Memaparkan catatan dengan label semulajadi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label semulajadi. Papar semua catatan

Isnin, 1 Ogos 2022

Memelihara Kesegaran Udara di Dalam Rumah

Wangian rumah dari bahan-bahan semulajadi memberikan kesegaran dan ketenangan.

Kesegaran udara di dalam rumah merupakan perkara penting yang perlu diberikan tumpuan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penghuni di dalamnya. Hari ini, kualiti udara di dalam rumah merupakan perkara yang semakin diberikan perhatian memandangkan mutu kualiti udara semakin merosot dengan pencemaran udara yang semakin serius dengan pelbagai kandungan partikel di dalam udara selain daripada bahan-bahan pencemaran berbentuk gas. Selain itu, dalam memastikan mutu kesegaran udara, kita juga menggunakan bahan pewangi yang membantu penghuni di dalam satu-satu rumah menjadi lebih tenang dan selesa.
 
Tidak dinafikan bahawa udara di kawasan pendalaman yang jauh dari bandar adalah jauh lebih segar. Ini kerana tumbuh-tumbuhan bukan sahaja membantu menyekat partikel-partikel yang terampai di dalam udara, malah ia juga turut membebaskan wap air selain wangi-wangian dari bunga-bungaan dan juga buah-buahan menambahkan lagi aroma segar ke dalam udara. Jadi, topik mengenai kesegaran udara di rumah bukanlah perkara penting di luar bandar. Berbeza pula di kawasan bandar di mana jumlah tumbuhan yang sedikit dan susunan bangunan-bangunan yang menghalang laluan angin yang sempurna menyebabkan kualiti udara di bandar jauh berbeza. Ini ditambahkan lagi dengan suasana sibuk dengan kenderaan dan kerja-kerja pembangunan menyebabkan kandungan partikel di dalam udara amatlah tinggi serta membimbangkan. Keadaan ini menyebabkan penghuni bandar mudah mendapat stress, serta boleh menyebabkan kesan-kesan lain seperti kemurungan, kurang daya tahan melawan penyakit, kesan alahan dan berbagai gejala kesihatan yang lain. Maka topik kesegaran udara tidak boleh dipandang ringan ataupun diambil sambil lewa.
 
Frankincense dan murr, merupakan bahan wangian yang digunakan sejak ribuan tahun.

Bagi mengurangkan bahan pencemaran di dalam udara di dalam rumah, penapis udara yang sesuai perlulah digunakan mengikut kesesuaian bahan pencemaran serta keluasan ruang rumah. Keadaan ini juga boleh dikurangkan dengan mengurangkan bahan pencemaran itu sendiri seperti, mengurangkan kemasukan udara tercemar ke dalam rumah, menanam pokok berhampiran tingkap dan sekitar rumah (sekiranya mempunyai kawasan), mengurangkan peralatan yang membebaskan bahan pencemaran seperti gas-gas (dari bahan perabot, cat, penyembur serangga, bahan pencuci dan sebagainya). Adalah sukar untuk mendapatkan kesegaran udara yang optimum di dalam rumah, namun adalah cukup baik sekiranya ia dapat dikurangkan bagi mengelakkan kemudaratan.

 
Namun satu perkara lagi yang ingin ditekankan dalam artikel kali ini adalah mengenai bahan pewangi yang dapat membantu menyegarkan udara di dalam rumah. Bahan pewangi udara, tidak seperti bahan pewangi yang digunakan pada badan, adalah penting bagi memberikan suasana nyaman kepada penghuni di dalam rumah bagi memberikan suasana yang tenang dan meningkatkan kualiti komunikasi antara satu sama lain. Walaupun ia sering dianggap remeh, namun kesan positif dapat dilihat dalam tempoh yang singkat apabila keadaan ini mula diperbaiki. Jadi mari kita lihat beberapa kaedah yang boleh digunakan.
 
Penggunaan Bahan-bahan Semulajadi

Bahan-bahan masakan dan herba merupakan antara bahan pewangi yang baik.

Rempah-rempah yang digunakan untuk masakan juga amat sesuai untuk digunakan, malah ia juga digunakan untuk membuat pewangi.

Bahan-bahan semulajadi telah lama digunakan untuk menyegarkan kualiti udara di dalam rumah atau bangunan sejak dahulu lagi. Bahan-bahan pewangi ini kebanyakan nya digunakan di rumah-rumah ibadah (kerana ianya sukar didapati dan sangat mahal). Bahan-bahan seperti gaharu (oud), damar dan mur (frankincense and myrrh) merupakan antara bahan yang mempunyai permintaan yang sangat tinggi dan menjadi bahan perdagangan penting antara timur dan barat. Hari ini, bahan-bahan ini lebih mudah untuk didapati walaupun harganya masih sedikit mahal berbanding bahan-bahan pewangi yang lain. Faedah membakar gaharu telah dikenali sejak dahulu dalam memberikan kekuatan emosi kepada penghuni rumah serta mengurangkan serangga-serangga kecil.

 
Selain daripada bahan-bahan di atas terdapat banyak bahan-bahan semulajadi yang boleh digunakan untuk membangkitkan kesegaran di dalam rumah yang terdiri daripada tumbuh-tumbuhan, bunga-bungaan dan buah-buahan. Daun pandan (Pandanus amaryllifolius) misalnya bukan sahaja boleh digunakan untuk membuat bunga rampai, malah boleh dikeringkan dan diletakkan di dalam ruang-ruang penyimpanan seperti laci-laci dan almari pakaian. Ia bukan sahaja membangkitkan bauan yang harum, malah turut menghalau serangga seperti lipas dan kutu beras yang sememangnya perlu dielakkan. Selain daun pandan, daun serai wangi (Cymbopogon nardus), pudina ( Mentha × piperita), daun selasih Thai (Ocimum basilicum), Eucalyptus, dan cekur (Kaempferia galanga) merupakan antara daun-daun yang mempunyai bauan yang harum. Walaupun kebanyakan daun-daun ini lebih popular sebagai bahan masakan, namun ia juga boleh digunakan sebagai bahan pewangi udara (mengikut kesesuaian). Sebaiknya untuk digunakan sebagai bahan pewangi ia perlu dikeringkan dengan baik dan dibungkus di dalam uncang kain kasar bagi membolehkan pengaliran udara yang lancar.
 
Bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan memberikan bauan yang segar di dalam rumah.

Terdapat bahan-bahan semulajadi yang telah diproses bagi memudahkan penggunaan. Namun adalah lebih baik sekiranya anda dapat menyediakannya sendiri.

Tidak seperti daun, bunga-bungaan terkenal dengan bau-bauan nya yang harum. Namun untuk digunakan sebagai pewangi udara, ia juga perlu dikeringkan dengan sempurna bagi membolehkan ia diguna untuk tempoh yang lebih panjang. Berbanding dengan daun-daunan, terdapat lebih banyak bunga yang menghasilkan bauan yang harum. Apa yang berbeza, kaedah perawatan bunga-bungaan ini mungkin berbeza bagi memastikan ia tidak rosak dan bauan nya tahan lebih lama. Bagi bunga yang besar, kelopaknya mungkin perlu diceraikan bagi membolehkan proses pengeringan yang lebih sempurna. Begitu juga dengan buah-buahan. Bahagian yang digunakan dari buah-buahan biasanya terdiri daripada kulit buah yang telah dikeringkan seperti buah limau dan lemon. Walaupun buah-buahan lain turut mempunyai bauan yang amat menarik, namun untuk membolehkan ia digunakan sebagai pewangi mungkin agak sukar sebagai contohnya buah nanas, mangga, cempedak dan jambu.

 
Selain daripada bahan-bahan di atas, bahan-bahan pewangi semulajadi turut menggunakan bahan rempah yang biasanya digunakan di dalam masakan. Bahan rempah sememangnya digunakan untuk memberikan aroma kepada makanan, ia juga sesuai untuk membangkitkan bauan yang menarik untuk persekitaran. Rempah-rempah yang sememangnya terkenal untuk tujuan sebagai haruman termasuklah cengkih, kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, buah pala, dan juga herba-herba dengan aroma bauan yang menarik. Bagi menggunakan bahan-bahan ini sebagai pewangi ruangan di dalam rumah, ia perlulah dikeringkan dengan sempurna dan diadunkan bersama bahan-bahan yang lain. Sekiranya anda ingin menambah pati haruman, and bolehlah mengisi semua bahan ini ke dalam sebuah beg plastik, titiskan beberapa haruman sebelum ditutup dan disimpan di tempat yang gelap untuk tempoh selama dua minggu. Bahan-bahan kering ini akan menyerap bahan wangian tersebut. Setelah tamat tempoh tersebut, ia bolehlah diletakkan di dalam bekas hiasan yang cantik sebagai bahan pewangi ruangan di dalam rumah.
 
Bahan-bahan Pewangi Moden
 
Mudah dan murah, namun adakah ianya sebaik bahan pewangi yang dihasilkan menggunakan bahan-bahan asli. 

Tidak dinafikan penggunaan bahan pewangi moden (menggunakan bahan pewangi tiruan) adalah lebih mudah digunakan. Selain mempunyai variasi wangian yang lebih pelbagai, adakalanya harganya adalah jauh lebih murah selain mudah untuk digunakan. Bahan-bahan pewangi boleh digunakan terus apabila pembungkusnya dibuka, manakala ada juga yang memerlukan kuasa elektrik untuk mengaktifkan bahan pewangi, selain menggunakan haba panas daripada lilin, ataupun jenis meruap yang tahan untuk tempoh hampir sebulan. Walaupun pewangi-pewangi ini memberikan banyak kemudahan, namun mungkin ada di antara kita yang mempunyai alahan kepada bahan-bahan kimia yang digunakan, selain mengelakkan kesan jangka panjang yang mungkin boleh terjadi berpunca daripada penggunaan nya yang berpanjangan. Maka dengan itu, anda perlulah membuat perbandingan mengenai kesesuaian penggunaan bahan-bahan ini supaya ia tidak mendatangkan kemudaratan.

 
Berbeza dengan bahan-bahan pewangi yang menggunakan bahan-bahan dari alam semulajadi, ia adalah jauh lebih selamat (walaupun mungkin ada di antaranya boleh mengakibatkan alahan, namun ia tidak mengakibatkan kesan yang sirius). Bahan-bahan ini kebanyakannya terdiri daripada bahan-bahan yang kita sendiri makan, maka ia adalah jauh lebih sesuai digunakan dan memberikan manfaat seperti ketenangan dan keceriaan apabila kita menghidunya. Apa yang penting, adalah gabungan bahan-bahan yang digunakan supaya ianya lebih enak untuk dihidu apabila digabungkan dengan betul.
 
Walaupun kali ini kita lebih menekankan mengenai pewangi dari bahan semulajadi, mungkin di lain kesempatan kita akan melihat pula jenis-jenis pewangi moden yang terdapat di pasaran. Sememangnya penggunaan pewangi moden tidak sebaik pewangi dari bahan-bahan asli, namun terdapat keadaan-keadaan tertentu di mana penggunaan nya lebih sesuai dan menjimatkan. Maka, mengetahui sedikit sebanyak mengenai pewangi moden juga mempunyai manfaat kepada kita.

Khamis, 6 April 2017

Pernahkah Anda Mencuba Teh Herba Atau Tisane

Teh herba mempunyai pelbagai kebaikan.

Kita mungkin biasa dengan minuman teh (Camellia sinensis) yang sudah biasa dengan masyarakat dunia. Minuman teh secara umumnya juga dikaitkan dengan bahan-bahan yang telah dikeringkan dan direndam didalam air panas untuk mengeluarkan aromanya ke dalam minuman. Ini secara tidak langsung bahan-bahan kering yang dihasilkan bukan daripada teh juga dikenali sebagai teh; namun ia digelar sebagai teh herba atau ‘tisanes’.

Apa yang menarik teh-teh herba dihasilkan daripada pelbagai bahan seperti herba, rempah, buah-buahan, bungaan dan sebagainya yang kebiasaannya tidak mengandungi ‘caffeine’. Oleh itu teh herba ini lebih mudah diminum - namun anda juga perlu diambil secara berhati-hati mengikut tahap kesihatan pengguna (seperti ibu mengandung, pesakit buah pinggang dan pengidap-pengidap penyakit tertentu).

Penggunaan teh herba ini bukanlah sesuatu yang baru, malah telah digunakan dari zaman Egyp Purba dan juga Cina Purba lagi yang menceritakan mengenai kehebatan minuman teh herba yang dikenali sebagai ‘liang cha’.

Bunga raya kering untuk tujuan minuman 'hibiscus tea'.

Bunga-bungaan yang digunakan untuk menghasilkan teh herba.

Minuman teh-teh herba ini boleh didapati samada yang telah siap dijual di kedai-kedai perubahan herba ataupun anda boleh menyediakannya sendiri. Apa yang penting bahan yang digunakan perlulah bebas daripada bahan racun seperti racun serangga serta bahan kimia yang lainnya. Jadi dengan menyediakannya sendiri, anda dapat memastikan teh herba anda selamat daripada bahan-bahan beracun.

Boleh dikatakan kebanyakan masyarakat di dunia mempunyai keunikan teh herba masing-masing. Di Egyp minuman teh herba yang dihasilkan daripada bunga raya atau ‘hibiscus tea’ (karkade) merupakan antara minuman popular yang dihidangkan di kedai teh (teahouse). China merupakan antara masyarakat yang dikenali kaya dengan pelbagai jenis minuman dalam kategori ini untuk tujuan minuman biasa mahupun untuk tujuan perubatan. Manakala di Sri Lanka juga pelbagai minuman yang dihasilkan daripada tumbuhan herba seperti iramusu (Smilax regelii), beli (Bael), ranawara (Senna auriculata), polpala (Aerva lanata), weniwel (Coscinium fenestratum), dan kothala-himbutu (Salacia reticulata) yang juga digunakan untuk merawat pelbagai jenis masalah kesihatan.


Teh herba dengan pelbagai bahan seperti kelapa, rooibos, halia, kayu manis, pelaga, apple, lada hitam dan badam.

Teh pudina antara minuman yang menyegarkan.

Minuman teh herba ini merupakan satu kumpulan minuman yang amat besar untuk tujuan yang pelbagai. Bagi yang berminat bolehlah mengenali kumpulan teh-teh yang tergolong dalam kategori ini dengan lebih lanjut. Teh herba tidak seperti teh biasa mempunyai pelbagai manfaat sekiranya disediakan dan diambil dengan cara yang betul.


Free Download





Jumaat, 10 Jun 2016

Lebih Banyak Perkara Menarik Mengenai Teh

Contoh hidangan teh untuk minum petang.

Seperti yang telah kita ketahui di dalam artikel pengenalan mengenai teh sebelum ini, ia menggambarkan mengenai betapa pentingnya minuman teh kepada masyarakat dunia sejak dahulu lagi. Berikutan perkembangan industri penanaman teh dan permintaan terhadapnya, teh dihasilkan dengan pelbagai cara dalam menghasilkan kualiti terbaik untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Mungkin tidak ramai yang cerewet apabila menikmati teh mereka, sepertimana yang dilakukan oleh para peminat teh yang mempunyai kaedah tersendiri dalam menyediakan minuman kegemaran mereka ini. Pada masa yang sama, dalam sesuatu upucara adat istiadat meminum teh (seperti di Jepun), setiap perkara perlu dilakukan dengan teliti bagi menghormati upucara dan juga melambangkan ketelitian penyediaannya.

Untuk mendapatkan kualiti penyediaan teh yang terbaik, proses rendaman teh perlu dilakukan di dalam sebuah teko tanah (earthenware) yang tidak di glazed. Teko ini pula perlu di panaskan terlebih dahulu dengan curahan air panas sebagai bilasan (dan ini akan menjadikan suhu teko lebih tinggi). Proses ini penting bagi mengelakkan suhu air yang digunakan untuk merendam teh turun dengan mendadak semasa proses rendaman.  Antara teko yang dikenali sebagai terbaik untuk proses ini adalah teko tanah liat Yixing (Yixing clay teapots). Ia merupakan teko yang diperbuat daripada tanah liat yang dihasilkan di Daerah Yixing sejak abad ke-15 lagi khusus untuk proses penyediaan teh.

Teko tanah Yixing untuk merendam teh.

Teko porcelain untuk hidangan teh.

Bagi menghidangkan teh pula, teko yang diperbuat daripada porcelain pula digunakan kerana ia boleh menyimpan haba dengan lebih baik. Teko teh pada asalnya bersaiz kecil kerana ia merupakan bahan yang sukar diperolehi. Untuk mendapatkan hasil penyediaan teh yang baik juga, ia tidak perlu dikacau atau dikocak semasa proses rendaman sebaliknya dibiarkan sehingga teh mengeluarkan sendiri tannins yang terkandung di dalamnya secara perlahan-lahan.

Anda mungkin merasa ianya agak keterlaluan bagi mendapatkan segelas minuman teh. Tapi kaedah ini penting bagi sesetengah jenis teh yang kita tidak pernah berpeluang untuk merasainya. Ini kerana kebanyakan jenis teh yang berkualiti adalah terlalu mahal, jadi penyediaan yang sebegini teliti adalah berbaloi.

Setiap masyarakat mempunyai kaedah penyediaan minuman teh tersendiri samada hanya menggunakan teh atau dengan padanan bahan-bahan lain seperti limau, lemon, laici, bersama herba dan rempah. Teh amat popular sebagai minuman di waktu pagi dan lewat petang. Namun teh yang jarang sesuai diminum pada bila-bila masa.

Teh adakalanya menggunakan bahan pemanis daripada gula, madu dan juga boleh menggunakan susu. Teh dengan susu lebih popular sebagai minuman yang berasal dari India di Daerah Kashmir. Variasi teh dari daerah ini termasuk Kashmiri chai atau noon chai,  merah jambu, teh dengan krimer pistachios, almonds, buah pelaga (cardamom) dan juga kayu manis merupakan antara minuman pilihan majlis tertentu seperti perkahwinan ataupun semasa musim sejuk.

Teh-Teh Termahal

Anda mungkin tidak mempercayai sesetengah teh mempunyai harga yang amat tinggi kerana kualiti dan permintaan pelanggan terdapatnya. Teh-teh ini selain sukar ditemui, sebab itulah ia perlu disediakan dengan baik untuk memastikan kualiti teh yang dihasilkan memuaskan citarasa peminum.

Yellow Gold Tea Buds


Teh yang mempunyai harga USD 105.71 bagi 50 grams (menghasilkan lebih kurang 25 cawan). Teh ini bukan shaja mempunyai harga yang mahal kerana ia sendiri disaluti oleh lapisan nipis emas 24-karat - bagaimanapun ia dikatakan selamat diminum kerana emas tidak menjadi toksid kepada badan manusia.

Namun teh ini hanya boleh didapati dari Singapura. Selain itu juga, teh ini adalah berasal hanya daripada satu daerah pergunungan di dunia, dan hanya dipetik sehari dalam setahun menggunakan gunting daripada emas di bahagian pucuknya sahaja. Mungkin kita tidak dapat membayangkan keperluan persediaan tersebut namun, untuk mengetahui bagaimana rasanya teh ini, mungkin anda terpaksa berbelanja besar untuknya.

Panda dung tea


Ya daripada namanya ia seakan-akan menamakan teh yang berasal daripada najis haiwan comel panda seperti kopi luak yang dihasilkan daripada kopi yang telah dicernakan oleh musang. Namun teh Panda dung ini hanyalah menggunakan najis haiwan tersebut sebagai baja bagi pokok teh yang menghasilkannya sahaja. Namun begitu ia menghasilkan pohon teh yang amat subur dan teh ini amat digemari oleh penggemarnya walaupun dengan harga sehingga USD 200 secawan.

Da Hong Pao




Teh yang berasal daripada abad ke-18 (Era Dao Guang) yang masih lagi menjadi bahan bualan hangat. Ia merupakan teh kualiti terbaik dan dijual melalui lelongan oleh kerajaan China pada tahun 1998 kepada pembeli pada harga  $900,000 atau bersamaan $1,250,000 sekilogram. Pada harga ini, teh ini mempunyai harga yang melebihi harga emas. Ia dikatakan mampu memberikan rasa kesegaran (floral) di dalam mulut beberapa minit setelah meminumnya.


Ya, itu adalah antara beberapa kisah menarik mengenai teh dan mengapa ia dianggap amat istimewa. Mungkin kita tidak mengenali kesemuanya maka kita menganggap teh merupakan minuman yang biasa sahaja. Maka dengan ini, supaya kita dapat lebih mengenali keunikan minuman istimewa ini dalam masa yang sama mengutamakan minuman yang lebih menyihatkan untuk kita seisi keluarga.


Free Download



Rabu, 8 Jun 2016

Kehebatan Minuman Yang Menyegarkan, Teh

Secawan teh dapat memberikan kesegaran badan.

Teh atau “tea”, merupakan minuman yang mudah disediakan dengan hanya merendamkan daun teh yang telah dikeringkan ke dalam air panas. Daun yang berasal dari pokok teh (Camellia sinensis), ini adalah merupakan tumbuhan yang berasal daripada Asia yang hari ini merebak ke serata dunia kerana permintaan ke atasnya. Hari ini terdapat pelbagai jenis minuman teh yang berasal daripada pelbagai bahagian dunia, selain turut ditambah dengan pelbagai perisa. Teh-teh ini sahaja tidak termasuk gelaran “teh” yang diberikan kepada bahan yang dikeringkan seperti bunga, daun, kulit, kayu, akar atau bahan-bahan lain, walaupun ianya biasa dipanggil “teh herba” (tisanes atau herbal infusions).

Teh merupakan tanaman yang berasal dibahagian Barat Daya China yang pada asalnya dijadikan sebagai minuman ubatan. Ia kemudiannya menjadi sebahagian minuman rekreasi semasa pemerintahan Dinasti Tang dan ini menyebabkan teh lebih dikenali ke serata Timur Asia. Kedatangan Portugese dan juga para pedagang membawa teh ke bahagian-bahagian lain dunia sekitar abad ke-16. Ia kemudiannya menjadi minuman yang mempunyai permintaan tinggi apabila ia mula menjadi minuman kegemaran di kalangan Britons yang kemudiannya melakukan penanaman teh di India untuk melepasi monopoli yang di kuasai oleh China.


Pokok teh (Camellia sinensis).

Teh seperti yang kita ketahui berasal di kawasan-kawasan tinggi (sejuk) namun menghijau sepanjang tahun. Ia dikatakan berasal dari Utara Burma, selain Yunan dan Sichuan di China. Amalan meminum teh ini mungkin bermula lebih awal iaitu semasa Dinasti Shang sebagai sebahagian minuman perubatan herba. Mereka merebus daun-daun teh tanpa dicampur dengan daun atau akar kayu yang lain, dan digunakan sebagai minuman penggalak (menyegarkan).

Teh kekal sebagai minuman popular dan penting di China dengan penemuan bukti penggunaannya di perkuburan Maharaja Jing dari Han di Xi'an, yang menunjukkan teh yang menggunakan tumbuhan daripada genus Camellia telah digunakan sebagai minuman pada Dinasti Han seawal abad ke-2 BC. Ia merupakan minuman yang memberikan kesegaran, memulihkan tenaga bagi orang-orang China. Teh kemudiaannya menjadi lebih popular semasa Dinasti Tang dan mula disebarkan ke Korea, Jepun dan Vietnam. Manakala di India teh telah digunakan untuk tempoh yang agak lama, namun di bahagian Himalaya ianya hanya dikenali apabila British mula membawa masuk tumbuhan tersebut untuk ditanam di daerah itu.

Penanaman Teh

Teh (Camellia sinensis) merupakan tumbuhan malar hijau yang sesuai ditanam di kawasan ber-iklim tropika dan sub tropika. Namun terdapat verieti yang mampu bertahan untuk iklim laut dan ditanam di kawasan seperti Cornwall di United Kingdom, Perthshire di Scotland, Washington di United States dan Vancouver Island di Canada. Manakala di Hemisfera Selatan pula ia boleh ditemui ditanam di Hobart di Australia, iaitu pulau di Tasmania dan juga Waikato di New Zealand.

Pokok teh boleh ditanam melalui biji atau keratan rentas batangnya. Ia mengambil masa antara 4 ke 12 tahun untuk pokok menjadi matang dan menghasilkan buah, namun pada usia 3 tahun pokok teh telah mencapai usia sesuai untuk dituai. Tanaman teh boleh bertahan untuk suhu yang sejuk dengan hujan tahunan sekitar 127 cm (50 in) setahun dan memerlukan tanah yang berasid. Kebanyakan teh yang baik ditanam pada ketinggian 1,500 m (4,900 ft) di atas paras laut. Sebenarnya teh tumbuh dengan lebih perlahan pada ketinggian ini, namun ia menghasilkan teh dengan kualiti yang lebih baik.

Oleh kerana teh telah tersebar ke serata dunia. Kini terdapat pelbagai jenis teh yang dihasilkan daripada beberapa variasi teh sendiri seperti; Camellia sinensis var. Sinensis yang digunakan oleh masyarakat Cina, Formosan (Taiwan) dan Jepun, manakala C. s. var. assamica pula adalah yang digunakan untuk teh Pu-erh dan juga teh di India (tetapi bukan Darjeeling). Daripada pelagai variasi ini juga terdapat dua pengkelasan yang ketara iaitu, jenis Assam (India) pengkelasan daun bersaiz besar dan jenis dari China pula dengan pengkelasan daun bersaiz kecil; sementara jenis Cambodia pula adalah berdasarkan daun pertengahan.

Bahan Kimia Di Dalam Teh

Teh seperti juga kopi turut mengandungi caffeine iaitu sebanyak 3% daripada berat keringnya. Selain daripada caffeine ia turut mengandungi sejumlah kecil bahan-bahan seperti theobromine dan theophylline yang bertindak sebagai peransang dan xanthines yang mempunyai kesan yang sama seperti caffeine.

Kedua-dua teh hitam (coklat) ataupun hijau mengandungi nutrient penting seperti manganese, selain beberapa polyphenols termasuk flavonoids, epigallocatechin gallate dan beberapa catechins.

Teh dikatakan mempunyai potensi menjauhi serangan kanser dan lain-lain masalah kesihatan seperti obesity dan juga Alzheimer. Namu ini tiada sokongan yang kuat dalam menyokong kebenaran ini, dan kajian yang dijalankan juga tidak menunjukkan apa-apa kesan bagi membantu penggunaan teh dalam mengurangkan kadar kolestrol di dalam darah.


Daun teh yang kecil dikatakan lebih baik.

Memetik daun teh di Cameron Highlands.

Pemandangan ladang teh di Darjeeling.

Jenis-Jenis Teh

Jenis-jenis teh tidak diasingkan berdasarkan jenamanya, tetapi jenis dan kaedah ianya dihasilkan. Secara ringkasnya terdapat sekurang-kurangnya 6 cara penghasilan tersebut;

  • Putih – layu dan tidak teroksida
  • Kuning – tidak layu dan tidak teroksida, tetapi dibiarkan menjadi kuning.
  • Hijau – tidak layu dan tidak teroksida
  • Oolong – layu, renyuk dan sedikit teroksida
  • Hitam – layu, adakalanya dikisar dan teroksida.
  • Post-fermented – teh hijau yang dibiarkan mereput (dikenali sebagai 'black tea' 黑茶 hÄ“ichá bagi masyarakat Chinese).

Boh Seri Songket merupakan teh berperisa.

Jepun masih lagi menjadikan teh sebagai minuman penting.

Terdapat banyak jenis-jenis teh yang dikeluarkan setelah ianya tersebar ke seluruh dunia. Hari ini teh turut dihasilkan dengan bahan-bahan perasa baru samada daripada buah-buahan ataupun tumbuh-tumbuhan. Penghasilan teh ini dapat dilihat daripada jenama-jenama teh yang biasa kita lihat di pasaran seperti Boh, Lipton, Teh Sabah, Cap Masjid dan sebagainya. Kita mungkin mengenali beberapa jenis teh yang digunakan untuk pasaran pengguna domestik, namun teh yang digunakan untuk penggunaan dalam kuantiti yang besar adalah jauh berbeza.

Apa pun, teh masih lagi merupakan salah satu minuman yang mampu bertahan sehingga ke hari ini. Sekiranya teh mengandungi kebaikan, ia mungkin adalah jauh lebih baik daripada minuman-minuman ringan yang dijual di pasaran seperti coca-cola, mountain dew, sprite, pepsi dan minuman penambah tenaga yang banyak mengandungi bahan pengawet dan perasa. Jadi mengapa kita perlu mengambil risiko!


Banyak lagi perkara mengenai teh yang mungkin boleh kita perbincangkan kerana teh merupakan minuman yang juga mempunyai kaitan rapat dengan ciri-ciri budaya dan tradisi kita masyarakat di Timur. Walaupun teh hari ini dinikmati dengan gaya moden, tetapi kebaikan teh yang berasal dari tumbuhan asli adalah sesuatu yang harus kita fikirkan dalam kriteria memilih minuman yang menyihatkan.



Free Download



Rabu, 20 Januari 2016

Semut Penyimpan Madu Honeypot Ant

Honeypot dengan perut yang penuh diisi dengan makanan.
Serangga mempunyai cara hidup yang penuh keunikan dalam menghadapi perubahan cuaca. Serangga-serangga seperti lebah, kelulut, angkut-angkut semuanya mempunyai kaedah sendiri untuk menyimpan makanan dalam pelbagai bentuk. Semut juga mempunyai kaedahnya tersendiri, tapi sedikit berbebza bagi Honeypot ant.

Honeypot ant tidak menyimpan makanan di dalam sarangnya seperti lebah yang memiliki sarang diperbuat daripada lilin. Tapi honeypot ant mempunyai sekumpulan ahli khas yang memiliki badan yang akan membesar dan boleh diisi dengan pelbagai jenis sumber yang dibawa oleh semut pekerja yang lain. Walaupun begitu sumber yang disimpan ini biasalah adalah dalam bentuk gula/madu yang diperolehi dari pokok di mana ia biasanya membina sarang.


Semut yang ditangkap dari dalam sarang.

Semut honeypot ant dari Cincinati Zoo.

Semut honeypot yang bergantungan di dalam sarang.

Makanan yang disimpan di dalam perutnya itu akan digunakan apabila sumber makanan semakin berkurangan. Semut-semut lain akan menghampiri honeypot ant dan menyentuh antenanya dan menyebabkan honeypot mengeluarkan sebahagian daripada cecair yang tersimpan di dalam perutnya.
Pertukaran semut menjadi kepada honeypot ini berlaku sebaik sahaja ia menamatkan peringkat terakhir tumbersaran iaitu “pupa”. Di mana ia mula diberi makana berterusan oleh semut-semut askar sehingga lebihan makanan akan tersimpan di dalam badannya (abdomen) sehingga ia kehilangan kebolehan untuk bergerak.

Semut-semut ini boleh tinggal di mana sahaja di dalam sarang namun kebiasaannya ia akan berada jauh di dalam sarang bagi mengelakkan ia dari dicuri oleh musuh (yang terdiri dari semut dari koloni yang lain). Malah di Utara Australia, semut ini turut menjadi buruan manusia (orang asli) di sana sebagai sumber manisan. Menggunakan kayu mereka akan menggali sarang semut dan mendedahkan semut yang bergantungan di dalam sarangnya.


Begitulah satu lagi antara keajaiban dunia serangga dari keluarga semut. Selain rajin mengumpulkan bekalan makanan, mereka juga bijak untuk menyimpan makanan tersebut bagi hari-hari di mana makanan sukar di dapati. Ia adalah dua gabungan yang amat penting iaitu, usaha yang gigih dan kebijaksanaan merancang masa depan.



Free Download



Arkib Blog