Ahad, 27 Disember 2015

Antara Belanga Tanah dan Porcelain

'Porcelain' antara barangan terpenting berasal dari tanah.

Amat menakjubkan bagaimana manusia dapat mencipta peralatan yang berguna untuk kegunaan harian daripada tanah dan menghasilkan pelbagai barangan. Peralatan yang dihasilkan dari tanah ini telah digunakan sejak ribuan tahun dahulu dan antara barangan yang paling baik dihasilkan daripada tanah ini adalah ‘porcelain’. Porcelain merupakan bahan yang terbaik dihasilkan daripada tanah (dari jenis tanah tertentu) dan juga melalui proses pembuatan/pembakaran yang jauh berbeza.

Barangan tembikar telah dihasilkan oleh manusia sebelum zaman Neolitik lagi dan barangan tembikar telah dijumpai di  Czech Republic bertarikh sekitar 29,000–25,000 BC. Manakala kapal membawa barangan tembikar ditemui di Jiangxi, China bertarikh 20,000 BC. Di Jepun pula peralatan awal zaman Neolitik ditemui di Jomon, bertarikh sekitar 10,500 BC, dan di Timur Jauh Russia bertarikh 14,000 BC begitu juga dengan kawasan lain seperti Sub-Sahara Afrika dan juga Amerika Selatan.


Proses penyediaan tanah liat di India untuk membuat barangan tembikar.

Belanga tanah antara contoh barangan tembikar yang masih digunakan.

Porcelain dari Dinasti Song.

Di negara kita Malaysia, barangan terkenal yang dihasilkan dari tanah ini adalah ‘labu sayong’. Walaupun ia kemudiannya berkembang untuk beberapa barangan yang lain, namun penghasilan labu sayong tidak mengalami banyak perubahan sepertimana semenjak ianya mula dihasilkan dahulu. Mungkin ini kerana, penghasilan labu sayong sebernarnya agak baru – sebelum kedatangan barangan moden yang membantutkan peluangnya untuk dimajukan.

Peralatan tembikar amat peting bagi pembangunan peradaban manusia apatah lagi sebelum bermulanya zaman logam. Barangan tembikar bukan sahaja digunakan sebagai peralatan untuk memasak, tetapi sebagai penyimpanan barang, air minuman yang dapat membantu memudahkan kehidupan manusia di peringkat awal. Dari sinilah, teknik penghasilan tembikar diperbaiki dari semasa ke semasa sehingga mencapai tahap yang lebih baik iaitu – penghasilan ‘porcelain’. Melalui penghasilan porcelain, barangan yang dihasilkan berubah daripada barangan keperluan menjadi barangan yang mempunyai fungsi sebagai hiasan, ataupaun barangan mewah dan sebagai barangan eksport yang penting.

Berbeza dengan barangan tembikar biasa, porcelain mempunyai porositi yang rendah dan hampir menyamai kaca. Apabila diketuk, barangan porcelain akan menghasilkan bunyi ‘ting’ (seperti besi yang diketuk), yang menunjukkan kepadatan teksturnya.


Sifat separa lutsinar pada 'porcelain'.

Mangkuk porcelain lama dari China.

Mineral 'Koalinite' yang menghasilkan koalin.
Porcelain dari zaman Ming Dinasti.

Porcelain juga dihasilkan menggunakan tanah liat istimewa yang dipanggil ‘gaoling’ atau ‘Kaolin’ yang dihasilkan daripada mineral ‘kaolinite’. Ia juga adakalanya dikenali sebagai ‘China Clay’. Nama ‘kaolin’ adalah beasal daripada ‘Chinese Kao-Ling’ (Gāolǐng), iaitu sebuah kampung di Jingdezhen, Daerah Jiangxi, China.

Barangan tembikar biasa, kebiasaannya akan dibakar pada suhu rendah iaitu di antara 800°C ke 1,100°C. Bagi barangan porcelain pula ia disaluti dengan ‘glaze’ berkaca yang kemudiannya dibakar pada suhu melebihi 1,200°C yang membentuk kristal yang kuat. Bagi tanah liat biasa, pembakaran pada suhu tinggi sahaja tidak cukup untuk menukarkan ianya kepada ‘porcelain’ sebaliknya hanya akan menukarkan ia menjadi sedikit seperti kaca.

Bagi barangan tembikar biasa, ia tidak telap cahaya walaupun ia senipis beberapa mm tebal, sebaliknya ‘porcelain’ pula mempunyai sifat separa lutsinar dan membolehkan anda melihat sedikit cahaya menembusinya.

China mendahului negara-negara lain dalam penghasilan barangan tembikar mahupun ‘porcelain’. Barangan tembikar yang dihasilkan semasa Dinasti Han, turut dihasilkan dalam bentuk disaluti ‘glaze’ dan juga yang tidak disaluti ‘glaze’ dalam kuantiti yang banyak. Begitu juga dengan barangan ‘porcelain’ yang dihasilkan dengan ‘glaze’ tetapi dengan dua kaedah iaitu ‘high-temperature glaze’, dan kaedah kedua iaitu ‘low-temperature glaze’.

Porcelain terus menjadi barangan dagangan penting antara Timur dan Barat sehingga banyak kapal dagangan yang karam didapati membawa sebahagian besar muatannya terdiri daripada barangan tembikar dan porcelain dari China. Kepentingan barangan ini menyebabkan Eropah mencari kaedah menghasilkan porcelainnya sendiri dengan pelbagai percubaan.

Walaupun bahan penghasilan porcelain adalah ‘Koalin’, melalui pelbagai percubaan akhirnya porcelain dapat dihasilkan dengan beberapa bahan yang lain termasuklah  feldspar, ball clay, glass, bone ash, steatite, quartz, petuntse dan alabaster. Bahan-bahan ini adalah bahan gantian kerana ‘Kolain’ tidak terdapat di Eropah – dan juga semasa bahan tersebut masih belum diketahui.

Barangan tembikar dan porcelain ini terus menjadi barangan penting dan salah satu industri penting di Eropah. Banyak syarikat-syarikat penghasilan porcelain bermutu tinggi di serata Eropah yang masih bertahan sehingga hari ini dengan penghasilan barangan porcelain yang sangat bermutu tinggi.

Barangan tembikar yang dikenali sebagai 'Labu Sayong'.

Antara penghsilan barangan moden daripada 'Labu Sayong'.


Begitulah pentingnya barangan yang pada asalnya hanya dihasilkan daripada tanah dan kemudiannya diubah menjadi suatu barangan berkualiti tinggi dengan harga yang amat tinggi pula. Ia bukanlah terjadi dengan mudah melainkan melalui banyak percubaan, perubahan, pembaikan dan usaha berterusan. Pada mulanya saya hanya terkenangkan ‘labu sayong’. Apakah yang akan berlaku pada ‘labu sayong’, pada masa hadapan?...



Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog