Selasa, 1 Disember 2015

Menggemparkan Apabila Tumbuhan Membunuh

Kudu yang mati akibat dari makanan yang biasa menjadi makanannya.

Tumbuhan sering dilihat sebagai hidupan yang kurang agresif, tidak mampu bergerak mahupun mempertahankan diri daripada bahaya. Namun seperti juga hidupan yang lain, tumbuhan mempunyai sistem pertahanan sendiri yang membolehkan ia terus hidup, membiak dan menghasilkan generasi baru yang lebih berpotensi untuk mempertahankan generasi berikutnya.

Semua hidupan termasuk sekecil virus dan bakteria sendiri mempunyai sistem pertahanan mereka masing-masing sebagai perlindungan. Jadi bagi tumbuhan dengan saiz yang lebih besar, sudah tentu mempunyai sistem pertahanan yang lebih baik (sesuai untuk mengatasi ancaman pada mereka pula). Sekiranya diamati dengan lebih dekat, setiap tumbuhan mempunyai sistem pertahanan mereka yang unik dan berbeza antara satu sama lain. Walaupun ia biasanya hanya bertujuan untuk mengelakkan gangguan musuh, adakalanya ia boleh membawa maut.


Devil's Helmet yang menyebabkan kematian Nathan Greenaway.

Pada 6 November 2014, seorang lelaki maut apabila melakukan kerja-kerja membersihkan taman milik seorang jutawan di London. Nathan Greenaway menjadi tidak sihat selepas bersentuhan dengan tumbuhan iaitu ‘aconitum’ atau lebih dikenali sebagai “Devil's Helmet” dan “Monkshood”. Sejenis tumbuhan berbunga ‘purple’ dan kelihatan amat cantik. Beliau kemudiannya di bawa ke hospital dan maut lima hari kemudian berikutan kegagalan organ dalaman.

Tumbuhan juga boleh membunuh haiwan kesayangan anda seperti kucing dan anjing. Tumbuhan yang dikenali sebagai ‘water hemlock’ adalah antara tumbuhan yang boleh membunuh anjing dengan pantas. Seekor anjing yang memakan tumbuhan ini boleh menemui maut di dalam tempoh satu jam. Ia merupakan antara tumbuhan yang paling beracun di bahagian Amerika Utara.


Gambar lengkap 'water hemlock'.

Water hemlock boleh menyebabkan kematian anjing kurang dari sejam.

Sementara itu pula laporan mengenai kematian besar-besaran spesis haiwan pemakan tumbuhan yang dikenali sebagai kudu di Afrika Selatan (sehingga mencapai jumlah 3,000 ekor) menjadi tanda tanya. Wouter Van Hoven iaitu seorang ‘zoologist’ dari Pretoria University telah diminta untuk melakukan siasatan. Punca kematian haiwan ini adalah lebih memeranjatkan kerana ia berpunca daripada makanan yang kebiasaannya tidak mendatangkan apa-apa mudarat kepada haiwan ini.

Akasia, merupakan tumbuhan yang paling tahan di kawasan ragut di benua Afrika. Namun dengan jumlah haiwan ragut yang terlalu banyak ia bertindak balas untuk mempertahankan diri. Tumbuhan ini meningkatkan kadar ‘tannin’ di dalam daunnya dan mengakibatkan haiwan-haiwan ini tidak mampu untuk menghadamkan daun tersebut. Haiwan-haiwan malang ini seterusnya mati akibat dari makanan yang tidak hadam tersebut.


Sekumpulan kudu yang merayau mencari makanan.

Bukan itu sahaja, pokok akasia turut membebaskan ‘ethylene’ yang boleh bergerak sejauh 50 ela sebagai mesej kepada pokok-pokok berhampiran tentang bahaya – dan menyebabkan tumbuhan-tumbuhan di sekitarnya meningkatkan kadar tannin di dalam daun hanya dalam masa lima hingga sepuluh minit. Sistem perhubungan ini antara lain bukan sahaja membantu dalam proses pertahanan tumbuhan malah menerangkan bagaimana sesuatu spesies tumbuhan berbuah serentak di dalam satu musim. Malah ia turut mengubah persepsi kita mengenai tumbuhan.

Banyak lagi tumbuhan yang beracun dan berpotensi untuk menyebabkan maut bukan sahaja kepada haiwan, malah manusia. Kebanyakan tumbuhan yang menjadi makanan kepada manusia sendiri adalah beracun sebahagiannya dan ada pula yang sememangnya beracun dan sekiranya tidak digunakan dengan betul boleh mendatangkan mudarat kepada manusia yang memakan tumbuhan tersebut. Antara makanan yang paling biasa kita makan dan mempunyai potensi racun adalah epal (apple - Malus domestica) di mana bijinya mengandungi amygdalin dalam kuantiti yang kecil. Namun dalam kuantiti yang banyak ia boleh mendatangkan mudarat. Selain itu ubi kayu juga merupakan antara makanan yang mempunyai toksid yang merbahaya iaitu cyanide.  Kandungan cyanide ini berbeza dalam spesis-spesis tertentu ubi kayu dan ianya lebih tinggi semasa musim kemarau/kering. Untuk mengurangkan bahaya cyanide ini ubi kayu perlu dipotong dan direndam, dimasak dengan sempurna bagi memastikan cyanide dibebaskan ke udara.


Kematian haiwan di Australia akibat tumbuhan beracun.

Banyak lagi spesies tumbuh-tumbuhan yang beracun yang sering digunakan sebagai makanan oleh manusia. Ia selamat kerana kuantiti yang kecil atau kaedah pemakanan yang betul. Jadi kita perlu mengenali makanan yang kita makan adalah betul-betul selamat – sebelum berlaku sebarang kesilapan yang boleh mendatangkan bahaya/maut. Ikuti senarai tumbuhan beracun di wikipedia.

Tidak ketinggalan juga disentuh adalah tumbuhan yang sudah sedia dikenali sebagai tumbuhan pemangsa (carnivorous plants) yang sememangnya menjadikan hidupan lain sebagai sumber nutrient baginya. Tindakbalas tumbuh-tumbuhan ini telah diketahui mendatangkan maut kepada serangga dan juga hidupan kecil. Ia menunjukkan tumbuhan juga mempunyai tahap ‘intelektual’, ‘memori’ dan sistem saraf yang masih lagi cuba diungkai oleh para pengkaji. Ini menunjukkan dunia tumbuhan juga menarik dan mencabar seperti dunia haiwan walaupun pada dasarnya mereka kelihatan tidak boleh bergerak seperti haiwan.


Dalam keadaan di mana kita kurang berinteraksi dengan alam sekitar, banyak perkara mengenai tumbuhan yang tidak kita ketahui. Adalah dibimbangkan pengetahuan mengenai tumbuh-tumbuhan beracun ini semakin dilupakan dan suatu hari nanti mengundang bahaya kepada anak-anak kita. Walaupun bahaya, setiap hidupan mempunyai fungsinya tersendiri dan adakalanya berguna kepada manusia (bergantung kepada penggunaannya). Jadi kita seharusnya lebih peka tentang persekitaran dan saling hormat-menghormati antara hidupan di atas muka bumi.



Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog