Rabu, 8 Julai 2015

Istimewa Juadah Raya; Lemang

Lemang tetap merupakan sajian popular di Hari Raya.

Lemang merupakan antara makanan popular menjelang raya dan di sesetengah kawasan di Semenanjung Malaysia ia merupakan hidangan penting di pagi Hari Raya.  Keseluruhan proses membuat lemang memerlukan kerjasama antara ahli keluarga mahupun tetangga. Jadi di sinilah uniknya lemang dalam merapatkan lagi jalinan antara satu sama lain.

Lemang dahulunya hanya dihidangkan untuk hari-hari tertentu sahaja kerana proses pembuatannya yang memakan masa dari penyediaan buluh sehinggalah proses memasak. Namun sebagai sebahagian daripada perniagaan ia adakalanya dijual pada hari-hari lain sepanjang tahun. Ia juga merupakan pengubat rindu pada lemang dan adakalanya ia sedikit sebanyak menghilangkan keunikan lemang yang selama ini lebih eksotik.

Buluh dan Kayu Api


Mencari buluh lemang bukanlah semudah membeli lemang.

Proses membuat lemang bermula dengan mengambil buluh untuk dijadikan buluh lemang. Proses mengambil buluh ini memerlukan ketelitian mengenal antara buluh yang sesuai dengan yang tidak. Anda perlu tahu buluh yang tidak sesuai seperti ‘buluh telur’, dimana ia mungkin akan dimakan api sebelum lemang anda masak. Buluh lemang yang sesuai mempunyai ketebalan dan dinding ruas yang lebih lembab dan dapat bertahan disepanjang proses memasak lemang.

Proses pengambilan buluh juga perlu dilakukan dengan cermat kerana terdapat beberapa kaedah tertentu bagi memastikan kerja dapat dilakukan dengan pantas, selamat dan memastikan anda mendapat buluh yang benar-benar sesuai digunakan untuk tujuan memasak lemang anda.

Proses mencari buluh lemang biasanya akan berlaku seiringan dengan mencari bahan bakar kayu api. Bagi memastikan ia mempunyai bara, kayu api perlulah dari saiz yang besar dan sederhana besar. Tanpa bara, pembakaran lemang anda menjadi sedikit sukar di akhir proses pembakaran tersebut di mana lemang perlu dipanaskan dengan panas bara berbanding api yang menyala bagi mengelakkan hangus.

Sebelum Proses Pembakaran


Santan yang cukup diperlukan untuk memastikan lemang yang baik.
Sebelum proses pembakaran lemang dilakukan bahan-bahan lain akan disediakan termasuklah santan kelapa, beras pulut dan juga daun pisang. Penyediaan santan mungkin memerlukan proses memarut kelapa dalam jumlah yang besar. Manakala beras pulut perlu dibasuh bersih dan ditoskan airnya. Masa itulah daun pisang akan dipotong mengikut saiz buluh supaya ia muat di dalam buluh-buluh tersebut. Proses pengukuran ini amat menarik dan anda perlu berhati-hati bagi mengelakkan pulut menyentuh bahagian dalam buluh.

Beras akan dimasukkan ke dalam buluh terlebih dahulu dan barulah diikuti dengan santan yang telah dicampurkan garam. Pulut diletakkan ¾ memenuhi buluh dan santan menutupi paras pulut. Semasa proses memasak, pulut akan mengembang dan santan juga akan diserap oleh pulut. Pulut yang terlalu banyak akan menyebabkan ia terkeluar daripada buluh semasa proses memasak.

Proses Memasak


Proses pembakaran lemang juga memerlukan kemahiran.

Proses memasak dimulakan sebaik sahaja api telah dinyalakan dan lemang-lemang telah sedia untuk dibakar. Pada permulaan proses api yang besar diperlukan bagi memanaskan lemang dengan cepat. Namun awas buluh juga boleh terbakar jadi api yang besar tidak boleh terlalu hampir dengan lemang.
Semasa proses pembakaran berjalan lemang-lemang akan terus di awasi dan dipusingkan bagi memastikan lemang masak dengan sekata. Paras santan juga diperiksa dan boleh ditambah sekiranya perlu. Santa yang tidak cukup akan menyebabkan pulut tidak masak dan lemang berderai.

Apabila lemang setengah masak proses hentakan perlu dilakukan bagi memadatkan lemang. Ini kerana terdapat ruang-ruang udara di antara beras dan proses memasak menyebabkan udara ini semakin mengembang. Proses hentakan perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana buluh boleh pecah.


Lemang dengan padanan terbaiknya, rendang.

Manakala apabila lemang hampir masak pula, api yang kecil (ataupun haba dari bara) diperlukan untuk memastikan lemang dipanaskan secara perlahan. Proses pemusingan yang betul dapat mengelakkan lemang daripada hangus. Lemang yang hangus akan mempunyai kerak yang keras dan sukar untuk dimakan. Keseluruhan proses membakar lemang ini mungkin akan mengambil masa dari 4 - 6 jam.

Walaupun proses penyediaan lemang amatlah rumit, namun ia masih digemari sehingga ke hari ini. Lemang yang dimasak dengan buluh mempunyai aroma yang sukar ditolak apatah lagi apabila dipadankan dengan rendang ayam atau daging di pagi raya bersama keluarga. Apa yang menarik mengenai lemang, selain daripada ianya merupakan  hidangan yang hebat adalah kenangan manis yang tidak mungkin dapat dilupakan. Mujur hari ini ia masih boleh dibeli dan turut disediakan pada majlis-majlis rumah terbuka.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog