Memaparkan catatan dengan label muzium. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label muzium. Papar semua catatan

Rabu, 27 Julai 2016

Jalan-jalan ke Muzium Perak, Taiping

Muzium Perak di Taiping, muzium penuh sejarah.

Muzium Perak terletak di Taiping kerana ia merupakan bandar tertua di Negeri Perak. Ia merupakan sebuah muzium yang sangat bersejarah di negara kita kerana ia merupakan muzium yang pertama didirikan di Malaysia pada tahun 1883 dengan saranan daripada Residen British di Perak pada ketika itu iaitu Sir Hugh Low. Semenjak dari pembinaannya, bangunan ini terus ditambah bagi memberikan ruang kepada ruang pameran yang lebih besar.

Semasa pembukaannya kurator yang ditugaskan untuk menjaga muzium ini adalah Leonard Wray Jr. yang merupakan seorang yang mahir dalam bidang botani dan geologi. Sebagai muzium yang pertama, ia menjadi satu contoh yang baik untuk penubuhan muzium-muzium yang berikutnya yang menyediakan bahan-bahan pendidikan bagi masyarakat setempat. Ia sedikit sebanyak mengajar masyarakat kita untuk menghargai kekayaan budaya, hasil bumi dan keunikan negara kita sendiri.

Muzium ini sedari asalnya lagi menumpukan koleksi yang berbentuk zoologi atau sejarah semulajadi di Negeri Perak. Spesimen-spesimen yang dikumpulkan adalah terdiri daripada haiwan-haiwan daripada sekecil sang kancil sehinggalah tulang haiwan sebesar gajah. Namun koleksi-koleksi ini juga merupakan permulaan yang baik bagi sebuah muzium kecil yang dibina lebih dari 100 tahun dahulu.

Koleksi tulang rangka di Muzium Perak.

Selain koleksi alam semulajadi Negeri Perak, kini muzium ini juga turut mempamerkan bahan sejarah kehidupan orang asli, bahan-bahan daripada zaman penjajah, kereta-kerata antik milik para pembesar di Negeri Perak di perkarangannya.

Anda juga berpeluang melihat sendiri perkembangan muzium ini daripada awal penubuhannya sehinggalah ke hari ini melalui gambar sejarah muzium ini sendiri. Jadi selain mempamerkan bahan-bahan sejarah, bangunan ini sendiri merupakan sebahagian bahan sejarah yang amat berharga kepada Negeri Perak dan negara kita Malaysia.

Awal penubuhan muzium pada tahun 1890 an.

Muzium Perak pada tahun 1905.

Muzium Perak pada sekitar 1990 an.

Bagi yang berminat untuk melawat ke muzium ini, maklumat penting mengenai muzium adalah seperti berikut:

Lokasi:

Jalan Taming Sari, 34000 Taiping, Perak

Masa lawatan:

Dibuka setiap hari dari 9:00 pagi hingga 6:00 petang.
Di buka pada setiap hari kecuali Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji

Bayaran masuk:

Dewasa (My Card): RM2.00
Kanak-kanak (My Kid): Percuma

Harga Biasa:

Dewasa : RM5.00

Kanak-kanak (6 - 12 tahun) : RM2.00


Free Download



Ahad, 24 Januari 2016

Keunikan Muzium Teknologi German

Muzium Teknologi German di Berlin.

Deutsches Technikmuseum Berlin (German Museum of Technology) terletak di Berlin, Germany sebuah muzium yang memaparkan perkembangan dunia sains dan teknologi. Muzium yang memberikan fokus kepada pendidikan ini sentiasa memperbaiki koleksi pamerannya bagi melengkapkan moto tersebut.

Ditubuhkan pada 1982 di Trebbiner Straße 9, Berlin (Kreuzberg), Germany  pada mulanya hanya mengkhususkan kepada pameran mengenai pengangkutan keretapi namun ia terus berkembang dan dilengkapi dengan pelbagai pameran merangkumi beberapa industri yang lain. Pada tahun 2003 ia ditambah lagi dengan ruang pameran bagi ‘maritime’ (marin) dan ‘aviation’ (udara) dengan pertambahan bangunan.

Dilengkapi dengan pameran lokomotif terbesar.

Anatara bahan pameran lokomotif.

Keseluruhan kawasan muzium dengan beberapa bahagian berlainan.

Ia merangkumi kawasan pameran seluas 26,000 kaki persegi dan merupakan antara yaang terluas di Europe. Lokasinya sendiri merupakan kawasan bersejarah sebagai ‘Gleisdreieck’ (persimpangan keretapi) dan merupakan sejarah terpenting; yang suatu masa dahulu menempatkan ibu pejabat bagi pengangkutan keretapi dan merupakan sebuah kilang ‘Gesellschaft für Markt-und Kühlhallen’.

Bagi memudahkan proses pembelajaran ia dilengkapi dengan kemudahan interaktif dalam menjelaskan perkara-perkara berkaitan teknologi merangkumi pengangkutan, komunikasi, pembuatan, teknologi penghasilan tenaga, termasuk juga pengangkutan darat dan air, earonautics dan angkasa.

Sebuah kapalterbang klasik yang dipamerkan.

Pameran dilengkapi dengan penerangan interaktif.

Bahan pameran dari sejarah World War II.

Replika komputer terawal Z1 oleh Konrad Zuse.

Muzium ini terkenal dengan koleksi pameran keretapi yang terbesar selain dilengkapi juga dengan bahagian taman dilengkapi dengan kincir angin serta pembuatan bir (brewery). Selain daripada penerangan secara interaktif, anda juga boleh mencuba simulator-simulator untuk dicuba – seperti mendaratkan kapal ke pelabuhan.

Antara koleksi lain yang menarik dipamerkan di sini adalah komputer terawal yang dibina oleh Konrad Zuse, yang mula dipamerkan pada 15 May 2002. Komputer ini adalah replika daripada komputer asal yang musnah semasa Perang Dunia ke-2 pada December 1943.  Kemusnahan tersebut turut memusnahkan pelannya sama sekali. Ia dibina sendiri oleh perekanya Konrad Zuse dari tahun 1935 ke 1936.

Anda memerlukan masa seharian di sini untuk meneliti semua bahagian dan bahan-bahan pameran yang disediakan. Jadi adalah dinasihatkan anda tidak mempunyai jadual lawatan ke tempat lain pada hari yang sama sekiranya berkunjung ke sini.



Free Download



Isnin, 24 Ogos 2015

Taxidermist Antara Seni Dan Pendidikan

Pakar taxidermist dapat memastikan hasil yang kelihatan sama seperti haiwan asal.

Taxidermy (berasal dari perkataan Greek yang bermaksud penyusunan kulit) merupakan seni pengawetan binatang kebiasaannya dari jenis vertebrata (vertebrate) untuk tujuan pameran. Pameran bahan awetan binatang-binatang ini bertujuan untuk bahan pendidikan, pameran di muzium atau dahulunya digunakan oleh pemburu untuk menyimpan hasil buruan mereka. Pengawetan juga adakalanya digunakan oleh pemilik binatang peliharaan sendiri oleh tuan mereka apabila ia mati.

Taxidermi merupakan saru kaedah penting bagi menyimpan specimen binatang terutama yang hampir pupus sebagai rekod. Kebanyakan haiwan yang diawet biasanya adalah haiwan-haiwan dari zoo yang telah mati, haiwan yang mati akibat kemalangan dan sebagainya. Penyimpanan ini dapat memastikan ia masih boleh dikenali oleh generasi akan datang atau mereka yang tidak berpeluang untuk melihatnya di habitat yang asal.

Teknik pengawetan ini juga sebenarnya merupakan teknik yang berubah dari semasa ke semasa mengikut bahan-bahan yang terdapat bagi seseorang pakar taxidermy (dikenali sebagai taxidermist). Malah antara teknik pengawetan terawal dikatakan bermula dari Mesir lagi iaitu melalui proses pengawetan ‘mummy’.

Proses pemindahan kulit ke badan gantian.

Proses pengawetan haiwan adalah bermula dengan pengasingan kulit yang merupakan bahan yang diawet. Kulit perlu diasingkan dengan cermat supaya tidak rosak dan bulu-bulu pada kulit tersebut tidak tertanggal. Bahan-bahan yang digunakan juga perlu dikenal pasti bagi mengelakkan sebarang kemalangan semasa mengendalikannya – kebanyakan bahan kimia yang digunakan mungkin boleh mendatangkan kemalangan yang serius kepada pengendali bahan tersebut.

Sementara kulit diproses, badan gantian perlu disediakan. Badan gantian ini perlulah bersaiz sama dengan haiwan asal yang ingin diawet. Daging dan isi dalam haiwan tersebut perlu dibuang kerana ia akan mereput dan rosak. Begitu juga dengan bahagian-bahagian lain seperti mata haiwan tersebut perlu diganti dengan mata palsu yang menyerupai mata haiwan tersebut. Tulang mungkin boleh digunakan – atau dijadikan bahan pameran untuk tulang. Badan gantian disediakan dengan pelbagai bahan, samada plastik, kayu, polistrine ataupun gentian kapas dan sebagainya.


Ikan mempunyai kulit yang nipis.
Specimen yang diawet dengan baik sebagai bahan pendidikan/pameran.

Proses berikutnya adalah mengalihkan kulit kepada badan gantian tersebut. Ia perlu dilakukan dengan cermat bagi memastikan ia kelihatan seperti haiwan yang masih hidup. Proses akhir kemasan adalah memastikan bulu dan kesan-kesan pemindahan kulit dapat ditutup dengan kemas. Seorang taxidermist yang mahir, mampu menghasilkan pengawetan yang seakan-akan haiwan tersebut masih hidup.

Proses pengawetan mungkin berbeza antara satu haiwan dengan haiwan yang lain, terutamanya ikan. Ini kerana ikan mempunyai kulit yang agak nipis dan warnanya akan hilang apabila ditanggalkan dari isi dalamnya. Namun kaedah pengawetan yang telah dilakukan sejak berzaman ini semakin baik dan dapat menghasilkan hasil yang jauh lebih baik berbanding dahulunya. Maka hampir setiap kumpulan haiwan mampu diawet dan dipamerkan dengan baik.


Pengawetan haiwan yang dilakukan dengan baik (secara terkawal) dapat memastikan haiwan tersebut dapat dikenali dan dipelajari (supaya ia dapat dipelihara dengan lebih baik). Ini kerana bukan semua haiwan dapat dipelihara di zoo untuk tatapan semua. Tujuan pameran haiwan juga bukanlah untuk tontonan semata melainkan untuk dikenali dan dihormati sebagai sebahagian daripada penghuni alam. Kita berkongsi kawasan tempat tinggal kita dengan haiwan-haiwan yang lain dan saling mempunyai kaitan antara satu sama lain. Jadi, mengenal dan memelihara merupakan kaedah terbaik untuk memastikan keadaan yang seimbang.




Free Download



Ahad, 23 Ogos 2015

Muzium Alam Semula Jadi Malaysia, Muzium Ala Kadar

Bangunan Muzium Alam Semula Jadi di Putrajaya.

Muzium Alam Semula Jadi (Natural History Museum), itulah yang diberikan kepada Muzium yang terletak di Presint 15 Putrajaya ini. Bangunan yang serba moden dikelilingi dengan landskap yang cantik untuk memaparkan ‘kepelbagaian bio’ di Malaysia yang dikatakan antara terkaya di dunia. Ia menampilkan pelbagai koleksi daripada haiwan yang bersaiz besar hinggalah ke serangga yang kecil, spesis tumbuh-tumbuhan dan juga sebahagian lagi adalah pameran geologi.

Muzium ini memaparkan bahagian alam semula jadi yang sebelumnya bertempat di Muzium Negara (jadi bahagian alam semula jadi Malaysia tiada lagi di Muzium Negara). Jika sebelumnya ia mengambil satu daripada galeri di Muzium Negara, di sini ia memiliki keseluruhan bangunan. Namun koleksi yang dipamerkan bukan sahaja tidak banyak bertambah malah bahan yang dipamerkan adalah hambar sekali. Baik dari segi koleksi binatang, burung, hidupan laut, tumbuh-tumbuhan mahupun serangga.


Wajah baru tahun 2015 (dalam media semua 'grand').
Ikon Muzium Alam Semula Jadi, agak menarik.

Kunjungan saya ke muzium ini adalah untuk melihat sendiri koleksi ‘herbarium’ seperti yang dinyatakan di dalam laman web promosi muzium ini. Tidak cukup dengan itu saja juga menghubungi muzium tersebut untuk bertanya samada koleksi ‘herbarium’ tersebut disimpan berasingan (kerana jumlahnya yang banyak – memandangkan kepelbagaian spesis tumbuhan negara yang kaya). Saya cuma diberitahu koleksi tersebut disertakan di dalam pameran. Apabila melihat koleksi tersebut di dalam pameran (jumlahnya adalah beberapa kerat – maka fahamlah saya, ia Muzium ala kadar).

Keseluruhan bangunan muzium ini sememangnya selesa dan amat cantik. Kunjungan bersama keluarga ke sini pada hujung minggu juga agak sesuai. Tapi bagi mereka yang ingin membuat apa-apa rujukan mengenai alam semula jadi Malaysia – pasti akan kecewa. Mungkin bahan yang dipamerkan kurang namun, usaha perlu dipelbagaikan bagi memberikan pengunjung maklumat yang cukup (sesuai dengan fungsi penubuhan muzium ini). Penggunaan library maya misalnya dapat menjimatkan ruang dan belanja yang besar. Namun kekurangan bahan adalah satu alasan yang tidak munasabah bagi sebuah muzium mewakili negara.

GALERI

ARAS 1

Galeri Serangga

Koleksi serangga-serangga diletakkan di dalam kotak-kotak yang disusun untuk memudahkan pemerhatian. Hanya label sahaja disediakan dan tiada maklumat lanjut mengenai serangga tersebut. Walaupun terdapat sejumlah serangga yang dipamerkan. Namun serangga merupakan kumpulan terbesar di dalam dunia hidupan (maka jumlah yang dipamerkan di sini adalah terlalu sedikit).

Maklumat mengenai kehidupan serangga dipaparkan di dinding ruang pameran adalah maklumat asas yang terlalu umum. Iaitu kitar hidup serangga dan rama-rama. Bukanlah ianya tidak menarik, tetapi saya tidak perlu berkunjung ke muzium ini untuk mengetahui maklumat tersebut.

Galeri Geologi

Galeri geologi mempunyai bahan yang agak menarik kerana ia sukar diperolehi. Sama juga dengan galeri yang lain-lain, apa yang penting adalah maklumat yang lengkap mengenai geologi Malaysia seperti mineral-mineral yang terdapat di Malaysia, taburan, aktiviti perlombongan, kegunaan bahan mineral tersebut, mesin-mesin yang digunakan, kaedah mengenalpasti kawasan yang memiliki mineral dan sebagainya.

Dewan Pameran Sementara

Dewan pameran sementara merupakan bahagian yang disediakan untuk aktiviti-aktiviti sampingan (apabila perlu).

ARAS BAWAH

Galeri Zoologi / Botani

Galeri yang memaparkan kebanyakan koleksi haiwan daripada spesis mamalia, reptilia, burung, hidupan air dan juga tumbuh-tumbuhan. Seperti yang saya katakan tadi, hanya sebilangan kecil sahaja dimuatkan di sini. Namun jumlahnya terlalu kecil untuk sebuah Muzium bertaraf Nasional apatah lagi untuk memberi maklumat yang lengkap mengenai spesis-spesis flora dan fauna negara. Itu sekiranya tidak dikaitkan dengan persembahan pameran yang hambar (tidak seperti di muzium-muzium lain – Muzium Negara dan Muzium Tekstil Misalnya).


Beberapa ekor kelawar yang dipamerkan.

Waktu Lawatan

Setiap Hari:

9:00 pagi – 5:00 petang
Muzium ditutup pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha

Muzium Alam Semula Jadi (Natural History Museum) merupakan antara muzium yang terpenting bagi sesebuah negara. Selain daripada menyediakan pameran yang baik, ia sepatutnya menyediakan maklumat yang lengkap mengenai alam semulajadi sesebuah negara tersebut. Malah muzium-muzium lain turut mengambil specimen daripada luar untuk memberikan maklumat kepada rakyat mereka. Disertakan lagi dengan maklumat perpustakaan berbentuk bahan bercetak dan juga digital.

Adalah diharap muzium ini akan diberikan pengolahan supaya dapat menjalankan fungsinya dengan baik. Segala perbelanjaan yang diperuntukkan untuk prasarana di muzium ini perlulah difokuskan kepada menampilkan fungsinya yang sebenar. Anda mempunyai sumber yang mencukupi, dilatih dan pakar dalam bidang masing-masing. Jadi tampilkan satu hasil yang sesuai seperti mana yang diharapkan. Semoga Berjaya.



Natural History Museum FRANCE:


Natural History Museum - France
Natural History Museum - France
Natural History Museum - France
Natural History Museum - France (Herbarium)
Natural History Museum - France (Herbarium)
Natural History Museum GERMAN:


Natural History Museum - German
Natural History Museum - German
Natural History Museum - German
*Adakah anda rasa saya memberikan komen yang tidak patut untuk Muzium Anda!!..


Free Download



Selasa, 18 Ogos 2015

Muzium Bioperubatan, Muzium Yang Dilupakan

Bangunan Muzium Bioperubatan Negara.

Sebuah muzium yang penting bagi memupuk minat dan pengetahuan mengenai kepenting bioperubatan (biomedical) di negara kita telah dirasmikan pada 4 Jun, 1983 oleh YB Tan Sri Chong Hon Nyan yang juga merupakan Menteri Kesihatan Malaysia pada masa itu. Muzium ini terletak di Institut Penyelidikan Perubatan, Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Muzium ini bertujuan untuk menjadi bahan rujukan dan juga pendedahan bagi aktiviti-aktiviti penyelidikan perubatan yang dijalankan di Institut Penyelidikan. Selain itu ia juga diperkembangkan kepada aktiviti dan penyelidikan untuk Kementrian Kesihatan Malaysia. Antara lain ia merupakan sebuah ‘Biomedical Repository’ untuk semua bahan-bahan dan aktiviti-aktiviti penyelidikan bioperubatan bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM).

Peralatan digunakan untuk tujuan kajian serangga (forensic).

Specimen bagi di dalam kandungan.

Penubuhan muzium ini amat penting dalam memupuk minat dan pengetahuan di kalangan pelajar universiti atau orang persendirian malah mungkin juga bagi para penyelidik luar yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan aktiviti berkaitan perubatan dan kesihatan di negara kita. Ini kerana setiap negara mungkin mempunyai sejarah penyakit menular tersendiri yang mungkin boleh merebak ke negara-negara lain. Pada masa itu, maklumat yang terdapat di sini mungkin boleh membantu. Penyakit menular yang kebiasaannya menjadikan haiwan atau tumbuhan sebagai perumah, perlu dikenal pasti bagi mendapatkan kaedah perubatan yang sesuai.

Muzium ini sememangnya mempunyai bahan-bahan yang menarik pada mula ianya dibuka kepada orang ramai. Namun hari ini ia bagaikan sebuah rumah tinggal yang tidak menarik untuk dikunjungi lagi. Bahan-bahan pameran bagaikan barang yang tidak berharga dan sekadar mengisi kekosongan ruang sahaja. Tiada pandu arah, tiada penyambut tetamu dan tiada penunjuk yang lengkap mengenai pameran di sini. Malah bahan pameran juga tidak tersusun dengan rapi (selain banyak ruang yang telah kosong tanpa barang di dalamnya lagi).

Pameran sumbangan tokoh perubatan.

Specimen bayi kembar siap (berbungkus separa).

Keadaan muzium ini amat mengejutkan kerana ianya dibawah penjagaan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sendiri, iaitu badan professional yang berkredibiliti tinggi. Berkeadaan sedemikian ia sepatutnya ia ditutup sementara kepada orang ramai, kerana ia jelas sekali menjatuhkan kredibiliti mereka sebagai badan professional. Walaupun ia sememangnya tidak dikunjungi (kerana tidak diketahui lagi kewujudannya) – ia masih lagi berkeadaan “hidup segan, mati tak mahu”.

Apa yang diharapkan adalah muzium ini dapat menampilkan bahan dan pameran sesuai seperti tercatat di dalam Visi dan Misi mereka iaitu:

Visi: Dikenali sebagai destinasi Pelancongan yang unggul di Dunia dan memberi sokongan padu dalam pemberian maklumat terkini khususnya dalam Penyelidikan Bioperubatan.

Misi: Mempromosikan Muzium sebagai destinasi koleksi Fauna dan Flora yang terunggul di Rantau Asia, mempamerkan hasil penyelidikan dari Pusat dan Unit di Institut Penyelidikan Perubatan serta memberi khidmat sokongan yang bermutu.

Ruang dalam muzium yang hambar.

Plat "Jabatan Warisan Negara' sebagai tanda kepercayaan/harapan.

Muzium ini amat penting dalam memupuk pengetahuan orang ramai mengenai penyelidikan kesihatan. Malah ia mungkin membantu orang ramai dalam menjaga kesihatan apatah lagi tentang bahaya penyakit menular seperti SARS, J.E., Ebola (yang mungkin tidak menyerang negara ini), taun, malaria, dengi dan lain-lain.

Ia sepatutnya menggambarkan kecemerlangan IMR dan juga KMM seperti yang sering dipaparkan di dada akhbar atau yang dihebahkan di kaca TV, kerana ia bagaikan penyimpan rekod bagi rujukan orang ramai bagi kedua-dua institusi yang diwakili oleh muzium ini.


Adalah diharap muzium ini dapat dihidupkan semula dan diberikan perhatian yang cukup agar dapat memberikan khidmat sesuai dengan tujuan penubuhannya. Maka dengan itu ia akan memberikan manfaat kepada orang ramai sebagai pusat rujukan mengenai perkara-perkara berkaitan kesihatan di negara kita.


Free Download



Arkib Blog