Memaparkan catatan dengan label hidangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hidangan. Papar semua catatan

Selasa, 20 Jun 2017

Makanan Terkenal Vietnam: Ga Tan

Ga Tan sup ayam untuk membantu penyembuhan.

Ga Tan, terdapat beberapa jenis variasi yang ditemui mengenainya. Namun begitu kesemua variasi tersebut merujuk kepada sup yang diperbuat daripada ayam menggunakan herba tertentu dan baik untuk kesihatan. Ga Tan juga ada yang disediakan atau dinikmati bersama mi dan juga nasi. Jadi, mungkin Ga Tan bukan merupakan menu pilihan, tetapi ia juga merupakan antara makanan penting apatah lagi untuk tujuan menjaga kesihatan.

Ga Tan mungkin lebih dikenali sebagai sup ayam manis dan lebih popular di bahagian utara, menggunakan herba-herba yang memberikan ianya rasa manis juga dikenali sebagai tonik Vietnam. Ia dikatakan dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan tak kira samada anda menghidap selesema, demam dan sebagainya. Mungkin ia meningkatkan lagi tahap keupayaan badan untuk melawan penyakit.

Ga tan yang menggunakan ginseng dan disediakan di dalam bekas batu.

Ga tan yang mengandungi sayur-sayuran atau dedaun herba.

Ga tan yang mempunyai kuah gelap.

Antara bahan yang digunakan untuk menyediakan Ga Tan adalah buah ‘American dried fig’, kurma merah, kurma manis, goji berries, longan kering, ‘pei ji’ dan ‘yuk chuck’ yang menyebabkan ga tan jenis ini mempunyai rasa yang manis. Namun begitu bahan-bahan ini juga mempunyai variasi mengikut kesesuaian. Jadi untuk menyediakan ga tan anda perlulah merujuk kepada mereka yang arif mengenai bahan-bahan campurannya.

Kedua ga tan juga merujuk kepada sup ayam (tonik Vietnam) yang disediakan di dalam tin minuman coke yang juga popular di bahagian Utara Vietnam seperti Bandar Hanoi. Ga Tan membawa maksud “ayam luruh dari tulang”. Jadi dari namanya anda mungkin dapat menggambarkan mengenai minuman/ makanan yang dimaksudkan. Namun ia digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit sama juga seperti ga tan yang disediakan di atas.

Ga tan juga biasa disediakan bersama dengan mi.

Ga tan dengan mi.

Menggunakan buah kelapa sebagai bekas.

Ini Ga tan di dalam tin menggunakan ayam muda.

Namun ga tan di dalam tin coke ini mempunyai warna gelap kehijauan dan rasa yang sedikit pahit pula. Mungkin pada variasi ini rasa pahit adalah disebabkan bahan campuran yang digunakan berbeza daripada ga tan seperti di atas. Namun ia merupakan antara minuman popular dengan harga sekitar 40,000 VND (USD 2.50, AUD 3.30) untuk minuman bersaiz tin coke.


Mungkin ia kelihatan agak kurang menyenangkan bagi yang tidak biasa. Jadi mengetahui mengenai resipinya anda boleh cuba menyediakannya sendiri. Ini kerana, masakan ini mungkin mempunyai kebaikan seperti yang dikhabarkan.


Free Download



Ahad, 11 Jun 2017

Makanan Terkenal Vietnam: Bánh Khọt

Bánh khọt kelihatan menarik untuk juadah petang.

Tidak kurang hebatnya antara makanan Vietnam yang sesuai untuk dirasai semua adalah bánh khọt. Bánh Khọt mungkin menyerupai makanan yang boleh didapati di beberapa negara SE Asean lain dan ianya ringkas, mudah didapati dan sedap pula.

Sekali pandang bánh khọt bagaikan lempeng (pancake), namun pandangan kedua ianya adalah gorengan tepung yang terkenal di negara-negara lain seperti Malaysia, Indonesia dan Singapore. Kuih seumpamanya dikenali sebagai ‘cucur udang’ di Malaysia. Namun bagi bánh khọt, ia mempunyai bahan campuran yang lebih banyak yang menyebabkan ianya lebih unik dan enak dimakan. Bagi yang tidak memakan daging khinzir perlulah mendapatkan penjelasan daripada penjual bánh khọt, atau dapatkan bánh khọt yang disediakan oleh peniaga Muslim/vegetarian.

Biasanya dihiasi dengan udang yang menarik.

Tepung bánh khọt untuk memudahkan penyediaan. 

Daripada bahan-bahannya anda dapat membayangkan keenakan makanan ini. Bahan asas yang digunakan adalah tepung beras, namun ia juga menggunakan kacang hijau yang di blender/tumbuk halus. Santan kelapa, tepung saffron dan rempah perasa memberikan rasa lemak dan rempah yang menambah aroma kepada kuih ini. Akhir sekali bahan isi terdiri daripada udang, isi udang dan juga daging (pastikan jenis daging yang digunakan) dan juga sayuran mengikut pilihan anda. Bánh Khọt juga dimakan dengan sos pilihan para penggemar (kebiasaan nya sos daripada daun bawang dan minyak.

Bánh Khọt boleh dikenali dengan mudah kerana ia kelihatan seperti lempeng kecil dan menampakkan haisan udang (kebiasaan nya) di atasnya. Ia juga mempunyai warna kuning keemasan di samping bau yang harum daripada santan kelapa dan rempah yang digunakan. Manakala sos yang digunakan bersama untuk masakan ini menambahkan lagi perisa makanan bánh khọt.


Penyediaan banh khot menggunakan acuan.

Gerai-gerai yang biasa didapati dengan mudah di serata Vietnam.

Sememangnya tidak semua makanan boleh kita rasai semasa melawat ke negara-negara lain. Namun mengenali makanan tradisi mereka merupakan salah satu cara bagaimana untuk kita lebih mengenali keunikan budaya masing-masing. Semasa anda melawat ke mana-mana, pastikan tidak mencuba sesuatu masakan, makanan bagi mengelakkan pelbagai masalah terutamanya berkaitan dengan kesihatan. Teruskan mengembara. 


Free Download



Rabu, 7 Jun 2017

Makanan Terkenal Vietnam: Bánh Xèo

Bánh Xèo merupakan satu lagi makanan enak dari Vietnam.

Bánh Xèo merupakan antara makanan terkenal Vietnam sejajar dengan makanan-makanan ternama yang lain seperti phở, bánh mì dan juga bún chả (tidak semuanya adalah halal!) yang lebih mendapat perhatian mengikut peredaran zaman. Bánh Xèo mempunyai sejarah penyediaan yang lebih awal, namun bertahan sehingga ke hari ini mengikut perubahan zaman dan mengikut perubahan selera masyarakat moden.

Bánh Xèo antara lainnya bermaksud “lempeng mersik” (sizzling cake) kerana ia disediakan dengan menyediakan kepingan lempeng yang disediakan di atas kuali rata yang panas dan menghasilkan bunyi yang mersik. Hari ini berikutan tersebarnya bánh xèo ke daerah-daerah yang lain, banyak variasi yang dapat disaksikan samada dari segi saiz mahupun bahan-bahan isi yang digunakan bersama-sama dengan makanan istimewa ini.

Bánh Xèo disediakan menggunakan kuali rata.

Penyediaan disediakan di gerai-gerai kecil.

Tepung khusus untuk penyediaan bánh xèo.

Bánh Xèo dikatakan berasal dari bahagian tengah Vietnam semenjak era Tay Son lagi. Ia mula menjadi makanan kegemaran masyarakat setempat yang akan menyediakan hidangan ini pada setiap 16 hari bulan mengikut peredaran bulan. Mereka akan menyediakan bánh xèo berbanding makanan harian biasa yang lain.

Ia juga dikatakan mungkin berasal daripada bandar diraja lama Hue dengan makanan tradisinya yang dikenali sebagai bánh khoái iaitu lempeng garing yang masih lagi disediakan di bandar tersebut. Kemungkinan juga makanan ini mempunyai kaitan dengan orang-orang Cham yang mempunyai hubungan dengan penduduk di Vietnam atau mungkin juga berasal dari Selatan India dari hubungan yang berkurun lamanya.

Hasil daripada peredaran zaman dan migrasi penduduk, hari ini bánh xèo mempunyai pelbagai variasi dari segi saiz, penyediaan dan bahan inti yang digunakan dalam penyediaannya. Di daerah-daerah seperti Binh Dinh, Quang Ngai dan Quang Nam mempunyai saiz bánh xèo yang sederhana dibalut menggunakan kertas beras. Manakala daerah-daerah di Selatan seperti Khanh Hoa, Ninh Thuan dan Binh Thuan menggunakan bahan inti daging, taugeh bagi menggantikan makanan laut yang dipadankan dengan sos ikan, cili dan kuah kacang. Lempeng kecil daerah Selatan ini adakalanya dibalut dengan sayuran atau tidak dibalut.

Saiz hidangan bánh xèo yang biasa.

Bánh Xèo yang dihidangkan di Bandar Hanoi.

Bánh Xèo yang dihidangkan di Bandar Saigon.

Saiz lempeng bánh xèo menjadi semakin besar ke arah Selatan seperti di daerah Can Tho, Bien Hoa dan Saigon, anda boleh mendapati saiz bánh xèo yang lebih besar dengan isi inti daripada pelbagai jenis bahan.

Bánh Xèo hanya menjadi popular di bahagian Selatan seperti Bandar Saigon hanya pada lewat 1990-an, apabila perpindahan penduduk dari bahagian tengah Vietnam membawa bersama makanan kegemaran mereka ini ke sini. Ia merupakan makanan yang biasanya dibungkus oleh para petani di dalam daun pisang untuk dibawa bekerja di sawah padi.


Walaupun hari ini bánh xèo turut disediakan oleh restoran-restoran ternama mahupun rangkaian restoran franchise seperti Banh Xeo Muoi Xiem dan An La Ghien, ramai penggemar bánh xèo masih lagi memilih untuk menikmatinya melalui gerai-gerai di tepian jalan yang dikatakan menyediakan bánh xèo yang jauh lebih enak. Satu lagi makanan Vietnam yang menarik untuk disaksikan dan menggambarkan sebuah budaya yang kaya dengan pelbagai keunikan.


Free Download



Selasa, 6 Jun 2017

Makanan Terkenal Vietnam: Pho

Pho makanan yang berasal dari bahagian Utara VIetnam.

Vietnam mempunyai pelbagai pilihan makanan yang unik seperti juga negara-negara SE Asia yang lain. Apa yang menarik, geography Vietnam yang memanjang dari Selatan ke Utara memberikan Vietnam banyak perbezaan dari segi budaya, cuaca, cara hidup dan hidangan bagi kedua-dua kawasan yang terletak jauh di antara keduanya.

Oh, makanan utama yang akan kita bincangkan hari ini adalah Pho, yang merupakan makanan yang paling popular di Vietnam. Makanan ini sememangnya sinonim dengan negara ini baik di bahagian Selatan mahupun di Utara. Pho adalah makanan yang ringkas, namun boleh disediakan dengan pelbagai cara dan ianya menjadi antara makanan Vietnam yang turut popular di luar Vietnam sendiri.

Pho menjadi hidangan istimewa di pinggir jalan di Hanoi.

Jadi tidak susah sekiranya anda ingin mencuba hidangan Pho kerana ia dihidangkan hampir di mana sahaja daripada restoran hinggalah ke gerai-gerai kecil di tepian jalan. Di bahagian Utara ia dikenali sebagai (pho bac) manakala di bahagian ia dikenali di Selatan sebagai (pho nam) dengan sedikit perbezaan daripada jenis bahan yang digunakan untuk menyediakan supnya. Walaubagaimanapun makanan ini dikatakan dibawa daripada bahagian Utara Vietnam.

Pho terus berevolusi dengan penghijrahan rakyat Vietnam ke serata bahagian dunia berikut kekacauan, peperangan, perpindahan kerana pekerjaan dan sebagainya membawa bersama keunikan Pho yang digabungkan bersama bahan-bahan masakan di kawasan baru yang didiami oleh Rakyat Vietnam. Inilah yang menjadikan Pho satu hidangan yang luas dan mempunyai pelbagai jenis untuk dicuba.

Pho dengan isi daging dan pilihan sayuran tambahan.

Antara sayuran sesuai untuk dimakan bersama pho.

Secara kasarnya Pho terbahagi kepada 2 jenis utama iaitu pho bo (pho daging) dan juga pho ga (pho ayam), dimana pho bo mempunyai variasi yang lebih mengikut bahagian daging pada lembu yang digunakan. Jadi pho bo disediakan bersama bahagian daging seperti;
  • bò chín (daging salai masak),
  • bò tái (daging mentah),
  • nạm (pinggul),
  • vè dòn (pinggul rangup),
  • gầu (dada berlemak),
  • gân (tendon),
  • sách (usus/perut) dan
  • bò viên (bebola daging dengan tendon).


Pho dengan kuah merah yang menggunakan rempah berbeza.

Pho yang menggunakan sup yang lebih terang dengan daging dan sayur.

Selain daripada memilih isi daging yang digunakan bersama pho anda, anda juga boleh memilih pelbagai jenis ragam pho yang disediakan mengikut standard penyediaan pho oleh restoran-restoran serata vietnam seperti;
  • Nước trong (kuah sup tanpa lemak; kuah asas pho),
  • Nước béo (kuah sup berlemak atau extra lemak),
  • Tái sống (daging mentah),
  • Ít bánh (kurang mee, "banh" dirujuk sebagai "banh pho" yang bermaksuk mee untuk pho),
  • Nhiều bánh (lebih mee),
  • Ít thịt (kurang daging)
  • Nước béo hành trần (sup berlemak dengan sirap bawang bersama),
  • Giá chín (bersama taugeh celur),
  • Không hành (tanpa bawang),
  • Không hành ngò (tanpa bawang/daun ketumbar),
  • Không hành tây (tanpa bawang),
  • Hành giầm giấm (sirap bawang di sisi)

Restauran franchise Pho24 yang mempunyai banyak cawangan. 

Restauran phostreet dari Singapura satu lagi hasil ilham dari pho.



Dengan mengenali akan kepelbagaian pho ini, maka tahulah anda betapa pentingnya pho sebagai makanan harian kepada penduduk Vietnam. Walaupun terdapat pelbagai lagi hidangan istimewa Vietnam, namun pho merupakan antara makanan terpenting untuk dicuba apabila anda mempunyai peluang untuk mencubanya.



Free Download



Sabtu, 11 Julai 2015

Istimewa Juadah Raya; Soto (Ayam/Daging)

Soto hidangan kurang lemak yang menyihatkan.

Antara kebanyakan juadah Hari Raya yang biasa disediakan kebanyakannya agak berminyak seperti rendang, lemang, satay, mee kari, mee goreng dan sebagainya. Antara pilihan terbaik untuk memberikan perut anda sedikit kerehatan daripada makanan berminyak Soto merupakan antara pilihan makanan yang terbaik.

Disediakan sama seperti sup ayam/daging minyak di dalam soto adalah minyak yang digunakan untuk menumis atau daripada ayam atau daging itu sendiri (dan anda boleh memilih dari bahagian yang kurang berlemak). Rasa soto juga berbeza dengan kebanyakan juadah lain yang berasaskan kuah masakan berlemak dan cili, berbanding soto dengan rempah sup yang kurang pedas dan ringan.

Seperti juga makanan-makanan lain di Malaysia soto juga berasal daripada Indonesia. Oleh kerana kebanyakan rakyat Malaysia sendiri berasal dari Indonesia sejak dahulu lagi dan sehingga kini masih terdapat ramai rakyat Indonesia yang menetap di Malaysia dengan pelbagai tujuan. Malah di Indonesia makanan soto ini mempunyai variasinya untuk setiap daerah, setiap suku dan sebagainya.

Soto daging.
Soto ayam dengan kuah kuning dan emping.

Soto disediakan dengan 2 bahagian utama iaitu bahan sup dan juga bahan isi. Bahagian sup disediakan dalam bentuk sup ayam ataupun daging tidak jauh berbeza dengan sup yang biasa disediakan. Bahagian isi boleh menggunakan ‘nasi himpit’, bihun, mee kuning atau nasi. Ia kemudiannya akan ditambah dengan beberapa sayuran seperti taugeh celur, hirisan daun ketumbar, bawang goreng, kacang goreng dan pelengkap sambal cili serta kicap cili.

Bagi yang menyediakan juadah ketupat atau ‘nasi himpit’ bolehlah menyediakan sekali kuah soto ini bagi mereka yang memilih untuk mengurangkan pengambilan makanan berlemak sepanjang Hari Raya nanti. Ini kerana menyediakan soto tidaklah sesukar mana dibandingkan dengan penyediaan rendang, lemang serta ketupat itu sendiri.

Soto Semarang dinikmati dengan pelbagai bahan tambahan.
Soto dengan telur ayam dan tomato.

Sekiranya anda ingin soto yang berbeza pula bolehlah mempelajari kaedah menyediakan soto seperti yang disediakan di Indonesia – terdapat banyak sekali variasi soto yang harus dicuba seperti Soto Bandung yang disediakan bersama lobak putih. Soto Betawi iaitu soto daging dengan susu atau santan kelapa bersama kentang goreng dan tomato. Soto Semarang iaitu soto ayam menggunakan bauh keras bersama pergedel (kentang), tempe dan kebiasaannya bersama sate kerang dan telur puyuh – ianya juga dikenali sebagai Soto Bangkung.


Jadi banyak sekali jenis soto yang boleh anda cuba untuk mempelbagaikan pilihan juadah Hari Raya anda nanti. Maklumlah setiap tetamu mempunyai selera dan keperluan yang berbeza. Mungkin ada diantara mereka yang tidak sampai hati menyuarakan keperluan ini, jadi sebagai tuan rumah kita harus peka dengan keperluan tetamu yang menceriakan suasana majlis rumah terbuka yang diadakan.


Free Download



Arkib Blog