Isnin, 1 Ogos 2022

Memelihara Kesegaran Udara di Dalam Rumah

Wangian rumah dari bahan-bahan semulajadi memberikan kesegaran dan ketenangan.

Kesegaran udara di dalam rumah merupakan perkara penting yang perlu diberikan tumpuan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penghuni di dalamnya. Hari ini, kualiti udara di dalam rumah merupakan perkara yang semakin diberikan perhatian memandangkan mutu kualiti udara semakin merosot dengan pencemaran udara yang semakin serius dengan pelbagai kandungan partikel di dalam udara selain daripada bahan-bahan pencemaran berbentuk gas. Selain itu, dalam memastikan mutu kesegaran udara, kita juga menggunakan bahan pewangi yang membantu penghuni di dalam satu-satu rumah menjadi lebih tenang dan selesa.
 
Tidak dinafikan bahawa udara di kawasan pendalaman yang jauh dari bandar adalah jauh lebih segar. Ini kerana tumbuh-tumbuhan bukan sahaja membantu menyekat partikel-partikel yang terampai di dalam udara, malah ia juga turut membebaskan wap air selain wangi-wangian dari bunga-bungaan dan juga buah-buahan menambahkan lagi aroma segar ke dalam udara. Jadi, topik mengenai kesegaran udara di rumah bukanlah perkara penting di luar bandar. Berbeza pula di kawasan bandar di mana jumlah tumbuhan yang sedikit dan susunan bangunan-bangunan yang menghalang laluan angin yang sempurna menyebabkan kualiti udara di bandar jauh berbeza. Ini ditambahkan lagi dengan suasana sibuk dengan kenderaan dan kerja-kerja pembangunan menyebabkan kandungan partikel di dalam udara amatlah tinggi serta membimbangkan. Keadaan ini menyebabkan penghuni bandar mudah mendapat stress, serta boleh menyebabkan kesan-kesan lain seperti kemurungan, kurang daya tahan melawan penyakit, kesan alahan dan berbagai gejala kesihatan yang lain. Maka topik kesegaran udara tidak boleh dipandang ringan ataupun diambil sambil lewa.
 
Frankincense dan murr, merupakan bahan wangian yang digunakan sejak ribuan tahun.

Bagi mengurangkan bahan pencemaran di dalam udara di dalam rumah, penapis udara yang sesuai perlulah digunakan mengikut kesesuaian bahan pencemaran serta keluasan ruang rumah. Keadaan ini juga boleh dikurangkan dengan mengurangkan bahan pencemaran itu sendiri seperti, mengurangkan kemasukan udara tercemar ke dalam rumah, menanam pokok berhampiran tingkap dan sekitar rumah (sekiranya mempunyai kawasan), mengurangkan peralatan yang membebaskan bahan pencemaran seperti gas-gas (dari bahan perabot, cat, penyembur serangga, bahan pencuci dan sebagainya). Adalah sukar untuk mendapatkan kesegaran udara yang optimum di dalam rumah, namun adalah cukup baik sekiranya ia dapat dikurangkan bagi mengelakkan kemudaratan.

 
Namun satu perkara lagi yang ingin ditekankan dalam artikel kali ini adalah mengenai bahan pewangi yang dapat membantu menyegarkan udara di dalam rumah. Bahan pewangi udara, tidak seperti bahan pewangi yang digunakan pada badan, adalah penting bagi memberikan suasana nyaman kepada penghuni di dalam rumah bagi memberikan suasana yang tenang dan meningkatkan kualiti komunikasi antara satu sama lain. Walaupun ia sering dianggap remeh, namun kesan positif dapat dilihat dalam tempoh yang singkat apabila keadaan ini mula diperbaiki. Jadi mari kita lihat beberapa kaedah yang boleh digunakan.
 
Penggunaan Bahan-bahan Semulajadi

Bahan-bahan masakan dan herba merupakan antara bahan pewangi yang baik.

Rempah-rempah yang digunakan untuk masakan juga amat sesuai untuk digunakan, malah ia juga digunakan untuk membuat pewangi.

Bahan-bahan semulajadi telah lama digunakan untuk menyegarkan kualiti udara di dalam rumah atau bangunan sejak dahulu lagi. Bahan-bahan pewangi ini kebanyakan nya digunakan di rumah-rumah ibadah (kerana ianya sukar didapati dan sangat mahal). Bahan-bahan seperti gaharu (oud), damar dan mur (frankincense and myrrh) merupakan antara bahan yang mempunyai permintaan yang sangat tinggi dan menjadi bahan perdagangan penting antara timur dan barat. Hari ini, bahan-bahan ini lebih mudah untuk didapati walaupun harganya masih sedikit mahal berbanding bahan-bahan pewangi yang lain. Faedah membakar gaharu telah dikenali sejak dahulu dalam memberikan kekuatan emosi kepada penghuni rumah serta mengurangkan serangga-serangga kecil.

 
Selain daripada bahan-bahan di atas terdapat banyak bahan-bahan semulajadi yang boleh digunakan untuk membangkitkan kesegaran di dalam rumah yang terdiri daripada tumbuh-tumbuhan, bunga-bungaan dan buah-buahan. Daun pandan (Pandanus amaryllifolius) misalnya bukan sahaja boleh digunakan untuk membuat bunga rampai, malah boleh dikeringkan dan diletakkan di dalam ruang-ruang penyimpanan seperti laci-laci dan almari pakaian. Ia bukan sahaja membangkitkan bauan yang harum, malah turut menghalau serangga seperti lipas dan kutu beras yang sememangnya perlu dielakkan. Selain daun pandan, daun serai wangi (Cymbopogon nardus), pudina ( Mentha × piperita), daun selasih Thai (Ocimum basilicum), Eucalyptus, dan cekur (Kaempferia galanga) merupakan antara daun-daun yang mempunyai bauan yang harum. Walaupun kebanyakan daun-daun ini lebih popular sebagai bahan masakan, namun ia juga boleh digunakan sebagai bahan pewangi udara (mengikut kesesuaian). Sebaiknya untuk digunakan sebagai bahan pewangi ia perlu dikeringkan dengan baik dan dibungkus di dalam uncang kain kasar bagi membolehkan pengaliran udara yang lancar.
 
Bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan memberikan bauan yang segar di dalam rumah.

Terdapat bahan-bahan semulajadi yang telah diproses bagi memudahkan penggunaan. Namun adalah lebih baik sekiranya anda dapat menyediakannya sendiri.

Tidak seperti daun, bunga-bungaan terkenal dengan bau-bauan nya yang harum. Namun untuk digunakan sebagai pewangi udara, ia juga perlu dikeringkan dengan sempurna bagi membolehkan ia diguna untuk tempoh yang lebih panjang. Berbanding dengan daun-daunan, terdapat lebih banyak bunga yang menghasilkan bauan yang harum. Apa yang berbeza, kaedah perawatan bunga-bungaan ini mungkin berbeza bagi memastikan ia tidak rosak dan bauan nya tahan lebih lama. Bagi bunga yang besar, kelopaknya mungkin perlu diceraikan bagi membolehkan proses pengeringan yang lebih sempurna. Begitu juga dengan buah-buahan. Bahagian yang digunakan dari buah-buahan biasanya terdiri daripada kulit buah yang telah dikeringkan seperti buah limau dan lemon. Walaupun buah-buahan lain turut mempunyai bauan yang amat menarik, namun untuk membolehkan ia digunakan sebagai pewangi mungkin agak sukar sebagai contohnya buah nanas, mangga, cempedak dan jambu.

 
Selain daripada bahan-bahan di atas, bahan-bahan pewangi semulajadi turut menggunakan bahan rempah yang biasanya digunakan di dalam masakan. Bahan rempah sememangnya digunakan untuk memberikan aroma kepada makanan, ia juga sesuai untuk membangkitkan bauan yang menarik untuk persekitaran. Rempah-rempah yang sememangnya terkenal untuk tujuan sebagai haruman termasuklah cengkih, kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, buah pala, dan juga herba-herba dengan aroma bauan yang menarik. Bagi menggunakan bahan-bahan ini sebagai pewangi ruangan di dalam rumah, ia perlulah dikeringkan dengan sempurna dan diadunkan bersama bahan-bahan yang lain. Sekiranya anda ingin menambah pati haruman, and bolehlah mengisi semua bahan ini ke dalam sebuah beg plastik, titiskan beberapa haruman sebelum ditutup dan disimpan di tempat yang gelap untuk tempoh selama dua minggu. Bahan-bahan kering ini akan menyerap bahan wangian tersebut. Setelah tamat tempoh tersebut, ia bolehlah diletakkan di dalam bekas hiasan yang cantik sebagai bahan pewangi ruangan di dalam rumah.
 
Bahan-bahan Pewangi Moden
 
Mudah dan murah, namun adakah ianya sebaik bahan pewangi yang dihasilkan menggunakan bahan-bahan asli. 

Tidak dinafikan penggunaan bahan pewangi moden (menggunakan bahan pewangi tiruan) adalah lebih mudah digunakan. Selain mempunyai variasi wangian yang lebih pelbagai, adakalanya harganya adalah jauh lebih murah selain mudah untuk digunakan. Bahan-bahan pewangi boleh digunakan terus apabila pembungkusnya dibuka, manakala ada juga yang memerlukan kuasa elektrik untuk mengaktifkan bahan pewangi, selain menggunakan haba panas daripada lilin, ataupun jenis meruap yang tahan untuk tempoh hampir sebulan. Walaupun pewangi-pewangi ini memberikan banyak kemudahan, namun mungkin ada di antara kita yang mempunyai alahan kepada bahan-bahan kimia yang digunakan, selain mengelakkan kesan jangka panjang yang mungkin boleh terjadi berpunca daripada penggunaan nya yang berpanjangan. Maka dengan itu, anda perlulah membuat perbandingan mengenai kesesuaian penggunaan bahan-bahan ini supaya ia tidak mendatangkan kemudaratan.

 
Berbeza dengan bahan-bahan pewangi yang menggunakan bahan-bahan dari alam semulajadi, ia adalah jauh lebih selamat (walaupun mungkin ada di antaranya boleh mengakibatkan alahan, namun ia tidak mengakibatkan kesan yang sirius). Bahan-bahan ini kebanyakannya terdiri daripada bahan-bahan yang kita sendiri makan, maka ia adalah jauh lebih sesuai digunakan dan memberikan manfaat seperti ketenangan dan keceriaan apabila kita menghidunya. Apa yang penting, adalah gabungan bahan-bahan yang digunakan supaya ianya lebih enak untuk dihidu apabila digabungkan dengan betul.
 
Walaupun kali ini kita lebih menekankan mengenai pewangi dari bahan semulajadi, mungkin di lain kesempatan kita akan melihat pula jenis-jenis pewangi moden yang terdapat di pasaran. Sememangnya penggunaan pewangi moden tidak sebaik pewangi dari bahan-bahan asli, namun terdapat keadaan-keadaan tertentu di mana penggunaan nya lebih sesuai dan menjimatkan. Maka, mengetahui sedikit sebanyak mengenai pewangi moden juga mempunyai manfaat kepada kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog