Rabu, 7 Jun 2017

Makanan Terkenal Vietnam: Bánh Xèo

Bánh Xèo merupakan satu lagi makanan enak dari Vietnam.

Bánh Xèo merupakan antara makanan terkenal Vietnam sejajar dengan makanan-makanan ternama yang lain seperti phở, bánh mì dan juga bún chả (tidak semuanya adalah halal!) yang lebih mendapat perhatian mengikut peredaran zaman. Bánh Xèo mempunyai sejarah penyediaan yang lebih awal, namun bertahan sehingga ke hari ini mengikut perubahan zaman dan mengikut perubahan selera masyarakat moden.

Bánh Xèo antara lainnya bermaksud “lempeng mersik” (sizzling cake) kerana ia disediakan dengan menyediakan kepingan lempeng yang disediakan di atas kuali rata yang panas dan menghasilkan bunyi yang mersik. Hari ini berikutan tersebarnya bánh xèo ke daerah-daerah yang lain, banyak variasi yang dapat disaksikan samada dari segi saiz mahupun bahan-bahan isi yang digunakan bersama-sama dengan makanan istimewa ini.

Bánh Xèo disediakan menggunakan kuali rata.

Penyediaan disediakan di gerai-gerai kecil.

Tepung khusus untuk penyediaan bánh xèo.

Bánh Xèo dikatakan berasal dari bahagian tengah Vietnam semenjak era Tay Son lagi. Ia mula menjadi makanan kegemaran masyarakat setempat yang akan menyediakan hidangan ini pada setiap 16 hari bulan mengikut peredaran bulan. Mereka akan menyediakan bánh xèo berbanding makanan harian biasa yang lain.

Ia juga dikatakan mungkin berasal daripada bandar diraja lama Hue dengan makanan tradisinya yang dikenali sebagai bánh khoái iaitu lempeng garing yang masih lagi disediakan di bandar tersebut. Kemungkinan juga makanan ini mempunyai kaitan dengan orang-orang Cham yang mempunyai hubungan dengan penduduk di Vietnam atau mungkin juga berasal dari Selatan India dari hubungan yang berkurun lamanya.

Hasil daripada peredaran zaman dan migrasi penduduk, hari ini bánh xèo mempunyai pelbagai variasi dari segi saiz, penyediaan dan bahan inti yang digunakan dalam penyediaannya. Di daerah-daerah seperti Binh Dinh, Quang Ngai dan Quang Nam mempunyai saiz bánh xèo yang sederhana dibalut menggunakan kertas beras. Manakala daerah-daerah di Selatan seperti Khanh Hoa, Ninh Thuan dan Binh Thuan menggunakan bahan inti daging, taugeh bagi menggantikan makanan laut yang dipadankan dengan sos ikan, cili dan kuah kacang. Lempeng kecil daerah Selatan ini adakalanya dibalut dengan sayuran atau tidak dibalut.

Saiz hidangan bánh xèo yang biasa.

Bánh Xèo yang dihidangkan di Bandar Hanoi.

Bánh Xèo yang dihidangkan di Bandar Saigon.

Saiz lempeng bánh xèo menjadi semakin besar ke arah Selatan seperti di daerah Can Tho, Bien Hoa dan Saigon, anda boleh mendapati saiz bánh xèo yang lebih besar dengan isi inti daripada pelbagai jenis bahan.

Bánh Xèo hanya menjadi popular di bahagian Selatan seperti Bandar Saigon hanya pada lewat 1990-an, apabila perpindahan penduduk dari bahagian tengah Vietnam membawa bersama makanan kegemaran mereka ini ke sini. Ia merupakan makanan yang biasanya dibungkus oleh para petani di dalam daun pisang untuk dibawa bekerja di sawah padi.


Walaupun hari ini bánh xèo turut disediakan oleh restoran-restoran ternama mahupun rangkaian restoran franchise seperti Banh Xeo Muoi Xiem dan An La Ghien, ramai penggemar bánh xèo masih lagi memilih untuk menikmatinya melalui gerai-gerai di tepian jalan yang dikatakan menyediakan bánh xèo yang jauh lebih enak. Satu lagi makanan Vietnam yang menarik untuk disaksikan dan menggambarkan sebuah budaya yang kaya dengan pelbagai keunikan.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog