biasa digunakan dalam masakan bagi menggantikan limau – untuk mengelakkan makanan cepat rosak/basi.

Untuk tujuan masakan buah atau daun akan dipotong kecil (mayang) dalam masakan ikan – ini boleh mengurangkan bau hanyir ikan dan membangkitkan selera. Malah ia juga sesuai digunakan untuk masakan daging, terutama daging salai. Buah dan daunnya sesuai untuk masakan yang memerlukan rasa masam yang agak ketara.

Sukun


Sukun merupakan buah yang lebih popular digunakan sebagai bahan masakan. Samada dimasak atau dijadikan ‘sukun goreng’ seperti juga pisang. Sukun amat enak apabila dicampur dalam masakan. Teksturnya yang seakan-akan keladi/keledek dan rasa yang lemak-lemak manis tentu sukar untuk diungkapkan. Selain daripada sukun goreng, ia juga dijadikan ‘chips’ untuk mempopularkan penggunaan buah ini. Sukun sememangnya sedap dalam sebarang bentuk penyediaannya. Jadi sekiranya anda tidak pernah mencuba – anda perlu menjadikan ia sebahagian daripada azam tahun baru anda.

Rambai


Buah rambai amat masam. Apa yang menarik dalam masakan, bukan isi buahnya yang digunakan tetapi kulitnya. Kulit rambai muda boleh dicampur terus ke dalam masakan seperti ikan, ayam atau daging. Manakala untuk kulit rambai yang telah masak boleh dikeringkan untuk tujuan penyimpanan dalam jangka masa yang lebih lama. Kulit rambai yang muda dan yang telah dikeringkan berbeza dari segi tekstur dan anda perlu mencuba keduanya. Kulit rambai yang dikeringkan biasanya digunakan untuk rendang ayam atau daging.

Durian


Durian sememangnya digunakan sebagai perasa makanan sebagai ‘tempoyak’, lempuk dan dicampur di dalam bubur/pengat. Tetapi ia juga digunakan sebagai masakan semasa ia muda. Ini mungkin salah satu kaedah dalam menggunakan buah ini secara optimum oleh orang tua-tua dahulu. Bagi durian yang gugur sebelum matang isinya masih boleh digunakan untuk tujuan masakan. Namun ianya kurang popular seperti penggunaan buah durian yang telah masak.

Nangka muda sedap dicampur ke dalam masakan ayam.

Nangka


Masakan nangka muda memang popular sebagai bahan asas ataupun sebagai bahan campuran masakan ayam atau daging. Terdapat pelbagai masakan berasaskan nangka muda. Mungkin disebabkan getahnya yang keluar semasa kerja-kerja membuang kulit nangka jadi ianya agak rumit bagi sesetengah orang. Nangka yang digunakan biasanya adalah sebelum bijinya menjadi keras. Apabila buah nangka sudah mencapai jangka masa matang (biji buah menjadi keras) ia tidak lagi sesuai untuk dijadikan bahan masakan. Nangka yang masak tidak digunakan di dalam masakan – tetapi boleh digunakan untuk membuat minuman (smoothie). Manakala keluarga terdekat nangka cempedak – digunakan sebagai cempedak goreng apabila masak.

Mempelam yang masam sesuai dipadankan dengan ikan.

Mempelam/bacang


Mempelam & bacang memang enak apabila digunakan dalam masakan seperti ikan dan daging. Ikan yang dikeringkan dan dimasak dengan mempelam merupakan masakan yang istimewa. Rasa masam dari buah ini membangkitkan rasa masakan dan juga menambahkan lagi pedas masakan – sekiranya ia dimasak pedas!... Mempelam juga digunakan untuk menyediakan sambal. Rasa masam mempelam digunakan untuk menggantikan limau yang terlalu kuat. Ia juga boleh digunakan untuk menyediakan kerabu. Sebagai bahan masakan mempelam & bacang boleh digunakan samada masih muda atau yang telah masak – tetapi kebanyakannya menggunakan buah yang masih muda (hampir matang).

Selain buah, daun kedondong juga digunakan dalam masakan.

Kedondong


Kedondong lebih popular dimakan setelah dijadikan jeruk. Tetapi buah yang masam ini boleh juga digunakan di dalam masakan. Penggunaanya di dalam masakan lebih popular di sebahagian negeri di negara kita. Selain daripada buah atau daun kedondong juga enak dicampur dalam masakan terutama ikan. Oleh kerana buah kedondong ini juga masam seperti mempelam, kesesuaian penggunaan buah ini seperti mempelam juga amat sesuai.

Belimbing


Belimbing yang digunakan dalam masakan adalah dari jenis belimbing buluh. Ini kerana buah belimbing ini tidak sesuai dimakan seperti buah yang lain melainkan dijadikan bahan masakan seperti bahan campuran atau sambal. Terdapat juga belimbing yang dijadikan jeruk sebelum dimakan. Keenakan belimbing sebagai bahan campuran biasa digunakan dalam masakan ikan dan daging. Terdapat juga beberapa jenis sambal yang menggunakan belimbing dan ia amat sedap.

Itu adalah sebahagian daripada buah-buahan yang biasa digunakan dalam masakan. Terdapat juga buah-buahan lain yang digunakan dalam masakan tetapi tergolong dalam ketegori sayuran seperti kundur, labu, terung, bendi, kacang dan sebagainya. Apa yang ingin saya sampaikan di sini adalah kepelbagaian sumber makanan yang terdapat di negara kita dan bagaimana ia dimanfaatkan. Jadi kita mungkin terlupa yang banyak sekali bahan yang boleh dijadikan makanan sedangkan kita lupa akan kegunaannya.





Free Download



Khamis, 7 November 2013

Makanan Popular di Malaysia

Nasi lemak sarapan popular

Topik makanan sentiasa menjadi topik hangat bagi semua orang kerana sudah tentu bila penat bekerja kita akan mencari sesuatu yang dapat mengenyangkan perut pula. Adakalanya kita mencari-cari idea apakah makanan yang ingin kita cuba - walaupun memang terdapat banyak sekali makanan yang popular di negara kita. Di sini saya cuba ketegorikan kepada beberapa masa yang biasanya makanan ini dihidangkan walaupun adakalanya ia turut dihidangkan tidak mengira masa tersebut.

Sarapan Pagi


Malaysia sememangnya kaya dengan budaya, maka tidak hairanlah jika pilihan makanan yang ada sedari pagi hingga ke malam tidak putus-putus. Sarapan yang biasa kita nikmati di pagi hari terdiri daripada sajian berat hingga ke sajian ringan, maka tidak timbul sekiranya kita mengatakan yang tiada makanan sesuai bagi kita - untuk memenuhi keadaan kesihatan dan sebagainya.

Nasi lemak - sajian paling popular di pagi hari, daripada nasi lemak kosong, nasi lemak telur mata, hingga ke nasi lemak berlauk. Nasi lemak dengan campuran asasnya adalah kacang goreng dan ikan bilis, merupakan pembuka selera utama kebanyakan masyarakat Melayu, malah diterima oleh kebanyakan kaum di Malaysia. Satu lagi trend yang popular adalah nasi lemak kukus yang menawarkan pilihan lauk yang lebih mewah seperti rendang ayam, daging, ayam goreng, rendang kerang, paru & limpa, malah apa sahaja lauk boleh dipadankan. Nasi lemak kukus popular di waktu pagi mahupun malam.

Aneka kuih-muih untuk pagi dan petang
Karipap

Kuih-muih - kuih-muih sarapan pagi adakalanya turut dihidangkan di waktu petang. Walaubagaimanapun biasanya untuk sarapan pagi kuih-muih agak sederhana bagi yang menyediakan sendiri di rumah, bagi yang membelinya di gerai (apa sahaja semua ada). Kuih-muih yang menjadi hidangan diwaktu pagi biasanya adalah karipap, kuih keria, seri muka, kuih lopes, talam, koci, lepat, kuih gulung, apam dan sebagainya.

Laksam - laksam berasal dari Kelantan sebab itu ianya hanya boleh didapati di kawasan bandar (sudah tentu peniaga dari Kelantan). Bahan utamanya diperbuat daripada beras maka ia seakan-akan makanan popular laksa tetapi dihidangkan dengan kuah yang berbeza dan sayur-sayuran. Ia juga merupakan makanan yang rendah lemak dan menyelerakan.

Lontong - lontong adalah satu lagi variasi sarapan yang dikatakan 'mild' begitu juga dengan soto. Kurang berlemak, tidak pedas (dihidangkan dengan pilihan sambal kicap bagi soto). Ia mudah sekali mengembalikan "mood" anda sebelum memulakan tugas seharian. Lontong adalah pilihan yang baik kerana mengandungi bahan campuran dari pelbagai jenis sayuran juga.

Lempeng/cekodok - bagi yang perlu bertindak pantas inilah dua pilihan yang terbaik. Lempeng dan cekodok sarapan yang ringkas dibuat daripada tepung. Apa yang anda perlukan adalah bahan pencecah seperti sambal atau kuah kari (kuah lebihan makan malam merupakan pilihan biasa). Malah kedua sarapan ini boleh terus dinikmati bersama minuman kegemaran pagi anda - enak dimakan begitu saja!

Roti canai sarapan cepat & menyelerakan
Roti canai - roti canai adalah makanan yang diadaptasi daripada kaum India/India muslim yang telah lama menetap di Malaysia. Jadi terdapat genre roti canai Melayu - biasanya lebih garing dan kuah dal yang lebih lemak (yang menggunakan santan kelapa). Maka roti canai merupakan antara pilihan teratas dalam sajian sarapan pagi.

Tengahari


Sambal, penambah perisa makanan yang penting.
Sambal tomato, menggantikan limau sebagai perasa masam.

Sambal goreng merupakan sambal yang enak dimakan bersama nasi.

Makanan tengahari di Malaysia rata-ratanya akan memilih makanan nasi campur dengan aneka pilihan lauk-pauk. Jadi bila dikatakan pilihan makanan tengahari adalah pilihan lauk yang sesuai. Memang terdapat pilihan lain daripada nasi tetapi ia tidak sepopular hidangan 'nasi + lauk + ulam + sambal'. Jadi di sini kita akan membincangkan tentang aksesori makanan tengahari yang dinikmati bersama nasi.



Sambal - sambal adalah satu nama umum yang merangkumi segala jenis sambal seperti juga 'salsa' bagi orang-orang Mexico. Sambal bagaikan satu perasa tambahan yang boleh merangsang selera bagi rakyat Malaysia. Antara sambal-sambal yang popular adalah sambal belacan/cencaluk, sambal ikan bilis, sambal budu, sambal ikan, sambal mangga, sambal bunga kantan, sambal goreng dan banyak lagi sambal yang saya tak tahu. Formula mudah sambal (cili + bahan A + bahan B + ... + bahan N + garam secukup rasa). Mudah sahaja kan.

Rendang - rendang memang biasa dihidangkan untuk makan tengahari merangkumi rendang ayam/daging. Rendang sememangnya menjadi kebanggaan resipi Melayu yang menggunakan kelapa dan kerisik dan dimasak sehingga kering. Mungkin salah satu kebaikan rendang adalah ianya satu masakan yang tahan lama apabila disimpan.

Masak Lemak Cili Api - masakan berasaskan cili api tidak asing lagi dikaitkan dengan Negeri Sembilan. Sememangnya masak lemak cili api ini merupakan resipi harian di kampung-kampung kerana ia sesuai untuk semua jenis masakan ikan/ayam/daging. Malah resipi ini juga boleh dicampurkan dengan pelbagai perencah tambahan terdiri daripada sayur-sayuran dan buah-buahan seperti tomato, pisang, nangka, daun pegaga, petai, peria, daun asam dan pucuk tangkis.

Kari - makanan kari walaupun lebih popular untuk kaum India, tetapi kari juga terkenal kepada masyarakat Melayu. Kari Melayu ini lebih mudah dimakan kerana menggunakan rempah yang kurang berbanding kari kaum India/mamak. Kari dapat membangkitkan selera kerana aromanya yang harum dan boleh disesuaikan untuk semua jenis masakan ikan/ayam/daging juga. Seperti biasa kari masyarakt Melayu menggunakan santan - sebab itu ianya lebih manis/lemak.

Asam pedas popular negeri Melaka
Asam Pedas - asam pedas lebih popular bagi Negeri Melaka namun begitu terdapat jenis-jenis masakan seperti ini di setiap negeri. Masakan tanpa lemak dan menggunakan asam sebagai bahan perasa utama di dalam kuahnya. Asam pedas dan singgang sesuai sekali bagi mereka yang ingin mengawal pengambilan makanan berlemak - atau mengalami masalah kencing manis.

Minum Petang


Mungkin tidak semua orang dapat menikmati masa minum petang bersama keluarga. Minum petang adakalanya merupakan masa di mana kita berbual bersama keluarga atau rakan yang berkunjung ke rumah. Jadi juadah minum petang kebiasaannya adalah hidangan yang ringan dan santai sebelum tiba waktu makan malam (aktiviti malam - bersama keluarga/masyarakat).

Putu bambu baunya harum
Putu Piring/Bambu - putu piring dan putu bambu adalah sama seakan-akan putu mayam yang menjadi hidangan kaum India. Bagaimanapun putu bambu lebih wangi kerana ianya dimasak di dalam buluh. Rasanya yang manis menggunakan gula merah dan tepung beras yang lembut menjadikan hidangan ini amat memuaskan. Ia dihidangkan bersama parutan kelapa.

Apam Balik - satu lagi juadah manis yang sangat harum. Mengandungi kacang dan jagung ianya amat seronok apabila dikunyah. Apam balik mungkin tidak mudah untuk disediakan sendiri tapi mudah sahaja apabila dibeli daripada penjual di pasar-pasar malam.

Keropok lekor sedap dengan sos
Keropok - keropok merupakan sajian yang mudah diwaktu petang kerana anda hanya perlu menggorengnya sahaja. Keropok lekor merupakan pilihan utama kerana lebih mengenyangkan berbanding keropok biasa. Terdapat juga keropok/kerepek yang dihidangkan di waktu petang kerana ianya lebih ringkas dan ringan.

Kuih-muih - kuih muih yang dihidangkan diwaktu petang sama sahaja dengan kuih-muih dihidangkan diwaktu pagi. Cuma bagi suri rumah sepenuh masa mungkin berpeluang untuk menyediakan kuih yang lebih enak untuk hidangan keluarga mereka. Terdapat juga kuih-muih segera yang disediakan dalam bentuk 'frozen' bagi memudahkan proses ini.

Asam laksa memang sedap
Laksa - laksa adalah makanan yang disediakan daripada beras yang dihidangkan bersama kuah dan bahan sayuran yang lain. Ini menjadikan terdapat pelbagai jenis laksa di Malaysia. Laksa merupakan antara makanan yang bagus untuk waktu petang kerana ia tidak mengandungi lemak yang tinggi dan mudah untuk dihadam.

Pisang goreng sedap minum petang
Goreng-gorengan - ya ini satu lagi hidangan yang popular di waktu petang. Pisang/keledek/ubi/cempedak goreng merupakan juadah yang sama hebat untuk hidangan minum petang. Selain daripada mudah untuk disediakan hidangan ini juga banyak dijual oleh peniaga-peniaga kecil.

Makan Malam


Bagi yang makan di rumah mungkin hidangan biasa seperti nasi dan lauk menjadi menu utama. Tetapi mari kita lihat antara makanan yang sering dinikmati di waktu malam di Malaysia. Mungkin ianya juga biasa dihidangkan di rumah.

Satay makanan popular
Satay - satay merupakan hidangan kegemaran kita semua kerana baunya yang harum daripada ramuan yang digunakan. Hidangan satay yang paling terkemuka adalah satay Kajang yang dipelopori oleh Tuan Hj. Samuri. Sehingga pekan Kajang menjadi sebuah bandar satay yang terkenal hingga ke hari ini. Hari ini Satay Hj. Samuri membuka franchise perniagaannya di merata tempat serata tanahair - diharap ianya akan menjadi satu lagi perniagaan yang berjaya seperti perniagaan franchise-franchise yang lain.

Nasi Goreng - nasi goreng menjadi antara hidangan makan malam pilihan kerana mengandungi nasi sebagai bahan makanan utama rakyat Malaysia. Nasi goreng kampung merupakan hidangan utama sehingga bermacam-macam jenis lagi antaranya; nasi goreng ikan masin, nasi goreng sea-food, nasi goreng cendawan, nasi goreng Thai, nasi goreng kerabu, nasi goreng Pattaya hingga ke nasi goreng USA!

Sup ekor makanan exotic
Sup gearbox juga unik/exotic
Sup Ekor - ini antara hidangan istimewa bagi sesetengah orang. Mungkin tidak semua meminati sup ekor, tetapi sup ekor biasanya lebih mahal berbanding sajian-sajian yang lain. Sup ekor sememangnya hidangan exotic yang dihidangkan di waktu malam hingga ke dinihari.

Sup Gearbox - mungkin saya bukan orang yang betul untuk menerangkan keunikan sup gearbox ini. Ia sebenarnya disediakan menggunakan bahagian tulang kaki lembu. Tujuan utama menikmati sup ini adalah untuk menikmati sum-sum tulang yang terdapat di bahagian tengah tulang tersebut yang dihirup menggunakan straw. Satu lagi hidangan yang exotic!

Tom Yam - tom yam adalah resepi asal dari negara Thailand. Keunikan masyarakat Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum menjadikan ianya sebahagian daripada hidangan harian di Malaysia. Ianya dipopularkan oleh orang-orang Kedah/Kelantan yang rata-ratanya menjadi peniaga makanan hampir di seluruh tanahair. Jadi bagi mereka yang ingin merasa Tom Yam yang sebenar, perlulah ke tanah asal tom yam iaitu di Thailand.

Itulah antara makanan kita rakyat Malaysia (terutama masyarakat Melayu). Mungkin saya akan mengupas pula makanan popular masyarakat yang lain nanti dan juga makanan istimewa hari perayaan. Tidakkah anda merasa anda berada di sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai jenis masakan dan makanan? Atau adakah anda terlupa bahawa makanan ini wujud di depan mata anda? Berikan pendapat dan pertanyaan anda bagi memeriahkan lagi topik istimewa ini.




Free Download



Ahad, 12 Ogos 2012

Kain Pelikat Pakain Selesa Masyarakat Serata Dunia



Kain pelikat merupakan antara kelengkapan harian yang biasa bagi kita Orang Melayu. Malah di negara kita Malaysia, kain ini turut dipakai oleh bangsa-bangsa lain juga. Mungkin tidak ramai antara kita yang menyangka banyak lagi masyarakat di dunia yang lain turut memakai kain pelikat dalam kehidupan seharian mereka. Artikel saya kali ini menampilkan kain pelikat bersempena hari raya yang hampir tiba dan teringatkan kain pelikat yang sering saya jadikan sebagai 'cenderahati' untuk hari yang istimewa ini. Mungkin pemakaian kain pelikat tidak se 'gah' pakaian berjenama yang lain, tetapi dapat menampilkan ciri-ciri keunikan nilai budaya yang tinggi.

Kain pelikat sememangnya selesa dipakai kerana ianya memudahkan pergerakan. Keadaan kain yang hanya diikat di bahagian atas kain menjadikan si pemakai merasa lebih sejuk kerana aliran udara yang lancar. Bagi kain pelikat yang dibuat menggunakan benang yang bermutu pula keselesaannya lebih terasa disamping kain kelihatan lebih menarik. Terdapat banyak variasi dari segi corak dan bahan buatan kain yang lebih dikenali sebagai 'sarong' ini.

Bagi kita hari ini kain pelikat mungkin hanya dipakai di rumah atau semasa ke masjid/ surau ketika menunaikan sembahyang. Malah bagi sesetengah orang memakai kain pelikat ketika tidur merupakan satu kemestian untuk mendapatkan keselesaaan. Saya juga tidak lupa membawa sehelai kain pelikat setiap kali melancong ke mana-mana. Kain pelikat juga pernah saya berikan sebagai hadiah kepada teman-teman yang berasal dari luar negara sebagai tanda pertukaran budaya.

Seorang tua Somalia memakai pelikat
Kain pelikat sebenarnya bukan hanya digunakan oleh masyarakat kita Orang Melayu sahaja malah popular di kalangan orang India, Bangladesh, Sri Lanka, Yaman dan Somalia. Mungkin perbezaannya hanya sedikit iaitu dari segi corak dan tenunannya sahaja. Ini kerana rata-rata kain pelikat diperbuat daripada benang kapas. Bagi masyarakat lain seperti di India dan Sri Lanka, kain pelikat turut dipakai sewaktu melakukan aktiviti seharian.

Begitulah hebatnya kain pelikat sebenarnya. Hari ini kain pelikat dipelbagaikan dengan ciri-ciri yang lebih menarik seperti tenunan dan bahan (benang kapas) yang lebih istimewa. Bagi kain pelikat yang berkualiti tinggi, kainnya lebih nipis dan ringan tetapi lebih berkilat. Kainnya juga tidak mudah berbulu setelah digunakan beberapa tahun lamanya. Terdapat juga kain yang agak licin dan berat menjadikannya nampak lebih lurus dan menarik. Jadi, pengguna kain pelikat hari ini sememangnya mempunyai banyak pilihan dalam rangkaian fesyen kain pelikat sahaja.

Memandangkan saya telah menulis artikel mengenai kain pelikat ni, saya teringat yang tahun ini saya masih lagi belum membeli kain pelikat untuk hari raya. InsyaAllah saya akan cuba cari kain pelikat yang istimewa untuk saya sendiri.

Free Download



Selasa, 17 Julai 2012

Kalau Lepas Minum Teh Halia Duduk Jauh-jauh

Hi, hari ni saya nak cerita pasal Halia lah. Kenapa Halia? Hmm, sebab kita kan selalu makan halia, kalau tak kenal halia tu tak patut lah kan. Paling tidak, esok lusa kita masih lagi mampu menikmati khasiat halia ni bila orang yang biasanya mengenal halia dah takder.. sob.. sob..


O.K. lah 'to make long story short', halia ni secara fizikalnya lebih kurang kunyit jer. Cuma struktur daun, dan batangnya sedikit berbeza. Dari segi rizomnya pula, halia berwarna lebih cerah, berbau kuat dan rasanya agak pedas. Bauan halia yang kuat inilah menjadikan ianya teman karib tukang masak ya. Nak tahu, selain bawang putih dan bawang merah, halia juga merupakan antara bahan masakan yang diketegorikan sebagai 'essential'. Terdapat juga bau-bauan (perfume) yang menggunakan bauan halia sebagai salah satu adunan di dalam bauan mereka. Hebat halia kan!


Bagi digunakan untuk masakan, halia muda dan halia tua keduanya boleh digunakan. Biasanya halia muda dipotong kasar untuk menambah bau dan rasa pada masakan. Sebab apa dipotong kasar? Sebab halia muda ni kalau tergigit pun takder masalah, boleh senyum jer - rasa pun sedap. Berbanding halia tua, biasanya dikisar dan digunakan untuk makanan yang agak tradisional seperti rendang ayam, rendang daging, kuah sate dan macam-macam lagi lah. Serbuk halia pula biasanya digunakan untuk minuman.

Satu keistimewaan halia yang tak boleh 'challenge' oleh lain-lain bahan makanan ialah; halia merupakan makanan pembuang angin No. #1. Bagi penggemar-penggemar  teh halia ya, sebab utama bagi minuman tersebut adalah untuk membuang angin, Namun begitu air halia tak semestinya dibuat teh(susu) sahaja, ianya boleh dipelbagaikan. Kalau di Indonesia air halia disediakan dengan menggunakan gula merah - memang sedap. Jadi bagi anda yang baru nak mencuba minuman teh halia ni hati-hati. Takut nanti lepas minum dan tengah 'windows' shopping' tu.. hmm tah tahan nak buang angin pulak - terlepas.. hehehe

Bagi saya secara peribadi memang meminati makanan berhalia. Resepi dari ayam masak halia, daging masak halia, ikan kukus (dengan halia) dan sesekali mencapurkan halia ke dalam bubur sebagai penambah rasa. Bagi yang anda di luar sana bolehlah ceritakan bagaimana anda meminati halia ni ya. Ada yang buat halia bakar ke?.. belum pernah dengar lagi..




Free Download



Isnin, 16 Julai 2012

Limau Nipis dan Masyarakat Melayu

Kenapalah hari ni saya rasa macam nak kongsi pasal limau nipis pulak ya? Mungkin anda pun nak tahu jugak. Puncanya sebab dalam beberapa hari ni saya diserang batuk diiringi selesema. Oleh sebab tak tahan dengan gangguan dua penyakit ni jadi saya pun teringat lah ubat mujarab (bagi saya) iaitu limau nipis.

Biasalah, sesiapa yang biasa dengan tumbuhan yang akrab dengan Masyarakat Melayu ni pasti tahu buah istimewa ni macam-macam gunanya kan? Bagi yang rajin menyemak arkib petua nenek kebayan tu lagi lah tahu macam-macam kegunaan buah ni.

Apa yang menghairankan bagi saya masih ada dikalangan kita yang terkeliru antara limau nipis dan limau kasturi. Takperlah jangan dia tersalah tafsir limau oren dan limau nipis sudah (itu dah tahap-tahap buta huruf lah tu). Ini kerana paling tidak kalau kita pernah ke dapur pasti terserempak dengan ibu yang biasanya menggunakan limau nipis untuk menghilangkan hanyir ikan atau setidak-tidaknya ketika beliau menyediakan sambal belacan atau cencaluk, huhu.. cuma tips yang paling mudah untuk membezakan antara limau nipis dan limau kasturi adalah dari segi saiz. Limau nipis lebih besar dan berkulit tebal manakala limau kasturi kecil dan berkulit nipis. hmm... mudah sahaja kan!

Oleh kerana limau nipis ni banyak gunanya, maka seharusnya kita perlu pastikan ianya tidak pupus begitu sahaja. Sememangnya kalau di pasar kita mudah mendapatkatnya, namun biasanya tahap kesegaranya agak kurang berbanding kalau dipetik sendiri dari pokok.

Memandangkan limau ini boleh digunakan untuk membuang hanyir ikan, maka sudah pastilah ianya juga berguna terutama untuk tujuan pembersihan. Ini termasuklah membuang bau badan, membersihkan rambut, membuang sel-sel kulit mati pada badan kita (ni kalau nak putih lah ya) dan macam-macam lagi lah ya. Cuma kalau nak mendapatkan cara 'advace' penggunaan limau nipis ni bolehlah dirujuk daripada koleksi-koleksi petua nenek kebayan (boleh dicari di internet atau majalah-majalah berkaitan wanita).

Seingat saya dahulu mudah sahaja mendapatkan limau ni (belakang rumah saya pun ada). Tapi sekarang agak sukar jugak, melainkan dibeli dikedai atau pasaraya. Biasalah untuk mendapatkan limau nipis yang betul-betul segar bukanlah mudah. Melainkan limau tersebut kelihatan agak kering atau layu. Kalau nak tanam tak tahu pulak bila berbuah kan. Jadi terpaksalah beli jugak.

Walaubagaimanapun untuk memastikan yang satu hari nanti saya boleh mendapatkan buah limau nipis yang segar, maka boleh lah saya mula mencari benih limau nipis. Memanglah hari ini saya terpaksa membeli, tapi kalau diusahakan secepat mungkin menanam pokok ini, pasti hasilnya saya dapat juga kan! Orang lain macam mana? Nak taknak tanam ker?





Free Download



Arkib Blog