Ahad, 12 Julai 2015

Kemeriahan Hari Raya – Pelita Raya

Pelita Raya, menambahkan lagi kemeriahan menjelang Hari Raya.

Menjelang ketibaan Hari Raya suasana akan bertukar meriah dengan beberapa perbezaan yang ketara. Suasana ini mungkin lebih dirasai begi mereka yang tinggal di kampung-kampung atau di pinggar bandar. Antara perbezaan ketara tersebut adalah dengan adat memasang pelita pada malam tujuh terakhir mejelang 1 Syawal.

Terdapat beberapa sebab mengapa perkara ini diadakan oleh masyarakat dulu-dulu antaranya adalah untuk menerangi suasana kampung yang suatu masa dahulu amat gelap dengan ketiadaan lampu elektrik apatah lagi dengan lampu jalan. Jadi dengan adanya pelita ini maka suasana kampung akan bertukar menjadi terang dan bolehlah mereka beramai-ramai keluar untuk terus menunaikan solat terawih seperti biasa - kerana bulan akan mengecil semula sebelum timbulnya bulan baru.

Pelita buluh kebiasaannya dibuat sebaris.
Pelita tempurung, lebih unik dan menarik.

Pelita raya disediakan dengan pelbagai versi - daripada bahan-bahan yang sedia ada seperti buluh, tempurung kelapa dan apa sahaja yang boleh menampung minyak di dalamnya. Apabila zaman bertukar pelita diperbuat daripada tin-tin makanan selain terdapat pelita yang siap dijual. Pelita-pelita ini akan dipasang menghiasi perkarangan rumah setiap hari sehingga menjelangnya hari raya.

Pelita yang siap dijual sememangnya lebih mudah untuk digunakan dan disimpan semula apabila musim perayaan tamat. Namun pelita buluh adalah lebih unik kerana ia disediakan sebaris panjang namun hanya digunakan untk semusim sahaja begitu juga dengan pelita tempurung kelapa.

Keadaan rumah-rumah moden hari ini tidak sesuai untuk memasang pelita kerana dikhuatiri akan mengakibatkan bencana kebakaran. Bagi persekitaran rumah teres dan rumah pangsa, keadaan ini sememangnya tidak sesuai. Namun begitu bagi yang ingin mengembalikan suasana kemeriahan lampu kelip-kelip atau lampu yang menyerupai pelita bolehlah digunakan. Selain daripada ianya boleh digunakan berulang-ulang, ia juga dapat menjimatkan belanja kos minyak tanah yang agak mahal kebelakangan ini.


Pelita elektrik untuk tujuan keselamatan/penjimatan.

Bagi anda yang berpeluang melewati kawasan kampung menjelang hari raya nanti mungkin dapat melihat masih terdapat rumah-rumah yang menghiasi halaman rumah dengan pelita-pelita ini. Bagi yang berkemampuan dan mempunyai masa, mungkin akan menerangkan hampir keseluruhan halaman dengan pelita - ia sememangnya satu pemandangan yang menarik.


Namun begitu seiring dengan peredaran zaman, adalah digalakkan sekiranya anda boleh bertukar kepada lampu yang menggunakan kuasa bateri dengan nyalaan yang menyerupai pelita atas tujuan keselamatan. Sememangnya budaya menerangkan rumah dengan cahaya dapat memberikan lebih semangat bagi kita mengharungi hari-hari terakhir di dalam bulan Ramadan menanti menjelangnya hari raya. Kemeriahan inilah sebenarnya yang memberikan kita motivasi untuk terus menyediakan persiapan-persiapan lain disamping menanti kepulangan ahli keluarga dan sanak saudara.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog