Friday, July 10, 2015

Istimewa Juadah Raya; Rendang

Rendang termasuk antara makanan popular.

Rendang merupakan antara menu utama bagi setiap keluarga yang meraikan Hari Raya yang bakal akan tiba nanti. Jadi tidak patut sekiranya saya meninggalkan rendang daripada senarai artikel yang akan dikeluarkan. Rendang telah menjadi sebati dengan budaya hidup masyarakat Melayu di Malaysia namun mungkin ada perkara yang perlu kita ketahui mengenai rendang bagi menambahkan lagi pengetahuan mengenainya.

Rendang adalah merupakan sejenis masakan yang dimasak kebiasaannya menggunakan santan sehingga kering. Rendang berasal daripada Indonesia dan amat popular sekali di Sumatera terutama di Daerah Padang. Maka tidak hairanlah sekiranya rendang di Daerah Padang mempunyai lebih variasi menggunakan lebih banyak bahan utama.


Rendang ayam separuh kering.
Rendang Negeri dengan sayur maman. 

Di Malaysia pula, bahan utama dalam penyediaan rendang biasanya terdiri daripada ayam, daging (lembu/kambing/kerbau/rusa dan sebagainya) dan jarang sekali dari jenis lain seperti ikan atau sayuran. Rendang disediakan sesekali kerana waktu memasaknya yang lebih lama. Namun bagi yang berniaga tentulah akan berusaha menyediakan rendang setiap hari kerana ia merupakan permintaan pelanggan.

Rendang amat popular sebagai hidangan di Hari Raya dan boleh dikatakan setiap rumah akan menyediakan rendang sendiri. Namun begitu belum tentu rendang yang disediakan ini adalah sama. Begitulah uniknya rendang kerana tidak mempunyai resepi yang terlalu khusus seperti masakan-masakan yang lain. Namun begitu terdapat beberapa jenis rendang yang popular antaranya; Rendang Tok, Rendang Dinding, Rendang Neghoghi (Negeri) dan Rendang Padang.


Rendang Tok popular di bahagian Utara Malaysia.

Manakala dari segi bahan-bahan pula beberapa bahan penting yang boleh dikatakan digunakan untuk kebanyakan jenis rendang adalah; cili, bawang putih, bawang merah, santan kelapa, serai, halia, lengkuas, kunyit, daun kunyit, daun limau purut dan kerisik. Bahan-bahan lain mungkin digunakan dalam beberapa jenis rendang lain namun bahan yang senaraikan tadi merupakan bahan yang biasanya akan digunakan.

Ada beberapa tujuan utama masakan rendang disediakan antaranya adalah;
  • Ia tahan lebih lama, jadi sekiranya ia disediakan untuk jumlah yang banyak ia masih lagi baik untuk beberapa hari di musim perayaan.
  • Ia juga biasanya memerlukan daging yang betul-betul matang seperti ayam tua, lembu, kambing dan kerbau yang tahan dimasak di atas api yang lama. Sehubungan itu ayam tua yang mungkin kurang mendapat sambutan untuk jenis-jenis masakan biasa juga tidak ada masalah bagi rendang.
  • Rendang mudah dibawa sebagai bekal kerana ia tidak mempunyai kuah yang akan tertumpah.
  • Rendang mudah dipadankan dengan juadah-judah lain di hari raya. Ia boleh dimakan bersama dengan ketupat, rendang, lontong, mee goreng atau bihun goreng malah juga dengan ‘nasi lemak’.
Padanan yang paling baik - Lemang.

Seperti yang dikatakan tadi rendang daripada Daerah Padang di Sumatera mempunyai lebih variasi. Jadi ada baik sekiranya kita dapat mengetahui mengenai rendang-rendang tersebut. Pertama iaitu ‘Rendang Lumek’ (dimasak sehingga kering dan lumat) yang disediakan menggunakan daging ikan gabus serta daun kayu. Rendang ini jarang dijumpai kini kerana ikan gabus yang sukar didapati.

Rendang telur juga merupakan rendang Daerah Padang yang menggunakan telur yang dicampur tepung, dikukus dan dipotong kecil. Berbeza dengan hari ini rendang telur disediakan menggunakan telur dadar. Rendang berikutnya pula adalah rendang runtiah yang menggunakan daging yang dicarik-carik kecil dan rendang-rendang lain iaitu rendang paru, rendang belut, rendang ikan dan sebagainya.


Ya jadi itu barulah lengkap mengenai rendang yang mungkin kita perlu ketahui bagi menjadikan hidangan rendang tahun ini dinikmati dengan penghargaan yang berbeza. Bukanlah mudah untuk menyediakan rendang apatah lagi dalam suasana di bulan Ramadan dengan persiapan menjelang Hari Raya. Adalah diharapkan kita semua melakukan kerja-kerja persiapan ini dengan penuh ceria, tidak merasa tertekan dengan bebanan kerja-kerja tersebut. Semoga hidangan yang disediakan untuk kaum keluarga dan tetamu mendapat keberkatan.


Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...