Sabtu, 11 Julai 2015

Istimewa Juadah Raya; Soto (Ayam/Daging)

Soto hidangan kurang lemak yang menyihatkan.

Antara kebanyakan juadah Hari Raya yang biasa disediakan kebanyakannya agak berminyak seperti rendang, lemang, satay, mee kari, mee goreng dan sebagainya. Antara pilihan terbaik untuk memberikan perut anda sedikit kerehatan daripada makanan berminyak Soto merupakan antara pilihan makanan yang terbaik.

Disediakan sama seperti sup ayam/daging minyak di dalam soto adalah minyak yang digunakan untuk menumis atau daripada ayam atau daging itu sendiri (dan anda boleh memilih dari bahagian yang kurang berlemak). Rasa soto juga berbeza dengan kebanyakan juadah lain yang berasaskan kuah masakan berlemak dan cili, berbanding soto dengan rempah sup yang kurang pedas dan ringan.

Seperti juga makanan-makanan lain di Malaysia soto juga berasal daripada Indonesia. Oleh kerana kebanyakan rakyat Malaysia sendiri berasal dari Indonesia sejak dahulu lagi dan sehingga kini masih terdapat ramai rakyat Indonesia yang menetap di Malaysia dengan pelbagai tujuan. Malah di Indonesia makanan soto ini mempunyai variasinya untuk setiap daerah, setiap suku dan sebagainya.

Soto daging.
Soto ayam dengan kuah kuning dan emping.

Soto disediakan dengan 2 bahagian utama iaitu bahan sup dan juga bahan isi. Bahagian sup disediakan dalam bentuk sup ayam ataupun daging tidak jauh berbeza dengan sup yang biasa disediakan. Bahagian isi boleh menggunakan ‘nasi himpit’, bihun, mee kuning atau nasi. Ia kemudiannya akan ditambah dengan beberapa sayuran seperti taugeh celur, hirisan daun ketumbar, bawang goreng, kacang goreng dan pelengkap sambal cili serta kicap cili.

Bagi yang menyediakan juadah ketupat atau ‘nasi himpit’ bolehlah menyediakan sekali kuah soto ini bagi mereka yang memilih untuk mengurangkan pengambilan makanan berlemak sepanjang Hari Raya nanti. Ini kerana menyediakan soto tidaklah sesukar mana dibandingkan dengan penyediaan rendang, lemang serta ketupat itu sendiri.

Soto Semarang dinikmati dengan pelbagai bahan tambahan.
Soto dengan telur ayam dan tomato.

Sekiranya anda ingin soto yang berbeza pula bolehlah mempelajari kaedah menyediakan soto seperti yang disediakan di Indonesia – terdapat banyak sekali variasi soto yang harus dicuba seperti Soto Bandung yang disediakan bersama lobak putih. Soto Betawi iaitu soto daging dengan susu atau santan kelapa bersama kentang goreng dan tomato. Soto Semarang iaitu soto ayam menggunakan bauh keras bersama pergedel (kentang), tempe dan kebiasaannya bersama sate kerang dan telur puyuh – ianya juga dikenali sebagai Soto Bangkung.


Jadi banyak sekali jenis soto yang boleh anda cuba untuk mempelbagaikan pilihan juadah Hari Raya anda nanti. Maklumlah setiap tetamu mempunyai selera dan keperluan yang berbeza. Mungkin ada diantara mereka yang tidak sampai hati menyuarakan keperluan ini, jadi sebagai tuan rumah kita harus peka dengan keperluan tetamu yang menceriakan suasana majlis rumah terbuka yang diadakan.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog