Isnin, 4 Julai 2022

Tanggungjawab Kita Apabila Melawat ke Taman Haiwan

Semakin banyak taman haiwan dibuka di serata kawasan.

Taman haiwan merupakan antara lokasi lawatan popular bagi pelancong tempatan mahupun luar negara. Tidak dinafikan, taman-taman haiwan ini memainkan peranan penting bagi masyarakat dalam menyediakan aktiviti yang berunsur pendidikan yang amat penting bagi masyarakat moden. Namun dengan peningkatan jumlah taman haiwan yang dibina, dapatkah kita memastikan bahawa kepentingan sebenar dalam membina taman haiwan diberikan keutamaan, selain daripada tujuan utama pembinaannya iaitu keuntungan?
 
Dengan jumlah taman haiwan yang semakin tinggi, ia adalah merupakan satu kebaikan bagi masyarakat dalam menyaksikan haiwan-haiwan ini dengan lebih dekat yang ada di antaranya sukar untuk ditemui atau hanya boleh didapati di negara-negara tertentu yang sukat untuk dilawati. Apa yang membimbangkan adalah, benarkah haiwan-haiwan ini mendapat perlindungan secukupnya bagi memastikan keselesaan mereka terjamin, bukan sahaja daripada pembina taman malah para pelawat? Ini adalah perkara yang penting untuk dibincangkan kerana, ia adalah lebih penting berbanding pembinaan taman itu sendiri. Sekiranya kebajikan haiwan-haiwan tidak dipelihara dengan baik, maka tiada gunanya ia dibuka dan sebagai pengunjung pula, kita tidak seharusnya menyokong pembinaan taman seperti ini.

 
Pembinaan taman haiwan sememangnya memerlukan perbelanjaan yang besar kerana haiwan-haiwan ini memerlukan penjagaan yang rapi dan mungkin ada diantaranya yang memerlukan penjagaan khusus seperti bilik khas dan suhu tertentu (bagi haiwan seperti burung penguin misalnya). Penyediaan kemudahan seperti ini bukan sahaja memerlukan perbelanjaan yang besar bagi pembinaannya, malah ia juga memerlukan perbelanjaan yang berterusan bagi memastikan ia terus berfungsi dengan baik. Lain-lain keperluan haiwan-haiwan ini termasuklah, keluasan kawasan yang selesa, bekalan makanan yang sesuai (kerana mungkin ada di antaranya memerlukan makanan khusus), dan penjagaan berterusan bagi memastikan haiwan-haiwan ini berada dalam keadaan yang baik. Kegagalan menyediakan keperluan-keperluan di atas bukan sahaja menyebabkan kegagalan taman haiwan beroperasi dengan baik, malah boleh mengakibatkan kematian kepada haiwan-haiwan yang berada di taman tersebut.

Penjualan makanan haiwan merupakan antara salah satu peluang untuk taman haiwan menambahkan pendapatan.

Pengalaman memberi makanan kepada haiwan menjadi satu kenangan manis. Namun ia perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan pemberian makanan yang salah.
 
Secara umumnya tiada haiwan yang suka berada di dalam kurungan (dengan keluasan yang terbatas). Keadaan ini sendiri memberikan tekanan kepada haiwan-haiwan yang dikurung. Walaubagaimanapun, haiwan-haiwan ini tidak sesuai untuk dilepaskan kerana ia telah berada lama di dalam kurungan dan tidak sesuai untuk dilepaskan kepada keadaan liar semula. Berbeza dengan haiwan berada di dalam keadaan liar, mereka boleh mendapatkan pelbagai jenis sumber makanan berbanding di dalam kurungan yang mungkin hanya diberikan makanan dari jenis-jenis tertentu sahaja (walaupun makanan ini lebih terjamin). Adalah sukar bagi menentukan keperluan setiap spesies haiwan dengan tepat melainkan oleh pakar bagi jenis haiwan tersebut. Sebagai contoh, sesuatu spesies haiwan mungkin memerlukan berapa ekar keluasan di dalam habitat liar, dan keluasan seperti ini adalah mustahil bagi taman haiwan.
 
Adalah diketahui bahawa taman haiwan tidak dapat menyediakan kesemua keperluan yang diperlukan oleh haiwan-haiwan ini, namun setidak-tidaknya kepentingan haiwan ini tidak diabaikan. Sekiranya keadaan di mana memberikan kesan negatif kepada haiwan-haiwan ini, maka ia perlulah diberikan perhatian yang secukupnya. Ia bukan sahaja memberikan kebaikan untuk haiwan-haiwan tersebut, malah kepada jangka panjang taman haiwan itu sendiri apabila haiwan-haiwan mereka berada dalam keadaan yang sihat. Keperluan ini bukanlah sukar, sekiranya perancangan yang rapi dilakukan dengan baik sebelum sesuatu haiwan di bawa ke dalam taman tersebut.
 
Interaksi dengan pengunjung

Kandang khas memastikan pengunjung dan haiwan berada dalam keadaan selamat dan lebih mudah untuk didekati.

 
Apa yang menarik mengenai taman haiwan adalah ia menyediakan peluang untuk para pengunjung berinteraksi dengan haiwan-haiwan tertentu dengan lebih dekat. Kadar interaksi ini pula adalah berbeza daripada taman-taman haiwan yang lain (bergantung kepada jenis kemudahan yang dimiliki oleh taman-taman tersebut). Walaupun kemudahan berinteraksi ini merupakan daya tarikan yang paling menarik, ia juga boleh mendatangkan kemudaratan kepada haiwan dan juga pengunjung sendiri. Ia adalah antara punca kematian haiwan-haiwan di taman haiwan dan boleh juga mengakibatkan kecederaan kepada pengunjung sekiranya tidak dikendalikan dengan betul. Maka langkah-langkah sewajarnya perlu diberikan bagi memastikan haiwan dan pelawat mendapat perlindungan yang sepatutnya.
 
Bagi interaksi bersama pelawat ini merupakan beberapa perkara perlulah dipenuhi antaranya:
 
1. Maklumat yang cukup diberikan kepada pengunjung bagi mengelakkan interaksi yang boleh membahayakan haiwan atau pelawat seperti jenis makanan yang boleh diberikan, jarak yang selamat bagi mendekati haiwan. Mengelakkan interaksi yang berlebihan mungkin boleh menyelamatkan haiwan-haiwan ini untuk jangka panjang.
 
2. Menyediakan penjaga yang mencukupi bagi kawasan-kawasan yang menyediakan interaksi bersama haiwan bagi membantu para pelawat mendapatkan maklumat yang tepat mengenai haiwan-haiwan tersebut. Dalam banyak keadaan, para pelawat tidak mendapat bantuan yang diperlukan sebelum melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

 
3. Maklumat di dalam brochure, papan tanda maklumat, monitor iklan, website, penjaga/pelatih haiwan dan sebagainya. Maklumat amat penting bagi membantu para pelawat untuk mengetahui perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika mendekati haiwan. Sememangnya sukar bagi memastikan maklumat dapat disampaikan dengan berkesan, maka dengan itu ia perlu dikongsi sebanyak-banyaknya bagi memastikan para pelawat mengetahuinya.
 
4. Kurungan yang sesuai. Bagi sesetengah taman, kurungan khas digunakan bagi membolehkan haiwan-haiwan dapat berinteraksi dengan pelawat dengan lebih mudah. Namun adakalanya interaksi ini terlalu dekat kepada pelawat, atau kawasan yang terlalu padat dengan haiwan dan pelawat mengakibatkan haiwan-haiwan berasa tidak selesa, malah ada di antaranya yang tercedera. Terdapat banyak kejadian dimana haiwan-haiwan diberikan makanan yang tidak sepatutnya oleh pelawat atau dicederakan kerana pelawat ingin mengambil gambar.
 
5. Pemeriksaan kesihatan haiwan dari semasa ke semasa. Ia perlu menjadi rutin harian dan berterusan sepanjang hari. Sebarang kejadian mungkin berlaku dan keselamatan pelawat dan haiwan perlu diberikan perhatian yang secukupnya. Langkah keselamatan ini termasuklah bagi memastikan kemungkinan penyebaran penyakit antara pelawat dan haiwan dan sebaliknya.
 
Tanggungjawab pelawat

Mengenali haiwan merupakan peluang terbaik bagi kanak-kanak dan mungkin juga untuk mereka yang dewasa.

 
Walaupun penyediaan kemudahan keselesaan dan keselamatan haiwan adalah wajib disediakan oleh pembina taman haiwan. Para pelawat juga memainkan peranan penting bagi memastikan haiwan-haiwan ini juga selesa dan selamat ketika dikunjungi. Sentiasa pastikan keselamatan haiwan-haiwan ini diberikan keutamaan, ini kerana ia diletakkan di dalam kawasan yang sememangnya memberikan tekanan kepada mereka.
 
Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian untuk melawati taman haiwan.
 
1. Pastikan anda mengetahui sedikit sebanyak mengenai haiwan yang dilawati. Adakalanya maklumat ini disediakan di taman-taman haiwan. Kini, maklumat-maklumat ini juga boleh diperolehi dengan mudah dari telefon bimbit anda. Ini bagi mengelakkan kita daripada melakukan kesilapan yang mungkin boleh membahayakan haiwan tersebut seperti - memberikan makanan yang boleh menyebabkan kematian.
 
2. Patuhi langkah-langkah keselamatan yang telah disediakan oleh penyedia taman, ia adalah untuk menjaga keselamatan haiwan-haiwan dan juga para pengunjung.
 
3. Elakkan daripada menyergah haiwan-haiwan di taman haiwan kerana ini boleh mengakibatkan haiwan-haiwan menjadi takut atau menjadi agresif dan mencederakan anda. Haiwan mempunyai refleksi yang pantas bagi menjaga keselamatan mereka. Kerap berlaku kecederaan apabila haiwan terkejut oleh tindakan pelawat yang menyebabkan mereka terkejut.

Semakin banyak taman haiwan dibuka dengan pelbagai saiz dan jenis-jenis haiwan yang dipamerkan.

 
4. Anda tidak perlu menyentuh haiwan-haiwan di taman haiwan sekiranya anda takut, geli atau tidak selesa kepadanya (begitu juga bagi orang lain, elakkan daripada memaksa mereka). Keadaan ini boleh menyebabkan haiwan tidak selesa dan tertekan.
 
5. Jangan berikan makanan kepada haiwan di taman haiwan sekiranya anda tidak pasti ianya selamat untuk dimakan oleh mereka. Ini kerana di dalam satu taman haiwan mungkin terdapat lebih daripada satu haiwan dan anda mempunyai beberapa jenis makanan untuk diberikan kepada pelbagai spesies haiwan (dapatkan bantuan para pelatih haiwan).
 
6. Pastikan keselamatan haiwan dan diri anda menjadi kepentingan utama ketika melawati taman haiwan. Elakkan daripada melakukan sebarang perkara yang boleh memudaratkan haiwan ataupun diri anda.

 
7. Laporkan kepada penjaga taman sekiranya terdapat haiwan-haiwan yang cedera di dalam taman atau sebarang perkara yang mungkin merbahaya kepada haiwan. Ia juga boleh dilaporkan kepada pengurusan taman melalui email yang biasanya terdapat di laman website mereka. Pastikan anda dapatkan gambar tarikh dan masa bagi memudahkan untuk tindakan selanjutnya.
 
8. Bantu pelawat-pelawat lain sekiranya anda mendapati mereka tidak mendapat maklumat secukupnya mengenai keselamatan haiwan dan pelawat ketika berada di taman haiwan. Langkah ini dapat membantu mereka juga menjadi lebih peka mengenai isu keselamatan ini dan membantu orang lain pula.
 
Tanggungjawab bersama

Setiap penyelia taman perlulah memastikan haiwan-haiwan yang cedera diasingkan dan diberikan penjagaan yang sewajarnya. Para pelatih perlu peka dan memeriksa keadaan haiwan setiap hari. 

Haiwan yang sakit perlu diasingkan dan sangkar perlu disanitasi dengan betul bagi mengelakkan penyakit berjangkit kepada haiwan mahupun pengunjung!

 
Perlu diingat, walaupun pengusaha taman bertanggungjawab menyediakan kemudahan bagi menjamin keselamatan haiwan-haiwan di dalam taman yang disediakan, keselamatan haiwan-haiwan ini menjadi tanggungjawab bersama pengunjung juga. Tanpa kerjasama bersama pengunjung, nasib haiwan-haiwan ini mungkin berakhir dengan kematian yang sepatutnya boleh dielakkan. Adakalanya pihak pengurusan mungkin terlepas pandang dan di sinilah para pelawat perlu membantu dengan berkongsi maklumat bersama-sama pengusaha taman.
 
Adalah amat dikesalkan sekiranya haiwan-haiwan ini dieksploitasi bagi mengaut keuntungan semata tanpa mengendahkan keselamatan mereka. Taman-taman seumpama ini perlu diambil tindakan dan ditutup serta-merta. Sekiranya anda mendapati taman-taman yang tidak diselenggarakan dengan baik, pastikan anda mendapatkan bantuan, kerana ini boleh menyelamatkan nyawa haiwan-haiwan yang tidak dapat membela nasib mereka sendiri. Sebagai manusia yang boleh berfikir dengan baik, kita perlu memikul tanggungjawab ini bersama dan memastikan kita memastikan ketenteraman bukan sahaja bagi kita sesama manusia, malah untuk hidupan-hidupan lain juga yang hidup bersama-sama di dunia ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog